.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, February 05, 2012

0 Kebimbangan umat islam di Malaysia sempena sambutan Maulidur Rasul

Rasulullah, amat benar bimbangmu

Oleh Maulana Arrif

SELAWAT dan salam ke atasmu wahai Rasulullah SAW! Hari ini kami menyambut ulang tahun keputeraanmu wahai Rasulullah.

Ingin hamba bertanya kepadamu wahai Rasulullah. Apakah Rasulullah bergembira dengan program yang telah kami aturkan? Kami ada perarakan, ada forum, ada ceramah dan macam-macam lagi. Dan kami di Malaysia pada tahun ini memilih Persefahaman Asas Perpaduan Ummah sebagai tema sambutan.

Ya Rasulullah, kenapa berdiam diri dan muram sahaja? Ada apa-apa yang tak kena dengan diri kami ya Rasulullah, khususnya kami umatmu yang tinggal di Malaysia?

Sebelum bercerita lanjut tentang keadaan kami di Malaysia, ingin hamba beritahu Rasulullah tentang satu kejadian menarik yang baru berlaku di Port Said, Mesir. Seramai 34 orang mati kerana merusuh dan bergaduh disebabkan keputusan perlawanan bola sepak ya Rasulullah. Dan kira-kira 1,000 orang cedera.

Hamba ceritakan perkara ini kerana hamba percaya ramai di antara mereka adalah umat Rasulullah. Di Mesir memang ramai yang mengaku umatmu ya Rasulullah. Kasihan mereka ya Rasulullah. Negara mereka masih belum aman. Macam-macam berlaku di sana. Ramai yang mati bertempur sesama sendiri kerana politik. Dan sekarang mati kerana bola sepak pula.

Tapi bukan sahaja di Mesir ya Rasulullah. Di Afghanistan, Iraq, Libya, Syria, Yemen, Iran, Chechnya, Tunisia dan Pakistan, umatmu hidup dalam keadaan tidak aman. Kenapa kami jadi begini ya Rasulullah? Adakah kami semakin cintakan duniawi dan sangat takut mati?

Ya Rasulullah, kenapa terus diam? Ehh... kenapa Rasulullah menitiskan air mata? Barangkali Rasulullah sangat sedih. Memang patut Rasulullah sedih. Kami tahu Rasulullah sedih kerana kami tak ikut nasihat dan pesananmu.

Walaupun Rasulullah sudah lama meninggalkan kami, kami tahu segala nasihat dan pesanan Rasulullah. Di Malaysia, walaupun kebanyakan kami tidak mengerti bahasa Arab, ada banyak buku hadis dalam bahasa kami. Hadis-hadis sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim telah lama dibukukan dalam bahasa kami.

Tetapi hamba tak tahulah berapa ramai yang selalu membaca buku-buku hadis ini. Usahkan buku hadis ya Rasulullah, kitab Quran pun mereka jarang baca. Kalau baca pun, selalunya dalam bahasa Arab yang kebanyakan mereka pun tak faham maksudnya.

Bukan tak ada terjemahan dalam Bahasa Melayu. Tetapi di banyak masjid hampir tiada langsung disimpan kitab Quran terjemahan ini. Ya banyak ialah versi bahasa Arab. Hamba tak tahu kenapa susah nak sediakan versi Arab bersama terjemahan. Barangkali kitab terjemahan berharga mahal. Penerbit jual mahal kerana mahu untung.

Subsidi

Di Malaysia, orang kurang minat beli kitab-kitab agama kalau mahal. Maklumlah, mereka ini sudah bermentaliti subsidi. Kalau boleh kerajaan tanggung semua, dari lampin bayi sampailah ke kain kapan. Sebab itulah sesiapa yang memerintah kena beri banyak subsidi kalau mahu menang pilihan raya. Barangkali, kerajaan boleh subsidi penerbitan Quran beserta terjemahan dan tafsiran.

