.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, March 29, 2012

0 Kalau tidak sehebat Jamal Abdilah dan M Nasir, sorry to say, banyaklah berlatih dulu!

Industri kita banyak sampah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

USAHA Zainal Abidin memupuk kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan peminat dan masyarakat bukan sedikit. Menerusi lagu Hijau lebih 20 tahun lalu, yang kini masih ‘hijau’ pada deria pendengaran kita hinggalah yang terbaru, Alam ciptaan sepenuhnya oleh Ajai.

Bagi Zainal, 53, itu antara sumbangannya sebagai penyanyi kepada komuniti selain menghiburkan mereka. Muziknya dijadikan kenderaan atau medium dalam usaha menyampaikan maklumat berkaitan khabar berita alam kita yang semakin menipis ozonnya.

Sebagaimana juga nipisnya industri muzik hari ini yang bukan saja disebabkan lanun cetak rompak, malah disokong oleh pelbagai faktor termasuk sikap seseorang artis itu sendiri terhadap karier yang diceburinya. Menurut Zainal, industri hiburan kita semakin banyak sampah yang mencemar nama baik bidang seni.

Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro, ABIE ABDULLAH ada cerita lagi mengenai bintang ini ketika ditemui di The Andaman, A Luxury Collection Resort, Langkawi minggu lalu.
Click Here


RAP: Selepas Hijau, kini anda tampilkan Alam meneruskan kempen alam sekitar. Sejauh mana Alam kali ini?

Zainal: Kalau Hijau, ramai tertarik kepada dialek liriknya tetapi Alam lebih kepada irama di mana Ajai menggunakan muzik reggae yang mudah ditangkap halwa telinga. Daripada muzik inilah saya sampaikan liriknya mengenai alam sekitar. Mungkin Hijau tiada ganti tetapi Alam meneruskan usaha saya untuk kempen ini.

Bagaimanapun CD lagu ini hanya dijual di lokasi yang saya pergi saja, selain melalui muat turun. Sekarang caranya lain dan saya tiada cara lain untuk melawan cetak rompak. Kalau cetak rompak jual RM5, saya akan turunkan RM2.50.
Saya bukannya bergantung kepada jualan album tetapi album ini perlu diedarkan untuk kempen alam sekitar.

Terus terang, saya sebenarnya tidak mahu lagi buat album. Kali akhir, enam tahun lalu dengan Puteri. Kalau fikirkan, dalam usia begini saya rasa tua sangat untuk buat album (tergelak). Saya sudah 53 tahun, bila sampai usia 50-an di dalam industri hiburan, terasa nak tutup dan buka pintu kepada orang muda.

Namun muzik meneruskan ‘nafas’ saya, macam dilahirkan semula setiap kali ada album atau lagu baru. Muzik medium terbaik untuk kempen saya. Dengan adanya twitter, facebook dan Youtube, lebih mudah untuk kita promosi atau sampaikan apa yang ingin disampaikan seperti Legendary Concert yang sudah ada dua juta orang ‘bercakap’ pasal itu. Sama juga dengan single Kamu saya sebelum ini, letak saja 15 minit, sudah ada 500 ‘Likes’. Sekali gus ia menunjukkan peminat masih menyokong muzik saya. Tetapi kalau fikirkan untuk berhenti menyanyi, mungkin saya akan ‘sakit’. Apapun saya menyanyi kerana peminat yang sentiasa menyokong.


RAP: Tetapi ramai artis terutama yang baru, ‘sakit’ untuk bertahan seperti anda?

Zainal: Ramai artis baru yang silap definisi terhadap dunia artis itu sendiri. Artis adalah mereka yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi baik menyanyi, berlakon mahupun melukis di mana bakatnya diperakui oleh masyarakat penonton. Kalau tiada kreativiti, mana kualitinya? Bukan hanya yang cantik, tampan atau kaya saja yang masuk TV tetapi yang buta macam Stevie Wonder.
Stevie menjual bakat, bukan rupa.

Satu lagi, apabila seseorang itu dipanggil profesional, penyanyi misalnya dan kalau mereka berbakat dalam nyanyian, mereka tidak akan berlakon atau mencuba bidang seni lain kerana ia menunjukkan mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap bakat atau kebolehan yang mereka lakukan. Kalau tukar karier saja kepada pengacaraan atau apa saja, sekali gus ia menggambarkan karier mereka semakin menurun. Mereka tiada keyakinan kerana tidak fokus. Kenapa saya, Datuk Sheila Majid atau Datuk M Nasir boleh?


