.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, December 05, 2010

0 Tuah bola sepak sebagai Pemain Paling Bernilai. Kawalan bola yang tenang dan bakat.


Norshahrul meniti kemasyhuran

Oleh HELMI TALKAH


NORSHAHRUL (kanan) dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 awal bulan lalu.



“SAYA langsung tidak sangka untuk memenangi anugerah ini.”

Demikian luahan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha ketika diajukan pertanyaan mengenai perasaannya selepas dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 awal bulan lalu.

“Secara jujurnya, saya langsung tidak menjangka saya akan dipilih untuk merangkul anugerah tersebut kerana pemain-pemain lain yang turut tercalon semuanya hebat-hebat belaka.

“Namun, mungkin sudah rezeki saya dan saya bersyukur kerana dipilih untuk menjadi penerima anugerah ini.

“Yang pasti, pengorbanan saya berbaloi. Anugerah ini adalah untuk isteri saya dan semua jurulatih yang pernah membimbing saya selama ini,” jelas Norshahrul kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Selain anugerah MVP, Norshahrul yang juga penyerang skuad kebangsaan turut merangkul satu lagi anugerah iaitu Penyerang Terbaik.

Bak kata pepatah - ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.’

Itu yang berlaku kepada Norshahrul apabila dua anugerah yang dimenanginya hadir dua hari selepas dia membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia 2010.

Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, Kelantan berjaya melakar kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Negeri Sembilan.

Sekalipun tidak mencatatkan nama sebagai penjaring, namun tidak keterluan jika Norshahrul dilabel sebagai nadi utama terhadap kejayaan yang dilakar skuad The Red Warriors itu.

Bukan sahaja pada pertemuan menentang Negeri Sembilan, malah aksi lincah penyerang berusia 24 ini sentiasa membuatkan benteng pertahanan pihak lawan menjadi kucar-kacir.

Jika dua anugerah yang dimenangi anak jati kelahiran Besut, Terengganu ini dinilai berdasarkan faktor jaringan, ternyata dia bukan pemain pilihan bagi merangkul gelaran tersebut.

Ini kerana, bekas penyerang UPB My-Team itu hanya merekodkan 14 gol sepanjang saingan musim ini.

Bagaimanapun, jaringan bukanlah faktor utama yang mengangkat Norshahrul merangkul anugerah yang dimenanginya itu.

Pelbagai aspek telah diambil kira dan dia sudah pastinya menepati kriteria-kriteria yang diperlukan barisan panel pemilih yang diketuai jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagopal.

Ternyata, kejayaannya memenangi anugerah tersebut memberi suntikan semangat buat Norshahrul yang terpilih menggalas cabaran skuad Bawah 23 (B-23) negara pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.



NORSHAHRUL (kanan) meledakkan gol tunggal Malaysia ketika tewas 1-5 kepada Indonesia, Rabu lalu.

--------------------------------------------------------------------------------



Sekalipun telah melebihi had umur, Norshahrul tetap disenaraikan atas kuota tiga pemain senior.

Bagaimanapun, langkah skuad negara tersekat di pusingan kedua selepas mereka tewas 1-2 kepada bekas juara, Iran.

Namun kejayaan anak-anak buah Rajagopal melangkah ke pusingan kedua wajar diberi pujian selepas 32 tahun Malaysia gagal berbuat demikian.

“Sekalipun kami tersingkir pada pusingan kedua, namun kami telah berjaya mempamerkan peningkatan biarpun tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan.

“Jika kami mampu mengekalkan rentak kecemerlangan ini dan terus bekerja keras, saya yakin skuad kebangsaan mampu pergi lebih jauh pada masa akan datang,” kata Norshahrul yang meledak gol tunggal ketika menentang Iran.

Kini ujian terbaru buat Norshahrul bersama skuad kebangsaan adalah menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia.

Di bumi Guangzhou, skuad kebangsaan pincang tanpa kelibat beberapa tonggak utama.

Malangnya, pada aksi pembukaan menentang Indonesia, mereka dibelasah 5-1 meskipun dia menjaringkan gol tunggal Malaysia.

Norshahrul adalah antara pemain yang membantu skuad B-23 negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Vientiene, Loas tahun lalu.

0 Tasik merah seluar 6 hektar. Pelik dan hairan bagaimana ianya terjadi?

Tasik ‘darah’ ditemui di Sumatera Selatan



TASIK merah di hutan Raje Mandare, Sumatera Selatan, Indonesia.


Sumatera selatan - Merah bak darah! Itulah warna permukaan sebuah tasik seluas enam hektar yang ditemui sekumpulan penduduk tempatan dan peminat paranormal di Pagar Alam di sini, lapor akhbar Kompas semalam.

"Kami bersama rombongan 21 orang melakukan ekspedisi di kawasan Rimbacandi dengan menyusuri tebing, hutan, dan bukit bukau selama dua hari untuk sampai ke lokasi tasik merah itu," kata Asmidi, seorang penduduk tempatan.

Tasik berkenaan terletak di kawasan hutan berbukit Raje Mandare di sempadan Kota Pagar Alam dan Daerah Kaur, wilayah Bengkulu yang terkenal dengan banyak peninggalan bersejarah, termasuk candi.

"Anehnya, walaupun permukaan tasik ini merah, airnya pula jernih ketika dicedok keluar dengan menggunakan tapak tangan," kata Asmidi.

Selain tasik merah, hutan Raje Mandare turut menampilkan keganjilan lain termasuk spesies haiwan raksasa seperti lipan sepanjang 50 sentimeter (sm) dan lebar 30 sm serta burung raksaksa selain kerbau-kerbau yang mempunyai sarang lebah pada telinganya. - Agensi

0 Facebook vs The Social Network

Mesti Tonton: Rahsia laman sosial
Oleh Farihad Shalla Mahmud

2010/12/04

The Social Network dedah asal-usul Facebook



Judul: The Social Network
Pelakon: Jesse Eisenberg, Justin Timberlake, Rooney Mara, Bryan Barter, Dustin Fitzsimons, Joseph Mazello dan Andrew Garfield
Pengarah: David Fincher
Penulis: Aaron Sorkin
Genre: Biografi / Drama
Durasi: 120 minit
Tayangan: Mulai 2 Disember 2010


SELEPAS MySpace dan Friendster, laman sosial Facebook dan Twitter kini menjadi fenomena baru dalam dunia siber. Rata-rata masyarakat hari ini lebih gemar menggunakan laman sembang untuk berinteraksi, sehingga ada yang menjadi ketagih.

Tidak dinafikan, bilangan mereka yang mempunyai akaun Facebook kini mencecah sehingga beratus-ratus juta orang. Namun tahukah mereka bagaimana Facebook bermula dan apakah cerita di sebalik kewujudannya? Dibikin berdasarkan sebuah buku tulisan Ben Mezric berjudul The Accidental Billionaires, filem arahan David Fincher ini membongkar siapa sebenarnya Mark Zuckerberg, insan yang bertanggungjawab mencipta Facebook. Siapa sangka, laman sembang ini sebenarnya wujud akibat perasaan marah Zuckerberg setelah ditinggal teman wanitanya. Kecewa dan marah atas tindakan bekas kekasih, Zuckerberg dengan bantuan teman sekuliah berjaya menggodam sistem komputer di universitinya, Harvard, dan beberapa universiti lain untuk mencipta sebuah laman sosial baru, yang akhirnya membawa padah kepada diri sendiri.

Menggunakan teknik imbas kembali, sepanjang filem ini Zuckerberg digambarkan sebagai seorang yang bijak dan bergelar jutawan pada usia sangat muda. Tetapi pada masa yang sama dia mempunyai pelbagai sifat buruk. Antaranya penggodam, pencuri, pengkhianat, tidak berhati perut dan suka mengambil kesempatan.

Pendek kata, Zuckerberg digambarkan cukup negatif dalam filem ini sehinggakan si empunya diri terpaksa tampil membuat penjelasan kebanyakan paparan mengenainya dalam filem itu tidak benar. Barangkali, ada benarnya apa yang dikatakan Zuckerberg itu kerana buku yang dijadikan sumber filem itu pun ditulis berdasarkan panduan diberikan Eduardo Saverin (watak dilakonkan Justin Timberlake) dan beberapa pihak yang berada di dalam lingkungan lelaki itu, bukan daripada mulutnya sendiri.

Bukan mudah untuk membawakan watak yang ada kaitan dengan mereka yang masih hidup. Emosi, perwatakan fizikal harus sama dengan individu yang hendak diceritakan. Pemilihan Jesse Eisenberg untuk membawakan watak Zuckerberg memang tepat sekali. Sifat serius dan sekali sekala diselitkan unsur lawak sama ada menerusi perbuatan dan juga dialog membuatkan watak itu nampak bernyawa.
Begitupun pada masa yang sama, watak berkenaan turut mengundang simpati penonton apabila dia terpaksa berdepan dengan situasi di mana dia terpaksa memilih antara kawan dan juga masa depan.

Kemunculan Justin dalam filem ini juga harus diberikan pujian. Meskipun bukan memegang watak utama, namun sebagai antagonis, dia berjaya membuatkan penonton benci dengan kejahatan yang dilakukannya.

Bagi mereka yang memang tidak boleh berenggang dengan Facebook, mereka pasti rasa teruja kerana filem ini bagaikan sebuah dokumentari yang menjelaskan asal usul setiap elemen yang tersedia dalam laman sosial itu. Bagaimana Zuckerberg mendapat idea untuk meletakkan status dalam Facebook, semuanya dipaparkan dalam filem yang berdurasi selama dua jam itu.

Seperkara lagi yang membuatkan filem ini harus ditonton ialah gambarnya yang begitu cantik di layar perak. Semua itu tidak akan menjadi tanpa gerak kerja kamera yang baik serta penataan cahaya yang tepat. Tahniah buat buat Fincher dan rakan-rakan.

0 Bakat pengarah Yasmin Ahmad setaraf dengan P Ramlee. Dimana kan kita cari ganti?

Yasmin pengarah terbaik


2010/12/05
TAIPEI: Allahyarham Yasmin Ahmad melakar sejarah negara apabila dinobatkan Pengarah Terbaik melalui filem terakhir arahannya, Mualaf pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) Ke-54 di sini, malam tadi.

Ketua Delegasi Malaysia ke FFAP yang juga Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Ahmad Puad Onah, berkata Anugerah Pengarah Terbaik julung kali dimenangi Malaysia sejak festival itu diperkenalkan. "Ini adalah detik bersejarah bagi Malaysia. Jika sebelum ini kita pernah memenangi anugerah pelakon terbaik, tetapi kali ini kita berjaya membolot anugerah tertinggi pada pertandingan filem serantau itu," katanya selepas berlangsungnya festival itu di sini, malam tadi. Beliau mewakili Allahyarham Yasmin menerima trofi itu berkata, pencapaian Yasmin berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam industri filem. – BERNAMA