.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, April 19, 2011

0 Hajat Afdlin Shauki dalam bisnes perfileman


24 bulan 15 filem
Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bharian.com.my
2011/04/19


AFDLIN SHAUKI dan Ismail memotong kek sebagai tanda kerjasama antara Vision Works dengan Ismail Holdings.Afdlin Shauki turut simpan impian bina studio perfileman sendiri

LIMA belas filem dalam tempoh 24 bulan. Itulah hasrat Afdlin Shauki yang mahu melaksanakan impian itu bersama-sama beberapa rakan kongsi lain dengan matlamat untuk merancakkan lagi industri perfileman yang semakin mendapat sambutan daripada penonton. Bagi mencapat matlamat itu, Afdlin melalui syarikat penerbitannya, Vision Works (M) Sdn Bhd membuka peluang kepada pengarah baru dan lama untuk bekerjasama dengannya bagi menerbitkan filem. Sasarannya lima filem dihasilkan tahun ini selepas dua filem terbarunya selesai menjalani penggambaran iaitu Ponti VS Omi dan Berani Punya Budak yang kini dalam proses pasca produksi.

Meskipun kekuatannya lebih kepada filem bergenre komedi, namun dengan kerjasama itu dia yakin dapat menghasilkan filem lebih serius, malah Afdlin juga tidak memilih karya yang dihasilkan jika ia mampu menarik minat penonton.

Baginya, kerjasama Vision Works dengan Ismail Holdings Sdn Bhd membuka peluang kepada pengarah lain untuk bersama-sama dengannya menghasilkan filem serta dapat bekerjasama dengan syarikat penerbitan filem seperti Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB), MIG Productions dan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB).

“Kalau kita boleh buat 15 filem dalam tempoh dua tahun, apa salahnya kita berkongsi dengan pengarah lain seperti Ahmad Idham, Mamat Khalid dan KRU untuk hasilkan filem bersama. Kita nak sama-sama naik dan merasa imbuhan yang kita dapat hasil daripada jalinan kerjasama ini,” katanya.
Selain membuka peluang kepada pengarah tempatan untuk menghasilkan filem dengannya, Afdlin turut memberi peluang kepada pelakon baru terbabit dalam filem arahannya bagi mengangkat bakat pelapis baru dalam industri perfileman.

Afdlin berpendapat pelakon baru perlu ada dalam sesebuah filem yang dihasilkan supaya bakat mereka dapat diasah dan tidak disisihkan bahkan akan turut memberi impak kepada sesebuah penerbitan filem.

“Kita akan cuba asah bakat pelapis baru seperti Isma Hanim dan Lana Nordin untuk turut sama dalam membintangi filem kita agar bakat mereka dapat dicungkil. Kita cuba gabungkan pelakon baru dan lama untuk menguatkan lagi nama mereka kerana sokongan atau pembantu perlu ada supaya filem itu nampak seimbang,” katanya.

Selain bercita-cita terbitkan 15 filem, Afdlin turut menyimpan impian membina sebuah studio perfilemannya sendiri yang dilengkapi peralatan terkini dan canggih seperti KRU Studio dan Studio FINAS.

Walaupun projek itu membabitkan kos yang tinggi, namun peluang untuk merealisasikan hasratnya itu akan terlaksana setelah mendapat persetujuan daripada Pengerusi Syarikat Ismail Holdings Sdn Bhd, Datuk Ismail Abdur Rahman.

“Datuk Ismail sudah bersetuju dengan cadangan itu tetapi belum tahu lagi bila akan dibina tetapi kita akan membina studio di kawasan yang kecil saja dan dilengkapi peralatan studio yang terkini dan canggih.

“Malah Datuk sendiri bersetuju untuk hasilkan 15 filem serta membeli peralatan studio termasuklah kamera digital, lampu penataan cahaya dan macam-macam lagi,” katanya.

Afdlin berharap dengan terbinanya studio terbabit nanti akan merancakkan lagi industri perfileman tempatan, bahkan akan memberi peluang kepada syarikat produksi lain menggunakan kemudahan kelengkapan studio yang terdapat di studionya itu.

Meskipun masih dalam perancangan, namun Afdlin sudah menyimpan hasrat untuk menghasilkan lebih banyak filem di masa depan dengan pengarah lain.

Malah, Afdlin masih berhasrat untuk membuat penggambaran di luar negara seperti filem Sumolah, bahkan berminat untuk mengunjungi Jepun sekali lagi sebagai lokasi penggambaran filemnya nanti.

“Ada perancangan untuk shooting di luar negara macam di London tetapi saya masih menyimpan impian untuk membuat penggambaran sekali lagi di Jepun,” katanya.

Genre seram dan komedi jadi pilihan

Dalam pada itu, Afdlin kini sedang sibuk membuat persediaan untuk penggambaran tiga filem terbarunya iaitu Along Bukit Beruntung, Berhantu dan Papadom 2 yang bakal diterbitkan bersama TUSB.

Bersandarkan kos pembikinan sekitar RM1.6 juta setiap filem, Afdlin yakin semua filem itu akan dapat dihasilkan sehingga penghujung tahun ini walaupun dua filem terbarunya, Ponti VS Omi dan Berani Punya Budak belum ditayangkan.

“Kita tak boleh tunggu filem tayang baru nak buat filem baru kerana dalam masa kita menunggu tarikh wajib tayang itu, kita sudah mampu menghasilkan sebuah filem baru kerana tempoh penggambaran filem bukannya lama,” katanya.

Filem Ponti VS Omi mengisahkan pergolakan dua ekor hantu, Pontianak dan Orang Minyak yang baru berkecimpung dalam dunia hantu, namun bagi menguji kepintaran hantu terbabit supaya diterima dalam kelompok hantu, kedua-duanya diuji untuk menakutkan penduduk Kampung Puaka yang turut didiami lima orang bomoh atau pawang.

Filem bergenre komedi seram ini turut menyelitkan elemen percintaan dan pertelingkahan di antara kedua-duanya yang turut dibintangi Johan (Omi), Nabil (Ponti), Afdlin Shauki (Pak Rejab), Khir Rahman (Sudiro), Lana Nordin (Ruminah), Adibah Noor (Saodah), Sharifah Shahirah (Ratu Syaira) dan Syarifah Amani (Maria).

Manakala Berani Punya Bmengisahkan tentang pertelingkahan kumpulan gangster Thai yang berlarutan sehingga ke Malaysia, namun pelbagai cabaran ditempuhi bagi meloloskan diri daripada Interpol.

Filem yang dibintangi Afdlin Shauki (Tong/ Shuhaimi Abdullah), Awie (John), Nabil (Brother John), Johan (Detektif Azlan), Adlin Aman Ramlie (Detektif Azman) dan Riezman Khuzaimi (Kuza) serta turut dibantu beberapa pelakon daripada Thailand ini sedang menjalani proses akhir sebelum ditayangkan.

0 comments: