.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, July 13, 2010

0 Nilai pertaruhan judi piala dunia 1/2 juta. Berapa nilai cukai kerajaan boleh dapat?

Judi Piala Dunia setengah bilion

Oleh ATIKAH DALI
atikah.mohddali@kosmo.com.my


MOHD. BAKRI (kanan) menunjukkan slip bayaran pertaruhan judi haram pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.



KUALA LUMPUR - Seramai 227 individu termasuk kaki judi dan bookie yang dipercayai terlibat dalam sindiket judi bola sepak Piala Dunia 2010 membabitkan wang pertaruhan berjumlah hampir setengah bilion ringgit ditahan di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, beberapa lelaki yang ditahan merupakan ejen kepada ah long yang menawarkan pinjaman wang kepada kaki judi berkenaan.

Ejen-ejen ah long dicekup ketika mereka berada bersama kaki judi ketika serbuan dilakukan polis.

Kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 73 tahun itu ditahan secara berasingan dalam 151 serbuan Ops Soga di seluruh negara sejak bermulanya perlawanan Piala Dunia pada 11 Jun lalu dan berakhir semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, daripada 227 yang ditahan, seramai 218 merupakan rakyat tempatan manakala baki sembilan orang lagi warga Indonesia.

"Bertindak atas maklumat, satu unit gempur ditubuhkan dengan kerjasama daripada polis antarabangsa (Interpol) bagi menangani perjudian haram," kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di Bukit Aman di sini semalam.

Menurut beliau, hasil tangkapan tersebut polis merampas sebanyak 78 unit komputer, 69 buah komputer riba, 178 buah telefon bimbit, 12 buah mesin faks, empat buah pencetak dan modem yang digunakan untuk tujuan perjudian haram tersebut.

Selain itu, polis turut merampas sebanyak 450 helai kertas dan nota mengandungi nota-nota berkaitan pertaruhan dan wang tunai sebanyak RM99,266.

"Jumlah tangkapan tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 300 peratus berbanding tangkapan semasa perlawanan Piala Eropah pada tahun 2008," kata beliau.

Menurut beliau, Malaysia menduduki tangga kedua tertinggi selepas Thailand di kalangan enam buah negara yang menyertai Asia Pacific Expert Group On Asia Organised Crime (APEC/AOC) bagi membanteras judi haram sempena Piala Dunia 2010.

Selain Malaysia dan Thailand, empat buah lagi negara yang menyertai APEC/AOC ialah Singapura, Hong Kong, Macau dan China.

Mohd. Bakri sebelum ini mendedahkan pihaknya mengenal pasti lebih tujuh orang kenamaan (VIP) terlibat dalam kegiatan perjudian haram tersebut dan mereka telah melarikan diri ke luar negara sebelum berlangsung Piala Dunia 2010 pada Jun lalu.

Bagaimanapun, selepas siasatan beliau kemudian mengesahkan hanya terdapat empat dalang yang terlibat dalam kegiatan judi tersebut tetapi tiada sebarang tangkapan dibuat kerana mereka telah lari ke negara jiran.

"Kita telah mengenal pasti lokasi negara mereka tinggal dan memantau ahli keluarga mereka di sini," kata beliau.

Keempat-empat dalang tersebut yang dipercayai ahli perniagaan bergelar Datuk merupakan rakyat tempatan dan berusia lewat 40-an.

Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.

0 Kisah Sotong Paul akan diingati sampai bila-bila. Saya fikir Paul berjaya redahkan ketegangan bookie piala dunia

Sotong Paul akan bersara


PAUL berenang dekat replika trofi Piala Dunia di dalam
Akuarium Sea Life di Oberhausen, Jerman semalam.



BERLIN - Sotong kurita selebriti, Paul yang menjadi sensasi kerana meramalkan tujuh perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan akan bersara daripada membuat ramalan perlawanan bola sepak.

Menurut jurucakap Akuarium Sea Life du Oberhausen, Tanja Munzig, haiwan itu tidak lagi melakukan urusan ahli nujum.

"Ia tidak lagi membuat sebarang ramalan sama ada bola sepak atau politik, gaya hidup atau ekonomi.

"Paul akan kembali dengan pekerjaan lama iaitu membuat kanak-kanak gembira," kata Munzig.

Ramalan terakhir yang dibuat sotong itu ialah kemenangan Sepanyol ke atas Belanda.

Namun semalam, kakitangan akuarium itu yang menjadi tempat tinggal haiwan berkenaan menghadiahkan Paul dengan piala emas mirip Piala Dunia.

Semasa piala itu yang dihiasi dengan tiga kupang, Paul pada mulanya tidak menghiraukannya selama beberapa minit semasa ia dimasukkan ke dalam akuarium.

Akhirnya, sotong itu mengambil salah satu kupang dan memakannya di depan kamera televisyen.

Paul mendapat perhatian peminat bola sepak apabila ia meramalkan dengan tepat perlawanan melibatkan Jerman termasuk kekalahan skuad itu kepada Sepanyol.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan Sepanyol mahu membeli Paul dengan harga AS$38,000 (RM121,676) dan mahu menamakannya Paulo.

Ahli perniagaan itu mahu menjadikan haiwan tersebut sebagai maskot untuk satu majlis makanan yang besar.

Sebelum ini, sotong itu menjadi kemarahan penduduk Jerman dan Argentina yang mahu memakannya selepas dia meramalkan Argentina kalah kepada Jerman dan Sepanyol menewaskan Jerman. - Agensi


Artikel berkaitan:

Zoo Sepanyol mahu sotong Paul




GAMBAR menunjukkan sotong bernama Paul di dalam Akuarium Sea Life di Oberhausen pada 12 Julai lalu.


MADRID - Sebuah zoo di sini membuat tawaran untuk mendapatkan sotong selebriti Piala Dunia, Paul dari tempat tinggalnya di Akuarium Sea Life, Oberhausen, barat Jerman.

Pihak pengurusan zoo itu akan menawarkan haiwan lain bagi menggantikan wang kepada pihak akuarium tersebut sebagai tukaran untuk mendapatkan Paul.

Namun, seorang jurucakap Akuarium Sea Life menegaskan haiwan itu tidak akan dipindahkan ke tempat lain.

Sotong itu berumur dua setengah tahun dan dilahirkan di sebuah akuarium di England pada Januari 2008.

Jangka hayat haiwan tersebut ialah tiga tahun.

Sotong itu menjadi terkenal kerana ia meramalkan dengan tepat semua perlawanan melibatkan Jerman selain Sepanyol pada Piala Dunia 2010.

Cara sotong itu membuat ramalan ialah dengan memilih salah satu bekas berisi makanan yang dihiasi dengan bendera negara yang bertanding dalam akuarium tersebut. - Agensi


Artikel berkaitan:

Sotong Paul ramal bakal Presiden Rusia



KEPUTUSAN hasil tilikan Paul (gambar tengah) sama ada Putin (kiri) atau Medvedev (kanan) dipilih menjadi ketua negara Rusia terpaksa dirahsiakan pihak berkuasa sehingga tamat Pilihan Raya Presiden pada 2012.


MOSCOW - Sebuah akhbar ternama Rusia, Komsomolskaya Pravda semalam mendedahkan, sotong psikik sensasi Piala Dunia 2010, Paul telah pun ditugaskan untuk membuat ramalan siapakah bakal presiden baru negara itu baru-baru ini.

Namun, keputusan daripada hasil tilikan sotong itu yang dijalankan oleh pihak berkuasa Rusia secara rahsia di akuarium Sea Life di Oberhausen, Jerman diarah untuk tidak didedahkan kepada umum sehingga selesai Pilihan Raya Presiden pada 2012.

Akhbar itu melaporkan, Paul seperti dilakukan ketika memilih pemenang antara dua pasukan bertanding, turut diminta memilih antara dua bekas tertera nama calon iaitu Perdana Menteri, Vladimir Putin and Presiden Dmitry Medvedev.

Rakyat Rusia sehingga kini masih keliru dengan keadaan politik negara itu apabila Putin dan Medvedev dilihat sama-sama berkuasa sebelum dua pemimpin itu mengarahkan pilihan raya dibuat. - Agensi