.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, November 24, 2010

0 Tanya sejarah seks pasangan anda untuk membendung HIV AIDS. Ianya sukar dikenal pasti dan segan untuk ditanya tetapi itu untuk nyawa anda!

Lebih ramai hidap HIV melalui hubungan seks

24/11/2010 3:03pm


KUALA LUMPUR 24 Nov. - Orang ramai khasnya kaum wanita di negara ini dinasihati agar menyedari cara dan trend HIV menjangkiti mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kie.

Ini kerana kata beliau, kini lebih ramai wanita dan remaja perempuan di negara kini dijangkiti HIV menerusi hubungan seks berbanding sebelum ini melalui suntikan.

Kini trend baru pesakit HIV baru di negara ini dijangkiti menerusi hubungan seks berbanding sebelum ini jangkitan HIV di kalangan penagih dadah melalui suntikan, katanya dalam ucapan pada pelancaran perbincangan meja bulat mengenai kedudukan Wabak HIV dan Aids di Malaysia di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara Datuk Aminah Abdul Rahman.

Menurutnya, kebanyakan wanita dan budak perempuan di Asia kini dijangkiti virus itu menerusi hubungan seks dengan suami atau teman lelaki mereka yang menghidapi HIV. - Bernama

0 Penerbit memerlukan pengarah dan penulis skrip yang baik untuk survival. Kata penerbit, setiap babak adalah wang hangus!

Terbit drama berkualiti

Oleh Ramlah Zainal
SEPANJANG aktif bersama Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof berjuang membantu ahli dengan mendapatkan slot menerbitkan program untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Bagaimanapun kini, bekas Presiden Seniman itu aktif menggerakkan syarikat produksinya, Warna Motion Pictures & Marketing Sdn Bhd (Warna) menghasilkan karya berkualiti untuk memartabatkan lagi industri seni tanah air.


Mustapha yang juga Pengarah Urusan Warna menegaskan, sebagai penerbit dia akan pastikan semua projek drama terbitan syarikatnya mendapat skrip yang bagus, selaras dengan seruan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim meminta penerbit drama tempatan mementingkan kualiti drama dihasilkan.

"Saya bersyukur kerana Warna diberi peluang menerbitkan drama untuk RTM yang dikenali kerana membuat bayaran paling tinggi dari semua stesen lain di negara ini.




"Namun, saya akui tidak mudah untuk mencari pengarah dan penulis skrip yang bagus ketika ini tapi ia memang tanggungjawab kita kepada negara.


"Sebagai penerbit, saya mementingkan karya berkualiti untuk memberi kepuasan kepada penonton.

"Penerbit juga perlu menghasilkan drama berkonsep 1Malaysia seperti seruan kerajaan. Kita tidak hanya fokus pada penerbitan drama Melayu sebaliknya boleh menghasilkan drama Cina, India dan sebagainya," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri Pak Kaduk, baru-baru ini.

Kata Mustapha, Warna sudah terbabit dalam penerbitan selama 28 tahun dan banyak menerbitkan projek dokumentari, iklan dan video korporat. Kini Warna ada tujuh projek baru yang sudah siap. Antaranya drama bersiri 13 episod, Pak Kaduk yang akan bersiaran di TV2.

Senator Tan Sri Dr Jins Shamsudin turut menjadi penerbit drama ini dan ia dilancarkan dalam satu majlis yang dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) RTM, Datuk Norhayati Ismail.

Kata Mustapha, Pak Kaduk adalah drama berkualiti terbaru terbitan syarikatnya dan idea menghasilkan cerita ini tercetus menerusi pemerhatian di sekeliling.

"Cerita ini diberikan judul Pak Kaduk sebagai simbolik kisah Pak Kaduk yang menjadi bualan masyarakat sejak dulu. Mungkin ramai yang tidak tahu ada ramai`pak kaduk' dalam masyarakat kita hari ini. Adakah kita mahu kisah pak kaduk yang tergadai kampungnya itu berulang dalam dunia korporat kita sekarang," katanya.

Mustapha juga mengakui drama bersiri Pak Kaduk adalah drama paling mencabar yang diterbitkan syarikatnya setakat ini. Penggambaran mengambil masa 40 hari di sekitar Langkawi, Kedah.

"Pada peringkat awal, memang kami merancang untuk menjayakan penggambaran drama ini di Kuala Lumpur tetapi terpaksa buat di Langkawi kerana kesukaran mendapat kebenaran buat penggambaran di hotel sekitar Kuala Lumpur termasuk bertaraf lima bintang.

"Kita merancang buat penggambaran di hotel kerana ingin menggambarkan 'Pak Kaduk' dalam imej korporat," katanya.

Tambahnya lagi, pihak produksi terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi bila menjayakan penggambaran di Pulau Langkawi bermula pada 29 Oktober dan berakhir pada 10 November lalu.

"Kesukaran untuk mendapat lokasi hotel ini memang masalah yang sering berlaku dalam produksi kita. Kita juga memerlukan bantuan kerajaan untuk membantu dalam perkara ini. Pada masa sama, kami berhadapan ujian kerana terpaksa meredah hujan dan banjir di Kedah untuk menjayakan penggambaran seperti dijadualkan," katanya.

Drama arahan Saian Samion ini dibintangi barisan pelakon seperti Datuk Mustapha Maarof (Datuk Kamil), Adrea Abdullah (Norhayati), Al Fahar (Norman), Bob Singah (Taha), Pesha (Badrun), Datuk Aziz Singah (Amri), Aimi Jarr (Wak Seman), Rosnah Johari (Datin Kalsom), Fazlina Datuk Ahmad Daud (Hanim) dan Haanii Shivraj (Kamala Devi).

0 Idea kreatif, rezeki, ilmu pendidikan, skill interpersonal dan sokongan masyarakat menjadi penyelamat golongan tersepit

Lelaki kurang upaya buka bisnes selepas mohon 1,923 pekerjaan


RICHARD SHAKESPEARE



SINFIN - Seorang lelaki kurang upaya di Britain, Richard Shakespeare menubuhkan sebuah syarikat perunding bagi memberi nasihat mengenai perkhidmatan untuk golongan kurang upaya selepas 1,923 permohonan kerjanya ditolak, lapor sebuah akhbar semalam.

Shakespeare, penghidap sakit saraf Cerebral Palsy yang menyebabkan pergerakannya terbatas turut membelanjakan £1,000 (RM4,965) bagi membeli setem selama 12 bulan selepas dia diberhentikan daripada jawatan sebagai penasihat pelanggan sebuah bank Internet.

"Namun, sesudah setahun tidak mendapat kerja, saya mula tertekan dan peluang kerja yang bersesuaian dengan diri saya pula semakin berkurangan," katanya.

"Saya kemudian terfikir bahawa ratusan syarikat tidak memiliki pengalaman mengenai cara berurusan dengan orang kurang upaya dan saya sebagai seorang kurang upaya boleh membimbing mereka," tambahnya.

Idea tersebut menyebabkan dia menubuhkan sebuah firma perunding bagi membimbing majikan mengenai kaedah berurusan dengan golongan kurang upaya.

Kini, firmanya memperoleh kejayaan yang memberangsangkan.

Pada Oktober tahun lalu, Shakespeare mendapat pelanggan terbesarnya yang pertama apabila pengurus Hotel Novotel, Mike Colman meminta khidmat nasihatnya mengenai cara meningkatkan tahap perkhidmatan di hotelnya. - Agensi

0 Lebih RM22,000 sebulan gaji perdana menteri Malaysia dan lebih RM5j setahun dibelanjakan untuk bayar gaji anggota kabinet

PM terima gaji RM22,826.65 sebulan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri menerima gaji bulanan sebanyak RM22,826.65 mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2005 yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2004.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Timbalan Perdana Menteri pula dibayar RM18,168.15 manakala jemaah menteri menerima RM14,907.20.

"Gaji bulanan setiausaha politik sebagaimana yang ditetapkan dalam Ketentuan Saraan Setiausaha Politik 1980 adalah RM5,709.99 yang juga berkuat kuasa pada 1 Januari 2004," katanya pada Persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan N. Gobalakrishan (PKR-Padang Serai) mengenai penetapan gaji dan semua bentuk elaun yang dinikmati anggota Kabinet, setiausaha politik serta jumlah emolumen dan elaun mereka dari tahun 2005 hingga tahun 2009.

Mohamed Nazri berkata, jumlah gaji tahunan yang telah dibayar kepada anggota Kabinet bagi tahun lepas ialah RM5,470,942.40 dan RM5,783,993.60 pada 2008.

Katanya, RM5,858,529.60 dibayar pada 2007 manakala RM5,858,529.60 pada tahun 2006 dan RM6,007,601.60 pada 2005.

0 Belajar sejarah untuk membina masa depan bukan untuk mengulangi kesilapan masa lalu

Peguam Syarie Menulis: Sejarah beri panduan bina masa depan cemerlang

Oleh Tuan Musa Awang

2010/11/24
CADANGAN kerajaan menjadikan subjek Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajar dipandang dari perspektif positif, meskipun ada beberapa pihak menentangnya. Sebagai seorang yang mengambil subjek Sejarah sejak di bangku sekolah menengah, saya menyokong syor ini.

Sejarah bukan hanya untuk dikenang, dibukukan atau dijadikan rekod tawarikh untuk ditelaah oleh generasi akan datang, tetapi sejarah adalah satu bentuk pendidikan berterusan agar kita menghargai apa yang dikorbankan oleh tokoh terdahulu atau tidak mengulangi kesalahan sama yang pernah dilakukan oleh orang terdahulu. Bukti menunjukkan bahawa sejarah itu berulang-ulang, cuma watak, latar tempat dan plotnya saja berbeza. Daripada sejarah kita belajar bagaimana Nabi Muhammad SAW yang berasal daripada seorang anak yatim, miskin dan buta huruf mampu menjadi pemimpin agung, sehingga suatu ketika Islam menjadi tamadun peradaban yang mendominasi sebahagian besar dunia, kemudian menjadi lemah sehingga sekarang, akibat kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam yang lupakan sejarah. Daripada sejarah juga kita belajar bagaimana Kesultanan Melayu Melaka menjadi sebahagian daripada tamadun Nusantara, yang kemudian jatuh ke tangan penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun akibat kesilapan yang dilakukan oleh sebahagian pemimpin dan rakyat yang lupakan sejarah. Sejarah membuktikan bahawa undang-undang Islam yang pernah menjadi hukum kanun kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan sebahagian besar negeri Tanah Melayu telah dipinggirkan selepas penjajahan. Hakikatnya kini, Mahkamah Syariah berada pada taraf, status, kedudukan dan bidang kuasa yang lebih rendah dan sempit berbanding mahkamah sivil.

Sejarah ketamadunan Mesir di tepian Sungai Nil mengajar kita mengenai sejarah sistem kalendar, penyimpanan mayat dan piramid. Sejarah ketamadunan China dari tepian sungai Huang Ho dan Yang Tze mengajar kita mengenai sejarah penemuan kertas, sutera, dan sistem pertanian. Sejarah perang dunia pertama dan kedua mengajar kita mengenai relovusi dan perkembangan teknologi seperti pesawat terbang, kapal selam, senjata dan komunikasi. Dari sejarah, kita belajar bahawa pemimpin yang mencapai cita-cita politik mereka dengan bermandikan darah, air mata, dan penderitaan rakyat seperti Firaun, Stalin dan Hitler akan dikenang walaupun dari sudut negatif.

Belajar sejarah menjadikan kita semakin bijak untuk membangun dunia pada masa akan datang, bukan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan. Belajar sejarah menurut Islam adalah untuk memberi kesedaran, mengambil iktibar dan juga untuk menambah keimanan kepada Allah SWT.

Dianggarkan satu perenam daripada kandungan kitab suci Al-Quran adalah terdiri daripada kisah sejarah. Sebagai contoh, Surah al-Qasas, sebahagian besarnya menceritakan kisah Nabi Musa (as) menentang Firaun dan kaumnya. Firman Allah dalam ayat ke-4 surah itu yang bermaksud: Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia daripada golongan yang membuat kerosakan.

Surah al-Kahfi pula menceritakan kisah sekumpulan pemuda yang tidur di dalam gua. Ayat 9 hingga 13 surah itu yang bermaksud: Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah Ashabul Kahfi dan Ar-Raqim itu saja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambah mereka dengan hidayah petunjuk.