.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, April 29, 2011

0 TESCO vs Giant? Cawangan Tesco baharu dibuka dengan kos RM80 - RM200 juta sebuah

Tesco mahu ke Sabah, Sarawak

Oleh FAIRUS KASSIM




Tjreed Jegen (tengah) menunjukkan tanda ‘Sedia Bantu’ yang akan digunakan di kaunter pembayaran Tesco sempena pelancaran sistem Quick Q di Tesco Kepong Village, Bandar Manjalara, Kepong, semalam.



KUALA LUMPUR 28 April – Tesco Stores (M) Sdn. Bhd. (Tesco) menjangkakan pembukaan tiga buah lagi cawangan dalam tempoh enam bulan akan datang, menjadikan cawangan keseluruhan tahun ini berjumlah 42 buah.

Cawangan baharu itu akan dibuka di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur; Pulau Pinang dan Sri Iskandar, Manjung di Perak dengan kos antara RM80 juta hingga RM200 juta sebuah.

Ketika ini, Tesco memiliki 39 buah cawangan dengan lapan daripadanya adalah Tesco Extra iaitu cawangan berkonsepkan jualan borong.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tjreed Jegen berkata, minggu ini, genaplah Tesco bertapak di Malaysia selama 10 tahun dan setakat ini, ia telah melabur lebih RM5 bilion untuk mengembangkan operasinya.

‘‘Tesco juga menyediakan lebih 15,000 peluang pekerjaan dengan 99.99 peratus daripadanya diisi oleh penduduk tempatan.

‘‘Secara purata kami menyediakan 1,000 peluang pekerjaan untuk setiap cawangan yang beroperasi dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk mereka di Tesco.

‘‘Sebanyak 95 peratus daripada 60,000 produk yang dipasarkan diperoleh daripada dalam negara dan 75 peratus daripadanya dibekalkan oleh PKS,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Tesco Quick Q sempena sambutan ulang tahun ke-10 Tesco, di sini hari ini.

Tesco Quick Q merupakan antara kaedah digunakan Tesco untuk mengurangkan masa beratur di kaunter pembayaran dengan menggunakan teknologi pemantauan melalui kamera berkomputer.

Tesco melabur hampir RM1 juta untuk memajukan sistem baharu berkenaan yang dilihat mampu menyelesaikan tempoh masa beratur dengan lebih berkesan untuk semua cawangannya di seluruh negara.

Jegen berkata, Tesco juga menerokai peluang untuk membuka cawangan di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat jika mendapat kelulusan daripada kerajaan.

‘‘Tesco telah mengadakan rundingan dengan kerajaan berkenaan hasrat tersebut tetapi tiada keputusan dibuat,’’ katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Tesco bakal membantu 152 kedai runcit terpilih di seluruh negara menerusi projek Transformasi Kedai Runcit (Tukar), program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tesco bagi membimbing peniaga runcit konvensional melakukan transformasi, sekali gus menjadikan golongan terbabit lebih berdaya saing.

Jegen berkata, ketika ini Tesco telah berjaya membantu mengubah dua buah kedai di Shah Alam dan Puchong dengan nilai bantuan sebanyak RM80,000 dan RM60,000.

0 Shaheizy Sam taruhan David Teoh untuk 100 pawagam. 1 print = RM4000.00 = RM400,000.00

100 panggung tayang Kongsi


2011/04/29




Shahiezy Sam
Status Bintang Paling Popular ABPBH2010, Shahiezy Sam dijadikan sandaran

METROWEALTH Movies Production (MMP) bakal mencipta sejarah dalam industri perfileman tanah air apabila filem terbitan mereka, Kongsi bakal ditayangkan di 100 buah pawagam. Bukan saja mencatat sejarah dari segi jumlah panggung yang ditayangkan tetapi juga buat pertama kalinya sebuah panggung mendapat dua print filem dan ia membabitkan sepuluh buah pawagam. Pengarah Urusan MMP, David Teo berkata filem lakonan pemenang kategori Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010), Shaheizy Sam itu dipilih berdasarkan kehendak pemamer dan juga penonton yang pernah menyaksikan trailer filem itu.

“Filem Kongsi bakal mencipta sejarah apabila ditayangkan pada 12 Mei depan kerana ia menjadi filem Melayu pertama yang akan ditayangkan di 100 pawagam di seluruh negara.

“Pemilihan filem ini dibuat bukan atas keputusan syarikat semata-mata tetapi turut mengambil kira permintaan pihak pemamer dan juga peminat yang pernah menyaksikan trailer filem berkenaan sejak kami tayang di pawagam lima bulan lalu.

