.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, June 03, 2010

0 Lagenda Budak Setan dan Ahadiath Akhasah

Siapa Budak Setan?

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
2010/06/03
sebelum - selepas


BARISAN pelakon filem Lagenda Budak Setan bergambar dengan Sharad dan Ahadiat.Setelah 25 tahun, novel popular remaja karya Ahadiat Akashah akhirnya dijelmakan ke layar perak

SELEPAS dua filem arahannya, Diva dan Tipu Kanan Tipu Kiri mendapat kritikan negatif pelbagai pihak serta gagal di pasaran filem, Sharad Sharan barangkali boleh berbangga dan tersenyum dengan hasil buah tangan terbarunya berjudul Lagenda Budak Setan yang bakal menjengah pawagam tempatan mulai esok. Filem terbitan Astro Shaw ini diangkat daripada novel terlaris dan pernah mencipta fenomena suatu ketika dulu sejak 1985 menerusi hasil imaginasi novelisnya, Ahadiat Akashah. Menurut Sharad sendiri, selepas sekian lama mencari kandungan tempatan yang boleh diberi sentuhan komersial, pilihan berbalik kepada novel terbabit.

Sutradara kelahiran India itu menyifatkan pertemuannya dengan Ahadiat memberi dimensi tersendiri kepada pacuan kerjayanya. Selain bertindak sebagai pengarah, Sharad yang juga merangkap penerbit berkata bukan satu perkara yang mudah meletakkan novel yang besar untuk acuan filem yang ‘kecil’.

“Pada mulanya, saya takut untuk mengadaptasi karya ini kepada versi filem. Umum tahu novel itu mendapat sambutan hebat dan masih diingati hingga sekarang. Ia berlaku 25 tahun lalu tapi apabila diterjemahkan untuk tayangan sekarang, kita menyesuaikan beberapa aspek untuk kelihatan seiring termasuk latar masa dan tempat.

“Kalau mahu diikutkan ketebalan novel ini, mungkin kita perlu melekat di pawagam selama lima jam. Jadi untuk tempoh wayang yang sebenar, selama sejam setengah, saya kena memadatkannya. Ada beberapa babak daripada novel tidak dimasukkan ke dalam filem. Namun babak penting yang menghidupkan inti pati cerita masih dikekalkan,” kata Sharad sewaktu pratonton bersama media diadakan baru-baru ini di GSC Mid Valley.
Menurut Sharad lagi, filem ini ternyata berbeza dengan sentuhannya sebelum ini yang lebih cenderung ke arah muzikal. Dengan bantuan Ahadiat, sedikit sebanyak ia memudahkan kerjanya untuk mengolah jalan cerita yang dirasakan patut disampaikan.

“Hakikatnya, saya tidak boleh menukar banyak sangat jalan cerita atau babak tertentu kerana bimbang peminat novel ini tidak dapat menyelami dan menghargainya seperti mana ia disampaikan menerusi novel. Saya tidak mahu ia terkeluar daripada mood sebenar yang sudah diraih menerusi pembacaan novel itu,” katanya yang berpuas hati dengan kerjasama kru dan pelakon yang terbabit.

Sementara itu, Ahadiat Akashah yang turut hadir pratonton itu tersenyum simpul memberi isyarat bahawa dia sangat berpuas hati dengan hasil kerja Sharad. Malah penantiannya selama suku abad juga berakhir selepas karyanya itu akhirnya dijelmakan ke layar perak.

“Jika saya boleh menitiskan air mata selepas menonton filem ini tadi bererti apa yang cuba disampaikan pengarah boleh dianggap berjaya. Sejujurnya saya berpuas hati dengan semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak dalam memastikan naskhah ini berjaya difilemkan.

“Akhirnya niat saya untuk melihat novel ini diangkat ke pentas filem. Saya meletakkan harapan yang tinggi dan ia dibuktikan dengan kesungguhan Sharad dan semua yang terbabit merealisasikan filem ini. Sewaktu bertemu dengan Sharad, saya nampak kesungguhan di matanya sekali gus memberi kepercayaan,” katanya sambil memberitahu dia tidak berada di lokasi penggambaran kerana tidak mahu mengganggu tumpuan pengarah.

Ironinya, sebelum Sharad, Ahadiat pernah didatangi beberapa pihak yang mahu menterjemahkan novelnya itu ke filem. Bagaimanapun, semuanya berakhir dengan kekecewaan apabila kerjasama dengan pihak terbabit seperti bermain tarik tali dengannya.

“Saya sendiri tak pernah menyangka dan terfikir karya coretan suka-suka saya yang lahir dari hati dan jiwa yang tulus berjaya menarik kelompok peminat tersendiri. Selepas novel itu terjual 170,000 unit dan mendapat permintaan, saya sudah mula memikirkan kenapa ia tidak dibentangkan ke format filem.

“Rasanya baru semalam saya menulis novel itu kerana ia masih segar hingga kini. Harapnya peminat yang pernah ‘memuja’ karya saya sebelum ini tidak akan ketinggalan menonton filem ini. Ajaklah ahli keluarga, rakan dan sanak saudara untuk datang menonton,” katanya sambil berharap filem ini akan mencecah kutipan lapan angka.

Dalam pada itu, Ahadiat tidak menafikan ada sedikit cacat cela yang wujud sepanjang pengamatannya menonton filem ini. Beliau akur tidak semua novel yang laris di pasaran berjaya menarik minat penonton apabila ia difilemkan.

“Saya percaya setiap novel itu perlu ada perubahan sejajar dengan kehendak semasa. Bayangkan sesudah 25 tahun novel ini diterbitkan, pastinya ada aspek tertentu yang perlu ditukar. Selain pelakon yang baik, sinematografi dalam filem ini juga wajar dipuji,” katanya.

Ditanya lanjut, apakah novel yang menaikkan namanya itu ada kaitan dengan dirinya, Ahadiat pantas menjelaskan ia tiada kena mengena dengan dirinya langsung. Bagaimanapun beberapa watak yang diwujudkan dalam novelnya itu seperti Ayu diambil bersempena dengan nama isterinya.

“Saya tulis novel ini berdasarkan pengalaman dan kenakalan saya sewaktu zaman sekolah. Ia hanya rekaan semata-mata. Ia juga bertitik tolak kepada imaginasi saya,” katanya ringkas.

Petikan menarik pelakon


Lisa Surihani: “Saya berbangga dan teruja kerana dapat menimba pengalaman dan mendapat bimbingan daripada Fauziah Ahmad Daud (Kak Ogy) dua minggu sebelum kami memulakan penggambaran. Kak Ogy banyak memberi tips dan pengajaran serta berkongsi pengalaman yang banyak membantu saya meningkatkan lagi mutu lakonan. Saya umpamakan diri seperti span yang menyerap pengetahuan daripada beliau.”


Farid Kamil: “Sejujurnya saya tidak pernah membaca novel ini tapi pernah mendengar mengenai kewujudannya. Apabila diberi mandat untuk watak Kasyah, saya mula membaca novel ini. Selepas menerima skrip, saya ketepikan skrip kerana banyak berpandukan kepada novel itu untuk mengembangkan karakter Kasyah. Harapnya kegemilangan novel itu akan berterusan untuk filem ini pula.”


Shiqin Kamal: “Bukan senang untuk pelakon baru seperti saya diberi peluang dan kepercayaan untuk mendapatkan watak penting sebegini. Ia seperti ilmu yang boleh saya jadikan panduan pada masa mendatang.”


Fazura: “Selepas filem Pisau Cukur, saya seperti sudah lama tidak berlakon filem. Ia diikuti dengan peranan kecil saya dalam filem ini.”

Menarik Lagenda Budak Setan


Turut dilakonkan Que Haidar, Raja Farah, Sheila Mambo, Nubhan, Zoey dan Shiqin Kamal


Menelan belanja sekitar RM1.6 juta termasuk promosi dan pemasaran.


Diterbitkan Nusantara Filem (anak syarikat Astro Shaw) dengan kerjasama Tarantella Pictures.


Mengetengahkan empat nama besar yang pernah menggondol anugerah. Farid pernah menerima anugerah sebagai Bakat Muda 2009 pada Anugerah Seni Negara, Lisa Surihani (Pelakon Harapan Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-21), Que Haidar (Pelakon Harapan Lelaki Terbaik FFM 19, Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 dan 2009) dan Fazura (Bintang Harapan Wanita Terbaik, FFM 17).


Mengambil 33 hari untuk waktu penggambaran dan membabitkan lokasi di sekitar Lembah Klang dan Pulau Langkawi


Mengenai gerak kerja kamera yang lebih cenderung menggunakan sudut atau teknik gambar yang diambil secara dekat, Sharad memberitahu ia sengaja dirancang dan diadun sebegitu demi mengganggu dan menggerakkan pemikiran penonton.


Menggunakan pengarah sinematografi dari luar iaitu Mike Muschamp di samping skor muzik serta lagu tema daripada Indonesia.

1 Ucapan hebat Jose Mourinho untuk Real Madrid


Amaran sulung Mourinho

MOURINHO (kanan) bersama Presiden Real, Florentino Perez ketika diperkenalkan sebagai jurulatih baru Real di Santiago Bernabeu kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------


LONDON - Tidak sampai 24 jam dilantik secara rasmi sebagai jurulatih baru Real Madrid, Jose Mourinho mula memberi amaran kepada Cristiano Ronaldo.

Secara terbuka, Mourinho yang diumumkan sebagai jurulatih Real di Santiago Bernabeu kelmarin berkata, The Galacticos tidak akan mencipta kejayaan walaupun memiliki bintang sehebat Ronaldo.

"Apa yang penting, bukan jurulatih atau pemain tetapi kelab itu sendiri. Kami amat kerdil berbanding dengan reputasi kelab ini.

"Jika semua pemain bekerja secara berpasukan, bukan sukar untuk mencatat kejayaan. Saya mahu pasukan ini mempunyai identiti tersendiri untuk memenangi segala-galanya.

"Kekuatan dalam pasukan saya ialah pasukan itu sendiri dan bukannya secara individu.

"Cristiano Ronaldo adalah pemain yang luar biasa, bukan saja bagi Real tetapi juga di seluruh dunia.

"Cristiano adalah seorang juara dan bukan susah untuk mengajarnya perkara sebegini," jelas Mourinho.

Mourinho menamatkan kontraknya bersama Inter Milan minggu lepas setelah bersama kelab gergasi Itali itu selama dua musim.

Difahamkan, Real membayar Inter sebanyak £6.8 juta (RM32.6 juta) sebagai pampasan untuk membawa bekas pengurus Chelsea itu ke Santiago Bernabeu.

"Saya tidak tahu sama ada saya dilahirkan untuk membimbing Real Madrid atau tidak tetapi saya tahu saya dilahirkan untuk menjadi seorang jurulatih bola sepak.

"Saya sukakan cabaran yang penting. Saya adalah Jose Mourinho dan saya tidak akan berubah. Saya mempunyai semua kelebihan dan juga kelemahan.

"Saya berminat ke atas Real Madrid adalah kerana sejarahnya, kekecewaannya sejak kebelakangan ini dan juga matlamat mereka untuk menang," jelasnya. - Agensi