.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, December 21, 2010

0 Wajah bawah Kolong KL

Masih ramai warga Kuala Lumpur tagih peluang pekerjaan
Oleh Abd Razak Hussin

2010/12/21
APABILA Prof Dr Rohany Nasir, pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia (PPPPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memaklumkan bahawa pelajar pasca siswazahnya terbabit sebagai sukarelawan membantu PERTIWI sebuah badan bukan kerajaan mengagihkan makanan kepada warga kota Kuala Lumpur yang miskin dan tidak mempunyai rumah, penulis teruja untuk menyertainya.

Memandangkan penulis tidak berkesempatan, lalu meminta Ghani dan Saliman, membuat liputan aktiviti itu pada Jumaat malam Sabtu. Agihan makanan dilakukan pada setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad bermula jam 9 malam. Keesokannya tersiarlah berita aktiviti berkenaan yang ditulis Ghani dengan gambar yang diambil oleh Saliman dalam Portal Berita UKM. Tulisan itu mendorong penulis untuk mengalaminya sendiri lantas sejak sebulan lalu pada setiap Jumaat, penulis menyertai kumpulan sukarelawan PERTIWI dalam aktiviti yang dipanggil ‘PERTIWI Soup Kitchen’. Pada minggu kedua, penulis memberanikan diri mendekati seorang pemuda yang sedang menunggu ketibaan kenderaan PERTIWI di belakang Hotel Tune. Hassan, pemuda berusia 36 tahun berasal dari Kuantan, Pahang sudah tiga tahun menjadi warga Kuala Lumpur. Niat asalnya berkelana di Kuala Lumpur untuk mendapat kerja tidak pernah pudar walaupun sehingga kini beliau masih menganggur. Apabila ditanya selepas ini hendak ke mana, Hassan mengatakan ke KLCC. Penulis bertanya bukankah KLCC sudah hampir tutup, beliau mengatakan dengan tersenyum KLCC adalah rumahnya. Beliau juga mengambil kesempatan meminta penulis mencarikannya kerja.

Di situ juga, penulis sempat bertanya khabar kepada Arpah, wanita berusia 30-an yang mendahului barisan penerima bekalan makanan. Berasal dari Terengganu, beliau memaklumkan bekerja sebagai pencuci di bangunan sebuah bank berhampiran dan pada sebelah malam membuat kerja sambilan untuk menampung keperluan hidup di kota bersama dua orang anak yang masih kecil. Apabila penulis bertanya kerja apa dan di mana suaminya, Arpah hanya tersenyum pahit sambil mengangkat kedua-dua bahunya dan penulis hampir mengetahui makna senyumannya.

Selepas semua yang berbaris menerima bungkusan makanan, sukarelawan bergerak pula ke dataran Kompleks Kotaraya. Di situ sudah kelihatan barisan panjang warga kota untuk mengambil makanan yang bakal diagihkan. Berseri-seri wajah mereka melihat ketibaan kenderaan PERTIWI sumbangan Kelab Rotary Diraja itu. Sukarelawan yang sebahagiannya adalah pelajar UKM menjalankan tugas dengan ramah dan mesra.

Walaupun pada malam itu, PERTIWI menyediakan 250 bungkusan makanan, ia tidak mencukupi. Kira-kira 10 orang tidak mendapat makanan dan hanya menerima minuman. Daripada air muka mereka ternyata mereka sangat kecewa dan kelihatan marah. Barangkali reaksi sedemikian adalah disebabkan mereka sememangnya sedang kelaparan dan selama ini berasa diri sebagai golongan terpinggir daripada arus perdana pembangunan negara.
Penulis menghampiri seorang lelaki yang sedang makan roti di bawah pohon besar. Lelaki berusia 50-an mengatakan namanya Kee Lian berasal dari Kluang, Johor. Sudah lebih 10 tahun beliau menjadi pengungsi Kuala Lumpur tetapi sudah hampir dua tahun beliau tidak bekerja kerana sakit. Katanya, beliau belum pernah berkahwin dan kini tinggal di pelbagai tempat apabila saja berkesempatan di sekitar Lembah Pantai. Beliau enggan pulang ke Kluang kerana menurutnya sudah tiada sesiapa di sana.

Tanpa diundang, Shanker berusia 49 tahun dari Cheras, seorang penerima sumbangan PERTIWI Soup Kitchen yang ‘regular’ bercerita kepada penulis. Hampir setahun beliau tidak bekerja. Sebelum itu beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan beberapa syarikat keselamatan.

Seperti Hassan, Shanker juga meminta penulis mendapatkannya pekerjaan kerana beliau mempunyai empat anak yang masih bersekolah. Hassan, Arpah, Kee Lian dan Shanker adalah sebahagian daripada denyut nadi kota Kuala Lumpur yang megah dan gagah. Suara mereka adalah teriakan kecil yang berasakan diri mereka golongan terpinggir. Penulis menjangkakan personaliti Hassan, Arpah, Kee Lian dan Shanker bukanlah sekadar berjumlah 270 orang di kota besar ini.

Penulis berkhidmat di Pusat Komunikasi Korporat, UKM

0 comments: