.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, January 04, 2011

1 Khairul Fahmi dapat hadiah rumah oleh Kerajaan Kelantan

Rumah untuk Khairul Fahmi

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my




MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (kiri) menyampaikan cenderamata kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atas kejayaannya mengharumkan nama Kelantan dan negara.



PENJAGA gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menerima khabar gembira apabila Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan pemberian hadiah berupa sebuah rumah ekoran kecemerlangannya membantu Malaysia muncul juara pada Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 yang berakhir di Jakarta minggu lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri bangga atas kecemerlangan anak muda itu membantu skuad kebangsaan muncul juara pada kejohanan tersebut.

Menurut beliau, sebagai mengenang budi dan menghargai jasanya yang berbakti melalui bola sepak, kerajaan negeri memutuskan untuk menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi.

"Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood.

"Lokasi dan nilai rumah tersebut belum ditentukan. Bila kita menang bola sepak, kita dapat medal. Hadiah medal ini orang berebut satu dunia.

"Oleh itu, berapa nilai sesuatu hadiah ini sebenarnya tidak penting," katanya kepada pemberita selepas meraikan wira negara itu di Kota Bharu semalam.

Pada majlis itu, lebih 3,000 peminat dan penduduk kampung membanjiri sekitar kampung Cherang dekat Kota Bharu untuk menyambut kepulangan wira negara itu.

Khairul Fahmi yang menaiki kereta pacuan empat roda diiringi oleh 40 buah motosikal, tiba di kampung kelahirannya kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Ketibaanya disambut oleh kedua ibu bapanya, Che Mat Hussain dan Bidah Ibrahim.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz turut memberitahu bahawa bersukan merupakan suatu riadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.

"Kita perlu seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Bersukan boleh tetapi kita jangan lupa solat. Solat membentuk keperibadian akhlak yang mulia. Kita jangan terlibat dalam gejala najis dadah.

"Nabi kita dahulu pun bersukan juga. Masa saya berumur 11 tahun ketika zaman perang Jepun, saya menunggang kuda dengan beberapa adik-beradik dan kemudian saya menang," ujarnya.

Tambahnya, kerana terlampau gembira, beliau mengangkat kedua-dua tangan dan secara tiba-tiba seekor biawak melintas.

"Lalu kuda yang saya tunggangi itu pun terkejut dan saya pun jatuh. Sampai sekarang kesakitan itu masih terasa," jelasnya

Nik Abdul Aziz turut memberi nasihat kepada bintang muda itu agar jangan mudah lupa diri setelah dijulang sebagai wira bola sepak negara.

"Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepadanya," katanya.

Kejayaan skuad negara muncul juara kejohanan itu telah mengakhiri penantian sejak 14 tahun lalu.



Artikel berkaitan:



Khairul Fahmi dapat hadiah rumah
Oleh Mohd Fakri Awang Lah
bhsukan@bharian.com.my
2011/01/04



KHAIRUL Fahmi (dua dari kanan) disambut penduduk di Kampung Cherang, semalam.PENJAGA gol Skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat, 21, yang membantu negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010 Disember lalu, menerima ‘durian runtuh’ apabila kerajaan negeri Kelantan bersetuju menghadiahkan sebuah rumah kepadanya bagi menghargai jasa mengharumkan nama Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata langkah itu diambil sebagai menghargai sumbangan anak kelahiran negeri itu yang menunjukkan kemampuannya di peringkat antarabangsa menerusi sukan bola sepak. “Pada tahun ini, untuk menghargai jasa beliau (Khairul Fahmi) yang boleh menjadi contoh kepada masyarakat, maka kerajaan negeri setuju memberikannya sebuah rumah,” katanya pada Majlis Sambutan Meraikan Kepulangan Wira Negara di Kampung Cherang, di Kota Bharu, semalam. Kepulangan Khairul Fahmi ke kampungnya disambut kira-kira 300 peminat sebagai tanda sokongan berikutan sumbangan penjaga gol muda itu menyelamatkan banyak cubaan bahaya Indonesia pada perlawanan akhir yang berkesudahan agregat 4-2.

Nik Aziz bagaimanapun berkata, nilai dan lokasi rumah bakal diterima Khairul Fahmi belum diputuskan kerajaan negeri kerana ia perlu dibincangkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Abdul Fatah Mahmood.

“Harga rumah saya tak sebut nilai berapa, tapi benda itu rumahlah dan Insya-Allah akan disampaikan Abdul Fatah.”

Sementara itu, Khairul Fahmi berkata, beliau tidak menyangka kerajaan negeri akan menghadiahkan sebuah rumah sebagai menghargai jasa dan sumbangannya.
“Saya tak sangka benda macam ini nak jadi (dapat rumah) dan sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri. Saya hanya menjalankan tanggungjawab, mewakili negara dalam bola sepak semata-mata untuk maruah bangsa,” katanya.

Katanya, popularitinya yang naik secara mendadak tidak akan mengganggu tugasnya sebagai penjaga gol untuk skuad kebangsaan mahupun Kelantan.

“Kehidupan sekarang memang beza dari dulu tetapi saya tetap fokus dan beri yang terbaik ketika bermain kerana ini adalah karier saya,” kata Khairul Fahmi.