.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, July 01, 2010

0 Magika: Kisah Mawi dan Diana berjumpa Hang Tuah, Puteri Gunung Ledang, Mahsuri, Pak Pandir, Badang, Bawang Putih Bawang Merah. Great idea!

Magika ditayangkan September
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2010/07/01


NORMAN bersama Zalman (tiga dari kanan), Edry, Yusry dan pelakon Magika pada sidang media sempena kerjasama KRU Studios dan Celcom di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.Norman yakin filem terbarunya tidak kecewakan penonton

PROMOSI filem Magika sudah mula digembar-gemburkan sejak awal tahun lagi. Malah, filem ini sudah pun dipertontonkan kepada media sekitar Mac lalu di pawagam kerana pada bulan yang sama, filem muzikal bercorak fantasi terbitan KRU Studios ini akan mula ditayangkan kepada khalayak. Namun entah di mana silapnya, filem yang membariskan ramai pelakon handalan dan popular ini nampaknya masih terperap dan tidak dapat ditayangkan mengikut jadual yang ditetapkan. Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, rancangan penayangan filem ini yang dijadualkan pada Mac lalu terpaksa ditangguhkan kerana masih menunggu jawapan daripada pihak penaja yang mahu bekerjasama dengan mereka.

“Memang pada awalnya kami memang merancang untuk menayangkan pada Mac lalu tetapi selepas mengadakan perbincangan dengan pihak Celcom, kami pun memilih tarikh 23 September depan untuk ditayangkan. Tarikh itu dipilih kerana bagi kami ia amat bersesuaian memandangkan ia masih lagi dalam suasana hari raya.

“Bagaimanapun kami akan menunggu keputusan yang diberikan Syarat Wajib Tayang berhubung tarikh baru penayangan filem ini, dan 23 September itu hanyalah pilihan kami saja,” katanya pada sidang media sempena pengumuman kerjasama KRU Studios dan Celcom di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama Naib Presiden Kanan Bahagian Pemasaran Celcom, Celcom Malaysia Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin, pengarah filem Magika, Edry Abdul Halim serta sebahagian barisan pelakon ini iaitu Mawi, Diana Danielle dan adik Fimi Don.
Ditanya tidakkah KRU Studios risau sambutan terhadap filem ini akan menjadi dingin memandangkan tarikh tayangannya agak lewat berbanding promosi mengenainya dilakukan lebih awal, Norman yakin perkara itu tidak akan berlaku.

“Sebenarnya filem Magika ini memang memerlukan tempoh promosi yang lama iaitu sekurang-kurangnya setahun. Jadi saya percaya perkara itu akan memberi kelebihan kepada filem ini. Sebelum ini kita pernah membuat promosi dalam masa yang singkat iaitu selama tiga bulan untuk filem Jin Notti dan My Spy dan sambutannya juga tidak begitu menggalakkan.

“Seperti yang kita tegaskan, perkara ini kita sudah berbincang dengan Celcom dan mereka mempunyai pelbagai strategi promosi sehinggalah filem ini ditayangkan di pawagam. Lebih lama tempoh promosi, lebih besar impaknya terhadap filem ini,” katanya optimis.

Menurutnya, filem Magika juga mendapat banyak permintaan dari pelbagai pihak untuk mengadakan tayangan amal. Baginya perkara itu juga adalah satu promosi untuk filem itu.

“Kami juga akan mengadakan tayangan Diraja untuk negeri Perlis dan ia akan ditayangkan di Panggung Capitol. Ia juga adalah satu rangka promosi sebelum ia ditayangkan kepada umum,” katanya.

Termasuk Magika, bermakna sudah tiga filem KRU Studios ditaja oleh syarikat telekomunikasi gergasi ini. Dua filem sebelum ini adalah Cicakman 2 Planet Hitam dan My Spy.

“Kami mengalu-alukan kesudian Celcom untuk sekali lagi bekerjasama dengan KRU Studios. Dengan penajaan ini, kami berharap sedikit sebanyak dapat membantu dari segi soal promosi dan pengiklanan filem ini yang menelan belanja amat besar,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas pembabitan Celcom dalam filem ini, Zalman berkata konsep Magika yang berbeza membuatkan mereka tertarik untuk bekerjasama dengan mereka.

“Sebelum membuat keputusan, kami terlebih dulu menonton filem ini dan apa yang kami dapati, Magika memberi satu pendekatan baru kepada filem tempatan. Bukan saja saya menyukainya, malah semua kakitangan saya yang menonton filem ini juga menyukainya,” puji Zalman.

Selain pengumuman Celcom sebagai penaja, majlis petang itu turut menyaksikan album runut bunyi Magika dilancarkan. Tetamu yang hadir dihiburkan dengan nyanyian lagu Penyembuh Rindu oleh Diana dan Mawi selain tayangan trailer filem berkenaan.

Filem Magika, buah tangan pertama Edry ini mengisahkan dua beradik, Ayu dan Malik yang tersesat dalam dunia yang sungguh asing buat mereka. Di sana mereka bertemu dengan pelbagai karakter yang selama ini menjadi mitos dan kepercayaan masyarakat Melayu antaranya Pak Pandir, Badang, Nenek Kebayan, Puteri Gunung Ledang, Bawang Putih Bawang Merah, Orang Minyak, Hang Tuah lima bersaudara dan Mahsuri. Filem ini turut dijayakan oleh Ziana Zain, M.Nasir, Ning Baizura, Aznil Nawawi, Raja Azura, Sharifah Amani dan Adibah Noor.

0 Hati-hati dengan gerak hati semasa dalam tekanan kerana ianya boleh membunuh

Park Yong-ha bunuh diri
SEOUL 30 Jun - Pelakon dan penyanyi popular Korea Selatan ditemui mati dipercayai akibat membunuh diri hari ini kerana tertekan dalam menguruskan kariernya, kes bunuh diri terbaru melibatkan individu berprofil tinggi di negara ini.

Aktor itu juga dilaporkan menghadapi tekanan kerana terpaksa menguruskan bapanya yang sakit.

Park Yong-ha (gambar), 33, dipercayai 'mengikut gerak hati' dan menggantung diri menggunakan kabel elektrik perakam video di kediamannya di Seoul beberapa jam selepas pulang dalam keadaan mabuk, demikian menurut kenyataan Balai Polis Gangnam.

"Kami merumuskan adalah jelas bahawa dia membunuh diri," jelas kenyataan itu.

Tiada nota bunuh diri ditemui dan Yong-ha tidak mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan perasaan atau masalah kewangan.

Polis, bagaimanapun berkata, Yong-ha tertekan kerana sukar menguruskan syarikat hiburan dan kariernya pada ketika bapanya menderita kanser perut.

"Mungkin saya yang lebih tenat daripada kamu, bapa. Saya minta maaf. Saya minta maaf," kata Yong-ha kepada bapanya ketika melawat bapanya sambil disaksikan ibunya, yang dipetik daripada kenyataan polis.

Mayatnya ditemui oleh ibunya.

Yong-ha juga dilaporkan memberitahu rakan setugasnya minggu ini bahawa 'kerja adalah sukar dan kehidupan seperti ini payah untuk dilalui'.

Dia sebelum ini setia menjaga bapanya berusia 62 tahun yang uzur dan mengambil pil tidur bagi mengatasi masalah insomnia.

Aktor kacak ini memulakan karier lakonan pada lewat 1990-an dan merupakan barisan pelakon dalam drama televisyen terkenal Winter Sonata, siri yang mendapat sambutan hangat di Jepun dan Asia Tenggara termasuk Malaysia. - AP

0 Lagenda Budak Setan, Kapoww dan Piala Dunia. Haru dan mengharukan

Dengarnya... Kapoww tewas di tangan Piala Dunia
Oleh Normah Becok

2010/07/01
KATA beberapa pengusaha filem, apabila bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 bermula, kutipan beberapa filem agak tergugat. Kononnya, peminat lebih suka duduk di rumah melayan siaran langsung atau ulangan kejohanan berkenaan daripada keluar ke pusat beli-belah untuk menonton wayang.

Cik Normah ada juga beberapa kali ke panggung wayang sepanjang minggu lalu. Ketika yang sama, Cik Normah jeling-jeling juga ke arah kaunter jualan tiket filem Melayu. Ketika itu, Lagenda Budak Setan yang sudah pun memungut RM4 juta masih ligat ditayangkan, manakala filem Kapoww: Atoi The Ajaib Boy juga turut diputarkan. Kalau pada hari bekerja, memang tak ramai sangat yang datang ke panggung. Lainlah pada hujung minggu, apabila orang ramai terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan tiket. Antara yang beratur, termasuklah Cik Normah, yang teringin menonton filem lakonan Tom Cruise, Knight And Day. Bagi Cik Normah, filem aksi itu biasa saja. Cik Normah lebih sukakan Toy Story 3 yang memang meletup ceritanya. Apa-apa pun, sewaktu bertemu seorang teman yang berkebetulan bekerja dengan syarikat penerbitan filem Kapoww baru-baru ini, Cik Normah bertanya padanya, berapa kutipan yang sudah dilakukan filem terbabit.

Katanya, jumlah pungutan sebenar belum lagi berada dalam tangannya. Jadi, tak dapatlah dia nak bagi tahu secara rasmi.

Begitupun, dia berkata, demam bola sepak Piala Dunia sedikit sebanyak mengganggu rentak kutipan filem tempatan, walaupun Kapoww sendiri mendapat ulasan dan reaksi yang baik daripada media. Filem itu mula ditayangkan pada 17 Jun lalu.

Isnin lalu, Cik Normah menyemak laman web FINAS untuk mencari sedikit maklumat buat artikel seterusnya. Alang-alang sudah berada di laman web terbabit, Cik Normah menyemak sekali jumlah pungutan filem itu sebagaimana yang diserahkan kepada perbadanan berkenaan. Alangkah terkejutnya Cik Normah apabila melihat angka pungutannya, hanya RM150,000! Dalam hati Cik Normah tertanya sendiri, biar betul?
Sangka Cik Normah, Kapoww akan menggamit perhatian ramai peminat kerana ia persembahan komedi yang menampilkan elemen baru dalam filem Melayu. Mungkin kemunculannya pada saat orang ramai memberikan tumpuan pada bola sepak Piala Dunia, membuatkan pungutannya pun menjadi suam-suam kuku.

Kalau filem pertama Azizi ‘Chunk’ Adnan, Antoo Fighter, boleh memungut sehingga lebih RM2 juta, takkan Kapoww RM150,000 saja? Isyyy, sungguh sukar Cik Normah nak percaya.

0 Emel newsletter dari saudara jamal berkenaan bisnes ebook. Untuk yang kerja pejabat (jam 8 - 5), kenalah belajar MLM (menulis lewat malam)

Sumber: http://www.blogjamal.com/panduan/untung-ke-jual-ebook/

Untung ke Jual Ebook



Salam sahabat semua,

Hari ni saya nak berkongsi sesuatu iaitu “Untungkah Menjual Ebook”. Ya, itulah soalannya! Untung atau tidak menjual ebook di internet. Ada orang kata tak untung langsung, ada yang kata untung besar. Bagaimana tu?

Jika anda tanya saya, sudah pasti saya katakan jual ebook sangat-sangat menguntungkan. Yelah takkan tak untung kan, dah dapat jualan dekat RM0.5 juta tak untung saya tak jual ebook! Dan ada juga orang jual ebook, tapi tak untung. Saya ada juga dapat respons dari mereka ini. Ramai tak yakin boleh jana income dengan menjual ebook ini. Mungkin di Malaysia terlalu baru?

Untung atau tidak, jom lihat dulu…

Satu soalan cepu emas…

Ada Ke Orang Beli Ebook?

Ini soalan pelik yang sering pernah saya terima. Baca aja di bawah:

Jika takde orang beli, saya takkan jual ebook. Cuba lihat semakin ramai orang jual ebook sekarang ini. Ada permintaan, ada jualan. Ya betul tu! Ebook dihasilkan berdasarkan permintaan juga. Seperti bisnes lain, ada permintaan, ada jualan.
Satu contoh soalan buat anda “ Anda nak kerja kerajaan. Tapi kat kedai buku tiada buku rujukan khas buat temuduga kerja kerajaan. Semuanya temuduga umum saja. Tapi di internet, ada ebook/ebuku dalam bentuk softcopy yang membongkarkan teknik-teknik betul semasa temuduga kerja kerajaan. Anda ingin sangat kerja kerajaan, mana satu kah yang akan anda beli? Ebook atau buku?” Kalau ada sesuatu yang lebih baik, pasti orang ramai akan dapatkannya.
Cuba lihat di luar Negara, terutamanya Amerika, perniagaan ebook semakin meluas. Orang beli book kerana mahukan maklumat dengan pantas, padat, terbukti berkesan atau hasil dari kejayaan orang lain. Lihat saja ebook-ebook yang terkumpul di laman web www.clickbank.com . Buat apa buang masa, kos, dan tenaga untuk sesuatu yang dah ada jalan penyelesaiannya. Sekarang zaman serba pantas.
Orang yang terdesak untuk mendapatkan maklumat dalam ebook pasti akan membelinya. Lihat saja ebook anak didik saya di tipsptd.com yang terjual lebih 3000 unit dalam masa 10 hari saja. Lebih RM130K dihasilkan! Saya pun kalah..hehehe. Disebabkan terdesak untuk dapatkan info dalam ebook tu, mereka membeli ebook. Jika mereka usaha cari sendiri, tak ke buang masa, buang duit dan juga tenaga. Benda dah ada depan mata, apa perlu tunggu lagi.
Sekarang zaman penyebaran informasi selari dengan perluasan penggunaan internet. Abad 21 adalah zaman informasi. Nak dapat maklumat atau nak selesaikan masalah je, taip saja di google. Tu terbeli ebook tu:-) Internet kan sumber rujukan terhebat sekarang ni.
Orang beli ebook sebab malas mencari buku di kedai buku. Penat-penat mencari belum tentu ada buku tu. Mana anda mahu, luang masa 1 jam membeli ebook di internet atau menghabiskan masa 1 hari mencari awek cun di kedai buku di kedai buku. Kalau takde buku yang diidamkan, pasti anda memaki tokey kedai buku itu.. Sian tokey kedai…huhuhu
Bila satu-satu ebook tu bagus, iaitu dapat selesaikan masalah orang, ianya pasti akan disebarkan kepada orang lain. Ianya mampu menjadi viral. Contohnya si Ali ni. “Sebab aku baca panduan dalam ebook Jamal tu lah aku dapat kerja goverment. Baik kau beli juga ebook Jamal tu wahai Halimah Jongang”. Halimah beli book tu sebab disyorkan oleh si Ali.
Ya itulah sebabnya ramai orang beli book sekarang ni. Kebanyakan ebook untuk selesaikan masalah mereka dengan segera di mana ianya tiada dalam buku-buku fizikal. Tapi jaga-jaga, ebook sampah pun ada juga.

Zaman sekarang, orang dahagakan air sirap limau informasi. Dengan informasi, segala kerja boleh menjadi mudah. Sebab itu, bisnes pemasaran informasi semakin berkembang sekarang. Pemasaran informasi boleh jadi buku, ebook, audio, video, software, seminar dan sebagainya. Dan ebook menjadi pilihan utama saya.

