.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, January 26, 2010

0 Alahai 250K????

Sumber: Kosmo:

NEGARA

Suri rumah rugi RM250,000

Oleh FIRDAUS HASSAN
berita@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR – Malang menimpa seorang suri rumah apabila kerugian RM250,000 selepas wang dan barang kemasnya dilarikan tiga wanita yang mendakwa hendak digunakan dalam upacara sembahyang bagi membuang sial dan roh jahat baru-baru ini.

Lebih malang apabila nilai wang tersebut bersamaan dengan dua biji buah oren, dua bungkus mi segera, sebungkus roti, sebotol air mineral dan dua bungkus garam.

Kejadian pukul 11 pagi itu berlaku apabila Lee Yoke Chan, 61, didatangi dua wanita tempatan dan seorang wanita China berusia dalam lingkungan 40-an ketika dia pergi ke pasar pagi Taman Cheras, di sini 18 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, suspek mengatakan dia dan keluarganya dikelilingi oleh roh jahat dan akan mendapat bencana dalam masa tiga hari.

Bagi mengelakkan malapetaka itu, suspek kemudiannya telah mencadangkan kepada mangsa supaya melakukan upacara membuang sial dan roh jahat yang akan dilakukan oleh seorang sifu bergelar ‘Master’.

Ia kononnya untuk menjamin kesejahteraan suami dan empat anaknya.

“Bagi tujuan itu, mereka telah meminta saya menyerahkan semua wang simpanan dan barang kemas saya sebagai syarat untuk tujuan tersebut dan berjanji akan memulangkan semula selepas selesai.

“Saya kemudian telah mengajak salah seorang wanita itu pulang ke rumah berhampiran pasar itu untuk mengambil barangan kemas bernilai RM70,000 manakala dua rakannya tunggu di situ,” kata Yoke Chan ketika ditemui di Wisma MCA Jalan Ampang di sini semalam.

Tambahnya, suspek kemudian telah mengarahkannya supaya mengeluarkan wang di dalam bank berjumlah RM186,565 dan memasukkannya ke dalam beg plastik hitam untuk diserahkan kepada dua rakan suspek yang menunggu di pasar tersebut.

Menurut Yoke Chan lagi, sebaik bungkusan itu diserahkan, mereka memberitahu ‘Master’ terbabit tidak dapat datang kerana mempunyai urusan lain.

“Mereka kemudian telah memulangkan semula bungkusan yang seakan-akan sama dan memberitahu supaya jangan membukanya sehingga keesokan harinya bagi mengelakkan bala,” ceritanya lagi.

Ujar Yoke Chan, sebaik tiba di rumah, dia yang curiga dengan syarat itu telah membuka bungkusan tersebut dan terkejut apabila mendapati ia hanya mengandungi dua biji buah oren, dua bungkus mi segera, sebungkus roti, sebotol air mineral dan dua bungkus garam.

0 Inilah yang ditulis oleh akhbar tentang Pitt dan AJ

Sumber: HM:

Pitt berpisah demi keluarga?


2010/01/26 LOS ANGELES: Adik Brad Pitt, Doug, dilaporkan merayu kepada pelakon popular itu supaya segera meninggalkan pasangannya, Angelina Jolie, kerana keluarga mereka kini berantakan.


Media semalam melaporkan, Pitt, 46, kini berada di Los Angeles bagi menyokong kempen telethon membantu mangsa gempa bumi Haiti anjuran George Clooney.


Angelina pula berada di New York bagi menjayakan sesi fotografi.


Walaupun tidak pernah diketahui berkahwin, pasangan itu didakwa bertemu peguam terkenal di Beverly Hills untuk membincangkan perpisahan itu.


Pasangan itu juga dilaporkan menandatangani perjanjian bagi membahagikan kekayaan bersama yang bernilai RM1.13 bilion.


Laporan itu mendakwa, Pitt dan Angelina akan berkongsi hak penjagaan terhadap semua anak mereka, tetapi kanak-kanak terbabit akan menetap bersama aktres berkenaan.


Dough, 41, menemui Pitt ketika Krismas baru-baru ini dan mendesaknya menamatkan hubungan dengan Angelina kerana ia tidak disenangi keluarga mereka.


Walaupun tampil di khalayak umum sebagai pasangan bahagia, sumber mendakwa kemesraan hubungan Pitt dengan Angelina sebenarnya pudar sejak setahun lalu.


Kata sumber, amat jarang pasangan itu menghabiskan masa bersama dan jika kedua-dua mereka bersama, keadaan sangat muram.


“Di antara Pitt dan Angelina, mereka mahukan sesuatu yang berbeza,” katanya.


Menurut sumber itu, keluarga Pitt lantang mempertikaikan keserasian hubungan itu.


Bagi mereka, katanya, faktor tunggal menyatukan Pitt dengan Angelina adalah anak-anak mereka.


Pada Krismas lalu, pasangan itu sekali lagi berselisih pendapat apabila Angelina enggan menghabiskan cuti bersama keluarga Pitt.


Pada masa sama, Angelina juga semakin rapat dengan seorang guru Russia yang dikenalinya ketika berlakon filem terbaru, Salt.


Sejak beberapa bulan lalu, Pitt dan Angelina bertentangan pendapat mengenai anak angkat.


Sumber berkata, sebelum ini Angelina mahukan anak angkat dari Syria dan bertukar kepada Haiti, tetapi Pitt menganggap enam anak yang dibesarkan kini lebih daripada mencukupi.


Isu lain yang memburukkan hubungan mereka adalah hasrat Pitt berpindah ke New Orleans bagi membolehkan dia meluangkan lebih banyak masa bersama rakannya.


Sementara itu, ibu Pitt, Jane, tidak pernah mesra dengan Angelina, sebaliknya terus mengekalkan hubungan baik dengan bekas menantunya, Jennifer Aniston. - Agensi

0 Tahniah kepada mereka yang bertungkus lumus untuk menang kes

Sumber: UM:

Swisscash: SC mulakan proses pulang wang

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan pelantikan PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn. Bhd. sebagai pentadbir bagi menguruskan proses pengembalian wang kepada pelabur yang layak dalam skim penipuan pelaburan internet Swisscash.

SC dalam kenyataannya berkata, pentadbir itu dalam minggu ini akan mengeluarkan notis meminta mereka yang ingin membuat tuntutan supaya mengemukakan tuntutan masingmasing.

"Pentadbir juga akan memberi format terperinci dan maklumat mengenai dokumen sokongan yang diperlukan dan notis itu akan dipapar di laman web serta akhbar-akhbar utama seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Malaysia Nanban, News Straits Times, The Borneo Post, The Star dan Sin Chew Daily," kata SC di sini hari ini.

Menurut SC, sebaik sahaja notis umum itu dikeluarkan oleh Pentadbir, semua komunikasi berhubung proses pengembalian itu hendaklah dibuat terus dengan Pentadbir dan bukan melalui SC.

Pentadbir akan menilai dan menyemak tuntutan yang diterima dan seterusnya akan membuat cadangan kepada SC mengenai kriteria kelayakan yang sepatutnya bagi pembayaran.

SC pula akan mengemukakan kriteria itu kepada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan kelulusannya.

0 Untung mereka yang ada luas ladang getah tapi kami tidak luas

Sumber: UM:

Harga getah diramal melambung

PASIR PUTEH 25 Jan. - Produktiviti pengeluaran getah dijangka meningkat daripada 1,580 kg sehektar pada tahun lalu kepada 1,800 kg sehektar pada tahun ini berikutan harga yang melambung tinggi sekarang sehingga melebihi RM5 sekilogram.

Timbalan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (Risda) Datuk Ali Nordin Wahiduddin berkata, jangkaan itu berdasarkan kenaikan tinggi harga yang bakal meningkatkan produktivitinya apabila ia mendorong penoreh kembali mengerjakan ladang getah masing-masing.

"Harga itu adalah sama dengan harga purata bagi bulan Ogos 2007," katanya selepas menutup Bengkel Pembangunan Risda Negeri Kelantan di Sweet Beach Resort, Tok bali di sini hari ini.

Bengkel dua hari itu turut dihadiri oleh Pengarah Risda Kelantan Zahari Mat Amin dan lebih 200 pegawai Risda seluruh negeri itu.

Bagi menambah pendapatan Ali berkata, mereka yang memiliki kebun getah digalakkan menanam semula dengan klon-klon baru yang bermutu sehingga mampu memperoleh pendapatan lebih RM2,000 hingga RM4,000 sebulan bagi kawasan seluas antara 2.0 hingga 3.0 hektar bagi tempoh torehan 14 hari.

Mengikut bancian, katanya terdapat lebih sejuta hektar kebun getah termasuk di Sabah dan Sarawak yang sudah berumur lebih 25 tahun dan pokok berkenaan sudah tidak mampu lagi memberi pulangan hasil yang lumayan dan sesetengah kawasan pula diabaikan.

— Bernama

0 Juga jangan lupa menulis memoir datuk nenek atau moyang kita sementara mereka masih ada

Sumber: UM:

Memoir untuk Ghazali Shafie

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@urusan.com.my

PETALING JAYA 25 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bercadang melantik seseorang bagi menulis memoir bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Ghazali Shafie yang banyak terlibat dalam proses pembentukan negara.

Sambil menyifatkan Ghazali sebagai seorang wira negara, Perdana Menteri berkata, Allahyarham mengetahui banyak rahsia mengenai sejarah pembentukan Malaysia yang patut dirakamkan.

Sebagai contoh, jelasnya, Allahyarham memainkan peranan penting sewaktu negara menghadapi detik mencabar terutama pada peringkat awal pasca kemerdekaan, proses pembentukan Malaysia, era selepas konfrontasi serta ketika mendepani ancaman komunis.

“Allahyarham menjadi pemimpin dalam detik-detik yang sangat mencabar seperti pada peringkat awal pasca merdeka jadi saya cadangkan kerajaan melantik seseorang untuk menyiapkan memoirnya, terlalu banyak peristiwa yang diketahuinya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah jenazah Allahyarham di kediaman adik perempuannya, Datin Yuhani Shafie di sini hari ini.

Najib menambah, beliau terkesan dengan pemergian Allahyarham memandangkan beliau merupakan rakan ayahandanya yang juga Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein.

“Saya berasa sedih kerana seorang lagi angkatan 20-an yang merupakan saing ayahanda saya tiada lagi,” ujarnya dalam nada sebak.

Ghazali, 88, meninggal dunia di kediamannya di Subang Jaya dekat sini kerana sakit tua malam tadi.

Allahyarham merupakan antara yang terlibat secara langsung dalam usaha penyatuan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung sehingga terbentuknya negara Malaysia.

0 Apabila sumbangan dikenang oleh kerajaan. 24/01 genap 2 tahun pemergian ayah kami juga. Namun ayah kami hanya rakyat biasa

Sumber: UM:

'Pemimpin penuh dengan idea'


KUALA LUMPUR 25 Jan. - Penglibatan Allahyarham Tun Ghazali Shafie dalam pembentukan Rukun Negara selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969 disifatkan sebagai satu sumbangan besar negarawan tersebut kepada negara.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, jika rakyat mahu mengenal dan mengingati sumbangan Ghazali atau lebih dikenali King Ghaz, mereka boleh membaca dan menghayati prinsip-prinsip yang terdapat dalam Rukun Negara.

Jelasnya, beliau dan Allahyarham merupakan antara pemimpin yang terlibat dalam menjana idea dan resolusi pembentukan Rukun Negara.

"Antara perkara yang boleh diingati tentang Allahyarham adalah prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara,'' katanya ketika ditemui pada majlis pengkebumian Allahyarham di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan Ghazali sebagai seorang yang penuh dengan idea dan pendekatan 'luar biasa' serta pemikiran di luar kotak.

Jelas beliau, pendekatan yang diamalkan ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri satu ketika dulu, masih diteruskan sehingga sekarang.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekarang masih meneruskan kesinambungan idea dan pendekatan yang pernah beliau laksanakan dalam isu keselamatan serta kedudukan negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, Ghazali merupakan seorang yang banyak membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tugas-tugas menjaga keamanan ketika zaman darurat.

"PDRM banyak belajar daripada Ghazali terutama dalam melakukan tindakan selain idea bagi meningkatkan profesionalisme pasukan polis," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, King Ghaz terlibat secara langsung dalam pembangunan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas negara diancam komunis dan ia sumbangan yang tidak ternilai kepada rakyat dan negara ini.

Katanya, ketika itu King Ghaz banyak mengambil pendekatan menjalinkan kerjasama dengan negara luar selain membantu dalam menyelesaikan krisis bersama Tentera Merah Jepun (Red Japanese Army).

"Semasa itu beliau terlibat membantu orang awam dan rakyat epun yang ditawan di Bangunan AIA tanpa sebarang kejadian buruk," katanya ketika ditemui di majlis pengkebumian Allahyarham Ghazali.

Dalam pada itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal berkata, beliau mengenali Ghazali ketika era kemerdekaan dan tokoh penting dalam usaha membentuk Malaysia.

"Sumbangan dan khidmat baktinya amat besar kepada negara dan tidak akan dilupakan oleh segenap masyarakat di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mengucapkan takziah atas pemergian King Ghaz yang disifatkan tegas ketika memegang jawatan Pengerusi Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN) pada 1989-1991.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pula berkata, Allahyarham boleh disifatkan sebagai 'Bapa' kepada Kementerian Luar Negara sehingga nama kementerian itu sinonim dengan Wisma Putra.

''Walaupun Allahyarham pernah menggalas tanggungjawab Menteri Dalam Negeri namun jasanya lebih banyak di Kementerian Luar,'' ujarnya.

Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral (B) Tan Sri Hashim Mohd. Ali pula berkata, jasa King Ghaz kepada negara amat besar.

"Keputusan kerajaan menyemadikan jenazah di Makam Pahlawan merupakan penghormatan yang sangat wajar untuk Allahyarham," katanya.

0 Teknik bisnes Myspace, teknik bisnes anda bagaimana? Myspace vs Facebook?

Sumber: BH:

MySpace bayar pampasan lagu

CANNES, Perancis 25 Jan. - Laman web sosial, MySpace yang menjadi medan kebanyakan artis untuk menonjolkan diri, kini terpaksa membayar pampasan kepada beberapa artis yang mendakwa mereka 'kehilangan' royalti lagu dan persembahan.

Ketua Pegawai Eksekutif MySpace, Owen van Natta semalam berkata, pihaknya telah menandatangani perjanjian dengan kumpulan hak persembahan SoundExchange bagi mengesan kira-kira 25,000 artis utama, individu dan artis yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman bagi pihaknya untuk membayar royalti tertunggak berjumlah AS$14 juta (RM47.68 juta).

Katanya, beliau bercadang untuk menjadikan MySpace sebagai platform untuk memudahkan artis berhubung dengan SoundExchange, sebuah badan yang memperjuangkan hak artis untuk menerima royalti dan akan bertanggungjawab mengutip royalti jika hasil mereka diedarkan didalam laman web mahupun radio tanpa diberi bayaran royalti.

Perjanjian dengan MySpace membuka cara baru dan berkesan untuk menghubungi para artis yang berdaftar dengan MySpace tetapi tidak dengan SoundExchange, kata syarikat itu melalui satu kenyataan.

"Ini adalah satu cabaran untuk menyedarkan para artis akan kepentingan untuk berdaftar dengan SoundExchange kerana sebelum ini mereka tidak tahu sebenarnya mereka berhak untuk menerima royalti," kata Eksekutif Bunyi SoundExchange, Bryan Calhoun.

Dalam pada itu, MySpace yang juga adalah sebahagian daripada syarikat Rupert Murdoch News Corp telah berkembang menjadi kuasa industri muzik yang baru ketika ini, di bawah kendalian van Natta

Ini terbukti apabila para pengguna memuat turun kira-kira 180 juta lagu dalam MySpace Music, menurut kata Natta.

MySpace yang kini sedang bersaing rapat dengan pesaingnya, Facebook telah berjaya membina kerjaya beberapa artis terkemuka termasuk artis sensasi dari England, Lily Allen. - AFP