.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, June 12, 2010

0 Dialog agama bukanlah debat agama. Tidak patut berdebat di sesi dialog sebab itu bukan gelanggangnya

Sumber: Saifulislam.com


Memahami Dialog Antara Agama (Interfaith)

June 21st, 2007 by Abu Saif 1:13 am | 11,026 views | Print | Email | Leave a reply » .

Tenaga di Balik Tabir IYEP


Berdiri dari kiri: Saifulislam.Com, Maria Yan, Evelyn dan Afiq
Duduk dari kiri: Bo Bo dari Myanmar dan Anthony

Alhamdulillah…

Syukur kepada Allah kerana program Inter-Civilizational Youth Engagement Program (IYEP) telah selesai.

Perasaan saya bercampur aduk. Gembira dan penuh bangga dengan peserta yang telah mempamerkan kualiti yang kami harapkan, namun diselubungi rasa gementar kerana tahu bahawa mesej yang ingin dibawa ke seluruh dunia oleh 50 peserta dari 15 negara dan 6 agama, adalah suatu lorong yang penuh liku… sama ada diselubungi ujian, mahu pun kesunyian.


Mengapa saya katakan demikian?

Secara peribadi, walau pun program IYEP telah sangat berjaya melebihi apa yang kami jangkakan, namun di sana ada satu ruang besar yang boleh diperbaiki, andaikata program seperti ini bakal diadakan sekali lagi pada masa hadapan.

Ruang yang saya maksudkan itu, adalah penyediaan mindset yang betul kepada peserta yang hadir. Seperti biasa, saya sering mengulangi kenyataan bahawa, mindset yang tidak betul akan menjadi penghalang kepada penerimaan dan penolakan. Ia boleh mencetuskan masalah yang tidak perlu.

Masih ramai peserta dan sebahagian tenaga kerja, yang tidak jelas apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan dialog antara agama dan tamadun. Dalam konteks yang lebih besar, ia juga menjelaskan bahawa sebahagian besar masyarakat, tanpa mengira bangsa dan agama, juga masih jauh dari meraikan mesej ini. Semangat, keinginan yang membara di kalangan duta IYEP21 akan dicabar oleh ketidak sediaan masyarakat untuk memahaminya. Suatu perjalanan yang memerlukan kesabaran, kerana manusia sudah terlalu biasa bergaduh atas alasan agama.

Lantas peserta dan kita semua mesti bertanya kepada diri sendiri, apakah sebenarnya yang anda faham tentang dialog antara agama (Interfaith Dialogue)? Apakah dialog antara agama ini medan menguji kebenaran agama masing-masing, gelanggang diskusi teologi, atau ruang menukar agama?

Isu ini sangat penting untuk diselesaikan. Apabila sesiapa sahaja yang menyertai dialog antara agama, gagal meletakkan dialog ini dalam konteks yang betul, maka ia akan menyulitkan perbincangan.

FUNGSI AGAMA


Agama adalah jawapan dan penyelesaian kepada fungsi kehidupan manusia.

Fungsi pertama agama, ialah mendefinisikan siapakah saya dan siapakah Tuhan, serta bagaimanakah saya berhubung dengan Tuhan itu. Bagi Muslim, dimensi ini dinamakan sebagai hablun minaLlah dan ia merupakah skop manusia meneliti dan mengkaji kesahihan kepercayaannya dalam menghuraikan persoalan diri dan Tuhan yang saya sebutkan tadi. Perbincangan tentang fungsi pertama ini berkisar tentang Ketuhanan, Kenabian, Kesahihan Risalah dan sebagainya.

Kategori pertama ini, adalah daerah yang tidak terlibat di dalam dialog antara agama. Pluralisma agama yang disebut beberapa kali oleh satu dua penceramah, TIDAK bermaksud menyamaratakan semua agama dalam konteks ini. Mana mungkin penyama rataan dibuat sedangkan sesiapa sahaja tahu bahawa asas agama malah sejarahnya begitu berbeza. Tidak mungkin semua agama itu sama!

Manakala fungsi kedua bagi agama ialah mendefinisikan siapakah saya dalam konteks interpersonal iaitu bagaimanakah saya berhubung dengan manusia. Bagi pembaca Muslim, kategori ini saya rujukkan ia sebagai hablun minannaas.

Ketika Allah SWT menurunkan ayat al-Quran yang memerintahkan manusia agar saling kenal mengenal (Al-Hujurat 49: 13), perbezaan yang berlaku di antara manusia bukan sahaja meliputi perbezaan kaum, malah agama dan kepercayaan. Fenomena berbilang agama adalah seiring dengan perkembangan manusia yang berbilang bangsa itu semenjak sekian lama.

Maka manusia dituntut agar belajar untuk menjadikan perbezaan itu sebagai medan kenal mengenal, dan bukannya gelanggang krisis dan perbalahan.

Untuk seorang manusia berkenalan dan seterusnya bekerjasama di antara satu sama lain, mereka memerlukan beberapa perkara yang boleh dikongsi bersama untuk menghasilkan persefahaman. Maka di sinilah, dialog antara agama (Interfaith Dialogue) mengambil tempat. Dialog antara agama bertujuan untuk menerokai beberapa persamaan yang ada di antara agama. Dan persamaan itu banyak ditemui di peringkat etika dan nilai.

KOMPONEN AGAMA

Saya akan cuba menjelaskannya dalam konteks gambarajah berikut:



Komponen Agama

Dari mana sahaja kita melihat, agama Islam akan mempamerkan tiga dimensi ini. Setiap perintah Allah SWT adalah berlangsung di atas dasar Iman. Iman itu diproses melalui ritual ibadah. Tetapi agama tidak berhenti setakat itu.

Ibadah adalah taabbud kita kepada Allah, namun Allah tidak mempunyai kepentingan terhadap Taabbud kita kepada-Nya. Maka, apakah tujuan Ibadah yang memproses Aqidah itu?

Tidak lain dan tidak bukan, tujuannya adalah untuk manusia itu sendiri. Aqidah yang diproses melalui Ibadah, adalah bertujuan untuk menghasilkan karakter, kualiti dan nilai tertentu dalam diri manusia itu sendiri. (Iman, Islam dan Ihsan…) (Iman, Solat, Tercegah dari Mungkar…) (Iman, Puasa, Taqwa…) kesemua suruhan agama berada di dalam kerangka ini.

Ada di antara nilai yang terhasil melalui proses Ibadah itu, adalah untuk kegunaan dan manfaat manusia terhadap dirinya sendiri. Ada juga nilai yang terhasil, perlu digunakan untuk manusia berhubung dengan manusia yang lain.

Ini adalah asas yang mesti ada di dalam kefahaman kita terhadap komponen agama.

Namun, sedarkah kita bahawa semua agama mempunyai komponen yang sama? Ini adalah apa yang diistilahkan oleh Dr. Chandra Muzaffar sebagai paralel agama. Kesemua agama mempunyai komponen yang selaras.

AGAMA HINDU

Ketika kami membawa peserta ke kuil Hindu, sesi taklimat menjelaskan bahawa Hindu mengiktiraf keesaan Tuhan Pencipta. Manakala patung-patung yang ada di dalam kuil, mewakili beberapa konsep yang ingin dicapai. Apabila seorang penganut Hindu pergi ke satu patung, maka beliau melakukan beberapa bentuk meditasi, menawar sembahan dan lain-lain, demi untuk mencapai kualiti tertentu… seperti kehancuran ego, sabar dan lain-lain.

Maka ketuhanan dan ritual yang mereka lakukan, adalah untuk mencapai kualiti tertentu bagi kehidupan penganutnya. Dalam erti kata yang lain, pada agama Hindu itu sendiri, ada input, proses dan output. Hal yang sama juga boleh dilihat pada agam Kristian dan Yahudi. Walaupun agama Buddha tidak mempunyai konsep Tuhan Pencipta, namun meditasi dan ritualnya tetap mempunyai sandaran kepercayaan, dan segala bentul ritual itu pula, juga untuk mencapai kualiti tertentu terhadap diri manusia.

Inilah intipati kepada Dharma. Mahatma Gandhi pernah berkata yang beliau tidak mempunyai sebarang bantahan kepada mesej misionari Kristian tetapi beliau berharap agar mereka lebih komited terhadap Dharma mereka sendiri – iaitu Kristianiti yang sebenar.

TUMPUAN DIALOG ANTARA AGAMA

Maka, nilai dan kualiti inilah yang menjadi fokus dialog antara agama. Oleh kerana kesemua agama mempunyai matlamat yang selaras, maka ia menjadi medium paling realistik untuk menjadikan manusia boleh bersefahaman dan bekerjasama. Sebagaimana agama boleh menjadi punca konflik (apabila manusia lebih cintakan ‘agama’nya berbanding Tuhan), maka agama jugalah penyelesaian kepada konflik itu, iaitu dengan membetulkan kembali mindset kita terhadap komponen agama.



Saya mempengerusikan sesi bersama Dr. Kamar Oniah

Kesemua agama mengajar manusia menjadi baik.

Cuma, sebagai pedoman kepada pembaca Muslim, di sinilah saya ingin menunjukkan rahsia di sebalik ungkapan Nabi Muhammad SAW:

“Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurniakan kemuliaan dan nilai Akhlaq” (Disahihkan oleh al-Albani – 1/45)

Kesempurnaan yang dimaksudkan di sini ialah kerana input dan proses kepada Akhlaq itu, disempurnakan melalui ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda. Maka Baginda SAW menegaskan bahawa kedatangannya adalah untuk menyempurnakan Akhlaq.

Agama-agama lain juga meletakkan output ajarannya sebagai tingkah laku, karakter dan sikap yang baik, yang dinamakan Akhlaq oleh Islam. Namun kepada umat Islam, kita menganggap bahawa input dan prosesnya telah mengalami pelbagai masalah. Maka Muhammad SAW diutuskan untuk memperbetulkan kembali input (Aqidah) dan proses (Ibadah) kepada Akhlaq. Dengan pembetulan itu, maka sempurnalah Akhlaq sebagaimana yang diperjelaskan oleh Baginda SAW di dalam hadith di atas.

AGAMA YANG BENAR?

Akan tetapi, soal mana satukah input dan proses yang betul, ia bukan subjek dialog antara agama. Maka, menjadi suatu kesalahan yang besar apabila sesiapa yang melibatkan diri di dalam aktiviti ini, mahu menjadikan gelanggang dialog antara agama, sebagai medan perdebatan tentang soal agama siapa yang betul dan agama siapa yang salah.

Inilah yang agak kurang diperjelaskan, sehingga pelbagai isu timbul di kalangan beberapa peserta tentang penegasan masing-masing terhadap agama mereka.

“Tidak mungkin agama dapat disatukan”, kata A.

“Tidak mungkin ada dua kebenaran di sini. Hanya satu yang betul”, kata B.

Tentu sahaja. Tiada siapa di kalangan pencetus idea dialog ini mahu mengajak kepada penyatuan agama. Malah interfaith dialogue mewajibkan kita untuk mengiktiraf perbezaan yang wujud antara agama, namun mengajak kita kepada meneroka persamaan. Di manakah persamaan itu? Jawapannya ialah kepada OUTPUT. Jika manusia berpegang kepada agama, maka mereka pasti cintakan keadilan, keamanan, kerendahan diri sesama insan, hormat menghormati… kerana kesemua nilai ini adalah apa yang mahu dicapai oleh semua agama.



Sebahagian daripada peserta bergambar bersama Maria Yap, tenaga paling utama di sebalik program IYEP21 kali ini

APLIKASI

Jika ada seorang datang kepada saya kerana beliau mencari kebenaran, mahu menguji apakah kepercayaannya betul atau salah, sejauh mana benarnya Islam dan sejauh mana salahnya agama beliau pada masa itu, maka di sini saya akan mengajak beliau kepada diskusi teologi, membahaskan soal ketuhanan, kenabian, kesahihan risalah dan sebagainya.

Namun jika ada yang mahu belajar dan memahami apa itu Islam, agar beliau dapat mencari ruang-ruang kerjasama, atau hanya sekadar mahu mengenal jiran sebelah rumahnya, maka perbincangan teologi tidak membawa sebarang erti. Ia hanya akan menjadi suatu insult yang buruk kerana tetamu itu datang bukan untuk menukar agamanya, tetapi mahu belajar tentang agama kita.

Di sinilah pendekatan dialog antara agama mesti diguna pakai.

Kesilapan yang berlaku ialah:

1.Seorang datang kerana mahu menganalisa kepercayaannya, mahu memahami Islam agar dapat menjawab soalan siapa dirinya, siapa Tuhan dan bagaimana dia patut berhubung dengan Tuhan, tiba-tiba kita mengajaknya kepada dialog interfaith dengan nada, “tak mengapa. Tak perlu menjadi Muslim. Asalkan kamu baik, maka kamu ok”. Orang itu sedang mencari justifikasi input dan proses agamanya. Maka berikan apa yang dia perlu.
2.Seorang datang kerana mendapat tahu di dalam masyarakatnya ada orang Islam. Beliau mahu mengenali apakah yang dikatakan Islam. Mengapa orang Islam bertudung, mengapa mereka solat 5 waktu sehari semalam… agar mereka hilang tanda tanya terhadap Islam dan Muslim, dan mudah-mudahan dengan hilangnya prejudis itu, mereka boleh berkawan, bekerjasama dan berganding bahu menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu dunia… tiba-tiba kita mengajaknya kepada perdebatan agama siapakah yang benar, apakah kitab sucinya itu asli atau tidak, siapa yang akan masuk Syurga dan Neraka… apatah lagi dengan sikap supremacy yang memandang rendah terhadap orang lain dan merasa tinggi tak bertempat.
Inilah dua contoh ekstrim yang menjadi cabaran kepada interfaith dialogue.

Saya berpandangan bahawa hal ini sangat perlu untuk difahami oleh peserta dialog antara agama seperti ini, khususnya dari kalangan peserta Muslim kerana secara umumnya, merekalah penganut agama yang paling kuat berpegang dengan kepercayaan masing-masing, di samping penganut Yahudi dan Kristian.

Maka, ketika mana timbulnya istilah pluralisasi agama, janganlah cepat melenting kerana orang mendefinisikannya dengan maksud yang lain, sedangkan kita memahaminya dalam konteks yang lain.

Saya belajar dari tradisi ulama kita, betapa pentingnya pendefinisan dibuat sebelum apa-apa sahaja tajuk mahu dibincangkan. Lihat sahaja mana-mana kitab, khususnya kitab Fiqh, setiap topik akan dimulakan dengan membuat pendefinisian terma.

Akibat pemahaman yang salah terhadap subjek perbincangan, maka riuh rendahlah diskusi apabila ayam bergaduh dengan itik. Masing-masing kelihatan saling berbunyi, tapi hakikatnya mereka bercakap dalam dua bahasa yang berbeza.

Seek first to understand, then to be understood!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur


© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

0 Ganjil dan misteri. Macam kerja makhluk asing

Lubang misteri telan kilang


Lubang besar di sebatang jalan di tengah bandar Guatemala yang telah menelan sekurang-kurangnya sebuah bangunan tiga tingkat semasa taufan Agatha membadai pada 2 Jun, 2010. - AP


GUATEMALA CITY 11 Jun - Sebuah lubang besar yang menelan kilang pakaian dan satu persimpangan jalan di ibu kota Guatemala menjadi misteri kepada ahli geologi, yang masih belum dapat mengenal pasti puncanya.

"Ia menimbulkan seribu satu persoalan," kata Jurutera Geofizik, Badan Pengurusan Bencana Nasional, David Monterroso.

Lubang yang terbentuk semasa ribut tropika May lalu mempunyai kedalaman hampir 30 meter dan 20 meter lebar.

Pihak berkuasa bagaimanapun masih belum mengesahkan berlakunya sebarang kemalangan jiwa, meskipun masyarakat setempat percaya seorang pengawal keselamatan yang sedang menggunakan telefon awam telah ditelan dalam lubang itu dan mati.

Satu teori popular yang dihebahkan secara meluas oleh media di Guatemala adalah berkenaan aliran saluran sisa kumbahan yang pecah lalu membentuk lubang itu, manakala sebuah lagi lubang yang menelan beberapa buah rumah dan membunuh tiga orang pada 2007, dikatakan berpunca daripada hujan dan kebocoran sisa kumbahan bawah tanah.

Tetapi menurut Monterroso semalam, semua bukti tersebut masih belum boleh mendapatkan gambaran jelas mengenai fenomena itu.

"Kita boleh kata ia terbentuk disebabkan oleh paip yang bocor, tetapi ia boleh jadi juga apabila lubang gua yang terbentuk itu menyebabkan rekahan pada paip.

"Ia adalah persoalan yang sukar dijawab," katanya kepada Associated Press.

Katanya, para pekerja sedang menanti barangan yang diperlukan dan kemudiaannya akan turun ke dalam lubang itu untuk menyiasat lebih lanjut.

Pihak berkuasa masih meneliti cadangan syarikat simen tempatan, sama ada ia masih boleh ditampal menggunakan campuran simen dan abu dari gunung berapi Pacaya yang meletus pada 27 Mei lalu.

Pihak kerajaan juga telah memindahkan penduduk di sekitar kawasan itu dan pekerja berhampiran dengan lubang itu kerana dikhuatiri ia boleh menjadi lebih besar.

Namun, pihak berkuasa memberitahu tidak mungkin lubang baru seumpama itu akan terbentuk. - AP

0 Gelaran Datuk ditarik balik. Apa agaknya kesalahan mereka?

4 Datuk ditarik pingat

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 11 Jun – Jumaah Majlis Diraja Johor (JMDRJ) mengesahkan tiga individu termasuk bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng telah ditarik balik pingat Datuk Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Darjah Paduka Mahkota Johor (DPMJ) berkuat kuasa Jumaat lalu.

Ini berikutan ketiga-tiga mereka didapati tidak lagi menepati kriteria Undang-Undang dan Peraturan Darjah Mahkota Johor.

Selain Jui Meng, dua lagi penerima yang ditarik balik pingat mereka ialah wanita Asia pertama yang merentasi Kutub Utara dan Selatan, Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir dan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Shaftdean Lufty Rusland.

Penarikan balik pingat itu turut melibatkan seorang peguam, Hassan Yunos yang merupakan penerima DPMJ. Pingat itu turut membawa gelaran Datuk.

Setiausaha JMDRJ, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, keputusan itu menetapkan keempat-empat individu terbabit tidak boleh menggunakan gelaran dan huruf ringkas darjah tersebut dalam sebarang urusan dan persuratan.

“Keputusan menarik balik pingat dan gelaran itu adalah berlandaskan buku Undang-Undang dan Peraturan Darjah Mahkota Johor menerusi Fasal 7(f) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang berkuasa memecat dan mengeluarkan mereka yang menerima pingat dan gelaran tersebut,” katanya.