Dr Irfan Khairi member setadika saya ada menyatakan beberapa sebab kenapa anda perlu menjalankan bisnes ebook:

# Produk terhangat di pasaran.
Pengguna Internet paling ramai menggunakan internet untuk mencari informasi. Ini bererti, permintaan untuk informasi di Internet adalah amat tinggi. Oleh itu, menjual informasi di Internet adalah menjual sesuatu yang sedia berpermintaan tinggi (terhangat di pasaran)

# Ebook tidak mempunyai kos (per unit).
Ia hanyalah file digital sahaja. Ertinya, kalau anda jual ebook anda pada harga RM10, maknanya, RM10 lah untung anda. Kalau jual pada harga RM20, maka RM20 lah untung anda. Kalau jual pada RM50, maknanya, RM50 lah untung anda untuk setiap belian. 100% keuntungan pergi kepada anda.

# Kos pengendalian yang rendah
Memulakan perniagaan Internet menjual ebook dari rumah tentunya kos pengendalian adalah rendah. Mempunyai PC & Internet pun, sudah boleh menjalankan perniagaan. Apabila mengendalikan perniagaan terus dari rumah, kos perniagaan adalah amat rendah- tidak perlu mempunyai kedai yang memakan kos sewa, bil elektrik yang tinggi, bil air, pengangkutan tambahan, dan sebagainya…

# Tidak perlu menyimpan stok
Menjual produk nyata di Internet memerlukan anda menyimpan stok. Contoh, sekiranya anda hendak menjual buku di Internet, pastinya anda perlu menyimpan stok-stok buku. Tetapi, dengan menjual ebook, anda tidak perlu menyimpan stok, oleh kerana ia hanyalah file digital kecil yang tersimpan di komputer anda.

# Cepat untuk disiapkan
Dengan komitmen dan usaha, ia boleh mengambil masa satu bulan (atau kurang) untuk menyiapkan satu ebook. Apabila sudah siap, anda mempunyai produk informasi yang akan memberi anda pulangan sampai bila-bila sahaja selagi ianya di pasarkan.

# Cepat untuk dipasarkan
Untuk memasarkan ebook, jangkamasa yang di ambil adalah cepat. Maksudnya, apabila siap sahaja menghasilaknnya, ebook tersebut boleh terus pasarkan.

Berbeza dengan buku tradisional, selepas menulis, penulis perlu mencari penerbit. Penerbit pula akan memproseskan buku tersebut dan mendapatkan pengedar. Pengedar akan mengedarnya ke kedai. Sering kali mengambil masa yang lama berbulan-bulanuntuk buku sampai pasaran.

# Memudahkan pembeli
Menjual ebook melalui Internet memudahkan pengguna/pembeli oleh ekrana mereka tidak perlu bersusah payah pergi ke kedai buku untuk mencari informasi. Dari keselesaan rumah sahaja, pengguna dapat melayari laman web anda dan membeli informasi yang di cari.

# Tak perlu takut kehabisan stok
Ebook adalah berformat digital. Anda tidak perlu takut keadaan kehabisan stok. Sekiranya anda menjual produk, dan produk tersebut kehabisan stok, sudah pasti perniagaan anda juga akan terganggu. Menjual informasi dalam format ebook, tidak akan ada kehabisan stok- maka, perniagaan boleh dijalankan tanpa sebarang gangguan stok sampai bila-bila.

# Tiada pesaing yang tepat
Sekiranya anda mencipta produk informasi, produk itu adalah ciptaan milik anda dan tidak mempunyai pesaing. Anda menjual produk informasi yang unik tanpa pesaing. Sekiranya anda menjual produk seperti handphone, ipod, buku atau sebagainya yang sedia ada di pasaran, pastinya, produk-produk tersebut mempunyai pesaing usahawan yang lain. Orang lain pun boleh jual juga produk fizikal yang sedia ada!

# Menarik minat kumpulan pengguna
Sekiranya anda menjual informasi mengenai bercucuk tanam, peminat cucuk tanam akan membeli daripada anda sebagai koleksi simpanan maklumat cucuk tanam mereka. Bukan bermaksud, sekiranya mereka sudah memiliki buku cucuk tanam penulis lain, mereka tidak akan membeli buku cucuk tanam sudah. Produk informasi (ebook atau buku) adalah complementary product.

Walaupun topik atau subjek yang sama, kumpulan pengguna akan masih membeli. Contoh, adakah seseorang itu memiliki buku Robert Kiyosaki “Rich Dad Poor Dad” sahaja, atau mereka masih lagi membeli buku-buku kewangan lain termasuk daripada Azizi Ali, Donald Trump, Chef Li dan sebagainya?

# Terlalu banyak topik ebook yang belum ditulis- terutamanya pasaran Malaysia!
Masih terlalu banyak ruang untuk ebook di Internet, terutamanya untuk pasaran Malaysia. Ebook mengenai cara bermain golf belum ada, ebook mengenai cara main sepak takraw belum ada, ebook mengenai mempertahankan diri dengan silat belum ada, ebook mengenai bagaimana wanita boleh belajar skill-skill asas mempertahankan diri pun tiada lagi. Ebook mengenai mencantikkan rumah mengikut citarasa Malaysia pun belum ada. Ebook mengajar graduan bagaimana hendak menghadapi temuduga kerja pun tiada di pasaran… dan senarainya berterusan!

Terlalu banyak ebook (berbahasa Malaysia) yang masih belum ditulis. Dan sekiranya anda pertama di fikiran, anda akan jadi pioneer dan ramai akan ingat perniagaan informasi anda!

# Boleh menjalankan perniagaan di mana sahaja
Menjalankan perniagaan menjual produk, anda tidak boleh menjalankannya di mana sahaja (melainkan mempunyai pekerja untuk uruskan penghantaran). Tetapi, menjual informasi dalam format ebook, anda boleh menjalankan perniagaan dari mana sahaja.

Dengan membawa laptop, balik kampung raya atau bercuti di luar negara, perniagaan boleh terus dijalankan pada bila-bila masa sahaja dan di mana sahaja kerana stok anda adalah file digital.

# 100% anda kawalkan
Tiada perlu bergantung pada sesiapa, kerana perniagaan 100% milik anda. Sekiranya menjual produk, kita perlu bergantung pada pengeluar, pemborong, penghantaran, dan sebagainya. Pada bila-bila masa sahaja, boleh berlaku kesilapan dan menganggu perniagaan. Menjual informasi berformat ebook, 100% di dalam kawalan anda.

# Residual income/passive income (pendapatan berterusan)
Residual income yang bermaksud buat kerja sekali, pendapatan datang berkali-kali. Apabila kita menulis satu ebook, mungkin mengambil masa 1 bulan, tetapi, kita boleh menjana pendapatan darinya untuk bertahun-tahun akan datang!

# Terlalu banyak idea = Multiple source of income (aliran pendapatan berganda)
Terlalu banyak idea-idea ebook boleh ditulis. Ini bererti, simpanan produk kita untuk masa hadapan sudah sedia ada. Tinggal tunggu masa untuk menciptakan sahaja. Ini juga memberi multiple source of income!

Bagaimana? Anda dapat lihat betapa besarnya potensi dalam perniagaan ebook. Saya kongsikan anda sedikit bagaimana untuk hasilkan ebook yang benar-benar berkualiti dan laris di pasaran.

Ebook yang benar-benar terjual adalah ebook yang dapat menyelesaikan masalah orang ramai. Masalah orang ramai adalah peluang terbaik untuk anda jana pendapatan dari ebook. Ebook bukan sekadar pemberi info, tapi sebagai pemberi nasihat dan penyelesai masalah.