.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Monday, November 15, 2010

0 Idea hebat Najib dibukukan harus mendapat tempat dihati rakyat dan cendekiawan

Pintu awal menerobos idea-idea hebat Najib
SEPERTI awal prakata buku ini yang menyebut bahawa ia bakal memberikan pengalaman baharu kepada khalayak pembaca, begitulah yang dapat dirasakan sebaik sahaja selesai melunasi buku ini.

Begitu pun perasaan 'baharu' itu sebenarnya hadir lebih awal iaitu ketika menatap bentuk fizikal buku ini. Pertamanya ia hadir dalam bentuk kompak atau bersaiz buku poket.

Bukan tidak pernah ada buku yang bersaiz sedemikian di pasaran. Tetapi bagi sebuah buku yang intipatinya membincangkan mengenai perjalanan pentadbiran sesebuah negara, ia kebiasaannya hadir dalam bentuk yang lebih serius dan tebal pula.

Namun ada baiknya buku yang memuatkan gagasan dan idea besar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini hadir dalam bentuk sebegini dan hanya setebal 118 muka surat sahaja. Ia memudahkan kesemua khalayak pembaca dari kanak-kanak, generasi muda sehinggalah orang dewasa untuk membacanya sama ada secara berkualiti atau dalam masa senggang mereka.

Lebih tepat, buku ini hadir dengan tarikan mesra pembaca dan begitulah seharusnya sifat sebuah buku waima yang menjadikan isu-isu berat sebagai subjek utama.

Kelainan lain pada buku yang dilancarkan oleh Najib semasa Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 baru-baru ini juga kerana ia didatangkan dalam pakej empat bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil.

Ia perlu dihasilkan dalam pakej sebegitu kerana usaha penerbitannya di pantau sepenuhnya oleh Najib yang merupakan pelopor kepada semangat dan gagasan 1Malaysia. Buku ini merupakan kesinambungan kepada buku beliau yang berjudul Menakhoda Zaman yang ditulis tahun lalu dan diterbitkan oleh penerbit yang sama.

Jika Menakhoda Zaman ditulis berdasarkan inti pati ucapan beliau selama lima tahun sebagai Timbalan Presiden UMNO (2004-2009), buku ini pula dihasilkan berpandukan isu penting daripada siri ucapan beliau sepanjang setahun menerajui kepimpinan negara bermula pada 3 April 2009.

Tetapi siri ucapan itu diolah semula dalam bentuk soalan dan jawapan ringkas yang menurut Najib, berupaya membawa pembaca lebih hampir kepada beliau menerusi pengalaman pembacaan.

Bentuk itu juga bagi Najib, lebih berkesan kerana tidak semua ucapan beliau walaupun penting dalam menentukan hala tuju negara difahami oleh rakyat jelata dalam konteksnya yang sebenar.

''Kesannya, wujud pelbagai tafsiran sehingga diputarbelitkan faktanya oleh golongan tertentu untuk tujuan memburukkan lagi keadaan," tulis Najib.

Terdapat 58 buah soalan dan jawapan yang termuat di dalam buku ini dan dibahagikan kepada 11 sub topik agenda serta wawasan utama pentadbiran Najib. Sub topik itu ialah Kerajaan Berdaya Maju, Transformasi Khidmat Awam, Memacu Ekonomi Mapan, Kemerdekaan Dan Perpaduan Nasional, Malaysia Dan ASEAN, Kesan Teknologi Internet.

Sub topik lain termasuk Malaysia Ke Arah Status Negara Maju, Penjawat Awam Berintegriti, Kreativiti dan Inovasi Dalam Meningkatkan Ekonomi Negara, Gagasan 1Malaysia serta Malaysia dan Isu Antarabangsa.

Begitu pun dalam kebanyakan soalan dan jawapan yang termuat di dalam buku ini, ada beberapa yang perlu difahami dan dihayati dalam erti kata yang sebenar oleh pembaca. Ini kerana ia sangat dekat dengan apa yang berlaku dalam persekitaran kita hari ini dan bagaimana kita sewajarnya bertindak dan memberikan reaksi kepada perkara tersebut.

Antara yang boleh dikongsikan di sini ialah nasihat Najib kepada segelintir rakyat yang cuba melanggar kontrak sosial yang menjadi resipi kesejahteraan dan kejayaan negara selama ini.

Kata Najib: ''Saya suka ingin menegaskan bahawa kerajaan kita yang ada hari ini sangat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara daripada ancaman dalaman mahupun luaran menggunakan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang sedia ada. Ingatlah, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita. Di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta bahagian dan di sini jugalah, Insya-Allah dengan takdir Tuhan kita kelak akan disemadikan," tulis beliau.

Beliau menulis lagi: ''Oleh itu, saya menyeru semua warga Malaysia untuk sama-sama berganding bahu dengan satu tekad mahu menjadikan Malaysia sebuah negara terbaik. Halangannya pada saya hanyalah keengganan kita untuk menyumbang bakat, tenaga dan kesediaan untuk bekerja keras. Sedarlah kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak dan yang bersambung menjadi putus. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat," akhiri jawapan beliau.

Contoh soalan dan jawapan yang dipetik itu adalah gambaran sebenar bagaimana buku ini disajikan kepada pembaca. Kerana itu buku ini meskipun kecil dari segi saiznya, tetapi besar dari sudut idea dan matlamatnya.

Ia boleh diibaratkan sebagai pintu awal yang akan membawa pembaca menerobos idea-idea hebat Najib dalam mengemudi negara serta bagaimana beliau melihat cabaran serta permasalahan semasa.

Justeru, buku ini juga wajar dilihat oleh khalayak pembaca dari perspektif sama yang dilihat oleh Najib. Malah beliau turut menegaskan perkara itu dalam tulisan beliau menerusi ruangan Pendahuluan di dalam buku ini.

Katanya: ''Buku ini diharap akan dapat memperjelaskan dasar, pendirian dan pandangan saya mengenai beberapa isu penting demi memastikan supaya misi, wawasan serta idea kerajaan pimpinan saya dapat lebih difahami dengan kewajaran yang sepatutnya. Harapan saya juga, semoga buku ini dapat melenyapkan segala prasangka antara kita satu sama lain, antara kita masyarakat berbilang bangsa dan agama, juga antara kita rakyat Malaysia dan kepimpinan negara,".

0 Dokumentari P Ramlee terus mendapat perhatian umum. Filem itu bukan sekadar bisnes dan hiburan tetapi filem itu kehidupan

Khazanah bernama P. Ramlee
Beberapa tahun lalu dalam ulasan Muzikal P. Ramlee (dalam majalah Pentas) saya merakam rasa terkilan kerana walaupun P. Ramlee seorang bintang tersohor dalam industri filem kita, tetapi belum ada sekerat pun penghargaan kepada beliau di layar perak.

Selepas menonton dokumentari P. Ramlee terbitan Pesona Pictures di History Channel Astro, sambil menitiskan air mata saya menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Shuhaimi Baba menyatakan terima kasih dan tahniah saya kerana beliau telah melakukan keadilan kepada P. Ramlee dan ini sesuatu yang amat bermakna dan bersejarah dalam industri filem (lebih kepada industri seni sebenarnya) kita.

Selepas program Soal & Jawab di TV3, saya juga menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Datuk Ahmad A.Talib mengucapkan terima kasih kerana melakukan keadilan kepada Shuhaimi Baba dengan membawa pengarah wanita berwibawa dengan kredibiliti yang tidak sedikit dan bukan pengejar glamor ini ke kaca televisyen untuk bercakap dengan jujur tanpa merasa takut tentang dokumentari beliau mengenai khazanah Malaysia yang bernama P. Ramlee.

Semenjak tahun 1998 sewaktu Saloma masih hidup, Shuhaimi telah menyimpan keinginan untuk membuat filem tentang P. Ramlee. Kata Shuhaimi kepada saya, beliau merasa cukup lega selepas selesai membuat dokumentari ini kerana pernah berjanji kepada Allahyarham Nasir anak P. Ramlee untuk membuat filem atau dokumentari tentang seniman agung ini semenjak tahun 2000.

Kekurangan dana menyebabkan Shuhaimi tidak dapat memfilemkan kisah P. Ramlee lebih awal, walaupun ada hikmahnya saya kira kerana dokumentari ini mendapat slot di History Channel yang memastikan lebih ramai manusia di seluruh dunia menontonnya.

Cuma sayang, Nasir juga telah tiada untuk menonton filem tentang bapanya. Begitu rupanya hati budi orang-orang tertentu dalam menjaga khazanah berharga kita! Beberapa bulan yang lalu semasa Shuhaimi Baba dalam proses membuat dokumentari ini saya dijemput ke majlis makan malam di Saloma Bistro untuk mengutip dana untuk waris-waris P. Ramlee.

Ekoran daripada itu, beberapa minggu kemudian ada berita bahawa Universiti Lim Kok Wing telah menganugerahkan biasiswa kepada dua orang cucu P. Ramlee yang menuntut di situ.

Alhamdullilah, ada insan yang terasa, ada hati nurani yang terketuk, ada conscience yang cukup berasa perlu melakukan sesuatu untuk waris-waris yang masih hidup.

Belum ada seorang insan seni Melayu yang begitu hebat dominasinya dalam seni yang bukan saja terkenal di Singapura dan Malaysia, tetapi juga di Nusantara.

Idris Sardi penggesek biola tersohor Indonesia pernah mengakui kepada saya, beliau cukup senang bila memainkan lagu-lagu P. Ramlee dan tidak pernah merasakan keasingannya sebagai seorang komposer Melayu.

Mas Idris merasakan 'kesebatian' lagu-lagu ciptaan P. Ramlee dengan dirinya di mana juga beliau menggesek biola sama ada di New York, London, Paris, Prague atau lain-lain lokasi.

Hubungan emosi dan psikologi antara Idris Sardi dengan P. Ramlee ini cukup dalam malah sesiapa juga yang menonton beliau menggesek biola akan merasakan keistimewaan serta kuasa 'elektrik' yang terkandung di dalamnya.

Ramai yang berkata Idris Sardi akan menitiskan air mata P. Ramlee kalau beliau masih hidup dan mendengar lagunya Getaran Jiwa dimainkan dengan begitu kyusuk dan bertenaga sekali oleh Idris Sardi. Ia satu fenomena sebenarnya.

Saya sependapat dengan Shuhaimi bahawa kita menanggung beban rasa bersalah yang amat sangat terhadap P. Ramlee hingga ke hari ini kerana di akhir-akhir hayatnya, beliau terlantar, terbiar, 'dikhianati' dalam kemiskinan dan kekecewaan oleh orang-orang yang mahu 'mengecilkan' dirinya yang menjadi terlalu popular dan terlalu 'besar' kerana bakat seni yang dipunyainya.

Suatu ironi kehidupan yang sering dilalui oleh sesiapa juga yang merupakan figura larger than life seperti P. Ramlee. Dan hanya mereka yang pernah melalui perkara sebegini yang tahu bagaimana rasanya.

Lebih ironis, Shaw Brothers yang menaikkannya, menatang bagai minyak yang penuh dan memerah segala keringat dan kreativiti beliau tetapi menjatuhkannya sehingga kehilangan keyakinan, harga diri, depresif dan serangan penyakit jantung di umur 44 tahun.

Dan seperti kata Datuk Dr. Ahmad Nawab, ramai orang yang boleh membantu P. Ramlee untuk beliau terus berkarya, tetapi tidak siapa pun yang mahu menolongnya walaupun Sarimah dan HM Shah teman-teman rapatnya berusaha mengeluarkan modal tetapi segalanya telah terlambat.

Mungkin bukan saya seorang yang terkilan dan berjuta-juta rakyat Malaysia yang turut merasakannya, tetapi keterkilanan saya adalah kerana jauh di sudut hati apa yang berlaku kepada P. Ramlee sebenarnya tidak lebih daripada manifestasi situasi 'bumi dipijak milik orang!'

Dan betapa pun besar P. Ramlee itu, dominasi komersialisme dan ekonomi meletakkan orang seperti beliau di akhir hayatnya makan nasi berlaukkan telur goreng dan hanya Saloma yang mendapat tempat di RTM dan diberikan slot program hiburan bagi menampung kehidupan mereka.

Kisah hidup dan kemelaratan P. Ramlee serta keluarganya bukanlah kes terpencil dan satu-satunya berlaku di kalangan aktivis seni kita.

R. Azmi serta beberapa orang lain juga melalui perkara yang sama dan segalanya hanya menunjukkan fakta bahawa kita belum cukup pandai menghargai karyawan seni dan artis kita.

Mungkin kerana hampir semua orang memikirkan bahawa filem, lagu, teater itu hanya untuk hiburan dan tidak lebih daripada itu. Kesedaran kita tentang memanfaatkan seni untuk pembinaan jati-diri, pemikiran dan pengisian minda, emosi dan spiritual yang cukup perlu dalam pengembangan diri manusia masih belum cukup tinggi dan diyakini.

Pun begitu kitalah yang terus ketawa terbahak-bahak melihat parodi, metafora dan kesinisan P. Ramlee dalam Bujang Lapuk, Tiga Abdul dan Madu Tiga.

Lebih sepuluh tahun lalu Shuhaimi Baba membentangkan kertas kerja untuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan meletakkan anggaran RM100 juta untuk pengembangan industri filem kita. Sejak tiga tahun lalu, dana serta bajet untuk kegiatan seni telah berlipat ganda diberikan.

Pada tahun 2009, RM100 juta diperuntukan, diikuti RM200 juta bagi tahun 2010 dan tahun hadapan juga diperuntukan RM200 juta. Jumlah yang cukup besar dan pasti penggiat seni negara ini berpuas hati dengan komitmen kerajaan terhadap mereka.

Pun begitu, tidak bolehkah kita ikhtiarkan sesuatu yang lebih terjamin, berjangka panjang, sistematik dan khusus untuk menjaga kebajikan artis? Ketepikanlah RM10 juta untuk apa juga skim yang sesuai untuk menjaga kebajikan mereka. Biarlah tragedi yang menimpa P. Ramlee menjadi yang terakhir dan diingati sampai bila-bila bersama kemashyuran serta kesenimanannya.

Malah masih banyak yang boleh dilakukan untuk waris dan keluarga beliau yang tinggal. Kita mungkin tidak akan dapat berbuat apa-apa tentang hak cipta filem-filem beliau yang masih menjadi harta Shaw Brothers, tetapi lain-lain bentuk bantuan dan kemudahan untuk menyenangkan kehidupan ahli keluarga beliau serta artis-artis lain pasti lebih bermakna.

Walaupun skim bantuan untuk artis yang memerlukan ada tetapi apakah RM10,000 mencukupi untuk meringankan beban artis dan karyawan seni yang dalam keadaan daif, ditimpa bencana dan keuzuran. Saya mencadangkan satu yayasan dibentuk untuk tujuan ini dan tidak keterlaluan kalau ia dinamakan Yayasan P. Ramlee.

Penulis ialah ahli Persatuan Penulis Selangor - kerabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).

0 27,116 kes bercerai didaftarkan pada tahun 2009. Data mendapati SIKAP TIDAK SABAR menjadi faktor bercerai

10 tahun pertama terdedah perceraian

Oleh NORILA DAUD
pengarangutusan@utusan.com.my

BANGI 14 Nov. - Kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati perkahwinan dalam tempoh 10 tahun pertama amat terdedah kepada keruntuhan rumah tangga sekiranya tiada kesabaran.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha berkata, kajian Jakim pada 2008 itu mendapati, pada tempoh berkenaan perkahwinan menghadapi cabaran hebat seperti rumah tangga mudah goyah sehingga berlakunya perceraian.

