.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, December 21, 2010

0 Tahun 2010 merupakan tahun paling tragik menyaksikan banyak bencana alam berlaku

Suku juta penduduk dunia maut dalam bencana alam

WASHINGTON 20 Dis. - Sekurang-kurangnya suku juta penduduk dunia maut dalam bencana alam seperti gempa bumi, banjir, letusan gunung berapi, kemarau dan tanah runtuh tahun ini, lebih ramai berbanding kematian akibat serangan keganasan dalam tempoh 40 tahun lalu.

Pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Craig Fugate berkata, tahun 2010 juga merupakan tahun paling tragik dalam tempoh lebih satu generasi yang menyaksikan begitu banyak bencana alam berlaku.

"Tahun ini, bencana alam terjadi tanpa henti dalam banyak gelombang. Istilah 'peristiwa dalam masa 100 tahun' tidak boleh lagi diguna pakai tahun ini," katanya.

Saintis dan pakar bencana alam menjelaskan, manusia perlu dipertanggungjawabkan di atas semua malapetaka yang berlaku.

Mereka berkata, walaupun kebanyakan bencana alam boleh berlaku bila-bila masa, campur tangan manusia menyebabkan lebih banyak kematian, kemusnahan selain keadaan yang lebih buruk.

Sebagai contoh, gabungan aktiviti pembinaan dan amalan pembangunan yang tidak mengikut standard, boleh menyebabkan kesan gempa bumi yang lebih buruk di samping mengakibatkan lebih banyak kematian.

"Bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi berlaku secara tetap. Semua perubahan yang terjadi adalah disebabkan campur tangan manusia," kata Naib Presiden Swiss Re, syarikat insurans kedua terbesar dunia.

Menurut saintis, iklim Bumi juga berubah disebabkan fenomena pemanasan global yang berpunca daripada kegiatan manusia, sekali gus menyebabkan cuaca yang ekstrem seperti kepanasan melampau serta banjir.

Ogos lalu, cuaca panas melanda Rusia, sementara jauh di selatan, sebahagian besar Pakistan ditenggelami banjir. Cuaca ekstrem di kedua-dua negara itu membunuh hampir 17,000 orang, kematian yang lebih ramai berbanding jumlah korban nahas udara dalam tempoh 15 tahun lalu.

"Kematian ini dilihat sebagai tindakan membunuh diri. Kita membina rumah yang boleh membunuh jika gempa bumi berlaku. Kita juga membina rumah di zon banjir yang boleh melemaskan kita," kata profesor sains geologi di Universiti Colorado, Roger Bilham. - AP



Artikel berkaitan:


Sorotan 2010: Bencana alam ragut 500,000 penduduk dunia

Oleh Shamsiah Sanin
bhnews@vharian.com.my
2010/12/20


TAHUN 2010 akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Pelbagai peristiwa berlaku di seluruh dunia, ada yang menggembirakan dan ada juga yang menyedihkan. Bagaimanapun, suatu perkara yang amat ketara sepanjang 2010 ialah bencana alam begitu banyak berlaku di seluruh dunia, tidak kira sama ada ia bencana semula jadi atau akibat kecuaian manusia.Ketika kira-kira setengah juta penduduk dunia terbunuh akibat bencana alam sepanjang tahun ini, pakar kaji cuaca meramalkan lebih banyak bencana luar biasa akan berlaku pada 2011.
Pengarah Projek Penyelidikan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ghassem Asrar, berpendapat bencana alam berlaku akibat perubahan iklim.

“Perubahan ini umpama masalah baru kerana menyebabkan kelembapan dan suhu panas tidak dapat beredar secara semula jadi, mengakibatkan suhu sejuk, panas dan ribut yang berpanjangan,” katanya.

Seawal 12 Januari, dunia dikejutkan dengan kejadian gempa bumi berkekuatan 7.0 skala Richter di Haiti menyebabkan sekurang-kurangnya 220,000 orang terbunuh, manakala satu juta lagi hilang tempat kediaman, menjadikan ia gegaran paling dahsyat pernah melanda Hemisfera Barat.
Gempa yang berpusat kira-kira 16 kilometer ke barat daya Port Au Prince mengakibatkan gegaran kuat yang memusnahkan sebahagian besar bandar itu. Kebanyakan bangunan yang dibina dengan bahan bermutu rendah runtuh dan berkecai seolah-olah ia dibuat daripada kertas.

Penduduk yang selamat pula menderita kebuluran dan jangkitan penyakit, manakala bantuan antarabangsa tidak sampai ke akar umbi, ketika pengkaji meramalkan satu gempa bumi besar boleh melanda negara itu pada bila-bila masa.

Walaupun tahun 2010 akan berakhir, keadaan di Haiti masih jauh daripada pembinaan semula. Negara itu tidak mampu membantu rakyatnya memulihkan semula kehidupan mereka.

Lebih buruk lagi, Haiti kini dilanda wabak taun dan setakat ini ia sudah mengorbankan lebih 2,000 nyawa, manakala 5,000 lagi sedang berdepan dengan maut.

Pada 27 Februari, enam minggu selepas gempa bumi di Haiti, gempa berukuran 8.8 melanda pesisir pantai Maule di Chile. Gelombang tsunami melanda perkampungan nelayan, menggegar enam negeri menyebabkan 500 orang terbunuh manakala kerugian dianggarkan AS$30 bilion (RM93.6 bilion).

Di Pakistan, hujan monsun yang turun pada Julai setiap tahun adalah fenomena biasa dan dinanti ramai petani untuk mengairi ladang dan tanaman mereka.

Malangnya, hujan monsun kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh 100 tahun.
Apabila hujan lebat akhirnya berhenti, satu perlima wilayah Pakistan ditenggelami air, wilayah yang sama besar dengan negeri Minnesota dan Texas di Amerika Syarikat.

Selain itu, lebih 2,000 penduduk mati manakala enam juta lagi hilang tempat tinggal. Kerugian pula dianggarkan AS$9.6 bilion (RM30.11 bilion) manakala lebih dua juta hektar tanah pertanian musnah.

Lebih memburukkan keadaan, bantuan yang diharapkan tidak sampai seperti yang diharapkan penduduk, manakala masalah kekurangan bekalan air bersih, pelbagai penyakit berjangkit termasuk taun dan demam denggi menambahkan lagi penderitaan penduduk.

Di Eropah pula, gunung berapi Eyjafjallajokull di Iceland meletus pada 14 April, memuntahkan 330,000,000 meter padu wap, batu kecil dan debu halus serta tajam ke udara dan menjejaskan dengan teruk jadual penerbangan di semua bandaraya Eropah.

Debu gunung berapi boleh memasuki enjin pesawat menyebabkan pesawat gagal berfungsi, sekali gus mampu mengakibatkan nahas udara.

Kesatuan Eropah (EU) yang bimbang keadaan lebih buruk, menghentikan semua penerbangan di 23 negara Eropah selama enam hari. Lebih 100,000 penerbangan dibatalkan manakala lapan juta penumpang terpaksa mencari alternatif lain.

Pelakon, pelawak dan penerbit filem John Cheese dilaporkan terpaksa membayar AS$5,500 (RM17,520) kepada seorang pemandu teksi untuk membawanya dari Oslo, Norway ke Brussels di Belgium kerana tiada jalan lain lagi.

Pembatalan jadual mengakibatkan syarikat penerbangan kerugian AS$250 juta (RM784.2 juta) sehari, manakala syarikat pembekal makanan untuk penumpang kehilangan sumber perniagaan.

Kerajaan di Eropah juga ‘menggaru kepala’ memikirkan bagaimana mahu membayar balik wang penumpang yang terkandas.

Kira-kira 800 penduduk yang tinggal di sekitar kawasan gunung itu dipindahkan, na mun suatu fakta luar biasa ialah tiada mangsa terbunuh akibat letusan itu.
Pada hari yang sama, gempa bumi 7 skala Richter di kawasan terpencil Tibet dekat China menyebabkan lebih 2,200 orang maut dan meruntuhkan beribu-ribu kediaman.

Pada 20 April pula, satu letupan berlaku di pelantar minyak BP di Teluk Mexico, mengorbankan 11 pekerja dan mencederakan 17 yang lain.

Empat hari selepas kejadian syarikat itu mendapati kebocoran berlaku pada penutup telaga minyak, menyebabkan tumpahan besar di Teluk Mexico, menjejaskan dengan teruk kehidupan ratusan ribu penduduk pesisir pantai yang bergantung hidup kepada hasil laut. Kebocoran yang berlaku mengakibatkan kemusnahan ekonomi paling besar dan paling mahal berikutan ia berlaku di kawasan perairan paling produktif di Amerika.

Di Indonesia, gunung berapi Merapi yang meletus dan memuntahkan lahar, memaksa kerajaan memindahkan lebih 19,000 penduduk di kawasan sekitar ke tempat selamat. Pihak berkuasa merekodkan 500 gegaran dalam tempoh dua hari dari 23 hingga 24 Oktober.

Selepas gegaran muntahan lahar berterusan, letusan Merapi semakin berkurangan pada 10 November. Bagaimanapun, ketika itu lebih 320,000 orang hilang tempat tinggal, manakala 324 orang terkorban termasuk penjaga gunung itu Mbah Marijan.

Di Russia, suhu panas melampau pada bulan Julai mencetuskan kebakaran besar di kawasan hutan di negara itu menyebabkan ruang udara negara dipenuhi asap beracun. Malah asap tebal turut melitupi Moscow, menjadikan ruang udara bandaraya itu berwarna kemerahan sehingga dapat dilihat dari angkasa lepas.

Lebih 50 terbunuh, manakala 3,000 lagi kehilangan kediaman. Perdana Menteri Vladimir Putin juga ikut serta dalam operasi memadam kebakaran menggunakan helikopter.

Bagaimanapun, Russia bernasib baik apabila suhu tiba-tiba menurun dan hujan turun dengan lebat membantu memadamkan kebakaran dan memulihkan keadaan alam sekitar.

Tahun 2011 bakal menjelang dan pelbagai ramalan mengenai kejadian bencana alam sudah dibuat. Penganalisis meminta semua kerajaan membuat persediaan bagi menangani fenomena ini, bagi mengurangkan kesan kemusnahan dan kehilangan nyawa.

0 comments: