.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, August 25, 2010

0 Apabila prof bersuara: Kemajuan sains dan teknologi sesebuah negara hebat dapat dicapai dari semangat kenegaraan tinggi dan peka hal kemanusiaan

Taksub sains punca sejarah dipinggir
Oleh Zanariah Abd Mutalib

2010/08/25
KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara yang terlalu menumpukan kepada pembelajaran sains dan teknologi serta meminggirkan kepentingan sejarah dan hal-ehwal kemanusiaan menyebabkan pelajar tidak dapat menguasai ilmu kenegaraan termasuk hidup bersatu dalam negara berbilang kaum.

Sejarawan, Profesor Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata Penyata Razak yang dikeluarkan pada 1956 sudah menggariskan bahawa objektif utama sistem pelajaran adalah perpaduan, namun perkara itu tidak dapat dilihat dalam sistem pendidikan hari ini yang menuntut pelajar mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Disebabkan itu, katanya, gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sukar difahami generasi hari ini, malah ada yang menyamakannya dengan slogan Malaysian Malaysia oleh DAP yang menuntut kesaksamaan antara semua kaum, sedangkan keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 1Malaysia bukan minta Perlembagaan dipinda secepat mungkin. Dari dulu keistimewaan orang Melayu sudah diperakui iaitu sejak dari zaman British kerana mereka adalah rakyat Raja Melayu.

Bagaimanapun, pada masa ini, ada orang nak timbulkan kekacauan yang bukan-bukan termasuk mempersoalkan Perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan) yang tidak ada kaitan dengan logik dan undang-undang, katanya.

Beliau memberi syarahan sebagai ahli panel Forum Jati Diri bertajuk Perbezaan Gagasan 1Malaysia dengan Malaysian Malaysia anjuran Berita Harian, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Sarjana Komunikasi Media Malaysia di Universiti Malaya di sini, semalam.

Selain Khoo, turut menjadi ahli panel ialah penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Zainal Kling. Ketua II GAPENA, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar bertindak sebagai moderator.
Turut hadir Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan timbalannya, Mahfar Ali.

Sementara itu, Zainal berkata, kesaksamaan hak dalam Malaysian Malaysia sebenarnya menindas golongan miskin yang kebanyakannya terdiri daripada Bumiputera di luar bandar dan slogan itu dilaungkan tanpa sedikit pun menyentuh kepentingan membangunkan mereka.

0 Potongan RM1 selama setahun untuk bantu fakir islam, ia idea hebat yang bukan islam digalakkan ikut

Potongan gaji RM1 sebulan bantu fakir miskin


2010/08/25
KUALA LUMPUR: Kira-kira 70 peratus daripada 1.2 juta kakitangan awam beragama Islam bersetuju melakukan pemotongan gaji minimum RM1 setiap bulan selama setahun untuk disalurkan kepada dana kebajikan bagi membantu golongan fakir miskin di negara ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata kesediaan kakitangan terbabit bakal mengumpulkan dana RM10 juta setahun sekali gus membantu golongan miskin daripada lingkaran kemiskinan. Budaya bersedekah perlu diterapkan dalam masyarakat Malaysia terutama orang Islam dan diharap dana itu mampu digunakan bagi merencana program serta membantu golongan miskin keluar daripada kepompong kemiskinan, katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Miskin anjuran Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia , di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Lembaga Penasihat Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia, Tan Sri Zaleha Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Pengurus Besar Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, Franz Swoboda.

Pada majlis itu, 110 anak yatim daripada tujuh badan kebajikan turut menerima sumbangan duit raya berjumlah RM150 setiap seorang.

Sementara itu, Rosmah meminta usahawan Islam di negara ini meningkatkan usaha membudayakan amalan sedekah bagi mencapai kemakmuran dan kehebatan seperti masyarakat di negara lain.

Malah, katanya penubuhan Yayasan Al-Bukhary, Waqaf Al-Nur Corporation Berhad dan Yayasan Emkay perlu dijadikan contoh supaya usahawan Islam bersedia memperuntukkan sebilangan kecil keuntungan kepada masyarakat yang memerlukan.
Kerajaan juga perlu mewujudkan satu badan khas yang bertanggungjawab menguruskan sumbangan daripada individu Muslim dan badan korporat yang menyalurkan sumbangan mereka kepada individu yang berkelayakan, katanya.

0 Roket buatan Denmark menggunakan cecair oksigen sebagai bahan api

Roket angkasa lepas buatan sendiri



SEORANG lelaki duduk dalam roket ciptaan dua pereka Denmark.



