.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, December 19, 2010

0 Anak Daphne (Isobel) bukan zuriat suaminya jadi kes mahkamah


Dakwa bukan anak kandung

Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my


SAAT bahagia Ryan (kiri) dan Daphne bersama anak mereka, Isobel Daniella sebelum perkahwinan mereka bercerai pada 2009.



KUALA LUMPUR - Bekas suami model dan pengacara televisyen, Daphne Eleanor Iking mengejutkan Mahkamah Majistret di sini semalam dengan memberitahu bahawa Isobel Daniella Iking-Chong, 2, adalah bukan anak kandungnya.

Ryan Chong Yiing Yih, 32, saksi pertama kes ketika menyambung keterangannya pada prosiding semalam berkata, dia mula mengesyaki perkara itu selepas membaca kiriman e-mel di antara Pengarah Urusan Adidas, Darren Choy Khin Ming, 45, dan Daphne, 31.

Ryan memberitahu mahkamah, dia menjumpai siri kiriman e-mel antara mereka berdua pada 10 Ogos 2008 dalam komputer milik isterinya. Mereka berbalas e-mel sejak 13 September 2006, iaitu sebelum berkahwin dengan Daphne dan situasi itu berterusan sehingga mereka berkahwin.

Katanya, dalam e-mel tersebut, kiriman Daphne kepada Darren antara lainnya turut menyebut, muka anak tersebut lebih mirip kepada Darren.

"Dalam e-mel tersebut ada menyebut anak tersebut mungkin bukan anak kandung saya. Jadi saya membawa Isobel ke sebuah klinik di Petaling Jaya untuk membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan perkara itu.

"Sampel spesimen tersebut kemudian dihantar ke Australia untuk diuji. Berdasarkan daripada laporan perubatan tersebut menerangkan bahawa saya bukan bapa kepada Isobel," dakwanya ketika disoal oleh peguamnya, Wong Kian Kheong.



Artikel berkaitan:

Isobel bukan anak kandung saya - Ryan Chong Yiing Yih
KUALA LUMPUR 17 Dis. - Bekas suami model dan pengacara Daphne Iking memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa dia terkejut selepas mengetahui Isobel Daniella, bukan anak kandungnya hasil perkongsian hidup dengan wanita itu.

Ryan Chong Yiing Yih), 31, berkata, dia mengesyaki perkara tersebut selepas terbaca kiriman emel antara Daphne dengan seorang ahli perniagaan, Darren Choy Khin Ming, pada 16 Ogos 2008.

Menurut Ryan, dalam emel tersebut Daphne, 31, menceritakan kepada Darren, 45, bahawa seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Kamajit memberitahunya, wajah Isobel, 1, mirip kekasihnya itu.

Sebaik sahaja mengetahui perkara tersebut, menurut Ryan, dia terus membawa Isobel ke sebuah klinik di Petaling Jaya, Selangor untuk menjalani ujian darah dan asid deoksiribonukleik (DNA) bagi memastikan sama ada kanak-kanak tersebut, anak kandungnya atau tidak.

Ryan selaku saksi pertama memberitahu hasil kedua-dua ujian tersebut mendapati jenis darah Isobel berbeza daripadanya dan Daphne.

''Darah saya daripada kumpulan O dan begitu juga Daphne. Tetapi darah Isobel kumpulan A,'' kata Ryan.

Saksi itu memberikan keterangan di hadapan Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah dalam saman peribadi yang dikemukakannya terhadap Darren atas dakwaan memikat bekas model tersebut yang ketika itu masih isterinya.

Darren didakwa memikat atau membawa pergi Daphne dengan niat untuk membolehkannya melakukan persetubuhan yang ditegah di sebuah rumah beralamat di B-13-2 The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr. Ismail di sini antara Julai 2007 hingga September 2008.

Darren dipercayai individu pertama didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Ryan yang diwakili peguam Wong Kian Kheong, mengemukakan kiriman-kiriman emel dan salinan perbualan sembang maya (chatting) antara bekas isterinya dengan ahli perniagaan tersebut.

Emel itu mengandungi ayat-ayat percintaan antara pasangan tersebut seperti I love you (saya cinta awak), You are my baby (awak kekasih saya) dan beberapa lagi emel dari 13 September 2006 hingga 3 Jun 2008.

Ryan turut mengemukakan invois percutian Daphne dan Darren di sebuah hotel di Bali, Indonesia sebagai bukti pasangan itu pernah bercuti bersama.

Perbicaraan bersambung pada 20 Disember ini.


Lanjutan artikel:


Sebulan layan GRO

KUALA LUMPUR: Bekas suami model dan pengacara TV, Daphne Eleanor Iking semalam mengaku menjalinkan hubungan dengan pelayan pelanggan (GRO) dari China ketika selebriti itu sedang mengandung.

Ryan Chong Yiing Yih, 32, berkata, hubungan itu berlangsung sebulan dan beliau membuat pengakuan dan meminta maaf kepada Daphne pada Julai 2007 kerana beranggapan ia sesuatu yang salah.


Katanya, GRO itu bernama Serena dan mereka bertemu di sebuah kelab karaoke.

Chong, seorang ahli perniagaan, serta Daphne, 31, berkahwin pada 27 Januari 2007 di Bali, Indonesia dan pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan sebelum bercerai pada 2009.




Chong adalah saksi pertama pada perbicaraan saman peribadinya terhadap bekas Pengarah Urusan Adidas, Darren Choy Khin Ming, 45, yang didakwa memikat Daphne dengan niat untuk bersetubuh dengan wanita itu di kondominium The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, antara Julai 2007 dan September 2008.



Choy didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika disoal peguam, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Choy, Chong berkata, Daphne ada berkomunikasi dengan Serena menerusi satu laman blog.

Bagaimanapun, beliau menafikan ada membayar sejumlah wang kepada Serena supaya tidak mendedahkan perkara itu.

Chong juga tidak bersetuju dengan cadangan Jagjit bahawa beliau ke Shanghai, China pada Julai 2007 bagi menyelesaikan perkara itu.

“Saya ke sana menghantar surat perletakan jawatan di sebuah syarikat hartanah dan ingin menyelamatkan rumah tangga saya,” katanya.

Mengenai surat tuntutan RM5 juta kepada Choy, beliau berkata ia adalah surat terawal pada 17 Oktober 2008, tetapi jumlah itu dikurangkan kepada RM2.5 juta. - Bernama

0 Pengakuan Sukarela untuk perbicaraan kes kecil (PLEA BARGAINING)

Soal Jawab: Kaedah rundingan di mahkamah jimat masa, kos


2010/12/19



Presiden Majlis Peguam, Ragunath KesavanPengakuan bersalah boleh diringankan hanya apabila pertuduhan babit perbicaraan kes kecil

BARU-BARU ini, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mengumumkan kaedah ‘plea bargaining’ atau rundingan bagi pengakuan bersalah untuk kurangkan pertuduhan dan hukuman terhadap tertuduh sesuatu kesalahan jenayah akan dilaksanakan di mahkamah Malaysia tidak lama lagi, namun masih ramai tidak tahu apa sebenarnya kaedah itu serta natijahnya. Wartawan Edisi Mingguan, ROHANIZA IDRIS dan MOHD AZIS NGAH bertemu bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salehuddin Saidin dan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan untuk mengulas perkembangan terbaru ini. APA sebenarnya kaedah rundingan pengakuan bersalah ini. Ia bertujuan memudahkan perbicaraan kes jenayah ringan, bukan kes bunuh atau Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. Prinsipnya apabila seseorang mengaku salah, mahkamah tak perlu buang masa bicara, sebaliknya terus jatuhkan hukuman. Ia jimatkan masa mahkamah dan mengurangkan beban kos ditanggung rakyat. Lebih 90 peratus kes dibicarakan mahkamah jenayah adalah kes ringan misalnya maki hamun atau curi. Kalau kes berat, sudah tentu pendakwa tak akan setuju.

Sebelum pindaan ini, kaedah sama ada diguna pakai di mahkamah, tetapi disebabkan tidak dibuat secara rasmi mengikut undang-undang, hakim kadang-kadang tak bersetuju dengan cadangan itu. Kadang-kala pendakwa tak mahu bekerjasama bagi mengelak salah tanggapan misalnya dituduh berat sebelah atau menerima rasuah kerana membenarkan tawaran. Bagi mengelakkan salah tanggapan itu, mereka tidak bersetuju guna pendekatan tawaran. Ada mahkamah berikan syarat tertuduh boleh buat akuan tetapi keputusan penuh masih di tangan hakim, maknanya tiada jaminan tempoh hukuman. Walaupun pendakwa raya bersetuju pinda tuduhan bunuh kepada bunuh tanpa niat, mahkamah boleh benarkan pengakuan tetapi hakim tegaskan hukuman akan ditentukan kemudian. Jadi, sebagai peguam bela dan tertuduh, mereka tidak pasti berapa tahun akan dipenjarakan kerana hukuman bunuh boleh penjara enam bulan hinggalah 20 tahun.

Tertuduh akan takut nak buat permohonan pengakuan dan peguam bela tak akan nasihatkan anak guam mereka terima kerana tiada jaminan keputusan hukuman akan lebih ringan walaupun hakim bersetuju dengan pengakuan. Melalui pindaan ini, apabila tertuduh mengaku bersalah, pendakwa raya boleh pinda tuduhan. Misalnya kes pergaduhan menyebabkan kematian, mereka akan didakwa atas tuduhan bunuh tetapi pendakwa raya boleh pinda tuduhan kepada bunuh tanpa niat kerana hukuman berbeza, iaitu antara enam bulan hingga 20 tahun. Melalui pindaan kanun acara jenayah, hukuman maksimum ialah 10 tahun, jadi orang yang mengaku bersalah boleh terima hukuman itu, bergantung kepada mereka untuk terima atau tidak. Mereka perlu fikirkan nak teruskan perbicaraan yang memungkinkan mereka dibebaskan atau akan didapati bersalah hingga dipenjara 20 tahun atau menerima pengakuan dengan maksimum hukuman 10 tahun.

Bagaimana kesan kaedah ini kepada tempoh penyelesaian kes pendakwaan.
Sebelum pindaan, perbicaraan kadang-kadang ambil masa tiga hingga lima tahun. Orang kena tuduh yang direman akan berada dipenjara, jika diikat jamin mereka boleh bebas sementara. Ada kes direman sehingga enam tahun. Sepanjang tempoh itu, saksi perlu hadir setiap kali perbicaraan dan membabitkan kos ditanggung kerajaan. Saya ingin tegaskan bahawa ini bukan kaedah untuk melepaskan orang bersalah. Kaedah ini cuma babitkan kes kecil di mana pendakwa raya menimbang keterangan mengurangkan pendakwaan tetapi hak mutlak bergantung kepada mereka. Keduanya, saya percaya pendakwa raya akan turunkan dakwaan sewenang-wenangnya. Contoh kes, seseorang didakwa mencuri secara kekerasan menggunakan pisau, mengaku bersalah mencuri tetapi memohon kepada pendakwa raya bahawa dia cuma cucuk pen pada mangsa untuk menakutkannya. Jadi, tertuduh merayu supaya pendakwaan dikurangkan kepada kes curi tanpa senjata.

Sejauh mana pula kesannya kepada usaha mengurangkan kes tertunggak dan kos serta menjimatkan masa mahkamah.

Mengikut anggaran Majlis Peguam, kaedah itu mampu selesaikan 20 hingga 30 kes ringan tertunggak. Contohnya tuduhan membunuh dengan memandu secara berbahaya. Peguam Negara akan tentukan kepentingan awam diutamakan, jadi tidak timbul isu kaedah ini bertujuan nak bebaskan orang bersalah atau nak menggalakkan jenayah. Rayuan itu hanya dibenarkan kepada pesalah pertama saja. Kesalahan kedua atau lebih tidak layak membuat permohonan. Ia memang terhad dan jika kes bunuh tanpa niat dikurangkan, pesalah tetap dipenjara 10 tahun, bukan dibebaskan. Kaedah ini layak diguna pakai untuk semua kes Kanun Acara Jenayah termasuk juvana, imigresen, alam sekitar, cetak rompak, tidak termasuk kes sivil seperti saman malu. Dari segi kos, ia mengurangkan beban rakyat misalnya kos saksi yang berulang alik ke mahkamah. Semua kos itu ditanggung kerajaan kerana saksi dalam senarai pendakwa raya perlu dibayar dan tempoh bersidang juga perlu diambil kira sebagai kos.

Jika perbicaraan dipendekkan atau langsung tiada, tidakkah ia menjejaskan pendapatan peguam.

Jika dilihat berdasarkan kepentingan peguam, mungkin sedikit menjejaskan pendapatan mereka tetapi Majlis Peguam lebih melihat kepada kepentingan awam, kepentingan sistem keadilan jenayah. Itu satu perkara yang kita boleh terima dan anggap sebagai keperluan serta perkembangan yang mesti ada dan diamalkan.

Dari segi pendapatan, ia terlalu kecil berbanding perkembangan dan sistem keadilan kes. Hak peguam, hak ikat jamin, hak dapatkan bicara yang adil, itu juga diambil kira dan semuanya penting. Kadang-kadang tertuduh memang bersalah berdasarkan fakta dan bukti, tetapi tidaklah boleh dianggap dia bersalah hingga langsung tak boleh diturunkan (hukuman) jika dia mengaku salah. Apa akan jadi jika dia didapati tak bersalah sedangkan kita habiskan masa beberapa tahun dan panggil berpuluh saksi. Kos sudah dibayar sepanjang perbicaraan dan akhirnya tertuduh menang dan bebas, tidakkah ia membuang masa, sedangkan pendakwa raya boleh fokus kepada kes berat, misalnya kes yang boleh menimbulkan ancaman kepada masyarakat. Kita boleh selesaikan kes dalam tempoh dua atau tiga bulan, berbanding lima tahun. Bila dakwaan diturun, mereka tetap dihukum, cuma lebih ringan.

Bagaimana mahu memastikan kaedah ini nanti berjalan lancar dan tidak mengundang persepsi negatif rakyat.

Keputusan membenarkan rayuan adalah hak mutlak pendakwa raya, peguam cuma mengkaji kes dan fakta sebelum buat permohonan, pembentangan dan bincang dengan pendakwa raya. Itu konsep yang kita amalkan. Sebelum pindaan dibuat, banyak perbincangan membabitkan pejabat Peguam Negara, Majlis Peguam dan badan kehakiman untuk tentukan satu cara dengan ambil kira konsep boleh diambil pakai. Ini satu pindaan teliti kerana babit kajian dan perbincangan selama setahun. Jika masyarakat menganggap kaedah ini boleh galakkan orang buat jenayah, ia salah. Kenapa kita perlu jaga hak orang kena tuduh hingga bagi diskaun hukuman. Sebenarnya persepsi itu tak tepat kerana kaedah ini cuma babit kes kecil. Kes ragut juga tak layak kerana babitkan kepentingan awam. Di luar bandar, misalnya kes curi kambing, curi kasut, kes juvana, boleh ditolak ansur bertujuan kurangkan beban dan bagi peluang kedua kepada tertuduh kesalahan pertama. Bagi kes direman, mereka masih berpeluang gunakan hak ini mulai tahun depan.



Artikel berkaitan:


Soal Jawab: Kaedah 'plea bargaining' tak jejas proses keadilan


2010/12/19



Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salehuddin SaidinPendekatan wajar dilaksana di Malaysia kerana terbukti berjaya, diamalkan di AS dan India

BARU-BARU ini, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mengumumkan kaedah ‘plea bargaining’ atau rundingan bagi pengakuan bersalah untuk kurangkan pertuduhan dan hukuman terhadap tertuduh sesuatu kesalahan jenayah akan dilaksanakan di mahkamah Malaysia tidak lama lagi, namun masih ramai tidak tahu apa sebenarnya kaedah itu serta natijahnya. Wartawan Edisi Mingguan, ROHANIZA IDRIS dan MOHD AZIS NGAH bertemu bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salehuddin Saidin dan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan untuk mengulas perkembangan terbaru ini. PADA pendapat Datuk, apakah yang mendorong kaedah ini dilaksanakan secara rasmi di negara kita.
Kaedah ini sebenarnya bukan baru di Malaysia, cuma selama ini ia tidak dibuat secara rasmi dan tiada dalam mana-mana peruntukan undang-undang yang membolehkan pendakwa, peguam dan mahkamah berbincang mengenai pertuduhan dan hukuman terhadap tertuduh. Bererti sebelum seseorang kena tuduh di mahkamah, rundingan terhadap pertuduhan dan hukuman terhadapnya dibincangkan terlebih dulu. Pendekatan ini sudah ada dan dipraktikkan dalam kes jenayah, namun tidak termaktub dalam Kanun Acara Jenayah (CPC) atau undang-undang lain.

Saya berpendapat pindaan CPC dengan memasukkan kaedah ini langkah bagus kerana dapat mengurangkan tempoh perbicaraan. Kaedah ini sudah dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS) dan apa yang mahu dilaksanakan di negara ini, saya difahamkan kerajaan mengambil model dilaksanakan di India. Kaedah ini juga difahamkan begitu berjaya di Amerika Syarikat dan sering dijadikan contoh pada seminar berkaitannya.

Apabila kita memasukkan rundingan bagi pengakuan bersalah dalam undang-undang dan diisytihar sebagai rasmi maka kes perbicaraan di mahkamah dapat dikurangkan. Proses perbicaraan mengambil masa kerana ia membabitkan saksi, bahan bukti, mahkamah, tertuduh, pendakwa raya dan peguam. Jika ada kaedah ini, kes jenayah yang boleh dipertimbangkan untuk dikurangkan hukuman dan tuduhan boleh dilaksanakan.
Contohnya, dalam kes berkaitan dadah, seseorang itu ditangkap kerana mengedar, namun kerana kekurangan bukti mungkin tertuduh tadi boleh dituduh memiliki dadah berbanding tuduhan mengedar yang menetapkan hukuman mandatori gantung. Jadi di sini, kita boleh nampak bagaimana proses ‘plea bargaining’ ini berlaku.

Mengambil contoh ini bermakna ‘plea bargaining’ dapat mengurangkan kes tertunggak dan melicinkan proses pentadbiran keadilan, manakala tertuduh dapat dibicara dengan cepat serta tidak menyusahkan pihak berkaitan seperti saksi dan peguam. Kes yang perlukan perhatian dan mahu dipercepatkan juga dapat dipercepatkan lagi melalui kaedah ini. Juga boleh menyelesai dan mempercepatkan pelupusan harta dirampas kerana sesetengah kes menyebabkan harta dibekukan dan mereka yang terbabit termasuk ahli keluarga atau syarikat yang berkenaan akan dapat meneruskan kegiatan atau kehidupan masing-masing. Ia juga dapat mengelakkan penganiayaan terhadap tertuduh yang ditahan reman lebih lama daripada tempoh hukuman.

Bagaimana pula dengan masa pelaksanaannya, adakah sepatutnya kaedah ini sudah lama diamalkan.

Pada saya, kaedah ini sepatutnya sudah lama dilaksanakan berikutan banyak kes tertunggak. Maka Malaysia agak ketinggalan dalam aspek ini, namun ia perlu dilakukan sekarang juga daripada tidak dilaksanakan langsung. Kaedah ini sesuai untuk negara kita dan perlu dilaksanakan segera, namun persoalan kini mengapa perlu ‘plea bargaining’ ditawar dalam masa 30 hari selepas seseorang itu didakwa. Pada saya, sepatutnya tiada tempoh masa ditetapkan kerana banyak aspek perlu diberikan perhatian termasuk bukti dari Jabatan Kimia, makmal, rekod hospital dan sebagainya.

Satu lagi persoalan ialah bagaimana dengan kes sebelum pindaan dibuat, adakah ia turut terpakai dan boleh menggunakan ‘plea bargaining’ ini, mungkin kerajaan boleh menjelaskannya.

Apa yang pasti, akan wujud pro dan kontra kaedah ini kepada tertuduh.

Kaedah ini membabitkan tiga pihak, iaitu orang kena tuduh, pendakwaan dan mahkamah. Jadi sebelum sesuatu proses rundingan itu berlaku ada beberapa perkara perlu diberikan perhatian. Perlu lihat apa isu yang terbabit, keterangan yang ada, adakah pihak pembelaan cukup keterangan untuk membela atau ada alibi, apakah dengan cara mengurangkan tuduhan dan hukuman akan membawa keadilan kepada mangsa. Itu semua diambil kira dalam proses tawar menawar ini. Mulanya dua pihak iaitu yang mendakwa dan yang dituduh perlu berbincang berdasarkan faktor tadi, apabila bersetuju dengan tuduhan atau hukuman maka ia dikemukakan kepada mahkamah. Jadi mahkamah akan tentukan hukuman paling sesuai hasil kaedah ini dan mengambil kira faktor dikemukakan termasuk keadilan kepada mangsa dan orang kena tuduh.

Akhirnya, mahkamah kena lihat sama ada hukuman dijatuhkan nanti bukan saja bagi keadilan dan kebaikan kepada tertuduh, tetapi kepada mangsa serta masyarakat keseluruhannya. Dalam pindaan ini, saya lihat seseorang yang tidak mempunyai peguam juga harus diambil kira, iaitu tertuduh diminta melantik peguam atau mahkamah melantik peguam untuknya, malah mahkamah juga perlu menentukan orang dituduh itu bersetuju ‘plea bargaining’ dilaksanakan dalam kesnya. Konsep ini menetapkan orang kena tuduh bersetuju dengan proses terbabit dan peguam bertindak menasihatnya, bukannya memaksa selain boleh memberitahu mengenai ‘plea bargaining’ kepada anak guamnya.

Kebiasaannya, pengakuan salah sering diberikan pengurangan hukuman. Apabila tertuduh mengaku salah, maka ia akan menjimatkan masa mahkamah dan saksi serta tanda kekesalan. Dalam konsep ‘plea bargaining’, secara tidak langsung tertuduh akan mengaku kesalahannya dan layak mendapat hukuman setimpal pengakuannya itu. Saya percaya, proses rundingan ini menyebabkan mahkamah akan pertimbangkan hukuman sesuai dan membolehkan tertuduh kembali kepada masyarakat dan diterima baik.

Ada yang kata kaedah ini boleh galakkan orang ramai lakukan jenayah atau ia sebenarnya dapat mendidik supaya tidak lakukan jenayah.

Saya melihat apabila seseorang disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman, ia sudah cukup sebagai pengajaran kepada masyarakat. Ramai yang berkata, tempoh yang lama dalam penjara boleh menyedarkan seseorang, namun kita tidak boleh berpandangan begitu... mungkin seseorang itu akan jadi lebih jahat atau mengulangi kesilapan atau kesalahan jenayah jika dia masih tidak rasa bersalah.
Bagi saya, apabila seseorang itu dituduh ia sesuatu yang amat berat untuk dihadapi dan apabila mengaku salah, ia satu keputusan yang besar. Apa saja hukuman hasil pengakuan itu bagi saya itu satu pengajaran kepada tertuduh.
Jadi, pada saya ‘plea bargaining’ tidak akan menjejaskan proses keadilan kepada mangsa kes jenayah atau masyarakat keseluruhannya. Tempoh masa kes itu dapat diselesaikan membawa faedah kepada mahkamah, tertuduh, mangsa, saksi dan masyarakat juga.

Bagaimana pula kesannya kepada profesion guaman, terutama dari segi kewangan apabila khidmat mereka mungkin kurang digunakan kerana tertuduh terus membuat pengakuan bersalah.

Saya tak nafikan itu, kerana kaedah ini akan menyaksikan banyak kes tidak dibawa ke mahkamah. Proses ‘plea bargaining’ menyebabkan banyak kes dapat diselesaikan, sekali gus kes akan berkurangan di mahkamah. Ia pasti menjejaskan pendapatan peguam, lagipun pembayaran kes melalui ‘plea bargaining’ akan menyebabkan kos guaman berkurangan berbanding kes yang dibawa ke mahkamah. Namun, jika kita melihat kepada penyelesaian kes yang lebih cepat, ada kemungkinan jumlah kes akan bertambah dan dapat menutup jumlah kekurangan pendapatan tadi.

0 Wartawan akhbar nasional vs wartawan akhbar picisan

Tingkat mutu penulisan akhbar

Oleh Sophia Ahmad
sophia@bharian.com.my
2010/12/19


PRESIDEN Persatuan Bekas Wartawan Berita Harian Malaysia, Dr Alias Mohamed (tiga kiri) berbual dengan bekas wartawan Berita Harian pada Mesyuarat Agung keenam dan ketujuh persatuan, semalam.Bekalan informasi berguna hadapi persaingan lebih agrasif

KUALA LUMPUR: Pemantauan rapi terhadap perkembangan wartawan Melayu tanah air bukan saja mampu membantu mengeratkan silaturahim dalam kalangan wartawan, tetapi turut berperanan mempertingkatkan mutu penulisan, khususnya bagi media arus perdana. Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib, berkata kerjasama erat bersama institusi tertentu termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) membolehkan wartawan Melayu menimba pelbagai informasi berguna yang boleh dijadikan senjata untuk bersaing lebih agresif dan kompetitif dengan wartawan kaum lain. “Pada masa ini semua akhbar arus perdana di seluruh dunia mengalami kejatuhan dari segi edaran. Ini bukan saja kerana kandungan akhbar boleh diakses menerusi internet, tetapi dalam hal lain mutu penulisan juga banyak mempengaruhi.

“Kewartawanan berasaskan kepada ketepatan fakta, kecepatan menghantar berita, penulisan yang baik dan kebolehan menganalisis yang dinamik. Jadi jika ada satu jawatankuasa ditubuhkan bersama IPT di negara kita, saya percaya aspek keilmuan dalam dunia kewartawanan akan lebih terserlah dan mampu melahirkan wartawan berkualiti,” katanya.

Berucap merasmikan mesyuarat agung keenam dan ketujuh Persatuan Bekas Wartawan Berita Harian Malaysia (PBWBHM), di sini semalam yang turut dihadiri Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid, Ahmad berkata, PBWBHM harus ada blog sendiri supaya hal ehwal persatuan dan perkembangan terkini ahli diketahui dengan pantas dan berkesan.

“Ahli kita ada di seluruh negara dan mungkin juga ada ahli yang berhijrah ke luar negara. Jadi blog adalah perantara terbaik untuk membolehkan mereka mengetahui perkembangan terkini persatuan,” katanya.
Ahmad berkata, blog persatuan itu bagaimanapun perlu mempunyai agenda khusus sama ada menjurus kepada aktiviti berbentuk sosial atau memberi fokus kepada wadah perjuangan persatuan dalam merintis jalan lebih sempurna dan terjamin untuk wartawan Melayu.

“Blog dalam bentuk sosial membolehkan ahli berkomunikasi dan bertukar pendapat manakala blog yang mengkhusus sebagai wadah perjuangan akan menjadi lidah dan pencetus fikiran untuk agenda lebih serius,” katanya yang turut menyarankan direktori PBWBHM diwujudkan dalam bentuk cetakan dan virtual untuk kemudahan ahli.

