.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, January 07, 2011

0 Top 10 Personaliti sepanjang tahun 2010

Impak 10 personaliti

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2011/01/02




Kisah yang berlaku dalam dunia kerjaya, peribadi mereka warnai suasana sepanjang tahun lalu

TAHUN 2010 yang baru berlalu meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada dunia. Ia juga pergi dengan mencatatkan pelbagai peristiwa, baik dan tidak, kepada penghuni dunia untuk dikenang atau mungkin dijadikan pengajaran dalam meniti kehidupan tahun baru. Selain bencana, malapetaka dan peperangan yang seakan tidak berkesudahan, tindak-tindak manusia turut mewarnai setiap saat yang berlalu pada tahun 2010. Malah ada di antaranya mendominasi berita utama media antarabangsa dengan penonjolan masing-masing sama ada diiringi kontroversi, membangkitkan nostalgia lama, mencipta sejarah dan tidak kurang yang pelik.
Mungkin terlalu banyak peristiwa yang berlaku sepanjang tahun lalu untuk diimbas kembali tetapi cuma segelintir yang benar-benar meninggalkan kesan di hati ramai orang.

Skandal seks pemain golf terkemuka dunia, Tiger Woods, tidak terhenti dengan berakhirnya tahun 2009 sebaliknya terus berlanjutan sepanjang tahun lalu dengan berita perceraiannya yang disahkan pada 23 Ogos lalu.

Bekas isteri ahli sukan bertaraf hartawan itu, Elin Nordegren, berkeras untuk bercerai selepas menyatakan dia hilang semua kepercayaan terhadap Woods yang menjalin hubungan sulit dengan berbelas-belas wanita.
Walaupun jumlah yang diperoleh Nordegren tidak dinyatakan, perceraian mereka disifatkan antara yang termahal dalam sejarah. Pasangan berkenaan berkongsi hak penjagaan ke atas dua anak mereka, Sam dan Charlie.

Suasana politik dunia pula sedikit berseri dengan tindakan junta Myanmar membebaskan tokoh demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi, daripada tahanan dalam rumah sejak 15 tahun lalu pada 13 November lalu.

Pembebasan itu disambut baik ramai pemimpin dunia dengan harapan ia menjadi titik tolak kepada amalan demokrasi sepenuhnya di negara itu. Ketokohan pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu turut menarik minat penerbit filem memindahkan kisah hidupnya ke layar perak dan pelakon kelahiran Ipoh, Datuk Michelle Yeoh, disebut-sebut sebagai calon terbaik memegang watak itu.

Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, ke Indonesia pada 9 November lalu pastinya membangkitkan nostalgia lama. Obama pernah tinggal di negara itu selama empat tahun ketika usia kanak-kanaknya selepas ibunya mengahwini lelaki Indonesia.

Obama memuji perkembangan ekonomi di Indonesia serta perkembangan demokratik negara itu dalam pertemuannya dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Bagaimanapun, persediaan besar-besaran menyambut Obama menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian rakyat yang berasakan kerajaan perlu memberi perhatian lebih kepada mangsa gunung berapi Merapi yang meletus ketika itu.

Politik Malaysia turut mencipta sejarah dengan kedatangan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton dalam lawatan rasminya selama tiga hari bermula 1 November lalu.

Ia adalah lawatan rasmi pertama Setiausaha Negara Amerika sejak Warren Christopher pada tahun 1995. Dalam lawatan itu, Clinton berkata Malaysia boleh menjadi pengaruh besar kepada dunia Islam dan komuniti antarabangsa yang lebih luas. Beliau turut memuji usaha negara membendung persengketaan berdasarkan agama.

Politik Britain sekali lagi mencipta sejarah apabila Perdana Menteri barunya, David Cameron, yang dilantik 11 Mei lalu menjadi pemimpin termuda pada usia 44 tahun.

Cameron, pemimpin muda yang memodenkan parti berhaluan kanan yang pernah dipimpin ikon politik Britain, Margaret Thatcher, dilantik Perdana Menteri kelmarin berikutan peletakan jawatan Gordon Brown, sekali gus menamatkan kemelut pilihan raya yang menyaksikan kembalinya parti Konservatif mengetuai kerajaan campuran selepas 13 tahun di bawah pemerintahan Parti Buruh.

Pemimpin Parti Liberal Demokrat, Nick Clegg kemudian diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Cameron dan Clegg bersetuju mewujudkan kerajaan campuran selepas parti Konservatif menang kerusi terbanyak dalam pilihan raya nasional Britain pada 6 Mei lalu, tetapi tidak memperoleh majoriti di Parlimen. Persetujuan itu dicapai berikutan rundingan tegang sebanyak lima kali, berjaya menghasilkan kerajaan campuran penuh pertama di Britain sejak Perang Dunia Kedua.

Nama Julian Assange tiba-tiba menjadi popular kerana laman web yang diasaskannya, WikiLeaks, menyiarkan berita mengenai pembabitan Amerika dalam perang di Afghanistan dan Iraq.

Pada 28 November lalu, WikiLeaks dan lima rakan medianya menyiarkan mengenai kabel rahsia diplomatik Amerika dan Rumah Putih segera menyifatkan pendedahan itu sebagai ‘membahayakan.’

Assange nyata membuatkan Amerika tidak senang duduk dengan Jabatan Kehakiman negara itu mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadapnya.
Naib Presiden Joe Biden, pula menyifatkan pengasas WikiLeaks itu sebagai `pengganas berteknologi tinggi' yang berbahaya.

Mark Zuckerberg mungkin menjadi tokoh paling dicemburui dalam dunia teknologi maklumat kerana pada usia 26 tahun, dia boleh tidur dalam timbunan wang. Semuanya hasil laman web yang diasaskan, Facebook.

Memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden, Zuckerberg mengasaskan rangkaian laman web sosial itu pada tahun 2004, dengan tiga lagi rakannya, Dustin Moskovitz, Eduardo Saverin dan Chris Hughes, ketika masih bergelar penuntut Universiti Harvard. Zuckerberg dipilih sebagai Tokoh Tahun Ini oleh majalah Time.

Dalam dunia hiburan, nama Lady Gaga, yang kerap muncul dengan penampilan pelik dan tidak masuk akal sudah mampu berada sebaris dengan nama besar seperti kumpulan rock Bon Jovi, U2 dan AC/DC biarpun masih setahun jagung dalam industri itu.

Dia berada di tangga keempat selepas Bon Jovi, U2 dan AC/DC sebagai penghibur yang menerima pendapatan paling lumayan menerusi konsert selain mencatatkan penjualan album paling laris.

Konsert Monster Ball berjaya memperoleh AS$133.6 juta (RM412 juta) daripada 138 pertunjukan sepanjang 2010.

Selepas lebih sedekad menunggu, rakyat Britain hampir pasti mendapat pengganti Puteri Diana apabila anak sulung puteri itu, William, mengumumkan pertunangan dengan kekasihnya, Kate Middleton, pada 16 November lalu selepas lapan tahun bercinta.

Pertunangan itu amat dinanti-nantikan selepas oleh rakyat Britain yang masih menyalahkan istana di atas kematian puteri kesayangan mereka pada 31 Ogos 1997. Malah segelintir rakyat negara itu menyifatkan William bakal menjadi Raja yang jauh lebih baik berbanding bapanya, Putera Charles.

Media Britain yang obses dengan kehidupan kerabat diraja mula membandingkan Kate dan Diana tetapi rata-ratanya berpendapat gadis itu berupaya mengisi kekosongan yang ditinggalkan Diana.

Sementara di tanah air, kelibat gadis berusia 27 tahun, Datuk Nicol Ann David, dalam gelanggang skuasy sentiasa ditunggu peminat sukan tempatan kerana ia jarang sekali mengecewakan.

Memegang gelaran pemain skuasy wanita nombor satu dunia dan sudah menyandang gelaran juara pelbagai kejohanan, Nicol wajar sekali menjadi contoh kepada anak muda Malaysia.

Nicol juga menaikkan nama negara kerana menjadi wanita Asia pertama memenangi gelaran juara Kejohanan Dunia, bukan sekali sebaliknya empat kali iaitu pada tahun 2005, 2006, 2008 dan 2009.

0 comments: