.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, January 21, 2011

0 Astro First: RM15 untuk menonton filem baru dalam tempoh 48 jam selepas langganan

Astro First tidak saingi pawagam

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my




FILEM merupakan medium elektronik visual yang paling diminati oleh manusia sehingga hari ini. Pada awal kemunculannya, ia bukan sekadar hiburan bahkan turut menjadi alat propaganda untuk menyebarkan fahaman tertentu.

Berdasarkan sejarah, filem atau juga dikenali sebagai seni wayang diperkenalkan secara komersial oleh Lumiere bersaudara pada tahun 1895 dengan rekaan mereka yang dinamakan Cinematographe.

Bagaimanapun, evolusi penciptaan wayang gambar telah bermula dengan rekaan Panorama oleh Robert Barker pada tahun 1780-an yang berbentuk lukisan di dalam silinder.

Tidak lama selepas itu, perkembangan seni wayang menyaksikan terciptanya beberapa peralatan berkaitan seni wayang seperti Eidophusikon, Diorama, Zoetrope, Camera Obscura dan Kinetoscope.

Kemudian Lumiere bersaudara telah menyempurnakan kesemua ciptaan tersebut dengan Cinematographe sehingga wujudnya beberapa nama lain yang menjadikan teknologi seni wayang gambar sebagai satu sejarah yang sungguh hebat.

Sementara sejarah filem di Malaysia juga tidak kurang menariknya. Filem pertama kali diperkenalkan di Tanah Melayu pada tahun 1898 oleh penjajah Inggeris menerusi penayangan dokumentari yang bertajuk Diamond Anivessary Celebration of Queen Victoria.

Pada tahun 1907, pawagam pertama telah dibina di Singapura yang dikenali sebagai Alhambra Cinema.

Ia telah dibina oleh seorang lelaki berbangsa Inggeris yang bernama Willis, namun, ada pendapat lain yang mengatakan ia dibina oleh seorang lelaki Cina, Tan Cheng Kee yang juga perintis kepada industri perfileman ketika itu.

Mengenai penerbitan filem Melayu, rata-ratanya bersetuju bahawa filem Melayu pertama telah diterbitkan di Singapura pada tahun 1933 yang berjudul Laila Majnun yang dihasilkan oleh B.S. Rajhans, seorang pengarah filem dari India.

Selepas itu, era industri perfileman

di negara ini terus berkembang, terutama dengan penghasilan lebih banyak filem yang menjadi alat hiburan masyarakat pada era 1950-an dan 1960-an.

Meskipun saluran televisyen pertama mula diperkenalkan pada tahun 1963, namun, ia tidak menghalang untuk industri perfileman terus berkembang dan masyarakat masih lagi ke pawagam untuk menonton filem-filem kegemaran mereka.

Pada hari ini, sekalipun pelbagai saluran televisyen percuma dan berbayar telah diperkenalkan, orang ramai masih gemar ke pawagam untuk menonton wayang.

RM15 sebuah filem

Tentunya sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran masyarakat di Malaysia bahawa pada suatu hari nanti mereka akan dapat menonton filem-filem tempatan terbaru di rumah. Menariknya, filem yang akan ditonton itu adalah filem yang baru dua minggu ditayangkan di pawagam.

Bayangkan pada tahun 1990-an, penonton hanya dapat menonton filem tempatan di kaca televisyen semasa musim perayaan sahaja, itu pun selepas beberapa bulan ia ditayangkan di pawagam.

Bagaimanapun, kini segala-galanya tidak mustahil lagi apabila stesen televisyen berbayar Astro memperkenalkan sebuah lagi saluran baru iaitu Astro First.

Memulakan perkhidmatan pada 13 Januari lalu, saluran berkenaan menawarkan filem tempatan yang baru sahaja ditayangkan di pawagam.




KARYAWAN filem tempatan dijangka menerima impak positif dengan kemunculan Astro First.


Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata, jika sebelum ini filem terbaru hanya dapat ditonton di pawagam, kini para pelanggan Astro yang berjumlah kira-kira tiga juta orang boleh menontonnya di kaca televisyen.

“Perkhidmatan ini merupakan sejarah baru dalam industri hiburan tanah air. Kini orang ramai boleh menonton filem-filem terbaru di rumah dalam keadaan selesa bersama keluarga atau rakan-rakan.

“Penonton juga tidak perlu memikirkan masalah seperti terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas untuk ke pawagam, bersesak-sesak beratur membeli tiket atau tidak sempat menonton filem terbaru kerana sibuk dengan jadual harian,” katanya pada majlis pelancaran saluran Astro First di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Henry, saluran Astro First juga dapat memanjangkan tempoh tayang sesebuah filem memandangkan Syarat Wajib Tayang di negara ini cuma dua minggu.

Ujarnya lagi, saluran berkenaan juga akan memberi peluang yang lebih luas kepada penonton yang tinggal di kawasan luar bandar untuk menonton filem terbaru, sekali gus memberikan sokongan kepada filem-filem tempatan.

Perkhidmatan ini juga memberi kelebihan kepada penonton kerana mereka dapat menjimatkan kos jika sesebuah filem itu ditonton secara beramai-ramai di rumah.

Menurutnya, untuk melanggan sebuah filem, pelanggan Astro hanya perlu membayar RM15 dan ia boleh ditonton dalam tempoh 48 jam selepas langganan.

“Sebagai permulaan, Astro First akan menayangkan sebanyak tiga buah filem tempatan terbaru kepada penonton iaitu Ngangkung, Aku Masih Dara dan Damping Malam,” ujarnya.

Tambah Henry, selepas ini para pelanggan Astro akan dapat menyaksikan lebih banyak filem terbaru termasuk Hikayat Merong Mahawangsa, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Senjakala dan Kembar Siang.

Tidak Terjejas

Mengikut senarai yang dipetik daripada laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), sehingga bulan Disember 2010, terdapat sebanyak 19 syarikat pawagam, 106 buah pawagam, 577 Dewan dan 119,165 kerusi di seluruh Malaysia.

Kemunculan begitu banyak pawagam di negara ini adalah seiring dengan penghasilan filem yang semakin meningkat saban tahun. Misalnya pada tahun 2003, sebanyak 16 filem sahaja yang dihasilkan setahun.

Namun, pada tahun 2010 pula jumlahnya meningkat dengan begitu ketara iaitu sebanyak 29 buah. Dijangka pada tahun ini lebih banyak filem yang akan dihasilkan.




PELANGGAN hanya perlu membayar RM15 untuk menonton sebuah filem.



Mengenai pengenalan saluran Astro First, sebenarnya timbul satu isu apabila dikatakan ia boleh menyebabkan orang ramai tidak lagi berminat untuk pergi ke pawagam.

Ketika diajukan soalan mengenai perkara tersebut, Henry memberitahu orang ramai akan terus menonton filem di pawagam meskipun kini muncul perkhidmatan baru itu.

Menurutnya, Astro First hanya menjadi satu alternatif kepada mereka yang terlepas menonton filem kegemaran di pawagam.

“Tidak semestinya orang ramai tidak lagi pergi ke pawagam atau memberi saingan kepada pemilik pawagam.

“Berdasarkan kajian kami, ada juga segelintir individu yang tidak mahu beratur panjang untuk membeli tiket wayang sehingga membatalkan hasrat untuk menonton sesebuah filem,” ujarnya.

Bagaimanapun, Henry turut menjelaskan bahawa pihaknya berkeyakinan bahawa minat masyarakat untuk pergi ke pawagam tidak akan terjejas kerana masih ramai lagi golongan seperti remaja yang gemar mencari hiburan di luar rumah.



Artikel berkaitan:


Penerbit filem sokong

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my




KARYAWAN filem Ngangkung pasti bangga kerana filem mereka menjadi antara tiga naskhah terawal ditayangkan menerusi Astro First.



PENGENALAN perkhidmatan Astro First kepada para pelanggan stesen televisyen berbayar berkenaan ternyata merintis satu revolusi kepada dunia perfileman tanah air.

Bagaimanapun, ada segelintir pihak yang mempersoalkan rasional Astro First yang didakwa boleh menyebabkan khalayak ke pawagam akan berkurangan. Namun, rata-rata penerbit filem di negara ini menyambut baik perkhidmatan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim menjelaskan, beliau yakin minat orang ramai untuk ke pawagam masih tinggi.

“Industri perfileman di negara ini sering dihantui dengan kewujudan masalah cetak rompak yang berleluasa sehingga sekarang.

“Sehinggakan ada filem-filem yang baru beberapa hari ditayangkan sudah boleh ditonton melalui cakera padat video (VCD) yang cukup mudah untuk diperoleh.

“Walaupun masalah tersebut terus berlaku, minat penonton untuk menonton filem di pawagam semakin meningkat, sedangkan mereka boleh sahaja memilih untuk membeli VCD cetak rompak,” ujarnya sewaktu pelancaran Astro First baru-baru ini.

Tambah Norman, pengenalan perkhidmatan terbaru itu seharusnya dilihat dari sudut positif terutama sebagai salah satu langkah terbaik untuk membanteras gejala berkenaan.

Menurutnya, selepas ini orang ramai tidak perlu lagi membeli VCD cetak rompak dan sekali gus dapat membantu perkembangan industri perfileman negara.

Dalam pada itu, Norman turut menjelaskan Astro First sedikit sebanyak dapat membantu para penerbit filem yang gagal meraih keuntungan menerusi kutipan filem mereka di pawagam.

Ujar Norman, filem yang tidak mendapat sambutan yang baik di pawagam sudah tentu boleh disiarkan terus melalui kaca televisyen.

“Sementara bagi penerbit filem kecil, Astro First juga menjadi pilihan terbaik untuk filem mereka ditonton oleh lebih ramai orang,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Norman turut berharap agar semua pihak menganggap kemunculan saluran itu sebagai satu bentuk persaingan dalam era baru teknologi serta industri perfileman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), David Teo bersetuju bahawa kemunculan Astro First akan membantu ramai penerbit.

Menurut David, tidak timbul isu orang ramai semakin berkurangan berkunjung ke pawagam. Setiap filem yang akan dimasukkan di saluran berkenaan hanya disiarkan selepas dua minggu ia ditayangkan di pawagam.

“Mengikut Syarat Wajib Tayang Finas, sesebuah filem akan ditayangkan selama dua minggu sahaja.

“Penayangan akan diteruskan pada minggu ketiga sekiranya filem berkenaan mencapai kutipan lebih RM2 juta, tetapi jumlah tayangan akan dikurangkan.

“Kalau kutipan kurang daripada RM2 juta, filem itu akan dihentikan terus tayangannya di pawagam. Jadi, sudah tentu ia akan merugikan penerbit kerana filem terbitan mereka kurang mendapat sambutan,” ujarnya.

Tambah David, Astro First sebenarnya dapat membantu penerbit filem menambah pendapatan mereka.

Selain itu, David turut berbangga kerana Astro First akan mewujudkan satu fenomena dalam industri penyiaran di negara ini, malah perkhidmatan seumpama itu adalah yang pertama di dunia.

0 comments: