.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, October 03, 2010

0 Kemiskinan menjadi penyebab utama golongan tua diabaikan

Melayu paling banyak didera fizikal, emosi: Kajian


2010/10/03
KUALA LUMPUR: Satu kajian mendapati bangsa Melayu paling ramai mengalami penderaan fizikal dan emosi, terutama warga tua yang kebanyakannya tinggal bersama anak.

Kajian dijalankan Institut Gerontologi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga mendapati daripada 480 orang warga tua yang ditemui, 125 atau 26 peratus daripada mereka mengaku pernah mengalami penderaan fizikal dan emosi. Pengarahnya, Prof Madya Dr Tengku Aizan Hamid, berkata penderaan dari segi emosi terhadap warga tua paling membimbangkan dan boleh membawa kepada beberapa faktor lain seperti hilang kewarasan dan hidup melarat. “Kebanyakan warga tua mengalami penderaan fizikal dan emosi adalah wanita atau ibu. Walaupun bukan semua wanita yang terbabit adalah golongan ibu, tetapi peratusan mereka lebih tinggi berbanding yang lain.

“Dari segi taraf hidup pula, golongan berpendapatan rendah paling banyak mengalami penderaan fizikal dan emosi. Mungkin kerana faktor kehidupan kita yang membuatkan merekamenjadi mangsa penderaan.

“Ini agak membimbangkan kerana seharusnya warga tua dilayan dengan baik, tetapi apa yang kita lihat kini, konsepnya sudah berubah seolah-olah masyarakat kita sudah tidak mempunyai nilai moral,” katanya ketika ditemui Berita Minggu.

Kajian juga menunjukkan penderaan fizikal tidak terhad kepada wanita, malah berlaku di kalangan lelaki. Daripada 26 peratus mengaku didera, 14 peratus alami penderaan emosi; penderaan membabitkan harta dan kewangan (10.2 peratus); penderaan fizikal (9.6 peratus) dan seksual (0.4 peratus).
“Mungkin juga faktor kehidupan kini yang semakin mencabar sehingga membuatkan anak terlupa percaturan sebenar hidup. Jika ingin diberikan sebab kenapa perkara ini berlaku, pada saya terlalu banyak puncanya.

“Apa yang penting institusi kekeluargaan itu sendiri kena kukuh. Jika diberikan pendidikan sempurna dan terbaik kepada anak, tidak mungkin perkara ini akan berlaku,” katanya.

0 Cabaran cinta Rita Rudaini dan Aidil Zafuan

Tidak pernah terfikir untuk bercerai - Rita Rudaini


KUALA LUMPUR 2 Okt. - "Rumah tangga kami tidak pernah aman gara-gara campur tangan pihak ketiga," demikian luah pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 35, mengenai kemelut yang selama ini menghantui pernikahannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25, sejak dua tahun lalu.

Menurut Rita, antara dia dan suami tidak pernah berhadapan dengan sebarang masalah besar sepanjang pernikahan, malah saling menyayangi antara satu sama lain.

Cinta mereka juga semakin kuat selepas dikurniakan zuriat sulung, Airit Rayyan Rizqin pada Julai tahun lalu.

"Sebab itu ingin saya tegaskan, masalah rumah tangga kami bukan berpunca daripada saya atau Aidil. Kami tak pernah ada masalah besar.

"Kalau ada pun, ia hanya masalah biasa suami isteri yang boleh diselesaikan dengan perbincangan.

"Bagaimanapun pihak ketiga inilah yang membuatkan kami selalu bergaduh dan rumah tangga kami tidak pernah aman, ada saja masalah," kata Rita, berterus terang kepada Mingguan Malaysia.

Menurut dramatis popular ini, pihak ketiga juga telah membuat pelbagai fitnah yang memalukan dirinya, termasuk mengharapkan agar rumah tangga pasangan ini berakhir dengan kehancuran.

"Saya sedih sangat sebab banyak yang masuk campur dalam urusan rumah tangga kami. Ini termasuklah orang yang ada kaitan dalam industri. Orang ini telah menyebar fitnah, mengutuk dan memfitnah macam-macam tentang saya kepada orang luar.

"Bila cerita tak betul macam itu timbul, lama-kelamaan hubungan kami suami isteri yang menjadi tegang.

"Gara-gara mulut pihak yang tidak bertanggungjawab itu, antara saya dan Aidil selalu menjadi 'panas' dan huru hara," katanya dalam nada kesal.

Bagaimanapun kata pelakon itu, meskipun sedang berhadapan dengan masalah, dia tidak pernah terfikir untuk bercerai, selain berdoa kepada Allah SWT agar kemelut rumah tangganya berakhir sedikit masa lagi.

Malah, cinta kepada suami masih utuh dan dia mengharapkan agar peminat dan semua yang mengenali dirinya mendoakan yang terbaik buat keluarganya.

"Selagi boleh diselamatkan, kami akan berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga kami demi anak yang masih kecil.

"Saya tak nak gara-gara orang lain, kami bercerai-berai. Saya cukup yakin, Aidil juga tidak mahu rumah tangga kami jadi porak peranda dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan ikatan suci ini," katanya.

Sementara itu, ibu mertua Rita, Azizah Arshad, 58, berkata, dia terkejut dengan laporan itu yang mendakwa hubungan anak dan menantunya sedang bergolak ekoran campur tangan individu tertentu termasuk keluarganya.

"Dari mata saya, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga. Saya tidak faham bagaimana berita itu timbul," katanya.



Artikel berkaitan:


Bapa tunggu Aidil, tak mahu ulas kenyataan Rita


2010/10/03
SEREMBAN: “Biarlah apa pun yang dia nak cakap,” kata Abd Radzak Salleh dalam reaksi balas terhadap kenyataan menantunya, Rita Rudaini Mokhtar yang mendakwa rumah tangganya kini goyah akibat campur tangan individu tertentu, termasuk keluarga mentua.

Sambil reda dengan jodoh Rita dan Mohd Aidil Zafuan, 23, kerana ia ketentuan Tuhan, Abdul Radzak, 61, berkata mereka sekeluarga tidak tergamak bertindak sesuatu atau memburukkan pelakon berkenaan dan buat masa ini beliau dan keluarga tidak mahu mengulas lanjut pendedahan Rita yang disiarkan Berita Harian, semalam. “Saya tak mahu ulas kenyataan pelakon itu (Rita) kerana sehingga kini pun kami tak dapat apa-apa maklumat daripada Aidil (Mohd Aidil Zafuan) yang kini ada di Vietnam bersama skuad bola sepak kebangsaan. “Ada baiknya kami ahli keluarga berbincang dulu, terutama dengan Aidil kerana ia membabitkan kepentingan rumah tangga mereka. Biarlah dia (Rita) yang buat kenyataan atau apa juga yang dia nak cakap... kami perlu ambil masa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rashibah Indah, Sikamat di sini, semalam.

Semalam, Berita Harian menyiarkan kenyataan Rita, 34, mendakwa rumah tangganya bersama Aidil, 23, yang dibina atas dasar cinta mula goyah, banyak disebabkan mulut dan campur tangan individu tertentu, terutama keluarga mentua. Mereka yang berkahwin dua tahun lalu dikurniakan cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizkin.

Abd Radzak yang kelihatan kurang sihat kerana penyakit paru-paru berkata, beliau perlu mendapat maklumat jelas daripada Aidil bagi mengelak kenyataan yang tidak benar dan memalukan keluarga, selain tidak mahu tumpuan anaknya terhadap karier dan tanggungjawab bersama pasukan bola sepak negara dan Negeri Sembilan terganggu.

“Kami belum dengar apa-apa daripada Aidil, malah sebelum ini pun kami tak pernah pergi ke rumah mereka di Kuala Lumpur dan tidak tahu hal rumah tangga mereka. Laporan yang kami dihalau ketika berkunjung ke rumah mereka juga tidak benar kerana memang kami tidak pernah ke sana, kecuali ketika Rita melahirkan Airit,” katanya.
Mengenai dakwaan bahawa Aidil sudah lama tidak menjenguk Rita dan bayi mereka, termasuk meraikan Aidilfitri lalu bersama keluarga masing-masing, beliau berkata, setiap kali selesai perlawanan bola sepak, Aidil pulang ke Kuala Lumpur.

“Aidilfitri lalu, Aidil baru selesai dengan tugasannya bersama skuad bola sepak kebangsaan di luar negara. Dia ada cuti singkat kerana terpaksa memberikan komitmen kepada skuad Negeri Sembilan pula bagi menghadapi perlawanan dengan Kelantan di Kota Bharu.

“Kami tidak campur tangan dalam jadual Aidil. Jika dia nak berhari raya di mana pun, terpulang kepadanya,” katanya yang turut kesal dengan dakwaan Rita bahawa Aidil melarikan Airit untuk bertemu keluarga pemain bola sepak itu.

“Wajarkah tindakan Aidil membawa anaknya bertemu datuk dan nenek dituduh sebagai melarikan anak?” katanya.

0 Ulasan wartawan terhadap Filem MAGIKA dengan SENARIO ASAM GARAM

Bila buat filem pakai otak!

SALAM Syawal yang masih bersisa. Terimakasih kerana dalam saat-saat sibuk dengan urusan memenuhi undangan rumah terbuka di merata tempat, Mingguan Malaysia masih dekat di hati pembaca.

Ia sangat memberi makna kepada kami dalam meneruskan legasi perjuangan Utusan sebagai sebuah akhbar yang sentiasa mendahulukan bangsa dan negara dalam agenda keramatnya, biar apa sekalipun tentangan dan rintangan yang berada di depan kami. Okey!

Sabtu lalu, saya sempat menemani anak-anak ke pawagam menyaksikan Magika, sebuah filem yang barangkali dilihat sebahagian orang sebagai sebuah filem khayal lagi mengkhayalkan. Nama pun filem ‘ala-ala Alice In Wonderland’, mestilah banyak fantasinya, apatah lagi ini filem muzikal yang sarat dengan elemen bunyi dan warna-warni.

Saya teringat seorang insan seni pernah memberitahu saya, ada bezanya hasil kerja seorang pengarah yang punya otak, dan juga pengarah yang menggunakan ‘kepala lutut’ saat di lokasi.

Bunyinya kasar bukan? Tetapi itu adalah realiti yang kita sedang depani. Banyak benar orang yang mengaku sebagai pengarah filem atau drama yang tak guna otak kala membuat kerja pengarahan.

Bagaimana untuk kenal pasti antara pengarah yang ada otak dan pengarah yang menggunakan ‘kepala lutut’ bila buat filem? Mudah saja, pengarah yang punya otak akan menyampaikan medium seninya tanpa memalukan dirinya sendiri. Seperti Dr Hatta Azad Khan menjadikan Senario lebih ‘ceredik’ dalam filem terbarunya, itu juga adalah lambang kerja keras pengarah yang punya maruah diri yang hebat.

Dan selepas menyaksikan Senario Asam Garam dan Magika, saya lebih faham tentang apa filem yang dimaksudkan oleh rakan berkenaan.

Magika contohnya, sebuah filem yang biasa-biasa saja. Alah, filem budak-budak, apa yang istimewa sangat?

Tetapi di situ terletaknya kecanggihan kreativiti. Kreativiti boleh menukarkan sesuatu yang biasa-biasa saja, menjadi luar biasa.

Kreativiti itulah menjadikan saya sangat bangga dengan pengarahnya, Edry Abdul Halim. Saya menganggap sentuhan pertama Edry selaku pengarah filem juga sehebat abangnya, Yusry, melalui Cicakman sebelum ini.

Filem sulung mereka tidak memalukan diri sendiri dan legasi kesempurnaan KRU diperturunkan melaluinya.

Setiap babak dan watak ringkas, sesuai untuk kanak-kanak tetapi yang dewasa menonton tidak berasa diperbodohkan.

Mengumpulkan lebih 20 artis gred A, hanya barangkali Siti Nurhaliza saja tiada. Yang namanya artis popular lain, semua bersatu dalam Magika. Itu sudah sesuatu yang magis.

Tetapi Edry bukan mahu ‘menumpang’ nama-nama besar Aznil, Ziana Zain atau M. Nasir sekalipun Maya Karin.

Dibawa mereka ke set, tetapi dalam waktu yang sama kekuatan watak yang diberikan kepada setiap seorang dari mereka menjadikan Magika cukup rencah, walaupun kemunculan mereka hanya barangkali melalui satu babak.

Paling berjaya, sudah pasti bendahara Melaka ‘dua alam’ di tangan Sabri Yunus. Hanya satu adegan, tetapi daya pengaruhnya luar biasa dan Sabri saya angkat sebagai ‘Pelakon Terbaik’ Magika.

Sampai hari ini saya masih terngiang-ngiang dialog lucunya “Doh dulu Tueku sombong, Sultan Melako nok, Tueku tok sir, mitok hati nyamuklah, hati pijatlah, mace-mace.” (Dah dulu Tuanku sombong, Sultan Melaka hendak, Tuanku tak mahu. Minta hati nyamuk, hati pepijat, macam-macam).

Gandingan dengan Ning Baizura sebagai Puteri Gunung Ledang yang lapuk dalam hanya satu babak, Sabri ‘pukul’ habis.

Begitu juga kemunculan M. Nasir, hanya dalam versi orang tua berjanggut yang berkerudung, bertapa di Tasik Cini, tetapi getarannya menyentap pancaindera.

“Nak ke mana kamu bertiga? Jangan sampai bangunkan naga.” Hanya itu dialog yang dituturkan dalam Magika tetapi kemudian ia berulang-ulang dalam pelbagai rentak dan melodi, hasilnya indah sekali.

Jarang ada filem muzikal Melayu dan Edry melakukannya dengan sangat baik. Lagu-lagunya menjadi dekat dan selama satu setengah jam, anak saya (yang biasanya akan tidur atau membuat bising kala di panggung), dapat meneruskan tontonnya sehingga ke garis penamat.

Selkarang saya tidak sabar lagi menantikan kehadiran Hikayat Merong Mahawangsa, juga idea canggih adik beradik KRU. Lalu ada sebab kenapa saya berbangga menjadi wartawan yang membesar bersama-sama dengan legasi tiga beradik ini. Selamat beristirehat!

0 Cerita kekayaan dan bisnes golongan bijak pandai dan berharta warisan

Muda, kaya dan berpengaruh

Oleh HAFIZAHRIL HAMID



PENGASAS facebook, Mark Zuckerberg juga merupakan orang muda paling kaya di dunia.

--------------------------------------------------------------------------------



MENJADI kaya pada usia muda adalah sesuatu yang menjadi impian hampir semua orang walaupun mungkin episod itu telah lama berlalu.

Sememangnya kekayaan menjadi kayu pengukur utama kebanyakan kita dalam menilai kejayaan seseorang.

Dalam erti kata lain harta, kereta yang dipandu, saiz rumah yang diduduki menjadi pengukur status dan kejayaan di mata orang lain.

Namun waima apapun menjadi kaya dan bergelar bilionair pada usia muda adalah saat hidup paling bermakna dan boleh kita kategorikan umpama bulan jatuh ke riba.

Sudahlah muda, kaya, menjadi tumpuan dan dikenali ramai. Bukankah itu antara impian yang pernah diangankan kebanyakan kita ketika masih muda remaja.

Namun hakikat hidup yang sebenar meletakkan kita berada pada kehidupan sekarang dan apabila usia semakin lanjut kita sudah semakin mampu menerima kenyataan bahawa hanya beberapa orang yang terpilih sahaja yang diberikan peluang sedemikian.

Memang kalau diikutkan senarai, ramai di antara orang muda ini disenarai terkaya namun ia bukan hasil dari titik peluh mereka sendiri.

Dilahirkan dalam dulang emas dan dengan kekayaan yang begitu banyak mereka hanya perlu membuat pelaburan bijak untuk terus kekal kaya.

Antara mereka adalah putera raja dari Jerman berusia 26 tahun Prince Albert von Thurn und Taxis yang memiliki kekayaan bernilai AS$2.1 bilion (RM6.7 bilion).

Beliau telah dimasukkan dalam senarai orang terkaya sejak berusia lapan tahun namun hanya benar-benar mewarisi kekayaan ketika berusia 18 tahun.

Selain itu pewaris diraja Abu Dhabi turut membuat penampilan dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$4.9 bilion (RM15.6 bilion). Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahayan, 39, membuat kejutan utama apabila membeli kelab bolasepak Manchester City dua tahun lepas sebelum membeli pemain-pemain terbaik dunia pada peruntukan lebih AS$ 1 bilion.

Dalam majalah Forbes baru-baru ini ada menyenaraikan 400 orang terkaya di Amerika Syarikat (AS). Seperti biasa bekas manusia terkaya dunia Bill Gates yang juga pemilik Microsoft mendahului senarai dengan himpunan kekayaan AS$54 bilion (RM172.8 bilion).

Tempat kedua juga seperti biasa menjadi milik Warren Buffett melalui Berkshire Hathaway Inc. dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$45 bilion (RM144 bilion).

Berdasarkan senarai terbaru orang terkaya di AS, lapan dari mereka adalah orang muda yang berusia di bawah 40 tahun.

Menarik untuk diperkatakan lima dari mereka yang muda dan kaya di AS terlibat dalam perniagaan berkaitan dengan Internet.

Pastinya yang paling menarik perhatian ialah pengasas bersama dan pemilik facebook, Mark Zuckerberg. Beliau juga merupakan bilionair termuda dalam senarai bersama dengan Dustin Moskovitz.

Kedua-dua mereka baru berusia 26 tahun namun jumlah kekayaan Zuckerburg adalah AS$6.9 bilion (RM22 bilion) dan Moskowitz bernilai AS$1.4 bilion (RM4.4 bilion).

Seorang lagi pengasas bersama facebook Eduardo Saverinz turut tersenarai antara bilionair termuda dengan harta berjumlah AS$1.15 bilion (RM3.6 bilion).

Mungkin ada yang bertanya kenapa jumlah kekayaan mereka tidak sama. Ini berlaku akibat dari pegangan saham yang berbeza antara mereka bertiga iaitu Zuckerberg memegang saham dalam facebook bernilai 24 peratus, Moskowitz dengan pegangan enam peratus dan dan Saverinz pula bernilai lima peratus.

Seorang lagi pengasas bersama facebook adalah Chris Hughes. Namun keempat-empat bekas kawan baik ini tidak lagi bersama di dalam syarikat facebook kecuali Zuckerburg. Kisah mengenai kejayaan facebook ini merupakan satu mimpi yang menjadi realiti indah kepada empat sekawan ini.

Facebook mula diperkenalkan dari bilik asrama Zuckerberg ketika menuntut di Universiti Harvard pada empat Februari 2004.

Pada asalnya facebook adalah untuk kegunaan sesama pelajar di universiti berkenaan. Namun kemudian beliau bersama Moskovitz mula menyebar penggunaan facebook ke universiti dan kolej-kolej lain seperti Stanford, Dartmouth, Columbia, New York University, Cornell, Brown dan Yale

Mengambil keputusan tidak menamatkan pengajiannya, Zuckerberg kemudian berpindah ke Palo Alto di California bersama Moskovitz dan beberapa rakan yang lain untuk menyewa sebuah rumah kecil untuk dijadikan pejabat.

Beliau kemudiannya berjumpa dengan Peter Thiel yang membuat pelaburan yang besar dalam syarikat berkenaan.

Pada Julai lepas Zuckerberg membuat pengumuman bahawa pengguna facebook kini telah mencecah 500 juta orang satu kejayaan besar yang turut membantu beliau disenaraikan sebagai bilionair termuda di dunia.

Lumayan

Selain itu bilionair dari Silikon Valley lain yang membuat keuntungan lumayan melalui Internet adalah pengasas dan pemilik Google iaitu Sergey Brin dan Lawrence Page.

Syarikat ini yang bermula sejak tahun 2006 sebagai kajian projek oleh Brin dan Page ketika melanjutkan pengajian di peringkat Phd di Universiti Stanford.

Namun kini ia merupakan sebuah syarikat yang sangat menguntungkan dengan aset dan tunai keseluruhan mencecah AS$80 bilion (RM256 bilion) dan jumlah pekerja sebanyak 21,805 orang.

Sergey Brin dan Larry Page kini mempunyai kekayaan bernilai AS$15 bilion (RM48 bilion) setiap seorang pada usia hanya 37 tahun.

Bagi kategori wanita muda paling kaya pula senarainya tidaklah seramai lelaki namun menunjukkan peningkatan kepada lapan berbanding dua pada 2008.

Namun kebanyakan mereka ini mewarisi kekayaan dari keluarga dan bukannya melalui hasil titik peluh sendiri.

Contoh terbaik adalah anak kepada bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafik Hariri. Hind Hariri yang kini berusia 26 tahun mempunyai harta yang diwarisi bernilai AS$1.2 bilion (RM3.8 bilion). Pada tahun lepas beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan ahli perniagaan Anas Karout.

Selain itu tiga adik beradik bilionair media dari Turki, Aydin Dogan dan isterinya Sema Isil Dogan tersenarai antara wanita muda paling kaya di dunia.

Ketiga-tiga mereka Vuslat Dogan Sabanci, 39, Hanzade Dogan Boyner, 38, dan Begumhan Dogan Faralyali, 33, walaupun dilahirkan dalam dulang emas namun mereka berjaya membuktikan kejayaan adalah hasil dari pendidikan dan kebolehan serta dibantu dengan kekayaan keluarga.

Namun bagi wanita muda yang berjaya menjadi bilionair dengan usaha sendiri, sememangnya pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan menjadi rencah kejayaan mereka sekarang.

Salah seorang ialah Chu Lam Yiu dari Hong Kong yang mencipta kekayaan melalui perniagaan bahan-bahan pewangi dan perisa untuk bahan pencuci, minuman, produk tenusu, kosmetik dan juga rokok.

Beliau yang berusia 39 tahun masih mengetuai perniagaan yang ditubuhkan sejak 12 tahun lepas dan kini mempunyai kekayaan bernilai AS$2.1 bilion (RM6.7 bilion).

Seorang lagi contoh wanita muda yang menjadi kaya hasil dari usaha sendiri adalah Taysha Smith-Valez yang menjadi kaya hasil dari pelbagai cabang perniagaan dalam bidang kecantikan.

Valez yang baru berusia 28 tahun juga mempunyai gedung membeli belah sendiri yang dikenali sebagai H.Couture Beauty.

Selain itu beliau juga memiliki beberapa konglomerat iaitu TSV-HBGgroup Inc, TrimyTAY - Telecom Inc.(IBC), dan TAY-SHA S. Valez de Ames Ltd.

Beliau pernah menerbitkan sebuah buku bertajuk Young Black Millionairess: How to Start a Million Dollar Business, yang diterbitkan pada 2005 selain sebuah majalah paling mahal di dunia iaitu Trillionairess Weekly yang berharga AS$129 senaskah.

Majalah berkenaan yang dikeluarkan dua minggu sekali hanya fokus kepada percutian mewah dan disasarkan kepada orang kaya dan ternama.

Namun tidak banyak maklumat yang diketahui tentang Valez malah jumlah kekayaan juga tidak diketahui kerana beliau lebih senang tidak terlalu menonjol kepada umum.

0 Cerita Harry Porter tidak akan seagung itu jika bukan dorongan kematian ibu penulisnya

Kisah Harry Potter belum selesai


2010/10/03
JK Rowling tak tolak kemungkinan teruskan pengembaraan ahli sihir muda

CHICAGO: Ia adalah berita yang amat dinantikan tukang sihir, J K Rowling mendedahkan mungkin lebih banyak buku Harry Potter akan dihasilkannya selepas beliau bercakap mengenai ‘kehilangan’ yang dirasainya selepas selesai menghasilkan buku ketujuh dan terakhir, Harry Potter and the Deathly Hallows.

Penulis itu berkata walaupun mengakui kekok menangani kejayaan besar bukunya sebelum ini, beliau akan rasa rindu jika tidak ‘dikelilingi’ dunia sihir kerana masa depan watak itu sudah terpahat dalam ingatannya. Beliau berkata: “Saya sudah tentu menulis buku kelapan, kesembilan dan kesepuluh. Saya tidak akan mengatakan tidak. Saya tidak fikir saya sudah menamatkannya di sini, namun anda tidak akan tahu.” Dalam temuramah pertamanya dengan ratu rancangan bual bicara Amerika Syarikat, Oprah Winfrey, penulis itu mendedahkan mengenai perjalanan 17 tahun dihabiskan menulis buku Potter dan bagaimana, tanpa kematian ibunya, ia mungkin tidak akan wujud.

Beliau berkata: “Penamatnya adalah besar, sama seperti kehilangan. Walaupun saya tahu ia akan tiba juga, kita semua tahu orang yang kita sayangi pada akhirnya akan pergi, kita tahu ia akan berakhir, anda boleh menyiapkan diri anda untuknya. Saya berada dalam keadaan sedikit terkejut.

“Pada mulanya, saya amat gembira, namun tiba satu ketika saya menangis dan saya hanya pernah menangis sekali saja sebelum ini dalam hidup saya, iaitu ketika ibu saya meninggal dunia. Ia tidak dapat dikawal dan saya bukan seorang yang gemar menangis.

“Buku itu tidak seperti yang diharapkan jika beliau tidak meninggal dunia. “Kematiannya pada hakikatnya ada pada setiap helaian buku Harry Potter. Jika beliau tidak meninggal dunia, saya tidak fikir akan ada Harry Potter seperti sekarang.”

Penulis berusia 45 tahun itu, kehilangan ibunya, Anne, akibat penyakit saraf pada 1990, enam bulan selepas beliau mula menulis buku terkenal di dunia itu, yang sudah diterjemahkan ke dalam 69 bahasa dan diterbitkan di lebih 200 negara.

Beliau mendedahkan bagaimana fenomena itu mencapai kemuncaknya sehingga beliau didekati legenda pop Michael Jackson, yang mahu menulis versi muzikal buku Harry Potter namun beliau menolaknya. – Agensi



Harry Potter bersambung?


NEW YORK 2 Okt. – Penulis novel terkenal, J.K. Rowling menyatakan dia membayangkan dirinya menghidupkan kembali watak Harry Porter walaupun sebelum siri cerita ahli sihir kanak-kanak itu telah berakhir secara rasmi.

“Saya mungkin akan menulis episod kelapan, sembilan dan sepuluh.

“Saya tidak kata saya akan melakukannya, tetapi pada masa sama saya tidak kata akan berhenti setakat ini sahaja, kita tidak tahu apa yang akan jadi di masa akan datang,” kata Rowling ketika muncul dalam rancangan temu bual, Oprah Winfrey.

Rowling berhenti menulis selepas menghasilkan buku novel Harry Porter siri ketujuh pada 2007 yang berjaya dijual sebanyak 400 juta salinan di seluruh dunia.

Dalam wawancara itu, Rowling berkata, sukar baginya untuk menerima bahawa cerita yang menjulang nama dan hartanya itu telah tamat.

“Amat menyedihkan apabila ia berakhir. Tetapi, kita semua tahu bahawa benda yang kita sayang pasti juga akan meninggalkan kita,” jelasnya.

Namun, katanya, dia akan terus menghasilkan karya penulisan walaupun bentuknya mungkin berbeza. – AFP

0 Filem Makan Doa dan Cinta lakonan Julia Robert bukanlah yang terbaik tetapi menarik untuk ditonton

Mesti Tonton: Bahagia selepas derita

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2010/10/02


JULIA ROBERTS bercinta bersama Javier Bardem dalam Eat Pray Love.

Eat Pray Love cetus motivasi

Judul: Eat Pray Love Pengarah: Ryan Murphy,Pelakon: Julia Roberts, Billy Crudup, Viola Davis, Richard Jenkins, James Franco, Javier Badam Berdasarkan buku tulisan: Elizabeth Gilbert Genre: Drama / Cinta
Tayangan: 30 September 2010

KETIKA hati mula berhenti untuk berharap dan perasaan putus asa menguasai diri, harapan membisikkan supaya jangan tunduk dan mengalah pada takdir yang melukakan. Walau sepahit manapun pengalaman yang dilalui, masih ada cahaya yang menanti di hujung terowong.

Kecewa dengan perceraian yang menyakitkan, seorang penulis, Liz Gilbert (lakonan Julia Roberts) memulakan pengembaraannya ke tiga negara dengan membawa sekeping hati yang luka.
Gilbert keluar dari zon selesanya dan sanggup mengambil risiko semata-mata untuk mengubah kehidupan. Dalam pengembaraannya itu, dia menemui keenakan makanan apabila berkunjung ke Itali, mempelajari kuasa doa ketika berada di India, seterusnya bertemu kedamaian dalaman serta cinta sejati sewaktu menjejak bumi Bali.

Filem arahan Ryan Murphy ini sebenarnya umpama sebuah motivasi untuk mereka yang kecewa dan putus asa di luar sana, supaya mereka tahu bahawa dunia belum berakhir hanya kerana sebuah perpisahan.

Watak Gilbert mengajar kita, andai mahukan perubahan dalam diri, sila keluar dari kepompong dan keluar melihat dunia ciptaan tuhan yang terbentang luas. Tidak siapa tahu, mungkin di luar sana nanti ada kebahagiaan yang menanti.

Memilih Julia Roberts sebagai pemegang watak Gilbert ialah pilihan yang tepat.
Julia bijak bermain dengan emosi seorang wanita yang keliru, kehilangan serta masih tercari-cari apakah sebenarnya yang dikehendaki dalam sebuah perhubungan.

Dengan menggunakan tiga perkara asas yang cukup dekat dengan kehidupan manusia iaitu makanan, doa dan cinta, penulis skrip bijak menggabungkan tiga elemen ini sehingga ia menjadi satu metafora yang menarik. Filem ini juga kaya dengan falsafah dan dialog yang mudah melekat dalam ingatan. Malah pemilihan tiga negara ini sebagai lokasi penggambaran juga membangkitkan mood untuk menjadikan filem ini seronok untuk ditonton.

Eat Pray Love mungkin bukan sebuah filem romantik yang terbaik kalau hendak dibandingkan dengan mana-mana filem pernah ditayangkan. Namun, ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri. Bagi mereka yang pernah membaca novelnya, jangan lupa menyaksikan filem ini kerana apa yang digambarkan penulis berkenaan dalam novel itu, divisualkan dengan cara yang lebih menarik oleh si sutradara.

0 Tertarik dengan sinopsis telefilem SORONG PAPAN TARIK PAPAN di TV 1

Kisah bapa tak percayakan anak sendiri


2010/10/02


Azza AFIBARAT pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Begitulah yang berlaku dalam diri seseorang itu apabila lebih mengutamakan orang lain berbanding anak sendiri tanpa menyedari anak itulah yang bakal membela nasib mereka kelak, berbanding orang lain.

Kisah sama diangkat Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi telefilem Sorong Papan Tarik Papan yang akan disiarkan stesen itu Ahad ini, jam 10.05 pagi, mengisi slot Panggung Ahad di TV1. Telefilem yang dijayakan pelakon seperti Jantan Osman, Kismah Johar, Abon, Nazaruddin Abu Jamil, Azza AF, Zulkifli Daud dan Yang Kassim mengisahkan paparan realiti seharian seorang bapa bernama Pak Jalal. Pak Jalal amat kedekut dan garang terutama terhadap tiga anaknya iaitu Mamat, Mail dan Seri. Dia juga bersikap sedemikian terhadap isterinya, Mak Minah.

Walaupun dia seorang yang kaya dengan memiliki dusun buah-buahan serta ladang ternakan kambing yang besar, namun Pak Jalal sering memandang rendah terhadap Mamat dan Mail, sebaliknya dia lebih mempercayai pekerja ladangnya iaitu Joko dan Hameed.

Mamat dan Mail pernah meminta modal sebanyak RM10,000 daripada Pak Jalal untuk memulakan perniagaan tetapi permintaan mereka tidak diendahkan. Mamat terpaksa memperdayakan bapanya menerusi helah dengan menculik adik mereka, Seri. Mereka meminta wang tebusan sebanyak RM10,000 daripada Pak Jalal. Selain ingin memulakan perniagaan, mereka juga mahu memberi sedikit pengajaran atas sikap kedekut bapanya itu.

Setelah mendapat wang tebusan itu, Mamat dan Mail berhijrah ke bandar lalu menubuhkan Syarikat 2M (Syarikat Mamat dan Mail / Macam-Macam). Mereka berjaya dalam perniagaan dan menjadi pengedar utama Produk Gula Herba.
Sewaktu ketiadaan Mamat dan Mail, Pak Jalal jatuh sakit dan tidak dapat bangun. Joko dan Hameed yang diharapkan menjaga ternakan pula melarikan diri bersama kesemua kambingnya.

Pak Jalal benar-benar marah dan mula sedar selama ini dia hanya mempercayai pekerjanya itu berbanding kedua anak lelaki sendiri. Ketika sakit juga Pak Jalal meminum Produk Gula Herba, yang menyembuhkan kakinya.

Mamat dan Mail akhirnya pulang ke kampung dengan kejayaan. Mereka juga mengumumkan untuk terus menetap di kampung bagi mendirikan sebuah kilang dan turut menawarkan pekerjaan kepada penduduk kampung.

Melihat kejayaan Mamat dan Mail, Pak Jalal malu dan insaf akan kesilapannya. Dia kini sedar betapa sikap anaknya itu cukup berbeza daripada dirinya sendiri.

Namun adakah dia mampu menerima kebenaran penculikan terhadap Seri yang pernah dilakukan mereka dulu? Sama-sama saksikan kesudahan telefilem Sorong Papan Tarik papan dalam slot Panggung Ahad, di TV1.

0 Idea kreatif untuk jimatkan kos kerajaan

Pertandingan reka bentuk bantu kerajaan


2010/10/02
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, pertandingan reka bentuk baru bangunan hospital awam mampu membantu kerajaan membangunkan projek yang mempunyai nilai estetika, menjimatkan kos dan mudah dilaksanakan pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, pertandingan itu membolehkan Kementerian Kerjaraya menyenarai pendek empat reka bentuk baru hospital kerajaan, masing-masing dua bagi model 76 katil dan 268 katil, tetapi belum ada rekaan yang memenuhi kriteria Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya bagi kategori hospital 108 katil. “Dengan ada pertandingan ini, kita boleh melaksanakan projek dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) berdasarkan kepada memenuhi prinsip ‘value management’ (pengurusan nilai) dan dapat menentukan nilai estetika dapat dikekalkan pada tahap tinggi,” katanya selepas melawat pameran reka bentuk baru hospital kerajaan di Kementerian Kewangan di sini, semalam.

0 Cara promosi pembikin filem ialah melalui pertandingan

Bikin filem dalam 48 jam

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2010/10/02

BUAT kali pertama, pertandingan khusus untuk bakat dalam pembikinan filem, The 48 Hour Film Project singgah di Kuala Lumpur pada hujung minggu, 28 Oktober ini. Menerusi pertandingan terbabit, pembikin filem di seluruh negara akan bersaing sesama mereka dalam usaha membuktikan, siapakah yang mampu menghasilkan filem pendek dalam masa dua hari saja.

Lebih menarik, filem yang muncul pemenang akan bersaing pula bersama juara lain dari seluruh dunia. Justeru, pembikin yang berminat disaran menyertai pertandingan ini seberapa segera yang mungkin, berikutan jumlah penyertaan yang terhad (maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari http://www.kl48hour.com) Sebagai tahun permulaan, penerimaan penyertaan dilakukan berdasarkan siapa cepat dia dapat. Sebaik saja pendaftaran awal diselesaikan, penganjur akan menerima pasukan terbabit untuk diletakkan dalam Senarai Menunggu. Jika sekiranya pasukan yang mendaftar harus menarik diri, penganjur akan melihat kepada senarai terbabit.

Bagaimanapun, jika penyertaan cukup memberangsangkan, manakala penganjur pula berupaya mendapatkan masa tayangan tambahan, kemungkinan untuk beberapa penyertaan tambahan diterima adalah besar.

Pendaftaran untuk sesebuah pasukan hanyalah RM400 (ataupun RM350 sebelum 4 Oktober).

Program The 48 Hour Film Project ialah projek hujung minggu yang aktif di mana anda dan pasukan anda membuat sebuah filem, iaitu menulis, merakam, menyunting dan memasukkan muzik, hanya dalam tempoh 48 jam.
Pada malam Jumaat, anda akan mendapat sebuah karakter, sebuah prop, sebaris dialog dan sebuah genre, semuanya akan dimasukkan ke dalam filem anda. Empat puluh lapan jam kemudian, filem terbabit harus disempurnakan. Kemudian, ia akan ditayangkan di pawagam tempatan, biasanya dalam masa seminggu selepas projek itu berlangsung.

Pada 2009, hampir 40,000 pembikin filem menghasilkan 3,000 filem di 76 kota. Pada tahun ini, projek berkenaan bertambah besar dengan lebih ramai pembikin filem menghasilkan lebih banyak judul dalam masa hanya 48 jam.

Projek ini bermatlamat untuk mencanggihkan lagi pembikinan filem, selain daripada mempromosikan pembikinnya. menerusi pertandingan ini, pembikin filem dan mereka yang berminat dalam pembikinan filem digalakkan untuk keluar dan cuba menghasilkan filem. Dengan tempoh 48 jam yang diberikan, pembikin filem harus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kemahiran kerja berkumpulan dan kreativiti. Ia turut membolehkan mereka bekerja, bukannya bercakap semata-mata.