.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, April 13, 2010

0 Isu agama. Cadangan idea belum sesuai. Wujud kebimbangan

Perak bantah badan antara agama

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 12 April – Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengambil ketetapan sebulat suara membantah kelulusan Kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap kelulusan jawatankuasa khas itu berkata, ia bukan medium yang sesuai kerana dibimbangi wujud tuntutan tidak munasabah di kalangan penganut agama lain.

“Apatah lagi kewujudannya adalah rentetan daripada kegagalan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama yang telah ditentang dan ditolak umat Islam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut Harussani menegaskan, keputusan menolak penubuhan jawatankuasa khas itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 6 hingga 8 April lalu.

Katanya, perbincangan tentang agama Islam tidak memerlukan campur tangan bukan Islam kerana ia boleh mengundang implikasi negatif.

Menurut beliau, setiap agama yang wujud tidak boleh disamakan dengan agama Islam yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam (Ali Imran: 19)

“Setiap orang Islam juga berkewajipan memelihara agamanya daripada sebarang anasir yang boleh merosakkannya,” tegas Harussani.

Menurutnya lagi, walaupun sebarang bentuk rundingan atau dialog berhubung agama dibolehkan, namun ia patut dielakkan sama sekali apatah lagi jika rundingan itu dilakukan di kalangan masyarakat umum yang lebih mengundang ketidakfahaman terhadap mereka.

“Sebarang bentuk dialog yang boleh mencemar dan menjatuhkan imej dan kesucian Islam hendaklah dielakkan.

“Ia bertepatan dengan kaedah fikah itu sendiri iaitu membendung kerosakan diutamakan daripada menarik kemaslahatan,” katanya.

Jawatankuasa Fatwa, kata Harussani, juga mencadangkan supaya penubuhan jawatankuasa khas antara agama tidak sahaja dirujuk kepada Kabinet untuk tujuan kelulusan tetapi juga kepada Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa tertinggi terhadap agama Islam.

Kelmarin, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa mufti dan alim ulama di seluruh negara mengeluarkan fatwa serta pandangan berhubung penubuhan jawatankuasa khas tersebut.

Menurut Perkasa, ia bimbang kewujudannya akan meletakkan agama Islam setaraf dengan agama lain sedangkan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi negara.

Jawatakuasa khas yang dipengerusikan oleh bekas Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Ilani Ishak itu ditubuhkan setelah mendapat kelulusan Kabinet.

Ia bertujuan mewujudkan keharmonian dan persefahaman antara agama.

0 Kempen kitar semula. Idea yang baik!

Bangunan tiga tingkat guna 1.5 juta botol plastik


SEORANG pekerja berjalan di hadapan bangunan EcoARK yang diperbuat daripada 1.5 juta botol plastik di Taipeh. - REUTERS


TAIPEI 12 April - Sebuah syarikat Taiwan membina ruang pameran setinggi tiga tingkat menggunakan sejumlah 1.5 juta botol plastik bagi meningkatkan kesedaran terhadap kempen kitar semula, sekali gus menjadikan ia yang pertama di dunia.

Kumpulan Far Eastern, yang terkenal dengan perkhidmatan kewangan dan pembinaan, menghasilkan struktur setinggi 26 meter dan 130 meter panjang itu sejak tiga tahun lalu.

Jurubina mengambil botol-botol plastik dari tempat pembuangan sampah untuk diproses semula menjadi bekas plastik yang kukuh dan berupaya menghalang elemen-elemen seperti ribut dan gempa bumi, menurut Arthur Huang, pengarah urusan kontraktor Miniwiz Sustainable Energy Development Ltd.

Menurutnya, tiada seorang pun di dunia ini yang mampu membina ruang pameran dengan keseluruhan dindingnya diperbuat daripada botol plastik.

"Pengerusi Far Eastern sangat dedikasi apabila menyentuh mengenai isu pemeliharaan alam sekitar.

"Dia sering berkata pemeliharaan alam sekitar tidak boleh menunggu kita dan melihat usaha ini mampu dikekalkan sehingga sepuluh tahun akan datang," katanya.

Ruang pameran yang digelar EcoARK itu merangkumi amfiteater, ruang muzium dan sebuah skrin air terjun yang dikumpulkan semasa musim hujan yang digunakan untuk sistem kitaran udara.

Bekas plastik jernih di dinding membenarkan cahaya matahari masuk secara semula jadi bagi menerangi ruang pameran itu.

Menurut Huang, Far Eastern akan menyumbang binaan bernilai T$133 juta (RM13.5 juta) itu kepada bandar ini pada bulan depan untuk digunakan sebagai tempat pameran fesyen semasa pameran flora yang akan berlangsung pada November ini.

Selain itu, beliau berkata, selepas acara itu tamat, panel dinding itu akan dibuka dan dipasang semula di kawasan lain. - REUTERS