.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, August 26, 2010

0 Apabila tidak cukup duit, semua hal menjadi sangat sensitif. Lama-kelamahan api menjadi marak. Kisah ini boleh dipaparkan dalam bentuk lakon layar

Sentral: Masalah kewangan punca utama cerai
Oleh Nurhasyima Hasim

2010/08/25
KUALA LUMPUR: Masalah kewangan dan kos sara hidup yang tinggi dikenal pasti sebagai punca utama kes perceraian pasangan muda di ibu kota.

Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali, berkata kebanyakan pasangan muda yang berusia 30 tahun ke bawah bercerai kerana kurang persediaan dalam memikul tanggungjawab berumah tangga terutama membabitkan soal kewangan. Biasanya pasangan terbabit adalah mereka yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru. Mereka khususnya suami tidak bersedia dalam aspek kewangan, lebih-lebih lagi sara hidup yang tinggi di ibu kota berbanding pendapatan yang mereka peroleh. Selain pendapatan yang agak rendah, ada juga kes pasangan tidak mempunyai gaji sekali gus tidak berupaya menyusun perbelanjaan keluarga yang meliputi kos tempat tinggal, belanja harian selain kehendak lain, katanya kepada Sentral di sini.

Che Mat berkata, kebiasaannya pihak suami yang menghadapi masalah kewangan berikutan kira-kira 75 peratus isteri masih mengharapkan pasangan masing-masing membiaya sebahagian besar keperluan keluarga.

Lebih memburukkan keadaan apabila pasangan muda ini menyelesaikan masalah mereka bersendirian tanpa merujuk kepada mereka yang berpengalaman, katanya,

Selain faktor kewangan, katanya, perceraian juga berlaku akibat asas pendidikan agama yang longgar seperti tidak bersolat, tiada pegangan agama yang betul dan kurang pengetahuan dalam membentuk keluarga berasaskan ajaran Islam.
Mereka hanya bergantung kepada kursus praperkahwinan selama dua hari yang diwajibkan ke atas mereka.

Kursus itu sebenarnya belum cukup untuk menyediakan mereka untuk mengharungi kehidupan sebenar berumah tangga, katanya.

Sehubungan itu, katanya, mereka disaran mengukuhkan lagi pengetahuan dengan mengikuti pelbagai kursus lanjutan lain seperti kursus keibubapaan dan kursus berkaitan rumah tangga.

Beliau juga tidak menafikan pengaruh rakan dan campur tangan keluarga khususnya ibu bapa juga menjadi antara faktor keruntuhan rumah tangga pasangan muda di ibu kota.

Selain faktor itu, ada juga kes perceraian disebabkan suami atau isteri berlaku curang terhadap pasangan masing-masing, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bilangan kes perceraian di ibu kota yang direkodkan JAWI turun secara mendadak apabila sehingga Julai tahun ini hanya membabitkan 64 kes berbanding 1,828 kes sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, pasangan yang berkahwin di ibu kota setiap tahun dianggarkan 20,000 orang dengan kira-kira 10,000 orang adalah golongan muda.

Tujuh tahun pertama usia perkahwinan adalah tempoh paling kritikal kerana hampir 28 peratus perceraian berlaku dalam jangka waktu berkenaan.

Kebanyakan kes perceraian dalam tempoh itu pula membabitkan pasangan muda berumur bawah 30 tahun ke bawah," katanya.

Beliau berkata, penurunan bilangan pasangan bercerai sepanjang tahun ini berbanding tahun lalu adalah disebabkan kesan daripada pelbagai kempen dan penguatkuasaan berterusan dilaksanakan JAWI pada tahun lalu sehingga kini.

Antaranya, program Dakwah Bil Hal yang dilancarkan pada 2009; kempen Rakan Muda Masjid; kempen mengimarahkan masjid; kempen pasukan sukarelawan masjid selain program bertemu komuniti kurang bernasib baik dan bermasalah yang kesemuanya mensasarkan penyertaan golongan muda.

Semua kempen ini bermatlamat menangani krisis akhlak dan moral dalam kalangan generasi muda dan saya percaya dengan meningkatkan kekerapan siri ceramah serta kempen berkaitan untuk mereka, kesedaran mengenai kepentingan menerapkan gaya hidup berlandaskan ajaran Islam boleh ditingkatkan.

Ia sekali gus membantu JAWI menurunkan lagi kadar perceraian sehingga 15 peratus lagi menjelang 2015, katanya.

0 Bagaimana mendidik rakyat Malaysia di jalan raya melalui skrip drama / filem? Saya pernah terfikirnya dan akan kaji lebih mendalam lagi

ARKIB : 25/08/2010

Negara rugi RM9.3 bilion akibat kemalangan jalan raya - Suret Singh
25/08/2010 3:43pm


SHAH ALAM 25 Ogos — Malaysia membayar harga yang tinggi setiap kali berlaku kemalangan dan tahun lepas sahaja kerajaan kerugian kira-kira RM9.3 bilion akibat tragedi itu.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Suret Singh berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan beberapa aspek seperti bayaran pampasan insurans, kos perubatan dan kerugian tenaga kerja serta produktiviti.

"Apabila pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal mengubah sikap dan lebih berdisiplin di atas jalan raya, saya fikir kita dapat menjimatkan RM9 bilion itu yang meliputi 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, demikian ketika berucap pada kempen mengenai keselamatan dan kesihatan di jalan raya dan di tempat kerja anjuran proton Holdings Berhad, yang dilancarkan Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Suret berkata, bagi tempoh lima tahun lepas, jabatannya berjaya mengurangkan kadar kecederaan akibat kemalangan jalan raya sebanyak 42 peratus.

"Jabatan juga berjaya mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan kepada 3.55 peratus sekarang berbanding 4.3 peratus lima tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas sebanyak 6,745 pengguna jalan raya maut dalam kemalangan dan kebanyakannya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. — Bernama


Artikel berkaitan:

Negara rugi RM9b nahas jalan raya

Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my


SURET (dua dari kanan) menunjukkan kaedah penggunaan topi keledar yang betul sambil diperhatikan oleh Syed Zainal Abidin (kanan) di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Setiap tahun Malaysia perlu menanggung kerugian antara RM8 hingga RM9 bilion akibat kemalangan jalan raya, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.

Bagi tahun lalu sahaja, menurut Suret, kerajaan menanggung kerugian sebanyak RM9.3 bilion akibat kemalangan jalan raya yang mengakibatkan 6,745 mangsa terkorban dan 8,849 lagi cedera parah.

Menurut beliau, anggaran kerugian itu dibuat berdasarkan beberapa aspek seperti bayaran pampasan insurans, kos perubatan, kerugian tenaga kerja serta produktiviti.

"Dalam usaha kita mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, kerajaan tidak sepatutnya terbeban dengan kerugian yang begitu besar setiap tahun.

"Kerugian seperti ini akan mengurangkan pendapatan negara dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara satu hingga dua peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan dan Kesihatan di Jalan Raya dan Tempat Kerja di Ibu Pejabat Proton di sini semalam.

0 Ramai mualaf di Sabah ditinggalkan suami. Sesuatu harus diberi perhatian

Tiada tindakan susulan terhadap mualaf sebabkan murtad: Masidi



LANCARKAN ... Masidi (tengah) melancarkan program Iftar Perdana Saudara Baru, turut disaksikan Haji Muhammad Abdullah@Nicholas Sylvester (kanan) dan Pengarah Program itu, Firdaus Said.


24th August, 2010
KOTA KINABALU: Tiadanya tindakan susulan terhadap saudara baru (mualaf) bagi memberikan didikan dan bimbingan kepada mereka mengenai agama Islam menyebabkan timbul isu kemurtadan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, berkata masalah ini berlaku sejak tahun 80an yang menyebabkan ada saudara baru terutamanya golongan wanita yang ditinggalkan serta diceraikan suami selepas mempunyai ramai anak kembali ke agama asal mereka.

“Mereka (saudara baru) ini jadi keliru, tidak ada bimbingan dan tiada tempat untuk mengadu masalah, mereka juga dipinggirkan keluarga selepas memeluk Islam dan ini menyebabkan ada di kalangan mereka menjadi murtad (kembali ke agama asal),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Iftar Perdana bersama Saudara Baru anjuran Hidayah Centre, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) cawangan Sabah di Maggellan Sutera Harbour, di sini, kelmarin.

Masidi berkata, sepatutnya mereka ini (saudara baru) dibantu dan diberi perhatian dengan memberikan bimbingan dan didikan serta kefahaman yang lebih mendalam supaya memahami apa itu Islam dan ajaran yang sebenarnya.

Katanya, pada masa yang sama mereka ini juga akan dapat merasa dihargai selepas memeluk agama Islam.

“Inilah cabaran yang kita perlu hadapi, dengan membantu menyelamatkan orang lain yang menghadapi masalah dan ini dapat memperkasakan lagi jati diri mereka (saudara baru) sebagai seorang Islam sejati,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, usaha-usaha untuk memperkasakan agama Islam tidak seharusnya terlalu bergantung kepada usaha dan bantuan daripada kerajaan semata-mata.

Katanya, dalam tahun-tahun 50an dahulu di negeri ini, untuk mendirikan surau dan masjid ianya tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan, ia banyak dilakukan oleh masyarakat Islam secara bergotong royong untuk membina rumah ibadat itu di kampung mereka.

Dalam pada itu, beliau memuji usaha yang dijalankan oleh Hidayah Centre JIM yang mengadakan gerakan dakwah terhadap saudara baru secara sukarela bagi membantu dan meningkatkan lagi kefahaman para saudara baru terhadap agama Islam.

Terdahulu itu, Pengerusi Hidayah Centre JIM Pusat, Haji Mohammad Abdullah @ Nicholas Sylvester, berkata pusat itu yang ditubuhkan pada tahun 2005 bagi membantu menangani masalah kemurtadan di negara ini.

Katanya, sehingga kini terdapat 14 pusat itu (Hidayah Centre) dan ramai saudara baru mendapat manfaat daripada penubuhan pusat itu dalam membantu dan membimbing mereka memberikan kefahaman terhadap agama Islam yan sebenarnya.

Mengenai Iftar Perdana bersama Saudara Baru itu, beliau berkata, ianya diadakan di seluruh negara yang bertujuan meraikan Saudara Baru, memasyhurkan Hidayah Centre dan mendapatkan dana untuk operasinya.

Ia juga katanya, untuk menyebarluaskan dakwah secara meriah, kreatif interaktif dan santai dan pelbagai kepada semua lapisan masyarakat.

Pada majlis itu, lebih 300 orang terdiri daripada Saudara Baru hadir mengikuti program berkenaan yang buat pertama kali diadakan di negeri ini.