RAP: Bukankah hari ini, penonton hanya mahu lihat yang cantik saja?

Zainal: Itulah silapnya artis baru hari ini. Saya tidak nafikan ‘sex sell’ tetapi itu semua untuk keuntungan jangka masa pendek semata-mata. Kalau mereka boleh kaut untung atau buat duit dengan kecantikan tanpa bakat sejati, percayalah ia tidak lama di dalam industri. Memang masyarakat kita menerima tetapi itu dalam jangka masa pendek. Pun begitu, itu bukan salah masyarakat tetapi artis yang silap definisi. Kalau formula Siti Nurhaliza berjaya, maka ramailah nak jadi macam Siti. Salah! Mustahil untuk kita ada dua Siti, untuk ada dua Michael Jackson. Sepatutnya seseorang artis ada konsep seni masing-masing dan fokus serta persembahkan yang terbaik, barulah peminat ‘beli’.

Mereka yang jual muka tanpa bakat itu, tolong keluar dari industri. Jangan jadi sampah, rosakkan industri. Jika mereka tidak sehebat Jamal Abdillah, Amy Search umpamanya, lebih baik buat latihan banyak-banyak. Inilah masalahnya kalau mereka pilih untuk jangka pendek. Maaf cakap, kita makin banyak sampah!

Kita sudah lama tiada fenomena muzik seperti zaman RAP (Roslan Aziz’s Productions) di mana syarikat yang kecil tetapi mendominasi 30% pasaran muzik tempatan. Kalau ada pun fenomena, itupun ketika Mawi menang AF (Akademi Fantasia). Tetapi naiknya mendadak, hilangnya juga mendadak.


RAP: Habis itu, macam mana nak jadi penyanyi yang baik di Malaysia?

Zainal: Banyak caranya tetapi perlu tembusi pasaran Melayu, Cina dan India barulah ruangnya luas. Kenapa penyanyi atau komposer kita tidak buat lagu macam Bollywood, Afrika atau sekarang K-Pop yang berfokuskan global. Kita banyak buat untuk pasaran dalam negara saja, itupun hanya untuk satu kaum saja. Sudah lama sepatutnya kita memikirkan global dan dengan adanya kapasiti teknologi hari ini, ia lebih mudah sebagaimana Yuna. Kenapa Yuna diterima ramai? Sebabnya dia lain daripada yang lain dan dia fikir global.


RAP: Bagaimana pula dengan sesetengah artis yang suka menyalahkan media?

Zainal: Selama lebih 30 tahun menyanyi, sumbangan media bukan kecil anak. Bukan untuk mengangkat tetapi hakikatnya begitu. Cuma satu yang boleh saya katakan, sebagai selebriti, tidak perlu pun untuk menyembunyikan kisah peribadi macam kahwin dua, janda duda atau sebagainya. Lambat-laun orang akan tahu juga dan lebih teruk kalau membiarkan orang berteka-teki. Memang pengakuan benar itu suatu kesakitan tetapi ia lebih baik. Baik berterus terang dan sepanjang saya mengenali media, mereka antara manusia yang bertoleransi dan memahami kedudukan artis sebagaimana artis perlu memahami kerja wartawan.

Ada yang kata wartawan terlalu penyibuk tetapi memang tugasnya untuk mencari berita, sama juga dengan penyanyi yang kerjanya menyanyi. Takkan nak suruh penyanyi mencari berita?

Seperkara lagi mengenai artis yang mudah melenting dengan komen negatif. Selagi ia tidak mengaibkan, saya rasa tidak perlu untuk panas badan sebab kalau betul terima sajalah dengan terbuka demi kebaikan kita sendiri. Kalau tidak kena mengena dengan kita, kenapa perlu kita marah?


RAP: Betulkah wujud diskriminasi dalam kalangan pengendali stesen radio berkaitan penyiaran lagu?

Zainal: Kalau tengok senario hari ini, ada penyanyi baru atau belum dikenali mendapat peluang lagu disiarkan berlebihan di radio tetapi penyanyi lama seperti Jamal, Ramli Sarip misalnya, walaupun mempunyai lagu bagus, bagaimanapun kurang siarannya. Saya tidak kata ia membabitkan rasuah namun kemungkinan itu boleh berlaku. Lagipun isu rasuah dan radio ini sudah lama diperkatakan dan ia masih terus dibualkan. Saya tidak berani menuduh kerana kita tiada bukti kukuh, tetapi sepanjang 30 tahun menyanyi, pengalaman seumpama itu pernah saya lalui.

Rambut sama hitam, hati lain-lain. Sebenarnya kalau ia wujud, ia memang membimbangkan. Bukan bimbangkan periuk nasi saya tetapi industri muzik Malaysia secara amnya. Bagaimana muzik kita nak berkembang?

Tuesday, March 20, 2012

0 Menjadi sasterawan negara, dapat RM60K dan 1/2 j


Dr Kemala terima watikah malam ini
Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my
2012/03/20
Anugerah Sastera Negara 2011

SASTERAWAN Negara (SN) Ke-11, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama pena Kemala, akan diraikan pada majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara (ASN) jam 8 malam ini di Hotel Istana, Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan berkata, Dr Kemala yang dinobatkan sebagai SN Ke-11 tahun lalu akan menerima Warkah Penghormatan Negara, di samping wang tunai RM60,000.
“Majlis pengurniaan terbabit akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan turut akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran,” kata DBP dalam kenyataan itu.

ASN dikurniakan kerajaan kepada sasterawan yang berkarya dalam bahasa Melayu dan memberi sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya bermutu tinggi.

Pemilihan Dr Kemala sebagai SN Ke-11 dilaksanakan panel pemilih yang dianggotai Muhyiddin sebagai Presiden; bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz sebagai Timbalan Presiden; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Sallehuddin Abang Shokeran sebagai Setiausaha dan Zaiton Ajamain serta Mohamad Yussop Ishak sebagai Penolong Setiausaha.

Panel turut dianggotai Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar, Prof Datuk Dr Hashim Awang, Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar, Prof Datuk Dr Zainal Kling, Prof Dr A Wahab Ali, Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan, Prof Madya Datuk Dr Baharudin Ahmad, Prof Madya Dr Krishanan Maniam dan Dr Wong Soak Koon.
Dr Kemala yang juga penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1986 dilahirkan di Gombak, Selangor pada 30 Januari 1941 akan turut menerima kemudahan 50,000 naskhahnya RM500,000 akan disebar luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau juga akan memperoleh kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera serta penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing,” katanya.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru di Tanjung Karang dan Teluk Gong, Pelabuhan Klang selain menjadi penyunting di DBP, Pemangku Ketua Bahagian Sastera di Redaksi Dewan Sastera, Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan dan editor jurnal puisi, Perisa.

Kumpulan puisinya, Meditasi diterbitkan pada 1972, Titir Zikir (1995) dan MIM (1999) pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia/Hadiah Sastera Perdana 1972, 1995 serta 1999.

Dr Kemala pernah menjadi Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dari 1982 hingga 1984, Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA) dari 1983 hingga 1986 dan Presiden Persatuan Bandingan Malaysia (PKBM) sejak 1993.

Monday, March 19, 2012

0 Demi jaga maruah keluarga, mangsa rogol bunuh diri - kesian!

Mangsa rogol bunuh diri dipaksa kahwin dengan penyerangnya



Wanita Maghribi dan aktivis hak kemanusiaan memegang poster dan potret Amina al-Filali, 16 yang membunuh diri selepas dipaksa berkahwin dengan perogolnya dalam satu protes di luar bangunan Parlimen di Rabat, Maghribi, kelmarin. - AFP

RABAT 18 Mac - Sebanyak 200 wanita Maghribi mengadakan tunjuk perasaan di luar Parlimen semalam, seminggu selepas peristiwa seorang gadis berusia 16 tahun membunuh diri selepas dipaksa berkahwin dengan lelaki yang merogolnya.

Protes tersebut diadakan bagi mendesak pindaan terhadap undang-undang sedia ada yang membolehkan perogol tidak penjarakan sekiranya memilih untuk berkahwin dengan izin keluarga mangsa.

Sebelum ini, keluarga mangsa rogol di bawah usia 18 tahun biasanya bersetuju dengan perkahwinan kerana pada pandangan mereka wanita yang hilang dara tanpa ikatan perkahwinan ibarat satu aib kepada keluarga.

Dalam kejadian Sabtu minggu lalu, Amina al-Filali bertindak membunuh diri dengan meminum racun tikus, menggemparkan seluruh negara dan mencetus kemarahan ramai pihak yang mendesak pindaan dilakukan terhadap undang-undang yang kononnya dikatakan memelihara nilai kekeluargaan.

Bapa Amina, Lahcen al-Filali pada protes itu Khamis lalu berkata, dia membantah perkahwinan tersebut, namun isterinya mendesak supaya ia diteruskan.

"Bolehkah anda membayangkan seorang lelaki yang memaksa seorang gadis mengikutinya dengan pisau dan bertindak merogolnya, kemudian berkahwin dengannya?" soalnya.

Dalam protes yang diadakan semalam, penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan tulisan 'Maruah wanita. Hentikan gangguan seksual'.

"Pada 2008, kerajaan memperkenalkan rang undang-undang baru dalam usaha menghentikan diskriminasi dan keganasan terhadap wanita, namun ia kemudian ditangguhkan," kata Houda Bouzil, dari Pertubuhan Demokrasi Wanita Maghribi.

Di bawah undang-undang Maghribi, kesalahan merogol akan dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, atau antara 10 hingga 20 tahun sekiranya mangsa bawah umur dan denda sebanyak AS$24 (RM72) hingga AS$60 (RM120).

Sekiranya perogol berkahwin dengan mangsa, dia tidak akan dikenakan tindakan undang-undang, melainkan jika wanita tersebut meminta perceraian. - AFP

Tuesday, March 06, 2012

0 Bagaimana memotivasi anak untuk cemerlang dalam jiwa dan pelajaran?

Rahsia anak hebat
Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad
drasmadi@maptraining.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ANAK hebat lebih berdisiplin, ada wawasan, sasaran, matang berfikir, mudah bergaul, seimbang hidupnya, bagus akhlaknya serta taat agama.

Dia bukan sahaja disenangi ibu bapa, guru dan rakan-rakannya. Mereka cemerlang dalam akademik dan kokurikulum malah sering ditabal tokoh pelajar di sekolah.

Jadi, apa yang ada pada anak cemerlang yang tiada pada anak-anak lain?

Ada anak hebat datang daripada keluarga biasa, anak yatim atau daripada keluarga mangsa penceraian. Ini membuktikan persekitaran, keadaan keluarga, kesusahan dan kemiskinan tidak menjejaskan menjadi insan hebat.


Rahsia pertama: Anak hebat ada matlamat jelas dan tidak sanggup berkompromi dalam merealisasikan matlamatnya. Apabila ditanya cita-citanya, mereka memberi jawapan dengan pasti.


Rahsia kedua: Anak hebat pentingkan pelajaran. Dia tahu hanya pelajaran boleh mencapai cita-citanya. Justeru, mereka memberi tumpuan dalam kelas, menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran.

Malah, anak hebat menyertai program motivasi luar bagi mendorong dirinya dan memantapkan teknik dan kemahiran belajar.


Rahsia ketiga: Anak hebat tidak malu mengakui kelemahannya dan meminta bantuan mengatasi kekurangan itu. Mereka sedar tidak semua orang tahu semua perkara selain memiliki bakat dan kebolehan berbeza-beza.


Rahsia keempat: Anak hebat menjalinkan hubungan yang baik dengan semua orang, hormat ibu bapa, sentiasa mendengar nasihat, menyenang dan menggembirakan orang tua, membantu dan mesra dengan adik-beradik.


Rahsia kelima: Anak hebat sentiasa muhasabah tindak-tanduk dan memantau prestasi pencapaiannya. Dia tahu kedudukannya sama ada hampir atau masih jauh dari sasaran lalu memperbaiki prestasi tanpa menunggu arahan.


Rahsia keenam: Anak hebat melakukan sesuatu bersungguh-sungguh dan tiada istilah main-main.


Rahsia ketujuh: Anak hebat istiqamah dalam usahanya dan percaya kejayaan besar yang mahu dicapai esok hari adalah himpunan kejayaan kecil setiap hari.

Dia sentiasa membuat perancangan belajar dan konsisten belajar mengikuti perancangan tanpa bosan.


Rahsia kelapan: Anak hebat sentiasa belajar daripada orang lain dan suka hadir pelbagai program, aktiviti dan seminar yang membuka mindanya.

Anak hebat mempunyai mentor. Dia tahu kejayaan yang mahu dicapainya itu pernah dicapai orang lain.


Rahsia kesembilan: Anak hebat sentiasa ingat Allah kerana manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan menentukan. Dia juga tahu jika dirinya ingkar perintah Allah, bergelumang dengan dosa, Allah akan tutup hatinya dan hilang keberkatan dalam usahanya.

Mereka sentiasa menjaga solat lima waktu, melakukan banyak amalan sunat, membaca al-Quran, berpuasa sunat Isnin dan Khamis, amalan doa harian dan
basah lidah serta hatinya dengan zikir.


Rahsia kesepuluh: Anak hebat tidak sombong dengan apa yang dicapai dan sentiasa bersyukur apabila berjaya selain berkongsi kegembiraannya dengan mereka di sekelilingnya.

Anak hebat tidak pernah menunjuk-nunjuk atau mendabik dada kerana tahu sifat sombong hanya merosakkan akhlak dan amalannya. Dia berterima kasih setiap kali berjaya.


Rahsia kesebelas: Anak hebat sedar hanya dia yang boleh menolong dirinya.

Jika tidak faham satu dua perkara bolehlah bertanya pada guru tetapi bukannya menyerahkan semuanya kepada guru.


Sepanjang cuti sekolah ini, Seminar Motivasi Alihan Pelajar (MAP) selama dua hari membantu melahirkan anak hebat dan diadakan di Johor Bahru dan di Kuala Lumpur.

Motivasi ini dijalankan sejak 17 tahun lalu dan melahirkan lebih 100,000 pelajar hebat. Anak hebat perlukan satu program yang hebat dan insya-Allah, MAP adalah jawapannya.

Hubungi pejabat Motivasi Alihan Pelajar di talian 03-22734622, 016-5580719 atau 05-3134622, 016-5580619 atau layari laman web, www.laman-map.com untuk maklumat lanjut.

0 Naypyidaw - lanskap lebih hebat daripada lanskap Putrajaya, tentu misinya besar dari negara mundur!

Misteri ibu kota baru Myanmar kian terungkai
Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my
2012/03/05



NAYPYIDAW, pusat pentadbiran baru Myanmar yang hampir menyamai landskap Putrajaya.

NAYPYIDAW, ibu kota Myanmar yang baru, jika diterjemahkan ke bahasa Melayu membawa maksud tempat bersemayam atau singgahsana diraja. Berdasarkan kemewahan fizikal bandar raya yang terletak kira-kira 350 kilometer ke utara Yangon itu, Naypyidaw memang layak digelar sedemikian. Bezanya, Myanmar sudah lama tidak menggunakan sistem beraja dan sejak hampir setengah abad sehingga tahun lalu, ‘negara seribu pagoda’ itu diperintah oleh rejim tentera.

Walaupun menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Pusat sejak 2005, tidak ramai termasuk rakyat Myanmar sendiri yang mempunyai maklumat sebenar mengenai Naypyidaw, apa lagi mengunjungi bandar itu. Malah, beberapa pegawai kanan kerajaan yang kami temui di sana minggu lalu, saling mengelak mengenai kos sebenar pembinaan ibu kota itu. Namun, mereka menegaskan, kerajaan tidak membuat sebarang pinjaman dalam membina ibu kota yang tersenarai antara sepuluh bandar raya dunia paling pesat membangun itu.
Pemimpin kerajaan tentera Myanmar, Jeneral Than Shwe tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi kenapa beliau secara tiba-tiba memindahkan pentadbirannya dari Yangon pada November 2005, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi terutama daripada media Barat, yang sejak sekian lama melihat negara itu dan kerajaannya dari sudut negatif.
Teori paling popular di sebalik pemindahan pusat pentadbiran yang mula dibina pada 2003 itu ialah nasihat tukang tilik kepada Presiden Shwe kononnya untuk mengelak daripada serangan asing dan kebangkitan rakyat. Ada juga yang menuduh ketua junta itu mahu mengikut jejak raja-raja Burma (nama lama Myanmar) sebelum era penjajahan dulu yang sering memindahkan ibu kota mereka.

Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai teori itu, angka yang dipilih sebagai tarikh pemindahan dilihat mempunyai kaitan ramalan astrologi. Pemindahan pertama kakitangan kerajaan ke Naypyidaw dilakukan tepat pada jam 6.37 pagi 6 November. Lima hari selepas itu, pada jam 11 pagi 11 November 2005, konvoi kedua merangkumi 1,100 trak tentera yang membawa 11 batalion askar dan 11 kementerian, meninggalkan Yangon.

Pada akhir Februari 2006, semua kakitangan kerajaan berpindah ke sana walaupun belum membawa keluarga mereka disebabkan banyak kemudahan termasuk sekolah dan rumah kediaman belum siap.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Kementerian Luar Myanmar menjelaskan, langkah memindahkan pusat pentadbiran itu disebabkan Yangon kini terlalu sesak dan padat sehingga sukar membina kompleks pejabat kerajaan bagi menampung keperluan akan datang. Tarikh pemindahan juga, katanya, memang dirancang dan diberitahu kepada kakitangan yang terbabit.
“Lagipun, berbanding Yangon yang jauh di selatan, Naypyidaw terletak di tengah-tengah Myanmar dan dianggap lebih sesuai sebagai ibu kota. Pembinaan dan pemindahan ini memang dirancang teliti, bukannya terburu-buru seperti dilaporkan media Barat,” katanya.

Rakyat Malaysia yang kali pertama ke Naypyidaw tidak dapat mengelak daripada membandingkannya dengan Putrajaya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan banyak persamaan dari segi landskap, keseragaman bangunan kementerian, perancangan bandar, malah jambatan yang melintasi tasik buatan manusia. Sama seperti Putrajaya yang diletakkan dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan, Naypyidaw ditadbir di bawah Wilayah Kesatuan.

Bezanya, kawasan Naypyidaw jauh lebih luas (7,054.37km persegi) yang dibahagikan kepada lapan zon – perumahan, ketenteraan, kementerian, perhotelan, kawasan beli-belah, rekreasi, antarabangsa dan Pagoda Uppatasanti.
Selain itu, Naypyidaw mempunyai lapangan terbangnya sendiri, lima padang golf dan sekurang-kurangnya 10 hotel bertaraf empat bintang ke atas, sudah beroperasi.

Kecuali zon ketenteraan yang menjadi kawasan larangan, pihak berkuasa sudah mula membenarkan kunjungan orang awam. Malah, kumpulan wartawan penyiaran dari ASEAN yang mengunjungi Naypyidaw minggu lalu, bebas merakam video termasuk kompleks Parlimen dan bangunan kementerian, sesuatu yang mustahil dilakukan sebelum ini.

Berbanding Putrajaya yang semakin sibuk dan sesak sekarang, Naypyidaw, yang menurut statistik 2009, mempunyai 925,000 penghuni, jauh lebih lengang dan sunyi. Walaupun jalannya amat lebar sehingga 10 lorong di sesetengah kawasan, belum banyak kenderaan menggunakannya. Malah, jumlah kenderaan yang memotong atau berselisih dengan bas mini kami boleh dibilang jari sepanjang enam jam perjalanan di lebuh raya empat lorong dari Yangon ke Naypyidaw.

Ketika ini kerja membina kompleks sukan yang merangkumi beberapa stadium sebagai persediaan menganjurkan Sukan Asia Tenggara tahun depan, giat dilaksanakan. Sidang Kemuncak ASEAN juga akan diadakan di sana apabila Myanmar mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN mulai 2014. Barangkali, selepas menerima lebih banyak kunjungan masyarakat antarabangsa nanti, misteri ibu kota moden di negara termundur ini, semakin terungkai.

Friday, March 02, 2012

0 Buka kilang pakaian modal RM2j

Hari-Hari bina kilang RM2j

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GEDUNG Pusat Pakaian Hari-Hari Sdn Bhd melabur RM2 juta bagi pembinaan kilangnya di Balakong, Selangor yang dijangka siap pada suku kedua tahun ini.

Pengurus Besar Pemasaran dan Perhubungan Awam, Amilludin Latip berkata, kilang yang terletak di kawasan seluas dua hektar itu bakal beroperasi sebagai pusat pengeluaran pakaian selain produksi kilang sedia ada syarikatnya di China. “Pembinaan kilang ini dimulakan pada Januari tahun lalu dan apabila siap kelak, Pusat Pakaian Hari-Hari bakal menambah 30 cawangan kepada 100 buah menjelang tahun 2020, berbanding 70 rangkaian sedia ada.


“Selain itu, kami turut menerima permohonan francais dari pihak yang berminat menjadi usahawan untuk menerokai bidang berkaitan bersama Pusat Pakaian Hari-Hari selepas menerima Sijil Francais tahun lalu. Dengan pembinaan kilang ini, kami berkapasiti membekalkan pakaian bagi francaisi yang bakal dilantik,” katanya pada majlis pelancaran laman sosial Facebook Pusat Pakaian Har-Hari, Twitter dan Youtube yang bakal beroperasi Mac nanti.

Amilludin berkata, pihaknya juga meninjau pasaran Sabah dan Sarawak bagi menembusi pasaran Malaysia timur yang dijangka dibuka tahun depan.


“Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini kami membuka tiga rangkaian di Air Itam, Johor, Sungai Besi, Kuala Lumpur dan Temerloh dengan kos pelaburan RM300,000 setiap satu.


“Kami memperuntukkan RM2 juta setahun bagi pembukaan enam ke tujuh cawangan dan meninjau lokasi terbaru di seluruh negara bagi memperluaskan rangkaian dengan sasaran jualan RM30 juta setahun,” katanya.

0 Bisnes satelit pun bukan senang nak untung?

ARKIB : 01/03/2012
1
Ananda rancang jual firma satelit?

SINGAPURA 29 Feb. - Orang kedua paling kaya di Malaysia, Ananda Krishnan (gambar), merancang menjual kepentingannya dalam syarikat operator satelit, MEASAT Global Bhd., langkah yang diambil beberapa hari selepas beliau mula menjual aset tenaga bernilai AS$3 bilion (RM9 bilion).

Akhbar tempatan, The Straits Times melaporkan bahawa aset tenaga dan satelit berkenaan bernilai hampir AS$3.5 bilion (RM10.5 bilion), yang menunjukkan MEASAT mungkin bernilai sekitar AS$500 juta (RM1.5 bilion).

Sambil memetik sumber perbankan, akhbar itu melaporkan cakap-cakap mengenai jualan itu bermula pada lewat 2011, dan firma satelit Arab Saudi, Arabsat, mungkin menjadi pemegang strategik atau kepentingan majoriti dalam firma satelit Malaysia itu.

Jutawan itu baru-baru ini menjual keseluruhan portfolionya dengan melantik Standard Chartered untuk mengurus transaksi, membabitkan kira-kira sedozen loji tenaga.

Beliau melakukan beberapa urus janji korporat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menyenaraikan sebahagian daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi Maxis Bhd. yang merupakan tawaran awam permulaan terbesar di Asia Tenggara pada 2009.

Tahun lepas, pasukannya menyenaraikan semula syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas Malaysia Bumi Armada Bhd.

Beliau juga menjadikan syarikat monopoli televisyen berbayar Malaysia, Astro All Asia Networks Plc., sebagai syarikat persendirian, selepas peluasannya ke Indonesia dan India mencatat kerugian dan menjejaskan kewangan syarikat.

ST melaporkan pemilikan kawalan MEASAT oleh Arabsat mungkin sukar memandangkan Malaysia mengenakan sekatan penguasaan 40 peratus pemilikan asing ke atas aset strategik domestik. - BERNAMA

0 Kerja ukiran kayu - bisnes evergreen


Ukiran Kayu Hock Lye diiktiraf UNESCO

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
kosmopenang@yahoo.com.my


HOCK LYE menunjukkan antara hasil ukirannya di Jalan Burmah, George Town semalam.

GEORGE TOWN – Kepakaran Ong Hock Lye, 56, dalam seni ukiran kayu membolehkan hasil kerjanya dikenali di peringkat antarabangsa dan dijual sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Mula mempelajari teknik mengukir sejak berusia 15 tahun, beliau cenderung menghasilkan ukiran patung berbentuk dewa-dewa, figura manusia serta alam flora dan fauna mengunakan kreativiti tersendiri.

Beliau yang mesra dengan panggilan Ohl berkata, beberapa ukirannya yang berbentuk bangunan-bangunan bersejarah di negeri ini juga pernah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ujarnya, kenangan paling manis dalam bidang ukiran adalah apabila diberi tanggungjawab menghasilkan patung Orang Utan yang menjadi maskot semasa Sukan Komanwel 1998.

“Saya juga pernah menyertai hampir 30 pertandingan ukiran dari tahun 1974 hingga ke 2007 dan meraih beberapa kemenangan.

“Bagaimanapun, pada masa ini saya hanya memberi tumpuan di kedai dan menerima tempahan orang ramai,” katanya yang mengusahakan galeri ukiran di New World Park, Jalan Burmah di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.