.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, August 24, 2010

0 Hati-hati di jalan raya, rancang perjalanan anda, awasi mata mengantuk, selalu beringat bunga tayar anda

Sabah & Sarawak: 14 laluan maut

Oleh Suzianah Jiffar

2010/08/23
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah mengenal pasti 14 laluan maut di seluruh negeri yang bakal diberi tumpuan dalam rondaan mencegah kemalangan jalan raya sempena musim perayaan mulai 27 Ogos hingga 25 September ini.

Daripada jumlah itu, tiga laluan adalah di daerah ini, iaitu Kilometer (KM) 0-15 Jalan Lintas-Tuaran, KM8-KM20 Jalan Kota Kinabalu-Papar dan KM9-KM22 Jalan Lintas- Kepayan. Laluan lain ialah KM12-KM52 Jalan Labuk di Sandakan; KM1-KM24 Jalan Apas (Tawau); KM2-KM12 Jalan Keningau-Tambunan (Keningau); KM1-KM21 Jalan Beaufourt-Papar (Beaufort); KM1-KM10 Jalan Kudat-Tamalang (Kudat) dan KM28 Jalan Lahad Datu-Sandakan (Lahad Datu). KM1-KM15 Jalan Papar Beaufort (Kimanis); KM20-KM40 Jalan Semporna-Kunak (Silam); KM1-KM44 Jalan Tuaran-Kota Belud-Ranau (Telipok); KM40-KM65 Jalan Beluran-Telupid (Telupid) dan KM28 Jalan Lahad Datu-Sandakan (Segama).

Pengarah JPJ negeri, Mohd Shuhaili Mohd Taufek, berkata rondaan itu akan diadakan selama 16 jam dan ia adalah sebahagian daripada kaedah baru penguatkuasaan undang-undang JPJ Sabah tahun ini.

"Kami akan menempatkan pegawai dan anggota untuk melakukan rondaan setiap masa. Ini adalah antara jalan yang kerap berlaku kemalangan, termasuk membabitkan kematian.

"Kami berharap pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan itu," katanya pada dalam sidang media selepas melancarkan Ops Sikap XXII musim Aidilfitri 2010 di Terminal Bas Utara, Inanam dekat sini, kelmarin.
Mengenai operasi itu, beliau berkata penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dari 4 hingga 19 September ini.

"Seramai 273 anggota JPJ akan terbabit dalam Ops Sikap ini, termasuk dalam penguatkuasaan, rondaan dan penyamaran di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata, antara objektif Ops Sikap XXII adalah mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

"Kami juga akan mempertingkatkan keselamatan penumpang kenderaan awam, pematuhan undang-undang jalan raya, memastikan kenderaan lebih muatan tidak berada di jalan raya, pemeriksaan bas ekspres di terminal dan pemantauan terhadap teksi dan kereta sewa," katanya.

Bagaimanapun, katanya, larangan kenderaan barangan menggunakan lebuh raya yang dikuatkuasakan di Semenanjung tidak dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak.

0 Cita-cita Ahmad Idham dalam industri filem dan drama pada masa depan

Idham ada cita-cita besar
Oleh Farihad Shalla Mahmud

2010/08/24
FIKIRANNYA mungkin terganggu ekoran isu perlantikannya sebagai Ahli Lembaga dan juga disebut-sebut sebagai bakal Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem
Nasional (FINAS) yang menjadi polemik dalam dunia hiburan sehingga ke hari ini.
Begitupun, kontroversi itu tidak membataskan pengarah dan pelakon ini untuk merancang masa depannya iaitu ingin membangunkan industri perfileman secara keseluruhan. Kecintaannya terhadap dunia seni nyata mengatasi segala-galanya dan disebabkan itulah Ahmad Idham bercadang untuk mewujudkan sebuah institut atau kolej perfileman khusus bagi melahirkan lebih ramai pelapis dalam bidang ini.
Perkara ini sudah lama berada dalam fikiran saya. Pada awalnya, saya ingin bawa idea ini untuk FINAS jika saya dibawa masuk ke sana tetapi memandangkan isu ini menjadi kontroversi, jadi saya fikir lebih baik saya tubuhkan sendiri institut terbabit,

Institut ini bukanlah seperti kolej perfileman yang menyediakan pengajian peringkat diploma atau ijazah dan sebagainya tetapi ia lebih menitikberatkan soal latihan amali. Setiap pelajar akan berpeluang mendapat tunjuk ajar dari tenaga profesional yang memang terbabit dengan bidang ini secara langsung. Contohnya, kami akan menyediakan pelakon terkenal untuk mengajar kelas lakonan supaya mereka mendapat gambaran sebenar.

Selain itu, kami juga menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar terbabit. Senang cerita, mereka yang belajar di kolej ini dijamin peluang pekerjaan sama ada dengan syarikat saya sendiri, Excellent Pictures ataupun dengan produksi lain menerusi perjanjian bersama yang bakal kami tandatangani tidak lama, kata Idham ketika dihubungi Hip baru-baru ini.
Katanya, kolej itu nanti akan tertumpu kepada tiga bidang untuk peringkat permulaan iaitu sekolah perfileman, sekolah lakonan dan juga fotografi. Untuk sekolah fotografi, ia akan terbahagi kepada dua bahagian iaitu drama dan filem.

Bukan saja dalam bidang perfileman, saya juga bercadang untuk mewujudkan sekolah kewartawanan pada masa akan datang khususnya kewartawanan hiburan yang objektifnya juga untuk membantu meningkatkan dunia penulisan hiburan, katanya.

Ditanya berapa banyakkah bajet untuk mendirikan kolej itu, dia berkata perkara itu belum dapat diputuskan lagi kerana harus melihat prasarananya terlebih dulu.

Mungkin saya akan meminta bantuan daripada MARA menerusi pinjaman usahawan muda yang dikendalikan oleh agensi itu kerana saya juga adalah bekas pelajar tajaan MARA. Apapun, saya harus melihat dari segi kemudahan yang akan kami sediakan dan hanya selepas itu barulah boleh diketahui nilai sebenar projek ini.

Kalau boleh kami mahu kolej ini siap secepat mungkin dan pengambilan pelajar yang pertama sekitar Januari tahun depan. Itupun kalau sempat, kalau tidak mungkin pada bulan Julai 2011, katanya mengenai kolej yang bakal diberi nama Advice Institute of Film Making.

Selain projek pembangunan modal insan yang akan dikendalikan menerusi kolejnya itu, Idham juga mempunyai pelbagai rencana lain untuk syarikatnya sendiri iaitu menjadi pengedar kepada filem tempatan serta mewujudkan pawagam sendiri.

Apa yang saya buat ini adalah untuk menunjukkan bahawa saya memang mengambil berat terhadap kepentingan industri perfileman dan saya harap impian saya ini akan tercapai, katanya.

Sasar tiga filem setahun

KETIKA dihubungi, Idham berada di lokasi untuk menyiapkan penggambaran filem terbarunya berjudul Senjakala. Filem yang bertemakan seram dan cinta ini membariskan pelakon seperti Liyana Jasmay, Zahiril Adzim dan Faezah Elai.
Memulakan penggambaran hujung minggu lalu filem ini, menurut Idham berkisar kepada kisah cinta sepasang kekasih. Bagaimanapun, cinta mereka menimbulkan konflik apabila si jejaka rupa-rupanya membela saka yang ditinggalkan oleh nenek moyangnya.

Menurut Idham, selepas kontraknya dengan syarikat Metrowealth Movie Productions (MMP) tamat awal tahun lalu dan filem Damping Malam menjadi filem terakhir arahannya untuk produksi terbabit, dia kini lebih menumpukan terhadap
pembikinan filem untuk syarikatnya sendiri.

Selepas Senjakala, akan muncul dengan filem seterusnya pada penghujung tahun ini. Filem Senjakala mungkin ditayangkan Februari tahun depan. Untuk syarikat ini, saya merancang menghasilkan tiga filem setahun, selain menumpukan perhatian terhadap projek lain seperti pembikinan drama serta kolej perfileman yang bakal didirikan nanti,katanya.

Biarpun kontraknya bersama MMP tamat, namun tegas Idham ia bukanlah penghalang
untuknya bekerjasama dengan syarikat yang cukup aktif itu.

Kami masih boleh bekerjasama tapi ia akan dilakukan secara usaha sama. Mungkin filem itu nanti juga harus mempunyai sentuhan saya sendiri dan ia tidak terbatas pada syarikat itu saja tetapi juga untuk syarikat produksi yang lain.

Cara kerja saya mudah, iaitu hanya bekerja dengan mereka yang mempunyai visi yang besar untuk meningkatkan industri. Saya ada bakat dan David Teo mempunyai kewangan yang kukuh serta strategi pemasaran yang baik. Gabungan seperti inilah yang membantu kejayaan kebanyakan filem yang dihasilkan, katanya.

0 Jika anda lahir hari ini, warganegara mana anda pilih? Malaysia pilihan ke-37 dunia

Malaysia di kedudukan ke-37 senarai 'Negara Terbaik Dunia' Newsweek


2010/08/23
KUALA LUMPUR: Malaysia berada di kedudukan ke-37 dalam senarai "Negara Terbaik Dunia" majalah Newsweek dari segi penyediaan ekonomi, politik, pendidikan, kesihatan dan kualiti kehidupan.

Di kalangan jiran, Singapura di kedudukan ke-20, Thailand (58), Filipina (63) dan Indonesia (73). Dalam senarai membabitkan 100 negara itu, Finland di kedudukan pertama, diikuti Switzerland dan Sweden. Dalam keluaran khas pertama "Negara-negara Terbaik" Newsweek, mereka diminta menjawab satu soalan sederhana tetapi agak kompleks - jika anda dilahirkan hari ini, negara mana yang akan menyediakan anda peluang terbaik untuk menjalani kehidupan yang sihat, selamat, makmur, dan bergerak maju.

Bagi tinjauan khas ini, Newsweek memilih lima kategori kesejahteraan negara - pendidikan, kesihatan, kualiti kehidupan, daya saing ekonomi, dan persekitaran politik.

Majalah itu juga menyenaraikan Malaysia sebagai lapan terbaik dalam kategori pendidikan di kalangan negara berpendapatan sederhana atas.

Tiga negara teratas dalam kategori itu ialah Kazakhstan, Poland dan Cuba. - BERNAMA


Artikel berkaitan:

Minda Pengarang: Malaysia antara negara terbaik dunia diraih hasil kesepakatan rakyat


2010/08/25

PEMILIHAN Malaysia oleh majalah antarabangsa, Newsweek untuk menduduki tangga ke-37 dalam senarai Negara Terbaik Dunia dan ketiga di rantau Asia sebagai negara pilihan yang mampu menyediakan tempat untuk hidup lebih selesa dan sihat, selamat, sejahtera serta maju adalah satu pengiktirafan tinggi ke atas kemampuan pentadbiran negara di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak. Kejayaan ini bertambah manis apabila Newsweek keluaran 23 hingga 30 Ogos itu turut menyenaraikan Malaysia pada kedudukan kelapan daripada 10 negara pendapatan sederhana tinggi dalam bidang pendidikan. Sebagai negara yang menetapkan sasaran mencapai status berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020, pemilihan Malaysia daripada 100 negara untuk menduduki tempat ke-37 di bawah Jepun yang menduduki tempat kesembilan dan Singapura (20), tetapi di atas Thailand (58), Filipina (63) dan Indonesia (73), bukan dapat dicapai dengan mudah dan singkat.

Ini diakui Newsweek pencapaian itu berdasarkan lima kategori kesejahteraan negara iaitu pendidikan, kesihatan, kualiti kehidupan, daya saing ekonomi dan persekitaran politik. Usaha menilai tahap negara terbaik dilakukan beberapa bulan dan mendapat bantuan lembaga penasihat termasuk pemenang anugerah Nobel, Prof Joseph E Stiglits dari Universiti Columbia. Perlu diingat, pemilihan ini menggambarkan keadaan negara pada 2008 serta 2009 dan bukan saja berkisar kepada latar belakang sejarah atau jangkaan masa depan negara. Berdasarkan perkembangan semasa, Malaysia boleh memperbaharui kedudukan ini berikutan pembentangan pelan pembangunan lima tahun negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) oleh Perdana Menteri bagi tempoh 2011-2015 di Dewan Rakyat, baru-baru ini yang menumpukan pelbagai usaha mencapai status negara maju pada 2020. Dengan berbekalkan peruntukan RM230 bilion di bawah RMKe-10, kerajaan menumpukan usaha kepada pelaksanaan transformasi jentera pentadbiran awam, mewujudkan suasana kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi, memacu ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif, pembangunan modal insan bertaraf dunia, serta membina kehidupan rakyat berkualiti. Kita yakin matlamat menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi dapat dicapai pada 2020 dengan dukungan gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Model Baru Ekonomi (MBE) kerana semua ini menyediakan pentas bagi transformasi struktur utama yang diperlukan itu. Untuk melihat Malaysia terus mencatatkan pelbagai kejayaan dan mendapat pengiktirafan pada masa depan, kita perlu memastikan negara dapat terus bersaing pada peringkat serantau dan global, termasuk soal menarik pelaburan, memacu inovasi dan produktiviti. Perlu diakui teras bagi mana-mana ekonomi yang produktif terletak pada tenaga kerja yang berdaya saing, kreatif dan inovatif di peringkat global. Sesungguhnya kejayaan Malaysia ini hasil kerjasama menyeluruh dan kesepakatan pelbagai lapisan masyarakat dalam melaksanakan dasar ekonomi dan kewangan, di samping kestabilan iklim politik dan keyakinan pelabur asing. Kita berbangga dengan kemampuan negara menduduki senarai ke-37 Negara Terbaik Dunia mengatasi beberapa negara jiran di Asia dan benua lain kerana ia menunjukkan kita mempunyai dasar ekonomi yang menjurus kepada pertumbuhan dan ketangkasan tanpa mengorbankan keadilan dan kesaksamaan semua kaum yang ada di negara ini.