.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, December 24, 2010

1 Skrip berkenaan isu semasa sangat sukar jika silap percaturan dan mengharap tuah

2 tahun tulis skrip Songlap

MENGANGKAT isu semasa sebagai tema filem, berupa cabaran besar kepada pengarah dan juga penulis skrip. Sekiranya tidak digarap dengan baik, bimbang ia akan membosankan penonton.

Malah, melihat latar minat penonton tempatan, kebanyakan daripada mereka menggemari cerita lebih ringan. Salah percaturan filem yang mengetengahkan isu semasa ini akan dianggap sebagai saluran untuk 'berceramah' oleh penonton, sekali gus menyebabkan mereka 'angkat kaki' meninggalkan panggung.


Perkara itu turut diakui penulis skrip dan pengarah Fariza Azlina Ishak atau Fariza dan suami, Effendee Mazlan. Selepas berjaya dengan siri televisyen dan filem Kami The Movie, pasangan suami isteri ini kembali dengan Songlap yang menampilkan masalah sosial seperti pembuangan bayi, mengandung luar nikah dan perdagangan bayi sebagai latar cerita.


Jelas Fariza yang ditemui sewaktu majlis sidang akhbar tamat penggambaran Songlap dan tayangan secara eksklusif filem itu selama enam minit kepada tetamu dan wakil media, dia mengambil masa hampir dua tahun untuk menyiapkan skrip dan rombakan dilakukan sepanjang proses ia dilaksanakan.


“Saya mengambil latar perdagangan dan pembuangan bayi sebagai latar cerita ini kerana ia sering didedahkan dalam akhbar. Inilah masalah besar yang sedang dihadapi masyarakat. Menerusinya saya memperoleh idea untuk menggarap Songlap. “Kajian turut saya lakukan dengan menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkait rapat dengan remaja wanita bermasalah dan mereka terbabit dengan penjualan bayi. Menerusi maklumat yang saya peroleh, masalah sosial nombor dua tertinggi selepas dadah adalah perdagangan manusia,” jelasnya. Begitupun jelas Fariza, Songlap bukan mengetengahkan isu perdagangan dan pembuangan bayi semata-mata sebaliknya banyak isu menarik turut diketengahkan.


“Sebenarnya cerita ini mengangkat kisah hubungan adik-beradik iaitu Am lakonan Shaheizy Sam dan Ad (Syafie Naswid). Mereka berasal dari keluarga miskin dan kesukaran hidup membuatkan Am terjebak dengan perdagangan manusia dan turut mengheret Ad bersama. “Kemunculan Sara lakonan pendatang baru Sara Ali yang mengandung luar nikah, mengubah sikap Ad. Dia tidak suka dengan apa yang dilakukan. Untuk lari daripada masalah dihadapi, Ad menyertai b-boys (penari jalanan). “Dengan cara itu saja dia dapat meredakan tekanan hidupnya. Seperkara lagi dia gemarkan falsafah kekeluargaan yang diangkat penggiat b-boys ini. Lebih tepat, Songlap sebenarnya mahu memaparkan isu kekeluargaan,” katanya. Melihat daripada sedutan tayangan filem Songlap, ternyata sentuhan Effendee dan Fariza berbeza dengan karya tempatan lain dan masalah sosial diangkat menerusi filem itu, dijalin kemas dengan beberapa plot menarik seperti gangsterism dan b-boys (penari jalanan).




Melihat pasangan ini bekerja dan mengarah bersama mungkin ramai beranggapan ia lebih mudah untuk Fariza dan Effendee menghasilkan filem yang diterbitkan Red Films dengan kerjasama Primeworks Studios. Namun, jelas Effendee ada ketika mereka tetap berselisih pendapat.


“Demi kebaikan filem ini tidak mengapa. Kadang-kadang di rumah pun kami tetap bercakap mengenai Songlap. Pada saya itu perkara biasa kerana apa yang penting filem ini mampu memberikan kepuasan bukan saja buat kami berdua, tetapi juga bakal penonton,” katanya.



Dari sudut lain, Effendee tidak menafikan bekerja dengan isteri sendiri agak mudah terutama apabila hendak menjelaskan kepada kru dan pelakon apa yang dimahukan.


“Kadang-kadang apabila mengarah saya tahu apa yang dimahukan, tetapi tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada orang lain. Memandangkan isteri faham saya, dia akan menjadi jurucakap kepada produksi dan pelakon. Ia menjadikan kerja lebih terancang dan lancar. Penggambaran juga boleh diselesaikan dengan cepat,” katanya.


Menyentuh mengenai pemilihan tiga pelakon yang sedang mencipta nama itu sebagai teraju utama Songlap, jelas Effendee dia mengakui sebenarnya Malaysia mempunyai ramai pelakon berbakat, tetapi tidak pernah diberikan ruang atau peluang untuk menonjolkan kemampuan mereka. Untuk memilih pelakon Songlap, Effendee dan Fariza bukan saja melihat bakat yang ada, tetapi juga keserasian antara pelakon dan persamaan.


“Sebagai pasangan adik-beradik kami mencari pelakon yang mempunyai iras wajah dan karektor. Selepas diuji bakat ternyata bayangan kami untuk menggandingkan Sam dan Syafie adalah tepat. Saya memuji persembahan diberikan semua pelakon terbabit dalam pembikinan Songlap. Walaupun masih muda, namun mereka sangat komited dan cuba memberikan yang terbaik kepada kami. Saya dan Fariza berasa bertuah dapat bekerja dengan mereka,” katanya.


Bercerita lanjut mengenai ketiga-tiga pelakon yang menerajui Songlap katanya, Sam diambil bukan kerana populariti yang sedang diraih, tetapi kerana bakat. Selain itu Sam tidak berlawak dalam filem ini sebaliknya situasi yang menimbulkan humor dan bakal mencuit hati penonton apabila mereka menyaksikan filem ini nanti.


Begitupun Effendee tidak menafikan dia turut berhadapan dengan cabaran untuk membentuk watak yang dibawakan tiga pelakon muda ini, terutama Syafie yang sebelum ini sudah biasa bekerja dengan Allahyarhamah Yasmin Ahmad, dan sebelum Songlap sudah hampir setahun setengah tidak berlakon.


“Bagaimanapun, dia sangat profesional apabila di lokasi dan sentiasa peka dengan apa yang dimahukan wataknya dan pengarah. Saya sangat puas hati dengan persembahan yang diberikan Syafie,” katanya. Songlap kini sedang menjalani proses suntingan dan dijangka ditayangkan pertengahan 2011. Turut menjayakan filem ini pelakon lama dan baru seperti Omar Abdullah, Rozie Rashid, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Eliza Wong, Berg Lee, Khiril Ridzuan, Ayam Fared, Izzue Islam, Fang Chyi dan Charlene Meng Si Shi.

1 comments:

baincardin said...

*Jom 'belasah Part 5' plak! ^_^