“Belum pernah dalam sejarah penonton bertepuk tangan ketika menyaksikan trailer sesebuah filem waima filem dari Barat sekali pun.Justeru berdasarkan sambutan dan keyakinan yang mereka berikan itu, kami pun mengambil keputusan untuk menayangkan filem itu di seratus buah pawagam. Malah daripada jumlah itu, sepuluh daripadanya akan mendapat dua print filem dan ini bermakna mereka akan membuka dua buah dewan tayangan khusus untuk filem Kongsi,” kata David kepada Hip, kelmarin.
Bagaimanapun, semakin banyak panggung memerlukan kos yang tinggi juga. Dengan jumlah 100 panggung, bermakna MMP membelanjakan RM400,000 kerana setiap satu print atau salinan filem bagi setiap panggung berharga RM4,000.

“Kami sedar bukan sedikit jumlah perbelanjaan yang perlu dikeluarkan. Memang berisiko. Namun dengan sokongan daripada pihak pemamer dan peminat, kami tak kisah mengeluarkan belanja yang lebih. Lagipun, kami yakin populariti Shaheizy Sam juga mampu menarik peminatnya untuk menyaksikan filem ini,” katanya.

Sebagai sebuah syarikat produksi yang mendapat jolokan “kilang filem”, berderet filem mereka menanti untuk ditayangkan. Selepas Kongsi, menyusul adalah filem 3,2,1 Cinta dan diikuti filem Sekali Lagi juga lakonan Shaheizy Sam dan filem Flat 3A.

Apakah filem ini juga bakal menerima tuah yang sama seperti filem Kongsi?

“Tidak semua filem MMP ditayangkan di 100 pawagam. Seperti yang saya katakan, keputusan berapa jumlah pawagam bukan dibuat oleh syarikat semata-mata. Ia juga membabitkan pemilik pawagam dan sambutan peminat kerana sokongan mereka sangat penting dan kami tidak mahu menanggung risiko di kemudian hari.

“Bagaimanapun, kita mengambil sikap tunggu dan lihat saja. Jika filem itu sememangnya dinantikan peminat dan mendapat lampu hijau dari pihak pemamer, kita akan mengambil langkah yang sama,” kata David lagi.

Kongsi mengisahkan penyiasatan ASP Shariff terhadap kes pembunuhan di kalangan kumpulan kongsi gelap di sekitar Kuala Lumpur. Kumpulan kongsi gelap ini terdiri daripada tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang selalu bergaduh selepas berlakunya sesuatu kes pembunuhan.

Selain Shaheizy, filem ini turut dibintangi oleh Farid Kamil, Bront Palarae, Fizo Omar, Norliana Samsudin, Azad Jazmin, Putri Mardiana dan Fida Ibrahim.

Industri filem catat setengah bilion ringgit

JUMLAH pawagam baru dengan konsep sinepleks iaitu panggung wayang dalam pusat membeli belah meningkat hampir sekali ganda. Konsep sinepleks ini memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung atau penonton yang terdorong untuk menonton filem, baik tempatan atau luar negara.

Mengikut Statistik Industri Perfileman Malaysia oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), pada tahun 2005 terdapat hanya 66 pawagam atau sinepleks yang keseluruhannya menyediakan 265 dewan tayangan atau layar perak. Keseluruhan dewan tayangan atau disebut sebagai hall ini memberikan 61,482 kerusi.

Pada tahun 2010, jumlah itu meningkat kepada 100 pawagam dengan 571 hall dan 110,424 kerusi. Sehingga Januari 2011, terdapat pertambahan 95 pawagam baru dibina dan ia menyediakan 561 lagi hall untuk memberi tambahan sebanyak 107,172 kerusi.

Pertambahan pawagam ini menunjukkan minat orang ramai untuk menonton filem yang semakin meningkat biarpun bersaing dengan teknologi baru seperti menonton menerusi internet, jalur lebar malahan baru-baru ini melanggan Astro First. Ini kerana suasana menonton dalam panggung memberikan mood yang berbeza.

Kepuasan menonton lebih dinikmati dalam panggung wayang dengan skrin atau layar lebar dan sistem bunyi yang padat sehingga memberi kesan dan penghayatan terhadap setiap filem yang ditonton. Suasana ini sudah tentu agak berbeza apabila menonton filem di rumah.

Kemunculan filem bercorak tiga dimensi atau 3 D yang setakat ini hanya boleh dinikmati di panggung, turut memberi kesan kepada minat orang ramai untuk ke panggung.

Mengikut statistik FINAS, pada tahun 2005, dianggarkan 26 juta menonton pelbagai jenis filem untuk menyumbangkan kutipan kasar RM217.4 juta. Jumlah ini meningkat sekali ganda pada tahun 2010 apabila panggung wayang mencatatkan kehadiran 54.3 juta penonton untuk menghasilkan kutipan kasar daripada sektor perfileman hampir setengah bilion ringgit atau RM518.2 juta.

Dan, sehingga Januari 2011 sahaja, panggung wayang mencatatkan kehadiran 4.22 juta penonton seterusnya memberikan pulangan kepada industri perfileman bagi tempoh itu sebanyak RM42 juta.