.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, November 12, 2011

0 Ingatlah kepandaian manusia hanya sekecil butir pasir di pantai di mata Tuhan

Wanita bersuami jutawan Jepun ketakutan diugut bekas kekasih
KUALA LUMPUR 11 Nov. - Disebabkan selesa menetap di tanah air sendiri, seorang surirumah, Ooi Choon Yean, 45, enggan berhijrah ke Jepun setelah berkahwin dengan suami yang berasal dari negara matahari terbit itu sejak 16 tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan cahaya mata itu sepakat untuk bergilir-gilir berulang-alik antara Malaysia dan Jepun sekurang-kurangnya sekali setahun bagi melepaskan rindu.

Pada mulanya, Choon Yean tiada masalah untuk setia terhadap suami yang merupakan bekas seorang pemaju hartanah yang kaya raya kerana lelaki itu memenuhi semua permintaan dan memanjakannya dengan wang ringgit.

Di kampung halamannya di Kulim, Kedah, Choon Yean tinggal bersama tiga anak hasil perkahwinan dengan suami pertama iaitu dua perempuan dan seorang lelaki masing-masing berusia 21, 25, dan 26 tahun.

Namun pada 2000, akibat sering berjauhan dengan suami, dia yang kesunyian akhirnya jatuh cinta dengan seorang lelaki sudah beristeri dua juga berasal dari Kulim.

Hubungan sulit terjalin selama 10 tahun itu membawa padah kepada Choon Yean kerana lelaki dicintai rupa-rupanya adalah seorang kasanova yang hanya mahu mengikis wangnya menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM700,000 termasuk kehilangan rumah apabila terpaksa digadaikan untuk mendapatkan wang bagi diserahkan kepada kekasihnya.

Lebih malang lagi, Choon Yean kini hidup dalam ketakutan kerana teman lelaki yang terkenal dengan gelaran '48' iaitu bermaksud penipu dalam bahasa Cina merupakan seorang ahli sindiket judi atau bookie mengugut mahu mencederakannya dan mendedahkan hubungan sulit mereka kepada suami jika enggan menyerahkan wang selepas dia bertindak memutuskan hubungan sejak empat bulan lalu.

Menurut Choon Yean, dia terjebak menjalin hubungan terlarang dengan lelaki terbabit kerana sikapnya yang pandai mengambil hati dan bermulut manis.

"Bekas teman lelaki mengambil kesempatan memikat saya apabila mendapat tahu saya bersuamikan lelaki kaya tetapi kesunyian kerana tinggal berjauhan dengan suami.

"Sepanjang 10 tahun bercinta, saya selalu memberi wang kepadanya, malah dia tanpa segan silu mencari rakan-rakan yang ada berhutang dengan saya dan menagih hutang tersebut untuk mendapatkan wang bagi kegunaannya sendiri," katanya pada sidang akhbar di pejabat Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan di Menara PGRM di sini hari ini.

Choon Yean berkata, dia mula menyedari tembelang kekasihnya itu pada tahun lalu apabila lelaki terbabit memintanya menjalani rawatan permanian beradas bersamanya untuk mendapatkan seorang anak bagi membolehkan mereka membolot harta suaminya.

"Dia tahu suami saya adalah orang kaya, manakala seorang abang dan adik lelaki suami yang tidak berkahwin juga mempunyai banyak harta.

"Jika mempunyai anak bersamanya, semua harta mereka akan diwariskan kepada anak tersebut yang kononnya hasil hubungan dengan suami," katanya sambil memberitahu dia menolak cadangan itu kerana menyedari ia berniat jahat.

Menurut Choon Yean, dia akhirnya hilang kepercayaan lalu bertindak memutuskan hubungan apabila lelaki terbabit sekali lagi menipu wangnya sebanyak RM38,000 pada empat bulan lalu apabila berjanji mahu membantu membebaskan anak perempuan bongsunya yang ditangkap polis kerana didakwa mengedar dadah.

Katanya, dia sudah empat kali membuat laporan polis meminta perlindungan dan siasatan dijalankan terhadap bekas teman lelakinya tetapi suspek masih lagi bebas dan mengugutnya sehingga kini.

"Sehubungan itu, saya minta pihak polis segera bertindak menyiasat laporan saya dan mengambil tindakan terhadap bekas teman lelaki yang mendakwa dirinya mempunyai rakan-rakan kongsi gelap dan kenal beberapa pegawai polis'," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong berkata, pihaknya akan menulis surat kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Kulim dan Bukit Aman untuk memaklum serta mendapatkan perkembangan lanjut siasatan kes tersebut.

Beliau turut menasihatkan golongan wanita yang kesunyian agar jangan mudah terpedaya dengan lelaki kasanova seperti '48' kerana kes menimpa Choon Yean sudah banyak kali dilaporkan kepada biro tersebut sejak kebelakangan ini.

0 11.11.2011 dan trend perkahwinan

Ramai pilih tarikh 11.11.11

2011/11/12



SEJUMLAH 77 pasangan pengantin meraikan kegembiraan mereka di majlis perkahwinan pengantin 1Malaysia diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru, sempena tarikh 11.11.11 semalam.10 pasangan kecewa tak dapat nikah, pejabat agama tutup

SONGKHLA (Thailand): Hasrat kira-kira 10 pasangan yang mahu mengabadikan tarikh 11.11.11 dengan bernikah di sempadan semalam, musnah apabila pejabat Majlis Agama Islam Songkhla di sini, ditutup seminggu sempena cuti Aidiladha.

Difahamkan, pejabat majlis agama itu, yang diwartakan sebagai pihak berkuasa tunggal yang diberi kebenaran menguruskan pernikahan di selatan Thailand, ditutup sejak Ahad lalu, menyebabkan beberapa pasangan pengantin tidak dapat bernikah pada tarikh 11.11.11 yang muncul hanya sekali. Maklumat diperoleh Berita Harian mendapati, ada antara pasangan terbabit berusaha mencari jurunikah bertauliah di beberapa daerah lain di wilayah ini namun gagal berikutan arahan yang hanya membenarkan pernikahan dikendalikan di pejabatnya. Sumber ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan kira-kira 10 pasangan tampil ke pejabat agama itu, dengan hasrat melangsungkan pernikahan, semalam.

“Kita percaya kebanyakan pasangan itu datang sendiri atau dibantu orang lain untuk bernikah tanpa menyiasat terlebih dulu operasi pejabat ketika cuti Aidiladha,” katanya, semalam.

Difahamkan, sepanjang tahun lalu, 3,260 pernikahan direkodkan Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla membabitkan pasangan Malaysia di sekitar wilayah ini. Malah, tahun ini saja, tidak kurang 200 pasangan dari negara ini dilapor melangsungkan pernikahan di pejabat ini setiap bulan.

Sementara itu, jurunikah bertauliah di Klongget, Shafie Kayem Manaf ketika ditemui mengakui menerima panggilan daripada beberapa pasangan yang meminta bantuan melangsungkan pernikahan, semalam.
“Saya hairan kenapa mereka terlalu memilih tarikh istimewa sedangkan aspek pemilihan pasangan jauh lebih penting. Kita tidak mahu kerana tarikh, mereka hanya berkahwin selama enam bulan, selepas itu datang kembali untuk menuntut fasakh atau cerai,” katanya.

Di PUTRAJAYA, ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, semalam mendaftarkan 111 perkahwinan dengan majoriti pengantin Cina serta lima pasangan India.

Jurucakap JPN berkata, pihaknya hanya menerima 111 pasangan untuk didaftarkan perkahwinan sebagai simbolik tarikh istimewa 11.11.11.

Tinjauan Berita Harian di kaunter pendaftaran JPN mendapati, ramai pasangan pengantin tiba seawal jam 8 pagi untuk mendaftarkan perkahwinan sambil diiringi keluarga serta sanak-saudara.

Seorang pengantin yang ditemui, Steve Raj, 29, berkata, tarikh 11.11.11 sangat istimewa dan hanya datang sekali.

“Saya sukar mengingati tarikh bersejarah seperti hari jadi. Jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang berkahwin hari ini (semalam) kerana tarikhnya senang diingati,” katanya yang mengahwini kekasihnya, Emily Koo, 32.

Di KUANTAN, tarikh 11.11.11 menjadi detik terindah kepada 11 pasangan termasuk anak sulung pelakon terkenal, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang diijabkabulkan pada majlis pernikahan beramai-ramai yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Masjid Negeri, di sini.

Dengan sekali lafaz, anak Ahmad Tarmimi, Ahmad Tarmizi, 33, bekerja sebagai penyunting rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sah menjadi suami kepada pasangannya, Siti Norasyikin Abd Rahman, 26, dari Tanjung Lumpur, di sini.

Di KUCHING, pasangan pengantin, Justin Kho, 34, dan Stephanie Chan, 34, sanggup menunggu lapan tahun untuk melangsungkan perkahwinan pada 11.11.11.

0 Siapa mentadbir negara sebaik Parlimen dibubarkan?

TI-M syor KSN tadbir sementara


2011/11/12
Elak salah guna kuasa selepas Parlimen dibubar

KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-M) mencadangkan penubuhan kerajaan sementara bersifat neutral diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi mengambil alih dan mengurus pentadbiran negara sebaik saja Parlimen dibubarkan sehingga selesai proses pilihan raya.

Ia bertujuan memastikan tidak berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan penyandang dalam mengekalkan kuasanya, malah dalam tempoh berkenaan, kerajaan sementara tidak dibenarkan mengeluarkan peruntukan atau mengumumkan pelan pembangunan. Presidennya, Datuk Paul Low Seng Kuan, berkata kerajaan sementara boleh meneruskan pelaksanaan dasar sedia ada tetapi tidak boleh mengumumkan sebarang dasar baru. Katanya, pengasingan yang jelas antara parti dan kerajaan adalah penting sepanjang tempoh pembubaran Parlimen kerana tidak adil jika wakil rakyat daripada kerajaan penyandang meneruskan tanggungjawab dalam tempoh berkempen dengan menggunakan dana awam.

“Sepanjang tempoh kempen, kerajaan sementara akan menjalankan tugas pentadbiran negara dan kita juga perlu mengasingkan aktiviti politik daripada penjawat awam,” katanya pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya di Parlimen, semalam.

Jawatankuasa yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili turut dianggotai lapan lagi anggota iaitu wakil Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit), Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar), Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan P Kamalanathan (BN-Hulu Selangor).

Sementara itu, wakil pembangkang dianggotai Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) dan Anthony Loke (DAP-Rasah) manakala Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) mewakili wakil rakyat Bebas.
TI-M antara 12 pertubuhan bukan kerajaan, parti dan individu yang memberikan cadangan dan pandangan pada sesi pendengaran awam pertama berlangsung dua hari bermula semalam.

TI-M turut mencadangkan 22 penambahbaikan bagi meningkatkan ketelusan dan integriti dalam pembiayaan kewangan politik yang antara lain meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain beberapa agensi berkepentingan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang aktiviti membeli undi dan politik wang.

Sementara itu, MCA mahu hak mengundi rakyat Malaysia di luar negara dibatalkan kerana mendakwa pihak berkenaan tidak memperoleh maklumat tepat berhubung kedudukan dan perkembangan politik dalam negara.

Ahli Jawatankuasa Tinggi Pusat parti itu, Datuk Ei Kim Hock, berkata maklumat diperoleh pihak berkenaan berkemungkinan tidak memberi gambaran sebenar keadaan di Malaysia, sekali gus tidak melayakkan mereka memilih kerajaan yang mampu memegang tampuk pemerintahan negara.