COPENHAGEN - Dua pereka Denmark mencipta roket buatan sendiri yang pertama di dunia dan direka untuk membawa manusia ke bulan, lapor sebuah akhbar semalam.

Roket setinggi sembilan meter tersebut yang menggunakan cecair oksigen sebagai bahan api merupakan cetusan idea sebuah firma, Suborbitals di sini yang diketuai oleh pencipta Kristian von Bengtson dan Peter Madsen.

Pada 30 Ogos ini, roket itu yang dinamakan Pengangkut Atmosfera Ekso Hibrid (HEAT) akan dilancarkan ke angkasa lepas dari sebuah kapal selam di Laut Baltik.

Sekiranya, ujian pelancaran itu berjaya, roket itu akan digunakan untuk membawa Madsen ke angkasa lepas dalam masa terdekat.

Roket itu dibina sejak 2004 tanpa peruntukan kerajaan tetapi ia menerima sumbangan dalam bentuk penajaan, derma dan penglibatan sukarelawan. - Agensi

0 Apa rahsia kejayaan Media Prima sehingga untung lebih 100%

Tempoh mencabar - Media Prima
KUALA LUMPUR 24 Ogos - Media Prima Bhd. yang kini mencatat prestasi yang positif, menjangkakan tempoh mencabar pada tahun depan, berikutan prospek suram ekonomi global, kata Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Amrin Awaluddin.

"Tahun depan akan menjadi tahun yang mencabar, sebahagiannya disebabkan oleh prospek global sekarang. Orang bercakap mengenai keadaan tidak menentu di Amerika Syarikat dan di Eropah.

"Apa yang membimbangkan ialah momentum pertumbuhan sekarang agak rapuh berikutan kebimbangan Amerika Syarikat mungkin menghala ke arah kemelesetan ekonomi berganda.

"Apa juga yang berlaku di sana dan di Eropah akan memberi kesan kepada Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, beliau juga berkata, Media Prima akan terus menyaksikan pertumbuhan positif ke arah separuh kedua 2010, mencerminkan penambahbaikan ketara keputusan separuh pertamanya.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, ia mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM121.6 juta berbanding RM14.6 juta pada tempoh yang sama setahun lalu.

Pendapatan bersih meningkat kepada RM718.6 juta daripada RM319.2 juta sebelumnya, mencerminkan sumbangan kukuh daripada bahagian televisyen, radio, media luar dan media cetak.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoritinya (PATAMI) meningkat kepada RM82.2 juta daripada RM8 juta pada tempoh yang sama sebelumnya pada 2009.

"Tidak termasuk butiran luar biasa dan kesan penggabungan New Straits Times (Malaysia) Bhd, PATAMI Media Prima meningkat daripada RM4.7 juta kepada RM24.4 juta," kata Amrin ketika mengumumkan hasil kewangan kumpulan itu, di sini, semalam.

Beliau berkata rangkaian TV Media Prima - TV3, 8TV, ntv7 dan TV9 - terus menjadi satu daripada pemacu pendapatan utama bagi kumpulan, yang kini mempunyai kehadiran tunggal terbesar dalam tontonan televisyen Malaysia dengan gabungan penonton 46 peratus pada separuh pertama 2010.

Mengenai operasi media cetak menerusi NSTP, Amrin berkata, Media Prima mencatatkan kenaikan 12 peratus dalam pendapatan bersih sebanyak RM313 juta daripada RM278 juta pada tempoh enam bulan pertama 2009.

Harian Metro mengekalkan penerajuan di Malaysia dengan 420,000 naskhah, mencecah 460,000 naskhah pada hujung minggu di seluruh negara dalam separuh pertama 2010.

"Pada dasarnya, tempoh selebihnya tahun ini kelihatan menyakinkan. Walaupun jika anda lihat pada angka separuh pertama, ia sebenarnya keuntungan dan pendapatan tertinggi bagi Media Prima, walaupun sekiranya kami tidak memasukkan NSTP.

"Setakat ini sehingga Ogos, aliran meningkat itu berterusan. Berdasarkan kepada angka enam bulan itu, kami yakin dengan tempoh selebihnya 2010," katanya.

Pada masa depan, Amrin berkata Media Prima merancang meningkatkan pelaburannya dalam media baharu yang dijangka menyaksikan sumbangan positif dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Semasa tempoh enam bulan pertama 2010, kerugian sebelum cukai bahagian media baharu itu meningkat kepada RM2.3 juta daripada RM657,000 yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada 2009. - BERNAMA