Dalam pada itu, katanya, dalam kajian pada 2007 pula mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian.

Selain itu, katanya, 27.7 peratus perceraian berlaku untuk tempoh enam hingga 10 tahun pertama perkahwinan.

"Kajian juga menunjukkan 44.9 peratus perceraian berpunca daripada pasangan gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing selain masalah akhlak, kewangan, seksual dan campur tangan orang ketiga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kursus Keluarga Sakinah sempena Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan musim kedua di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Penolong Ketua Pengarang II, Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, Halid Sintol, Pengarah ILIM, Paimuzi Yahya serta 200 peserta yang bakal mendirikan rumah tangga.

Othman juga memberitahu, sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan yang bakal berkahwin supaya bersedia menghadapi tekanan seperti proses penyesuaian tingkah laku dan tabiat suami isteri.

Dalam pada itu, katanya, mereka juga harus bersedia menanggung beban tugas dengan penambahan anak, perbelanjaan membayar hutang, kenderaan, persekolahan anak, pengasuh dan bantuan kepada ibu bapa yang sudah tua.

Katanya, perlu diingat perceraian memberi kesan buruk kepada anak-anak, justeru isu-isu gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat kini adalah mereka dari keluarga kucar kacir dan tidak stabil.

Menurut Othman, rumah tangga yang kucar kacir juga mewujudkan anak-anak atau keluarga yang rendah jati diri dan lemah harga diri.


Artikel berkaitan:

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
SUNGGUH memeranjatkan, kajian Jakim mendapati 32 peratus perkahwinan pada 2007 berakhir dengan perceraian – hanya selepas lima tahun rumah tangga itu dibina.

Tanpa kita melihat angka-angka yang lain, bagi Awang ia adalah sesuatu yang membimbangkan. Ia melibatkan pasangan suami isteri Islam yang sepatutnya faham mengenai hukum-hakam perkahwinan.

Sepatutnya fenomena itu tidak berlaku kerana bakal pasangan Islam yang mahu berumah tangga kini diwajibkan menjalani kursus perkahwinan. Tujuannya ialah bagi membolehkan mereka membina mahligai sehingga ke anak cucu.

Oleh itu, di mana silapnya? Menurut kajian Jakim, 45 peratus perceraian berpunca daripada pasangan gagal bertanggungjawab selain masalah akhlak, kewangan, seksual dan campur tangan orang ketiga.

Awang juga mendapati banyak juga punca kerana si suami dan isteri tidak dapat membendung ego masing-masing. Tiada sifat tolak ansur dan beralah di antara satu sama lain.

Ada juga kes perceraian yang Awang lihat berlaku di kalangan pasangan yang telah matang usia perkahwinan mereka.

Awang berharap pejabat agama dan agensi-agensi berkaitan menyediakan lebih banyak khidmat kaunseling rumah tangga bagi menyelamatkan pasangan yang mempunyai masalah seperti itu.

Awang – Banyak beralah.



Artikel susulan:

Memahami statistik perceraian

Oleh DR. ABD RAHIM MD. NOR

Dalam buku Darrell Huff (1913-2001) bertajuk How to Lie with Statistics pertama kali terbit dalam tahun 1954 tetapi terkenal hingga hari ini. Huff menghuraikan bagaimana seseorang boleh menggunakan statistik untuk meyakinkan orang lain tentang sesuatu perkara sedangkan orang itu tidak mempunyai alasan atau hanya mempunyai hujah yang lemah.

Novelis dan penulis satira lucu Mark Twain (meninggal 1910) dan sasterawan Charles Wentworth Dilke (meninggal 1911) pula terkenal dengan frasa 'terdapat tiga jenis pembohongan, iaitu bohong, betul-betul bohong dan statistik' yang bermaksud kalau kena tekniknya, statistik boleh digunakan untuk berbohong dan orang ramai masih percaya.

Kata mereka, ilmu statistik begitu istimewa dan licik hinggakan kalau digunakan atau disalahgunakan dengan berkesan, tarafnya lebih hina daripada pembohongan.

Kajian dalam tahun 2007 mendapati 32.2 peratus perkahwinan penduduk Islam di negara ini untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian. Terdapat orang ramai yang mentafsirkan statistik ini sebagai satu per tiga daripada perkahwinan pasangan Islam pada tahun 2007 berakhir dengan perceraian.

Tanpa melihat angka-angka yang lain, mereka menyatakan kebimbangan yang amat sangat terhadap data ini dan sesuatu yang drastik perlu dilakukan. Adakah kerisauan mereka berasas? Adakah ini bermakna pada tahun 2007, bagi setiap 100 pasangan berkahwin, 32 pasangan bercerai?

Apakah benar perkahwinan dalam masyarakat Islam di negara ini sedang mengalami krisis dengan setiap pasangan yang mendirikan masjid hari ini akan berhadapan dengan 0.32 kebarangkalian perceraian tidak lama lagi? Jawabnya tentulah belum dapat dipastikan, sehinggalah kita dapat statistik yang lebih terperinci. Kita tidak perlu tergesa-gesa dan melompat kepada sesuatu kesimpulan terlalu awal.

Pertama, maklumat itu tidak menceritakan berkenaan dengan kadar perceraian. Maksud data itu juga tidak bererti setiap 1,000 pasangan berkahwin, 322 pasangan bercerai. Kadar ini tentulah terlalu tinggi, seolah-olah pasangan Islam yang berkahwin berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk bercerai, sesuatu yang dipanggil kadar krisis.

Kedua, maklumat itu hanya mengatakan 32.2 peratus daripada perceraian berlaku dalam tempoh 5 tahun atau kurang selepas berkahwin. Sebagai contoh, andaikan pada tahun 2007 di sebuah negara terdapat 5 juta pasangan suami isteri, 0.5 juta (500,000) daripada pasangan itu pernah mengalami perceraian. Ini bermakna 4.5 juta pasangan yang selebihnya tidak pernah mengalami perceraian dan hidup aman damai setelah berkahwin yang mungkin baru atau lama.

Andaikan juga pada tahun 2007 itu satu kajian menemu bual 1,000 pasangan yang pernah mengalami perceraian daripada 0.5 juta pasangan itu dan mendapati 320 daripada mereka mengatakan mereka bercerai setelah berkahwin kurang daripada 5 tahun. Ini tidak bermakna kadar perceraian di negara itu ialah 32.2 peratus.

Ia hanya memberitahu kita bahawa banyak kes perceraian, sekiranya berlaku, terjadi dalam tempoh yang tidak lama selepas berkahwin.

Ketiga, kita tidak tahu saiz sampel kajian ini, teknik mendapatkan responden, dan lokasi serta taraf sosio-ekonomi responden yang terlibat dalam kajian ini.

Kembali semula kepada data kajian itu, sebenarnya data itu tidak memberi tahu banyak maklumat tentang kadar perceraian di kalangan pasangan Islam di negara ini. Kita hanya diberitahu bahawa bagi mereka yang pernah mengalami perceraian, 32.2 peratus mengatakan perceraian mereka berlaku dalam tempoh 5 tahun atau kurang selepas berkahwin. Itu saja.

Kita perlukan lebih banyak data untuk membuat penghakiman sama ada kadar perceraian orang Islam di negara ini tinggi, sederhana atau rendah.

Data rasmi itu juga memberitahu "sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun berkenaan." Terdapat pihak yang memahami data ini sebagai 20 peratus daripada pasangan yang berkahwin dalam tahun 2009 telah bercerai.

Ini juga adalah satu tafsiran yang salah, kerana data itu tidak mengatakan bahawa perceraian itu berlaku di kalangan pasangan yang direkodkan sebagai berkahwin pada tahun itu. Pasangan yang bercerai pada tahun 2009 itu boleh jadi daripada kalangan pasangan yang berkahwin tahun 2009 itu juga atau pasangan-pasangan lain yang telah berkahwin dalam tahun-tahun sebelumnya, mungkin mereka telah berkahwin 5, 10 atau 15 tahun dulu tetapi bercerai dalam tahun 2009.

Sehingga data yang lebih lengkap diperoleh, kita tidak dapat berbuat apa-apa, kecuali berspekulasi. Kalau benarlah kadar perceraian di kalangan pasangan Islam di negara ini sedang meningkat, kita bukan sahaja sedih tetapi keliru.

Pasangan bercerai kerana tidak faham zon tanggungjawab masing-masing, sebagai suami atau isteri. Mereka berpisah kerana wang yang tidak cukup untuk memuaskan hati pasangan masing-masing, sedangkan kos hidup semakin meningkat, terutama mereka yang tinggal di Lembah Klang.

Kebahagiaan yang mereka angan-angankan ketika bertunang dan bercengkerama dengan gambaran rumah yang selesa, pakaian bergaya, kereta, makan enak di restoran dan melancong, tidak menjelma menjadi realiti setelah berkahwin.

Terdapat orang yang bercerai kerana tiada kemahiran seks dalam membelai pasangan masing-masing hingga saat-saat yang dijangkakan menyeronokkan muncul sebagai detik-detik yang membosankan dan menyakitkan. Akhlak yang tidak baik seperti pengotor, berbohong, balik lewat malam, mengutamakan kawan lebih daripada pasangan juga menyebabkan perceraian.

Campur tangan pihak ketiga sebagai penghasut, khususnya ahli keluarga terdekat, juga mendorong orang berpisah.

Apakah ini bermakna usaha yang dilakukan oleh pelbagai agensi pembangunan insaniah Islam yang ditubuhkan oleh kerajaan masih belum berkesan dalam memberi bimbingan kepada umat Islam untuk menyediakan diri masuk ke dalam gerbang perkahwinan.

Apakah pelbagai usaha ceramah tentang Islam yang dianjurkan oleh pelbagai media kerajaan dan swasta, termasuk saluran kabel berbayar, masih tidak dapat membantu pasangan orang Islam mengurangkan risiko perceraian. Apakah mungkin perunding motivasi itu sendiri yang perlu dimotivasikan, kerana nampaknya ceramah mereka semakin kerap, tetapi masalah sosial juga semakin meningkat, iaitu semacam korelasi terselindung yang tidak dapat dijelaskan. Kita mahu mereka nyatakan betul-betul, apakah faktor yang mendorong kepada keruntuhan moral ini.

Untuk orang ramai lebih memahami statistik perceraian, saya mencadangkan kajian kohort perceraian iaitu kajian kumpulan pasangan berkahwin mengikut masa. Misalnya, dalam tahun 2007 terdapat 100,000 pasangan orang Islam berkahwin.

Pada setiap tahun selepas 2007 itu, kajian dilakukan terhadap 100,000 pasangan ini untuk mengetahui apakah yang telah terjadi kepada perkahwinan mereka, sama ada mereka masih kekal atau telah bercerai. Pada tahun 2008 pula terdapat 120,000 lagi pasangan berkahwin.

Pada setiap tahun selepas 2008, kajian dilakukan terhadap 120,000 pasangan ini untuk mengetahui apakah yang telah terjadi kepada perkahwinan mereka, sama ada mereka masih kekal atau telah bercerai. Begitulah seterusnya, untuk perkahwinan yang berlaku dalam tahun-tahun 2009, 2010 dan seterusnya, di mana rekod tentang apa yang terjadi kepada perkahwinan mereka bagi setiap kohort itu diperoleh.

Perbandingan peratus pasangan yang bercerai di kalangan kohort yang berlainan itu membolehkan kita mengetahui sama ada kadar perceraian sedang meningkat atau menurun bagi sesuatu tempoh tertentu, misalnya untuk satu dekad.

Hanya dengan meneliti data siri masa jangka panjang, seperti kajian kohort itu, dapat kita membuat penghakiman sama ada perceraian semakin meningkat atau sebaliknya.

Dr. Abd. Rahim Md. Nor ialah Profesor di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia