.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, November 18, 2010

0 Ibu: Mereka tidak mengerti. Ibu bapa marah kerana sayang. Dunia luar tidak selamat untuk gadis.

Gadis lari nyaris dirogol

KUALA LUMPUR: ”Saya minta maaf mak, saya menyesal dan janji tidak akan buat lagi,” kata Wan Nur Hakimah Wan Manah, 13 yang lari daripada rumah bersama dua rakannya di Flat Danau Kota Off Jalan Genting Klang, di sini, minggu lalu.

Lebih menjadi sesalan bagi remaja itu apabila dia dan seorang rakannya nyaris menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang kononnya ingin membantu membawanya pulang ke rumah.


Menurutnya, perasaan kesal kerana menurut kehendak hati yang mahu mencari ketenangan dan kebebasan dengan lari daripada rumah menghantui dirinya apatah lagi bila mengenangkan dia terpaksa mengikat perut kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.


“Saya dan rakan terpaksa meminta wang daripada orang yang kami temui kerana ingin membeli makanan. Ketika itu baru saya tahu betapa susahnya bila berjauhan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Akhbar ini Ahad lalu melaporkan kehilangan Nur Hakimah dan rakannya yang dikenali sebagai Amylia,16 dan adiknya, Adila, 13 dan kebimbangan keluarga mengenai keselamatan mereka.


Nur Hakimah berkata, mereka merayau-rayau di pusat beli-belah dan pada jam 3 pagi mereka didatangi seorang lelaki ketika berada berhampiran Hentian Puduraya yang mahu menghantar mereka pulang ke rumah.




“Tetapi, kerana dia bermotosikal, lelaki itu memaklumkan akan membawa saya dan Amylia dahulu sebelum berpatah balik mengambil Adila kemudian.


“Bagaimanapun, sebaik memasuki rumah berkenaan, lelaki itu cuba merogol kami dan dalam keadaan kelam-kabut itu, kami berjaya melarikan diri,” katanya.



Namun, remaja terbabit bernasib baik apabila bertemu lelaki yang kemudian membawa mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sementara itu, ibunya, Nor Hazita Shaari, 44, melahirkan rasa syukur kerana doanya untuk menyambut Aidiladha bersama anaknya itu dimakbulkan Tuhan.


Katanya, sejak kehilangan Nur Hakimah, mereka sekeluarga bimbang keselamatannya hingga penyakit batuk kering yang dihadapinya semakin teruk.

0 Trend orang kaya berbelanja: Beli produk mewah walaupun dalam kegawatan ekonomi

Permintaan produk mewah meningkat

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Penduduk berpendapatan tinggi di Kuala Lumpur terus membelanjakan wang untuk telefon mudah alih dan set televisyen mewah, menurut firma penyelidikan pasaran, Synovate.

Firma tersebut menjangkakan trend itu akan berterusan.

Kajian 2010 yang dijalankannya mendapati hampir separuh (47.7 peratus) daripada penduduk di Kuala Lumpur memiliki TV skrin rata, 47.3 peratus memiliki TV plasma atau LCD dan 11.4 peratus memiliki TV definisi tinggi.

Pada tempoh yang sama, pemilikan telefon pintar juga akan meningkat kepada satu pertiga iaitu 17.8 peratus berbanding 12.5 peratus sebelum ini, kata Synovate dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Urusannya bagi Malaysia, Ben Llewellyn berkata, ini bertentangan dengan kedudukan ekonomi Malaysia yang teruk terjejas akibat krisis kewangan global dalam tempoh kajian itu.

"Rakyat Malaysia dijangka berhenti berbelanja dalam tempoh itu. Kami melihat kelembapan, dua pakej rangsangan dan pengurangan kadar faedah.

"Ekonomi kini agak kukuh namun rakyat mempunyai sedikit kebimbangan ia mungkin tidak berpanjangan," katanya.

Llewellyn berkata, dengan ketidaktentuan ini, ia menunjukkan penduduk Kuala Lumpur yang suka berbelanja besar tidak akan berhenti membeli dalam masa sukar atau baik.

"Mereka merupakan pengguna kebanyakan jenama dalam apa sahaja kedudukan pasaran. Peningkatan perbelanjaan tidak berlaku dalam semua kategori, namun ia ketara dalam teknologi tinggi seperti TV, telefon mudah alih dan komputer riba," katanya.

Kajian itu yang dijalankan mulai suku ketiga 2009 hingga suku kedua 2010, melibatkan 1,708 responden dari Kuala Lumpur. - BERNAMA

0 Kisah kejayaan Emas dan Perak Keirin berbasikal Malaysia

Kamikaze Azizulhasni berbaloi



Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kanan) meraikan kejayaan Azizulhasni Awang dan Josiah Ng (kanan) yang memenangi emas dan perak dalam acara keirin basikal trek Sukan Asia di Guangzhou, semalam.



GUANGZHOU - Menjulang semangat juang ala pahlawan Jepun, 'kamikaze' akhirnya membawa tuah kepada Azizulhasni Awang apabila dinobatkan sebagai 'raja' keirin Asia selepas mencatat kemenangan 1-2 bersama rakan sepasukan, Josiah Ng pada pertarungan akhir, semalam.

Perlumbaan akhir yang penuh dramatik itu menyaksikan Azizulhasni menyumbang pingat emas kedua negara, manakala Josiah pula meneruskan legasi kecemerlangannya pada Sukan Asia sejak dua temasya lalu apabila membawa pulang sebutir perak selepas kecewa dalam pecut berpasukan.

Kedua-duanya mengakui menanggung perasaan kecewa dan rasa tertekan selepas kecundang dalam acara pecut berpasukan dan 200 meter pecut lelaki yang kesemua gelaran terlepas kepada atlet tuan rumah, China yang mempamerkan persembahan menakjubkan dalam temasya pada kali ini.

''Saya berasa marah, geram, takut dan kecewa sebelum perlumbaan dan semuanya saya pusatkan pada perlumbaan akhir ini. Saya beritahu jurulatih (John Beasley) saya akan buat cara kamikaze. Saya tidak kisah apa akan berlaku kerana saya mahu menang. Kalau kalah sekalipun , saya akan berpuas hati sebab telah mengerah seluruh kudrat dalam acara akhir ini.

''Kepala saya benar-benar lega. Selepas kecewa dalam acara 200 meter pecut, saya rasa sangat tertekan untuk bersaing dalam acara akhir Keirin. Tetapi semua bebanan itu hilang selepas menang pingat emas," kata Azizulhasni yang kelihatan sangat ceria, malah mahu menghadiahkan kemenangannya itu kepada emak, ayah dan isterinya.

Malah, kata Azizulhasni, dia akan mencukur kepalanya sehingga botak sebagai menyempurnakan nazar yang dibuat jika berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara keirin, semalam.

Pada perlumbaan akhir acara keirin, semalam, Azizulhasni yang memulakan aksi paling hadapan sambil diekori Josiah, tidak lagi menoleh ke belakang walaupun ketika memecut di selekoh 200 meter terakhir, berlaku pelanggaran pelumba Iran, Mohammad Parash dengan pelumba tuan rumah, Zhang Lei, juara acara pecut 200m sehingga kedua-duanya terbaring di atas lantai veleodrome.

Mengulas perancangannya selepas temasya ini, Azizulhasni berkata, dia akan menumpukan latihan bagi persediaan siri Piala Dunia dalam usaha mencari mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012.

Sementara itu, Josiah yang turut meraikan kemenangannya dan rakan sepasukannya itu berkata, dia seperti tidak percaya apabila mereka berjaya mencatat kemenangan 1-2 pada perlumbaan akhir itu.

Kata Josiah, dia dan Azizuhasni turun berlumba tanpa bekalan strategi pada perlumbaan akhir itu, malah jurulatih (Beasley) telah berpesan agar mempamerkan persembahan yang terbaik dan kebetulan kemenangan memihak kepada mereka.

''Kami telah membuktikan bahawa kami adalah yang terbaik. Kami juga membuktikan dapat menangani tekanan yang anda semua mungkin tidak merasai sepenuhnya. Saya benar-benar bangga dengan kejayaan ini. Tidak ada strategi kerana pada saya, kejayaan negara perlu diutamakan," kata Josiah yang masih segar dengan kejayaan meraih emas keirin pada Sukan Komanwel Delhi, bulan lalu.

Josiah juga adalah pemenang pingat perak dalam acara keirin pada Sukan Asia Doha 2006, malah dia juga menang perak pada Sukan Asia di Busan 2002. - Utusan