.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, January 20, 2011

0 Hutang Isi Rumah di Malaysia, RM577 bilion merangkumi 50% jumlah keseluruhan pinjaman

Hutang isi rumah masih terkawal - Zeti


KUALA LUMPUR 19 Jan. - Hutang isi rumah sehingga November 2010 berjumlah RM577 bilion, atau 74 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, kata Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Menurut Zeti, walaupun angka itu merangkumi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman di dalam sistem kewangan tempatan namun hutang isi rumah masih terkawal.

Jelasnya, Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) banyak membantu di dalam penilaian kredit peminjam, sekali gus mengelakkan bank daripada memberi pinjaman kepada individu yang tidak layak.

"Setiap nama peminjam akan dimasukkan ke dalam sistem ini dan pihak bank akan melakukan penilaian berdasarkan maklumat tersebut.

"Buat masa ini kadar pinjaman isi rumah masih terkawal, bagaimanapun, Bank Negara tidak mahu menanti sehingga masalah besar timbul barulah kami melancarkan program-program untuk membendungnya, " ujar beliau.

Zeti menyatakan demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

POWER! adalah program ceramah pengurusan kewangan separuh hari kendalian Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang diberikan secara percuma dan dijalankan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Tambah Zeti, kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) bagi segmen isi rumah dan sistem perbankan keseluruhan masih rendah iaitu masing-masing 2.3 peratus dan dua peratus.

Ditanya mengenai kemungkinan BNM menetapkan had pengeluaran kad kredit yang dikatakan salah satu punca masalah hutang isi rumah, Zeti berkata, ia masih belum ditahap yang membimbangkan.

"Kadar hutang isi rumah di negara ini masih stabil dan jika berlaku sesuatu yang buruk, Bank Negara mempunyai pelbagai langkah yang boleh diambil.

"Ia bukan sahaja menetapkan had pengeluaran kad kredit dan memendekkan tempoh pinjaman kenderaan, kami juga mempunyai banyak pilihan lain yang lebih berkesan untuk membendung masalah tersebut.

Justeru, Zeti melihat program itu sebagai salah satu langkah awal untuk mendidik orang ramai secara berterusan mengenai perbelanjaan mengikut kemampuan.

Jelas beliau, program tersebut juga diadakan bukan kerana kadar hutang isi rumah sudah tidak dapat dibendung.

0 20% daripada 5 juta penduduk di Singapura adalah pekerja asing

Singapura perlukan pekerja asing

SINGAPURA 19 Jan. - Singapura memerlukan pekerja asing muda bagi menyelamatkan ekonominya daripada merosot dalam jangka masa panjang ekoran kejatuhan kadar kelahiran negara republik itu.

Bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew berkata, dengan kadar kelahiran yang rendah ini, usia rakyat akan bertambah dengan pantas.

''Untuk itu, kita memerlukan pekerja asing muda. Jika tidak ekonomi kita akan merosot seperti ekonomi Jepun.

''Kita juga akan menjadi sebuah negara yang kurang dinamik dan kurang maju. Ini bukan masa depan yang baik bagi anak cucu kita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media tempatan selepas kerajaan baru-baru ini mengumumkan kadar kelahiran Singapura jatuh ke paras terendah tahun ini.

Kuan Yew dalam kenyataannya turut mempertahankan kemasukan pekerja asing di sebalik kritikan rakyatnya di forum-forum laman web serta media tempatan yang ditujukan kepada rakyat asing, yang kini membentuk lebih 20 peratus daripada lima juta penduduk republik ini.

Katanya, kemasukan pekerja asing perlu dialu-alukan dan diterima masyarakat tempatan.

"Generasi pertama pendatang mungkin akan mengambil masa untuk berintegrasi tetapi anak-anak mereka akan menjadi rakyat Singapura sepenuhnya.

"Keadaan ini akan menambah bilangan penduduk negara serta data pekerja dan majikan kita. Singapura akan muncul sebagai sebuah negara bertenaga, tidak merosot dan tidak tua," katanya.

Kebanyakan pekerja asing di Singapura datang dari China, Asia Tenggara dan India, yang menggambarkan kepelbagaian kaum di negara ini. - AFP

0 Hanya 5% mahu menonton filem di panggung, 95%? Di rumah? = Menurut kajian Astro First

Medan jana pendapatan

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2011/01/20
Astro First tidak jejas filem tempatan, sebaliknya jadi rumah kedua buat penerbit

KEWUJUDAN Astro First tidak akan menjejaskan pengusaha filem tempatan, sebaliknya penerbit boleh menjadikan rangkaian itu sebagai rumah kedua bagi menjana pendapatan yang lebih. Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, berkata kewujudan saluran berkenaan tidak akan menjejaskan pungutan filem di panggung wayang, sebaliknya penerbit mempunyai satu lagi alternatif untuk memasarkan filem mereka. Astro begitu yakin kewujudan rangkaian itu tidak akan menyebabkan penerbit kerugian kerana individu yang gemar ke pawagam dan mereka yang lebih suka menghabiskan masa di rumah adalah dua kelompok berbeza.

Katanya, berdasarkan kajian, hanya lima peratus saja penonton gemar ke panggung manakala selebihnya lebih selesa meluangkan masa di rumah.

“Kajian menunjukkan, pengunjung yang ke pawagam terdiri daripada golongan remaja serta mereka yang masih belum berumah tangga. Ini bermakna filem masih lagi mempunyai pengikutnya. Manakala pasangan yang sudah berkeluarga pula lebih gemar menghabiskan masa di rumah kerana tidak berpeluang keluar menonton wayang. Mereka berbuat demikian untuk menjimatkan lagi perbelanjaan harian.

“Sekiranya keluar ke pawagam, mereka perlu mengeluarkan belanja lebih untuk membeli tiket wayang, membayar kos tempat letak kereta dan juga berbelanja untuk makanan. Dengan wujudnya Astro First, mereka bukan saja dapat menjimatkan belanja tetapi kos membeli tiket wayang dapat dikurangkan. Hanya dengan RM15, seisi keluarga boleh menonton filem terbaru di pasaran berulang-ulang kali selama 48 jam,” katanya.
Penerbit juga mendapat manfaat daripada kewujudan rangkaian itu. Khairul Anwar menegaskan, penerbit tidak lagi perlu mengeluh apabila pempamer mengurangkan jumlah panggung setelah tamat tempoh wajib tayang selama dua minggu.

“Kita sering mendengar rungutan penerbit yang kesal dengan sikap pempamer yang mengurangkan panggung walaupun filem terbitan mereka masih mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Melalui Astro Frist, penerbit kini mempunyai rumah kedua. Apabila jumlah tayangan filem mereka dikurangkan, penerbit boleh beralih kepada Astro First untuk menayangkan filem mereka. Kita akan membayar mengikut syarat dan persetujuan yang termaktub dalam garis panduan. Prosedurnya masih sama, penerbit akan tetap memperoleh keuntungan seperti di panggung kerana kami akan membayar penerbit mengikut jumlah pesanan filem.

Menurutnya lagi, walaupun kewujudan rangkaian ini dipertikaikan kononnya akan menjejaskan pendapatan penerbit, namun apa yang mengejutkan rata-rata penerbit yang aktif menghasilkan filem memberikan maklum balas positif terhadap kewujudan Astro First.

"Syarikat yang sebelum ini hanya menerbit drama juga nampaknya teruja untuk menghasilkan filem, seperti Rosyam Nor, kerana mereka kini mempunyai platform lain bagi meraih pendapatan.

"Selain itu, ada penerbit filem juga semakin berkobar-kobar untuk meningkatkan lagi kualiti filem mereka dari sudut teknikal seperti menghasilkan filem tiga dimensi dan penggunaan sistem bunyi yang canggih. Kelainan itu hanya boleh disaksikan di panggung wayang, jadi mahu tidak mahu, penonton perlu juga ke panggung. Dengan cara ini, pendapatan penerbit akan terus dijana,” katanya.

Sekiranya industri muzik mengalami revolusi daripada album fizikal kepada digital. Industri perfileman tanah air juga kata Khairul Anwar harus bersedia dengan perubahan itu apabila masyarakat kini boleh menonton filem terbaru di pasaran secara mudah dengan menghantar pesanan menerusi SMS.

Ketika mula dilancarkan pada 13 Januari yang lalu, katanya, tidak sampai beberapa minit beberapa ratus pesanan sudah pun diterima. Katanya lagi, walaupun filem Ngangkung berjaya memperoleh kutipan sebanyak RM 8.1 juta tetapi ternyata masih ramai peminat yang belum menonton filem itu. Hakikat itu disedari apabila ramai pelanggan yang memesan untuk membeli filem berkenaan.