0 Kepada penderma, jagalah organ anda dengan baik kerana ia milik orang lain kelak

149,315 ikrar derma organ


2010/12/19
KUALA LUMPUR: Seramai 149,315 rakyat berbilang bangsa mendaftar sebagai pengikrar penderma organ sehingga bulan lalu sejak kempen menderma organ dilancarkan Kementerian Kesihatan pada 1997.

Walaupun angka itu bertambah, Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ mendedahkan sebilangan besar pengikrar tidak dapat menyempurnakan niat mereka kerana dihalang keluarga. Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata apabila kempen menderma organ dilancarkan pada 1997, jumlah pengikrar penderma organ ketika itu hanya 2,566 orang dan rakyat sekarang mula melihat perbuatan menderma organ sebagai amalan mulia. “Bagi mengelak halangan itu, kita amat berharap individu yang mendaftar sebagai penderma organ akan memberitahu hasrat mereka kepada keluarga masing-masing sebelum menjadi pengikrar.

“Sejak 1976 hingga bulan lalu, seramai 307 pengikrar sudah menderma organ mereka dan jawatankuasa juga sentiasa menjelaskan bahawa semua agama tidak menghalang umatnya menderma organ bagi membantu pesakit lain memerlukannya.

“Di Malaysia, derma organ dilakukan secara sukarela dan bukannya membabitkan aktiviti jual beli atau perdagangan organ,” katanya kepada Berita Minggu di sini, semalam.

Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penggubalan Akta Transplantasi yang bakal dibentangkan bertujuan memantau penderma organ bagi mengelak berlakunya perbuatan penjualan organ di negara ini.
Liow berkata, akta itu yang masih dalam peringkat awal penggubalan akan merangkumi semua aspek termasuk pemerdagangan manusia, pendermaan organ dalam dan luar negara, penderma organ, kaunseling serta tempat pemindahan organ.

0 Cayalah dengan Tan Sri Taib Mahmud!

Taib, wanita Lubnan selamat diijab kabul


2010/12/19

Abdul Taib Mahmud

TAIB dinikahkan Kipli dalam majlis tertutup di kediaman rasmi Ketua Menteri Sarawak, di Kuching, malam tadi.

WANITA Lubnan berusia 28 tahun yang dinikahi Taib.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selamat dinikahkan dengan seorang wanita Lubnan berusia 28 tahun dalam majlis tertutup yang diadakan di kediaman rasminya, di sini, malam tadi.

Terdahulu, anggota keselamatan yang bertugas di kediaman Taib memaklumkan satu majlis tertutup diadakan dengan pihak media tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan. Majlis itu hanya dihadiri orang kenamaan dan ahli keluarga terdekat bermula dengan majlis tahlil dan doa selamat yang turut dihadiri kira-kira 200 tetamu khas. Antara orang kenamaan yang dilihat masuk seawal jam 6 petang ialah Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Openg; Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Penasihat Khas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Mohd Naroden Majais dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi.

Taib dan isteri, seorang wanita Lubnan dinikahkan Mufti Sarawak, Kipli Yassin, kira-kira jam 9.30 malam dengan satu majlis persandingan sederhana turut diadakan di ruang utama kediaman rasmi beliau. Antara saksinya, anak kedua Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir.

Majlis tepung tawar mempelai dan persembahan hadrah dan berzanji turut diadakan ketika Taib dan isteri bersanding dengan kenalan dan keluarga terdekat diberi peluang menepung tawar pasangan.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Amin Sahmat yang ditemui pihak media, memaklumkan majlis itu adalah tertutup dengan hanya jemputan khas dibenar memasuki kediaman Ketua Menteri.
“Ini hanya majlis doa selamat, pengumuman lanjut akan dibuat kemudian dengan majlis kepada umum akan diadakan pada Januari,” katanya.

Bagaimanapun, Amin enggan mengulas lanjut mengenai majlis yang sebelum itu dipercayai adalah bagi meraikan pasangan Taib dan pilihan hatinya itu.