Wahai Rasulullah, izinkan hamba jelaskan sedikit tentang pilihan raya untuk lantik pemerintah. Di zaman Rasulullah dan para sahabat tiada sistem ini. Selepas kewafatan Rasulullah, wujud sistem khulafa, iaitu khalifah dilantik oleh majlis syura. Tetapi sistem khulafa pun tak boleh bertahan lama kerana akhirnya jawatan khalifah diwariskan kepada anak, bukan lagi kepada orang yang paling layak.

Jadi sekarang ini kita pakai sistem yang diwujudkan oleh puak lain. Kami di Malaysia menggelar mereka orang putih atau Barat. Di bawah sistem yang berasal dari Barat ini, umatmu di Malaysia sudah jadi sangat kalut sekarang. Mereka sudah berpecah kepada banyak kumpulan kerana berebut kuasa politik.

Dulu ada dua kumpulan besar. Dalam kumpulan besar ini, ada kumpulan-kumpulan kecil. Tidak lama lagi akan wujud kumpulan ketiga, yang juga terdiri daripada beberapa puak. Akhirnya makin berpecah. Memang suka sangatlah musuh-musuh umatmu ya Rasulullah. Mereka ini ada teori politik ‘pecah dan perintah’ untuk lemahkan umatmu. Semakin berpecah semakin lemah, akhirnya orang bukan Islam yang akan berkuasa. Silap gaya, orang yang suka hubungan sejenis pun boleh jadi pemimpin.

Memang sudah teruk wahai Rasulullah. Sekarang orang Nasrani di Malaysia pun sudah tukar nama tuhan mereka kepada Allah. Di negara-negara yang ramai orang Nasrani, tidak pula mereka pakai nama Allah. Tapi di Malaysia, Indonesia dan Mesir mereka mahu pakai nama Allah.

Yang sedihnya, orang Nasrani ini sudah disokong oleh orang-orang yang mengaku menjadi umatmu. Mereka ini, ada yang pakai serban dan jubah macam Rasulullah. Dan sekarang ada di antara mereka yang menyokong kuat orang-orang Yahudi, wahai Rasulullah. Bila jumpa dan bercakap dengan puak Nasrani dan Yahudi, orang ini cakap dia sokong mereka.

Tapi yang hamba kurang faham, kenapa ramai orang yang mengaku umatmu mudah sangat percaya kepada orang ini? Barangkali hati mereka ditutup Allah Subhanahuwataala daripada melihat kebenaran kerana iman mereka semakin nipis atau sudah tiada langsung. Wahai Rasulullah, nampaknya ancaman kaum munafik bukan sahaja wujud di zamanmu dan sahabat-sahabatmu. Sampai sekarang mereka wujud dan menjadi gunting dalam lipatan.

Tadi hamba mendengar siaran Radio IKIM. Seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerangkan kenapa Persefahaman Asas Perpaduan Ummah menjadi tema sambutan hari keputeraanmu. Dia memetik ayat 13 surah Al Hujurat yang dalam bahasa kami bermaksud:

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Malangnya sekarang, orang yang tidak bertakwa lebih dimuliakan oleh manusia. Dan memang tepat tema Persefahaman Asas Perpaduan Ummah kerana perpaduan yang Rasulullah kehendaki di kalangan umatmu tidak lagi wujud sebagaimana di zamanmu. Apa yang Rasulullah pernah bayangkan kepada para sahabat suatu masa dulu memang sedang berlaku. Kami pun selalu membaca hadis berkenaan.

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu (orang Islam) bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita menjawab, “cinta pada dunia dan takut pada mati”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kini semakin fahamlah hamba kenapa pada saat kewafatanmu, engkau berulang-ulang sebutkan ‘‘wahai umatku... wahai umatku...” Wahai Rasulullah, dalam lamunan di siang hari pada ambang sambutan Maulidur Rasul 1433H, inilah catatan hati hamba kepadamu. Selawat dan salam ke atasmu wahai kekasih Allah.

0 comments: