.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, May 24, 2012

0 Ilmuan Islam menulis tentang politik luhur

Politik luhur landasan baru capai negara makmur Oleh Muhamad Razak Idris 2012/05/24 Idea ilmuwan Muslim mantapkan peradaban manusia patut jadi rujukan pemimpin TRADISI kesarjanaan Islam kaya dengan pelbagai perbahasan mengenai kehidupan ini. Persoalan politik antara aspek yang menjadi keprihatinan utama falsafah Muslim dalam perbahasan keilmuan mereka. Ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk ‘Falsafah Politik Islam dan Kepentingannya di Malaysia’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, Profesor Dr Idris Zakaria merakamkan sejumlah pandangan daripada tokoh ilmuwan Islam berkenaan falsafah politik Islam. Masyarakat tidak mungkin akan mencapai kebahagiaan bernegara jika landasan kehidupan politiknya lemah dan goyah. Oleh itu, membina landasan politik luhur dan kukuh adalah asasi serta dilihat sebahagian daripada kewajipan beragama. Ini berasaskan kefahaman bahawa misi penurunan agama ialah mengatur perjalanan kehidupan manusia secara adil, saksama dan aturan keagamaan juga termasuk dalam urusan kehidupan berpolitik. Tokoh paling menonjol membicarakan persoalan ini, antaranya ialah Abu Nasr al-Farabi (870-950), Ali al-Hussin Ibn Sina (980-1037), Abu Hamid al-Ghazali (1058-1111) dan Ibn Khaldun (1332-1406). Sumbangan mereka dalam bidang pembangunan ilmu politik Islam tergambar menerusi pelbagai karya yang sehingga kini masih ditelaah. Al-Farabi sebagai contoh menulis beberapa karya utama mengenai politik, antaranya kitab al-Madinah al-Fadhilah dan al-Siayasah al-Madaniyyah. Ibn Sina merakam persoalan ini dalam karyanya, al-Syifa’, manakala Abu Hamid Al-Ghazali membicarakan persoalan politik dalam karyanya al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk. Mengenai Ibn Khaldun, karya beliau al-Muqaddimah adalah teks penting yang merakamkan pelbagai teori pembangunan peradaban dan prinsip keluhuran politik. Penulis timbulkan beberapa tokoh dan karya terpilih ini bagi menunjukkan wacana kesarjanaan Islam tidak gersang daripada perbahasan mengenai idea serta pemi-kiran berhubung persoalan politik dan kenegaraan. Ia juga menggambarkan betapa ciri dan sifat sarjana Muslim bukan berwatak ‘eksklusif’ atau terpencil daripada arus perkembangan kehidupan politik serta isu kenegaraan di persekitarannya. Ternyata ahli falsafah Muslim peka dan arif realiti politik semasa serta menyumbang secara bermakna menerusi karya dan tulisan membimbing pemerintah serta rakyat ke arah mencapai buah kehidupan bernegara yang sempurna. Wacana politik Islam seperti tergambar dalam tulisan dan pemikiran ahli falsafah Muslim unik serta menarik. Politik Islam pada pandangan mereka adalah luhur dan landasan mencapai cita-cita tertinggi iaitu negara bahagia. Dengan kata lain, masyarakat tidak mungkin akan mencapai kebahagiaan bernegara jika landasan kehidupan politiknya lemah dan goyah. Oleh itu, membina landasan politik luhur dan kukuh adalah asasi serta dilihat sebahagian daripada kewajipan beragama. Ini berasaskan kefahaman bahawa misi penurunan agama ialah mengatur perjalanan kehidupan manusia secara adil, saksama dan aturan keagamaan juga termasuk dalam urusan kehidupan berpolitik. Berasaskan kesedaran bahawa pengukuhan landasan politik sebagai saluran bagi penterjemahan misi keagamaan, ahli falsafah Muslim membangunkan pelbagai teori, wawasan dan perancangan mengenai ilmu politik yang luhur. Al-Farabi sebagai contoh banyak menumpu wacananya mengenai kefahaman falsafah politik yang mana menurut beliau bagi mencapai as-saadah atau kebahagiaan. Dalam kata-katanya, Al-Farabi menjelaskan: “Kebahagiaan adalah suatu yang terbaik yang dituntut setiap manusia. Tidak ada perkara selainnya lagi untuk dicapai oleh manusia sepanjang masa dan terlebih besar daripada kebahagiaan itu sendiri.” Dalam kata lain, objektif terpenting politik ialah membina negara idaman dengan setiap warganya memperoleh kebahagiaan secara saksama. Cita-cita membina negara bahagia sebagai asas dalam politik Islam membawa kepada persoalan lanjut mengenai apakah bentuk caranya yang akan membawa masyarakat mencapai ideal berkenaan? Tentu banyak caranya. Dalam konteks ini, al-Farabi banyak menumpu kepada kepentingan struktur kepemimpinan yang kukuh dan berwibawa sebagai antara cara terpenting bagi membina sistem politik luhur. Struktur kepemimpinan ini merujuk secara khusus antaranya keperluan untuk masyarakat memiliki dan memilih ketua negara yang berkelayakan serta berkemampuan untuk mentadbir sistem politik. Untuk itu, ketua negara dalam sistem politik Islam adalah asasi. Menurut al-Farabi, ketua negara mesti memiliki kualiti diri yang tinggi lagi unggul kerana dia ibarat hati atau al-Qalb dalam tubuh manusia. Ketua negara berkualiti tinggi dari segenap aspek menjamin sistem politik luhur dapat ditadbir secara sempurna sebagai landasan menuju negara bahagia. Banyak ciri ketua negara disenaraikan al-Farabi antaranya, kesempurnaan tubuh badan dan bertenaga menjalankan tugas, mempunyai kefahaman serta daya ingatan tinggi, bijaksana, mampu menjelaskan secara baik dalam pelbagai persoalan kenegaraan, mencintai ilmu, tidak suka berfoya-foya, menjaga pemakanan, cinta kebenaran, membenci pembohongan, berjiwa besar, berhemah tinggi serta tegas menegakkan keadilan. Semangat sama mengenai kepentingan kualiti ketua negara dalam wacana politik Islam turut dikongsi Abu Hamid Al-Ghazali. Beliau dalam tulisannya menasihatkan ketua negara Islam peka terhadap permasalahan rakyat, segera menunaikan hajat rakyat apabila mendapat aduan serta tidak bermewah dalam berpakaian dan pemakanan. Ketua atau pemimpin negara harus tidak melaksanakan dasar yang boleh membawa perbuatan zalim atau menyebabkan rakyat menderita, kesusahan dan kemelaratan. Selaku pemerintah, ketua negara perlu menjadi teladan dan sumber bagi penyebaran nilai kebaikan dan kebahagiaan untuk seluruh kehidupan warga dan persekitarannya. Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

0 comments: