.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, August 30, 2011

0 Kekalahan terbesar Arsenal dalam tempoh 115 tahun

Wenger tak undur



GAYA Arsene Wenger mengarahkan pemain ketika menentang Manchester United di Old Trafford kelmarin. - REUTERS



MANCHESTER - Arsene Wenger tidak berhasrat untuk meletak jawatan sebagai bos Arsenal walaupun mengakui amat malu apabila pasukannya diratah 2-8 oleh Manchester United kelmarin.

Wayne Rooney dengan ledakan hatriknya memimpin pasukan muda United melakar kemenangan sensasi ke atas Gunners di laman sendiri, kelmarin.

Ia merupakan kekalahan terburuk Arsenal dalam sejarah sejak 1896.

Malah, beberapa pemimpin tertinggi Arsenal dilihat meninggalkan tempat duduk orang kenamaan di Old Trafford 10 minit perlawanan berakhir, menunjukkan mereka tidak sanggup lagi menyaksikan aksi memalukan pasukan mereka.

Ditanya sama ada dia menimbangkan kemungkinan meletak jawatan, Wenger berkata: "Tidak. Tidak sama sekali. Kekalahan besar ini pastinya menyakitkan. Ia cukup memalukan.

"Namun kami baru sahaja bermain tiga perlawanan dan secara adilnya, anda harus memberikan saya lebih masa sebelum boleh mengatakan saya gagal sepenuhnya.

"Kami bekerja keras untuk mencari pemain-pemain tetapi agak ketinggalan dari aspek tawaran gaji.

"Saya tahu di England apabila anda tewas, membawa masuk pemain baru selalunya menjadi jalan penyelesaian."

Kekalahan mengejutkan kelmarin menunjukkan betapa longlainya skuad Arsenal yang ditimpa pelbagai masalah kecederaan, penggantungan dan penghijrahan pemain sejak awal musim.

Namun, Wenger kini semakin terdesak memandangkan masa kian suntuk apabila tempoh perpindahan pemain musim panas bakal melabuhkan tirainya esok.

Ketibaan pemain terbaru iaitu penyerang Korea Selatan, Park Chu-Young, nyata tidak memadai buat Gunners. - Agensi


Artikel berkaitan:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_08.htm

Wenger enggan letak jawatan

MANCHESTER – Arsene Wenger enggan meletak jawatan sebagai pengurus Arsenal biarpun berasa cukup malu apabila The Gunners dibelasah 2-8 oleh Manchester United di Old Trafford malam kelmarin.

Wayne Rooney mengetuai amukan United itu apabila meledak hatrik untuk ‘menghadiahkan’ Arsenal kekalahan terburuk dalam sejarah kelab itu sejak tahun 1896.

Lima lagi gol United disumbangkan oleh Ashley Young (dua gol), manakala Danny Welbeck, Nani dan Park Ji-sung masing-masing meledak satu gol.

Dua gol saguhati Arsenal diperoleh menerusi Theo Walcott dan Robin Van Persie.

Wenger dilihat melangkah keluar daripada bangku simpanan sebelum wisel penamat ditiup.

Ditanya adakah dia akan meletak jawatan, Wenger bingkas berkata: “Sudah tentu tidak. Memang kekalahan ini satu yang menyakitkan dan memalukan.

“Tapi kami baru bermain tiga perlawanan dan kami sepatutnya diberi lebih masa jika mahu benar-benar mengatakan saya sudah tersilap langkah.

“Kami telah berusaha keras untuk mencari pemain baharu tetapi kami tetap menjadi pilihan kedua apabila terdapat kelab lain yang membuat tawaran terutama dari segi gaji.

“Saya sedar di England apabila kita tewas, menandatangani pemain baharu sentiasa menjadi jalan penyelesaiannya.”

Sebaliknya, pengurus United, Alex Ferguson tetap berasa bangga biarpun menganggap anak-anak buahnya mampu untuk menjaringkan lebih daripada lapan gol.

“Kamu pasti tidak mahu menjaringkan lebih banyak gol apabila beraksi menentang pasukan yang tempang seperti ini.

“Sudah tentu saya berasa simpati terhadap Wenger. Lihatlah betapa lemahnya mereka, tetapi kami tetap perlu mencari gol untuk mengutip mata penuh,” kata Ferguson. – Agensi


Artikel berkaitan:

Rooney rasa bangga

MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Wayne Rooney mengakui, dia sentiasa berasa gembira setiap kali dapat menjaringkan gol ketika menentang musuh ketat, Arsenal.

Malah Rooney turut menyimpan hasrat untuk bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman United setelah meledak hatrik ketika membantu The Red Devils membelasah Arsenal 8-2 pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford malam kelmarin.

Tambahan tiga gol itu meletakkan Rooney kini di tangga kesembilan senarai penjaring terbanyak United dengan jumlah 152 gol setakat ini.

“Saya sentiasa sedar tentang statistik ini setiap kali sebelum perlawanan dan bagi saya banyak peristiwa penting akan berlaku setiap kali kami bertemu Arsenal.

“Gol pertama saya bersama Everton hadir ketika bertemu Arsenal dan gol pertama saya bersama United dalam Liga Perdana England juga ketika bertemu Arsenal.

“Kini gol ke-150 saya buat United hadir juga ketika bertemu Arsenal,” kata Rooney.

Rooney, 25, masih berpeluang cerah untuk memintas penjaring terbanyak United sepanjang zaman iaitu Bobby Charlton dengan 249 gol.

“Saya bertanya berapa banyak lagi gol untuk saya menyamai pencapaian Charlton dan Ryan Giggs beritahu yang saya perlu jaringkan 100 gol lagi. Jadi ia merupakan sasaran saya kini,” tegas Rooney.

Penyerang England itu turut menganggap dirinya kurang bernasib baik apabila hanya dapat menjaringkan satu gol ketika United menewaskan Tottenham 3-0 minggu lalu.

“Prestasi kami pada perlawanan ini cukup luar biasa dan kami memang layak untuk mencapai kejayaan ini. Tak kisahlah sama ada Arsenal tampil dengan barisan terkuat atau tidak, kami tetap mahu menjaringkan gol,” jelas Rooney. – Agensi

Friday, August 26, 2011

0 Kerana bola sepak moden dan wang

Fergie simpati nasib Wenger


2011/08/25
LONDON: Bos Manchester United, Alex Ferguson memuji cara rakan sejawatnya di Arsenal, Arsene Wenger menangani tekanan selepas dikritik berterusan kerana melepaskan dua tonggak utama – Cesc Fabregas dan Samir Nasri – serentak sepanjang jendela perpindahan musim panas ini.

Pengendali dari Scotland itu juga menganggap spekulasi mengatakan Wenger bakal meninggalkan Emirates sebagai mengarut. “Orang bercakap mengenai Arsenal dan Arsene yang akan meninggalkan kelab,” kata Ferguson. “Tetapi siapa yang dapat menggantikannya? “Ini situasi yang tidak masuk akal. Kita berada dalam dunia gila. Anda hanya perlu tewas dalam beberapa perlawanan, dan anda bakal dihujani kritikan serta tuntutan mahu anda meninggalkan kelab.”

Ferguson dan Wenger adalah dua seteru ketat Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan pertarungan sengit antara United dan Arsenal, terutama insiden “Pizzagate” pada musim 2004-05.

Ketika itu, rekod tanpa kalah 29 perlawanan Arsenal dimusnahkan United di Old Trafford dengan kemenangan 2-0. Pemain Arsenal dituduh membaling makanan kepada lawannya selepas perlawanan dan Wenger turut menuduh Ruud van Nistelrooy sebagai pembohong.

Namun di sebalik hubungan panas itu, Ferguson tetap hormat pengendali dari Perancis itu dan mahu dia terus berada di Emirates.
“Dia sudah memberikan Arsenal landasan yang tidak pernah terfikir oleh kelab itu sebelum ini,” katanya. “Dia perlu terus berada di sana. Jangan pedulikan kritikan.” – Agensi


Artikel berkaitan:


'Semua kerana wang'


2011/08/25
Bukan satu kebetulan apabila semua orang berhijrah ke City: Wenger

LONDON: Pengendali Arsenal, Arsene Wenger mengakui dia tidak pernah terfikir akan kehilangan Samir Nasri dan Cesc Fabregas serentak, tetapi percaya faktor ‘psikologi’ memainkan peranan dalam memaksanya melepaskan dua pemain itu.

Nasri yang meninggalkan Emirates untuk menyertai kem Etihad bersama Manchester City selepas kedua-dua kelab bersetuju dengan harga 23 juta pound (RM113 juta) buat pemain tengah Perancis itu, bakal mengikut jejak bekas rakan sepasukan, Gael Clichy. Wenger mengakui Roberto Mancini berjaya dalam usahanya memancing semua pemain terbaik Liga Perdana Inggeris, apatah lagi disokong dana berterusan pemilik kelab berkenaan. “Saya seorang yang realistik, jadi saya tidak suka berangan-angan,” kata Wenger. “Ia sebahagian daripada kehidupan moden seorang pemain bola sepak profesional. Bukan satu kebetulan apabila semua orang berhijrah ke Manchester City.

“Peraturan bola sepak memang begini. Seseorang pemain boleh mencecah harga jutaan ringgit hari ini dan tidak bernilai sesen pun dalam tempoh enam bulan, kelihatan seperti tidak logik tetapi itulah hakikat yang perlu ditelan.

“Akan tiba harinya apabila anda terpaksa membuat keputusan berdasarkan faktor psikologi dan kewangan.”

Wenger juga sedar era kesetiaan pemain pada sesebuah kelab sudah berakhir, terutama apabila ada kelab yang mampu menawarkan gaji lebih lumayan.
“Kami tidak mahu kehilangan Fabregas, tetapi kami dipaksa berada dalam situasi yang tidak kami ingini,” kata pengendali Perancis itu. “Situasi Nasri pula ialah dia tidak mahu melanjutkan kontraknya kerana ada tawaran lebih lumayan menanti di tempat lain.”

Nasri, 24, sempat bersama Arsenal untuk tempoh tiga tahun. Dia dipancing City ketika kontraknya masih berbaki setahun dan menjadi tonggak kedua Gunners melangkah keluar musim panas ini selepas Fabregas.

Penampilan terakhirnya ialah ketika tewas 2-0 di tangan Liverpool Sabtu lalu dan Nasri tidak diturunkan menentang Udinese untuk kelayakan Liga Juara-Juara. – Agensi

Sunday, August 21, 2011

0 Tulislah novel penyiasatan dan kanak-kanak atau novel seram untuk jadi popular

James Patterson penulis paling lumayan dunia



James Patterson


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Penulis novel penyiasatan AS, James Patterson merupakan penulis berpendapatan tertinggi di dunia dengan perolehan AS$84 juta (RM250.5 juta) sepanjang tahun lalu.

Patterson, 64, yang popular menerusi buku penyiasatan Alex Cross, mengungguli senarai tahunan penulis buku yang memperoleh pendapatan tertinggi di dunia oleh majalah Forbes.

Selain novel penyiasatan, bapa tunggal itu banyak menulis buku cerita kanak-kanak selain menulis ulasan filem pada lapangnya.

Lebih 10 juta buku tulisannya dijual pada tahun lalu dengan lebih 20 tajuk bukunya menduduki tempat pertama carta buku terlaris di AS.

Senarai tahunan Forbes kali ini didominasi penulis AS melainkan Ken Follett yang berada di tempat ke-11 manakala penulis buku Harry Potter, JK Rowling pula berada di tangga ke-13 setelah dia tidak menulis sebarang buku pada tahun lalu.

Tempat kedua senarai berkenaan menjadi milik penulis novel cinta ghairah, Danielle Steel yang berpendapatan AS$35 juta (RM104.3 juta) diikuti di tempat ketiga oleh penulis seram terkenal, Stephen King dengan perolehan AS$28 juta (RM83.5 juta).

Turut berada dalam senarai sama dari tempat keempat hingga ke-10 ialah Janet Evanovich AS$22 juta (RM65.6 juta), Stephenie Meyer AS$21 juta (RM62.6 juta), Rick Riordan AS$21 juta (RM62.6 juta),

Dean Koonz AS$19 juta (RM56.6 juta), John Grisham $18 juta (RM53.6 juta), Jeff Kinney AS$17 juta (RM50.7 juta) dan Nicholas Spark AS$16 juta (RM47.7 juta). - Agensi

Saturday, August 20, 2011

0 Kajian pendapatan antara etnik di Malaysia

Graduan Melayu, bumiputera terima gaji permulaan terkecil
SHAH ALAM 19 Ogos - Para graduan Melayu dan bumiputera merupakan golongan terbesar yang menerima gaji permulaan terkecil sebaik sahaja memasuki pasaran kerja iaitu antara RM501 sehingga RM2,000 ke atas berbanding kumpulan etnik lain.

Timbalan Ketua Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mat Noor Nawi berkata, berdasarkan statistik 2009, sebanyak 24 peratus daripada golongan itu menerima gaji antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001-RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (24 peratus) dan hanya 19 peratus menerima gaji RM2,000 ke atas.

Katanya, ia berbeza dengan 70 peratus graduan berketurunan Cina yang mendapat gaji permulaan antara RM1,501 hingga RM2,00 ke atas; RM1,001-RM1,500 (21 peratus) dan lapan peratus daripada mereka menerima antara RM501 hingga RM1,000.

Bagi graduan berketurunan India pula katanya, sebanyak 14 peratus menerima gaji permulaan antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001 hingga RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (28 peratus) dan sebanyak 27 peratus daripada mereka menerima gaji melebihi RM2,000.

"Sementara penyertaan bumiputera sebagai (ahli) lembaga pengarah di syarikat-syarikat besar adalah tinggi tetapi bukan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

"Satu-satunya Ketua Pegawai Eksekutif bumiputera selain daripada di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah di Shell," katanya semasa membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Dalam pembentangan itu, Mat Noor memetik pelbagai kajian dan laporan bebas antaranya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi Bloomberg, Bursa Malaysia dan penyiasatan pendapatan isi rumah 2009.

Bagi kategori pendapatan purata bulanan isi rumah mengikut aktiviti dan kumpulan etnik pula katanya, masyarakat Melayu dan bumiputera yang bekerja sebagai majikan hanya memperoleh RM7,078 berbanding RM7,271 (India) dan RM8,559 yang diperolehi para majikan berketurunan Cina.

Menurutnya, untuk kategori pekerja sektor awam pula, kumpulan bumiputera memperoleh pendapatan bulanan purata sebanyak RM4,925; RM5,109 (India) dan RM6,288 bagi masyarakat Cina.

"Bagi yang bekerja sendiri, masyarakat bumiputera memperoleh RM2,487 diikuti India menerima RM3,717 dan Cina sebanyak RM4,561," jelasnya.

Tuesday, August 16, 2011

0 Negara perlu 26,000 judul buku baru setiap tahun. Ayuh penerbit! Ayuh penulis!

Penerbitan buku baru cecah 16,000 judul


2011/08/16
PUTRAJAYA: Jumlah penerbitan buku baru di negara ini mencecah 16,000 judul pada masa ini yang membolehkan Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 110 negara di seluruh dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, walaupun negara masih berada di belakang negara jiran iaitu Vietnam dan Indonesia, namun jumlah terbabit menunjukkan kesungguhan penerbit tempatan untuk mencapai sasaran yang diunjurkan. "Semasa merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada April lalu, saya menggesa semua penerbit tempatan sama ada dari agensi kerajaan atau swasta untuk sama-sama berusaha menerbitkan 26,000 judul buku terjemahan baru setahun. "Jumlah yang saya unjurkan ini bukan omongan kosong semata-mata, tetapi ia bagi memenuhi nilai penerbitan buku sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara ini, yang selaras dengan saranan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNESCO," katanya pada majlis pengumuman pemenang Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesungguhan itu adalah sokongan penerbit dengan usaha kerajaan, Kementerian Pelajaran khususnya dalam merealisasikan salah satu daripada sub-NKRA Pendidikan iaitu Meningkatkan Kadar Literasi dan Numerasi (LINUS).

"Oleh itu, saya meminta supaya penerbit terus berusaha dengan lebih keras bagi memastikan bahan bacaan mencukupi serta penghasilan dan penerbitan buku-buku yang dapat memenuhi selera pembacaan kira-kira 27 juta rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dalam ucapannya berkata, 130 judul Buku Sains dan Matematik siap diterjemahkan dan akan diterbitkan sebelum penghujung tahun ini.
Katanya, 100 buku diedarkan kepada 9,980 buah sekolah di seluruh negara dan bakinya akan dikirimkan dalam masa terdekat.

SJK (Cina) Chung Hua, Sarawak dipilih sebagai juara bagi kategori sekolah rendah di dalam pertandingan tersebut yang julung kali diadakan bagi penghasilan video terbaik mereka bertajuk "Pertarungan Hebat Ahli Silap Mata".

Muhyiddin menyampaikan hadiah RM15,000 untuk pemenang dan RM10,000 untuk sekolah yang diwakili.

Bagi kategori sekolah menengah, ia dimenangi oleh SMK King George V, Negeri Sembilan bagi video mereka bertajuk "Terokai Tenaga Suria" dan menerima RM20,000 untuk pemenang dan RM10,000 untuk sekolah yang diwakili. - BERNAMA

Sunday, August 14, 2011

0 Penyanyi berlambak tetapi kurang lagu berkualiti

Industri muzik makin nazak – Jay Jay

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto RASHID MAHFOF




Jay Jay


PENYANYI Jay Jay membayangkan negara kita bakal menjejak Singapura yang mengalami kejatuhan zaman industri seni Melayu satu masa nanti. Malapetaka ini pasti berlaku berdasarkan pemerhatiannya yang merasai sendiri kemerosotan idea dan penghasilan kerja kreatif sejak kebelakangan ini.

“Kita tak mahu jadi macam Singapura atau Brunei yang mengimport lagu dari luar. Singapura misalnya adalah pusat kesenian Melayu yang cukup terkenal di rantau ini satu ketika dahulu.

“Semua orang tahu Studio Jalan Ampas cukup berkembang pesat dengan pemasaran, rakaman dan penerbitan aktiviti kesenian.

“Tapi apa yang berlaku sekarang ini adalah sebaliknya. Kita tak nak industri muzik Malaysia mengalami masalah yang sama. Jadi seperti industri muzik Cina di Malaysia yang terpaksa mengimport lagu dari negara China dan Taiwan,” hujah penyanyi kumpulan Carefree tatkala mengukuhkan kenyataan yang dikeluarkannya itu.

Mengulas tentang ‘ramalan’ penghibur yang sudah mengabdikan diri dalam industri muzik sejak 31 tahun yang lalu ini, dia memberitahu kemunduran industri muzik tanah air berdasarkan kekurangan penghasilan lagu baru terbaik.

“Dahulu, kita ada banyak lagu kuat yang masih malar segar sehingga hari ini. Contohnya lagu Issabella atau Srikandi Cintamu. Setiap lagu dicipta dan diukur mengikut lenggok suara penyanyi tertentu.

“Contohnya Datuk Ahmad Nawab dan M. Nasir. Mereka akan cipta lagu yang dikhususkan untuk penyanyi tertentu sahaja sebab mereka dah kaji latar belakang suara penyanyi itu.

“Maknanya, tidak akan berlaku jual beli lagu kepada penyanyi lain andai lagu itu tidak dinyanyikan olehnya,” dedahnya lagi.

Ditanya apa kriteria utama yang membezakan penyanyi sezaman Jay Jay dengan hari ini, lelaki ini ada jawapannya.

“Bakat menyanyi di Malaysia ini berlambak. Semua orang boleh menyanyi. Tapi bagaimana pula dengan akar pada sesebuah penghasilan produk lagu itu.

“Adakah penyanyi sekarang punya keseimbangan tahap disiplin, emosi dan jiwa seperti mana orang dahulu. Nilaikan sendiri etiket kerja orang lama dengan sekarang dalam menghasilkan sesebuah karya agung itu. Cukup jauh berbeza,” kesalnya.

Mengajukan persoalan kemungkinan hubung kait gaya hidup dan teknologi sekarang mempengaruhi cara kerja generasi pemuzik sekarang, lelaki ini tidak menafikan.

“Artis perlu bersyukur dengan senario negara kita yang pesat membangun. Banyak acara korporat yang sentiasa menjemput artis setiap masa. Pentas ballroom adalah perkara biasa.

“Sebab itu, mereka ‘malas’ nak bekerja lebih. Nyanyi sikit, dapat duit dan terus pulang. Mereka tak rasa bagaimana jerit perit orang dahulu sewaktu memperjuangkan lagu mereka,” katanya.

Mengulas persoalan terdapat punca lain yang menyebabkan industri muzik negara semakin tandus, Jay Jay punya alasan tersendiri.

“Teknologi kita terlalu cepat berkembang. Tapi ada tak bagus. Contohnya, Indonesia menapis teknologi yang digunakan. Masih menggunakan cara lama, kaset dan sekat penggunaan laman sosial Facebook dan Twitter. Sebab itu artis mereka masih laku bila tiada yang percuma di situ.

“Berlainan di Malaysia. Penyanyi kita buat promosi pun kena menyanyi satu dua lagu. Itu dah dikira seperti mini showcase. Orang tengok benda ini ringan tapi sebenarnya berat.

“Kalau nak tahu, kita adalah negara yang mengamalkan cara ‘pakej’ macam itu. Negara lain tak pernah buat pun. Sebab itu dah hilang nilai eksklusif bagi seseorang penyanyi itu bila dia muncul di mana-mana tempat,” dedahnya yang berharap agar semua pihak mengambil berat isu yang diketengahkan itu.

0 Jika homoseksual direstui di Malaysia, takut negara ditimpa bala

Kristian tentang sekeras-kerasnya amalan homoseksual

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Agama Kristian secara hakikinya menentang keras dan tidak merestui amalan homoseksual dalam kalangan penganutnya.

Beberapa pemimpin ajaran Kristian di negara ini berkata, amalan tersebut seharusnya ditentang dan dibanteras agar tidak menjadi satu budaya yang menjatuhkan imej agama dan negara.

Setiausaha Eksekutif National Evangelical Christian Fellowship (NECF), Alfred Pais berkata, amalan homoseksual sebenarnya telah membelakangi ajaran yang dibawa oleh Jesus.

"Sejak dahulu lagi agama Kristian tidak bersetuju dengan perkahwinan sejenis. Berkahwin sesama lelaki adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan budaya ini tidak sepatutnya dibawa ke Malaysia.

"Jika budaya import itu dibawa ke mari, nescaya ia akan menyebabkan kemusnahan terhadap nilai-nilai murni yang telah dibentuk sekian lama," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan paderi gay warga Malaysia, Pastor Ou Yang Wen Feng untuk berkahwin dengan 'kekasihnya' di negara ini dan sekali gus menimbulkan banyak penentangan daripada pelbagai pihak.

Sementara itu, Paderi Gereja Anglican St. Margaret Keningau, Sabah yang hanya mahu dikenali sebagai Jeffry berkata, gejala tersebut harus dihalang daripada berlaku kerana ia bakal memberi implikasi yang buruk terhadap imej dan masa depan negara ini.

"Saya sebagai penganut Kristian sangat dukacita dengan cadangannya (Wen Feng) kerana ia telah memburukkan imej dan kesucian agama ini di mata masyarakat.

"Justeru, saya mengajak semua penganut Kristian yang prihatin untuk bersama-sama menentang serta-merta segala unsur yang bertentangan dengan kesucian agama seperti ini," ujarnya.

Dalam pada itu, paderi dari sebuah Gereja Methodist, juga di Sabah, yang mahu dikenali sebagai David berkata, Kristian sebagai agama yang mementingkan martabat sememangnya mengutuk gejala homoseksual kerana ia mencalar imej agama terbesar di dunia itu.

"Penganut Kristian perlu sensitif dengan perkembangan ini kerana ia akan memberi kesan yang besar terhadap keharmonian yang dikecapi oleh negara ketika ini," katanya lagi.


Artikel berkaitan:

Gay kahwin: Halang sebelum parah

Oleh MOHAMMED SOFIAN BAHAROM dan NORMAIRAH JAMALUDDIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kerajaan digesa menghalang cadangan paderi gay warganegara Malaysia, Pastor Ou Yang Wen Feng untuk berkahwin dengan 'kekasihnya' di negara ini.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, jika perkahwinan itu dibiarkan berlaku, nescaya keruntuhan akhlak yang dahsyat bakal tercetus dalam kalangan rakyat negara ini.

"Jika perkahwinan itu dibiar berlangsung, ia akan memperlihatkan bahawa kita membenarkan perkahwinan seumpama itu di negara ini.

"Seterusnya, dia (Wen Feng) akan dijadikan idola oleh minoriti gay atau lesbian yang pada ketika itu berasa diri mereka diiktiraf dan dihargai.

"Akhirnya, komuniti ini akan menubuhkan NGO mereka sendiri dan bertambah berpengaruh sehingga mampu mengikis identiti agama dan bangsa semua orang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Wen Feng yang membuat pengakuan terbuka untuk melangsungkan perkahwinan dengan 'kekasihnya' seorang lelaki warga Afrika-Amerika pada hujung bulan ini atau awal bulan depan dengan majlis itu bakal diadakan di New York, Amerika Syarikat dan juga di negara ini.

Jelas Mohd. Jurit, berdasarkan pemerhatiannya, budaya songsang itu sebenarnya semakin menular dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mungkin disebabkan pengaruh media Barat yang gemar 'menghalalkan' watak gay pada cerita-cerita popularnya.

"Pencegahan awal seperti menghalang perkahwinan sebegini adalah amat penting bagi menjamin akhlak rakyat tidak runtuh. NGO juga perlu bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam menentang perkembangan negatif ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, perkahwinan sejenis adalah bertentangan dari segi moral serta budaya dan tidak diterima di negara ini.

"Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis. Saya pasti masyarakat mengetahui hal ini, tetapi mengapa dia (Wen Feng) masih berdegil mahu melakukan majlis perkahwinan di sini.

"Jika dia masih mahu melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya di sini bulan depan, bererti dia sudah melanggar Perlembagaan negara," tambahnya.

Sunday, August 07, 2011

0 13 tahun bersekolah masih gagal kuasai bahasa inggeris?

Muhyiddin arah pembelajaran Bahasa Inggeris dikaji semula


2011/08/06
SEGAMAT: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah dikaji semula bagi memastikan pelajar dapat menguasai bahasa penting itu sebagai bahasa kedua.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran melaksanakan kajian itu. Menyatakan pandangan beratnya terhadap soal menguasai bahasa tersebut oleh pelajar, Timbalan Perdana Menteri berkata, penguasaan Bahasa Inggeris adalah penting kerana ia bahasa utama dalam komunikasi antarabangsa dan ekonomi. "Bagaimana sistem pendidikan negara selama 13 tahun, dengan lima tahun di sekolah menengah, masih tidak mampu membuatkan murid-murid kita menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.

"Saya sendiri tidak mampu menjawapnya," katanya ketika berucap sempena lawatannnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Maokil, Labis, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh berkata, kajian itu yang akan dikendali Bahagian Kurikulum Bahasa Inggeris akan melihat sama ada kelemahan itu berpunca dari kekurangan guru Bahasa Inggeris, peralatan atau punca lain.

Katanya, murid mungkin beranggapan bahawa kemampuan menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua itu tidak penting untuk mereka, sehingga mengakibatkan mereka berhadapan dengan masalah ketika di peringkat universiti.
Beliau menolak tanggapan pelaksanaan dasar "Memartabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris" (MBMMBI), telah mengakibatkan Kementerian Pelajaran mengabaikan penguasaan Bahasa Inggeris.

"Itu tanggapan yang salah, saya dan Kementerian Pelajaran sentiasa menekankan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua," katanya.

Muhyiddin juga berkata, kementeriannya telah melakukan audit menyeluruh tentang kedudukan infrastruktur pendidikan negara, dalam usahanya untuk menyediakan keperluan infrastruktur yang diperlukan setiap sekolah.

Walaupun kementeriannya menerima peruntukan pembangunan di antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setiap tahun, tetapi katanya, ini tidak mencukupi kerana bilangan sekolah di negara ini adalah besar serta pertumbuhan penduduk yang pesat memerlukan pembinaan sekolah baru.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Felda. - BERNAMA

Monday, August 01, 2011

0 Negara berpendapatan tinggi? Tarik pelabur asing atau perkasakan pelaburan domestik?

Belajar dari sejarah, kata pakar ekonomi PBBHazlan Zakaria
Jul 31, 11
8:47pmKongsi 43

Kegagalan untuk belajar dari sejarah menjadi halangan terbesar bagi Malaysia dalam perjalanan ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.



Ini adalah ingatan dari penolong setiausaha agung bagi
pembangunan ekonomi di jabatan halehwal ekonomi dan sosial, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Jomo K Sundaram.

"Adalah penting untuk belajar daripada kegagalan dan kejayaan kita. Jika kita tidak tahu tentang sejarah kita, bagaimana kita hendak teruskan perjalanan?" hujahnya.

Jomo bercakap di sidang kemuncak pemimpin pelajar Malaysia di Kuala Lumpur hari ini. Beliau menjadi anggota panel yang membincangkan tajuk bagaimana Malaysia boleh mencapai matlamat ekonomi berpendapatan tinggi.

Beliau merujuk kepada pengalaman Malaysia mengharungi kemerosotan ekonomi pada awal tahun 80-an dan pertengahan tahun 90-an. Sesuatu yang menurutnya, boleh dielakkan jika kerajaan kita lebih tajam akal.

Jomo melihat pengajaran dahulu sebagai petanda yang berharga dalam perjalanan kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, tetapi bimbang kerana kerajaan, menurutnya, menutup mata terhadap kesulitan dan masalah yang sama.

Beliau mengeluh ketika menyentuh tentang FDI negara, walaupun menurutnya, ada tanda-tanda amaran dari kesukaran yang lalu.

Di kebanyakan negara, tegasnya, pelaburan domestik menjadi peneraju dan FDI mengikutinya, tetapi di Malaysia, ia adalah sebaliknya.

Dasar sedemikian, kata beliau, melemahkan kerajaan kerana ia kemudiannya menjadi terhutang budi kepada pelabur asing yang mengharapkan insentif dan imbuhan-imbuhan lain.

Dari hujah Jomo itu, kita dalam merumuskan bahawa Malaysia akan dijadikan tebusan oleh para pelabur asing yang boleh menarik diri jika keadaan tidak menguntungkan mereka.

0 Keajaiban mendarat yang selalunya jadi nahas mengerikan

Keajaiban pesawat Boeing patah dua



BEBERAPA anggota penyelamat memeriksa pesawat Caribbean Airlines yang patah dua di Lapangan Terbang Antarabangsa Cheddi Jagan, Georgetown, Guyana kelmarin.


GEORGETOWN - Sebuah pesawat penumpang syarikat penerbangan Caribbean yang membawa 163penumpang terhempas dan patah dua ketika mendarat di Guyana pada malam kelmarin.

Namun, tiada seorang pun yang mati dalam nahas itu tetapi 12 orang mengalami kecederaan.

Pesawat Boeing 737-800 itu terbabas dari landasan dan melanggar pagar selepas ia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Cheddi Jagan, Georgetown.

Pesawat itu terhenti beberapa meter dari gaung.

Menurut syarikat penerbangan tersebut, punca nahas masih belum diketahui manakala para penyiasat dari Amerika Syarikat dan Guyana telah dihantar untuk mencari kotak hitam.

Para penumpang menjerit apabila pesawat itu hilang kawalan.

"Apa yang berlaku di Georgetown adalah sesuatu yang ajaib," kata Pengerusi Caribbean Airlines, George Nochloas yang melawat kawasan kejadian.

Pesawat milik syarikat dari Trinidad dan Tobago itu tiba di sini dari New York. - Reuters