.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, December 22, 2010

0 Pemandu Malaysia paling berbahaya di dunia? Cari penyebab lain kenapa kes kemalangan masih tinggi

Musang berbulu ayam dalam LPKP, JPJ, polis...?

Oleh ZAINI HASSAN

SEBAIK sahaja news alert Utusan mengenai kemalangan bas yang meragut nyawa puluhan orang pelancong Thai masuk dalam BlackBerry saya, saya tergamam sebentar. Dalam hati saya mengharapkan bas pelancong itu bukan milik kita, dan sudah tentu pemandu bas itu juga bukan orang kita. Saya berharap pelancong itu datang terus dari Thailand dengan bas pelancongan mereka. Ternyata harapan saya tidak betul. Ia adalah bas kita; dan pemandunya juga pemandu rakyat kita. Kini sudah ternyatalah segala-galanya. Pemandu bas kita, semoga Allah merahmati roh pemandu yang turut terkorban itu, adalah pemandu yang paling berbahaya di dunia.

Orang surat khabar macam saya sering menerima berita dari seantero dunia mengenai kisah seperti ini. Kita selalu berseloroh bahawa kemalangan feri dan kapal karam di Bangladesh - yang sering mengorbankan ratusan nyawa muatannya - bukan satu nilai berita lagi. Begitu juga kisah kemalangan kereta api di India yang mengorbankan ratusan orang - juga bukan satu nilai berita lagi.

Mengapa ia bukan lagi nilai berita? Jawapannya kerana ia sudah terlalu kerap, sering berlaku dan bukan unusual lagi.

Begitu juga kemalangan bas di Malaysia. Ia sudah jadi biasa. Hanya jumlah kematian sahaja yang membezakan ia biasa atau luar biasa. Dalam kejadian di Jalan Cameron Highlands itu kelmarin, ia luar biasa sedikit kerana jumlahnya yang besar serta membabitkan pelancong luar negara. Namun, kisah kemalangan bas bukan luar biasa lagi di Malaysia. Apakah kita kini sebaris dengan Bangladesh dan India dari segi kekerapan kemalangan feri, kereta api dan bas ekspres? Laporan berita asing menulis kemalangan bas ekspres di Malaysia sudah terlalu kerap dan pemandunya adalah antara yang paling bahaya di dunia.

Kita tidak perlu mengulas di sini mengapa ia berlaku, bagaimana ia berlaku, apakah ia masalah mekanikal atau keadaan jalan dan sebagainya. Tulis seorang rakan facebook sebaik sahaja kemalangan itu berlaku, dia sudah dapat mengagak "esok penuhlah muka akhbar dengan cerita-cerita bas itu". Benar kata beliau. Beliau bukan wartawan tapi sudah mengagak itulah berita-beritanya. Akhbar akan membuat pelbagai analisis, termasuk dari pakar ini dan itu. Selain untuk memenuhkan ruang akhbar, ia seperti sudah menjadi satu rutin. Akhbar kita, mungkin jugalah masih lagi bermentaliti dunia ketiga. Pendekatannya agak berbeza dengan akhbar di negara maju. Kita tidak berani membongkar apa yang pihak berkuasa buat dan mengapa ia kerap berlaku? Itu pasal kemalangan seumpama ini hanya berlaku di negara dunia ketiga seperti Bangladesh, India dan Malaysia! Kita harus bertanya apa pihak perlesenan kenderaan awam buat? Apa polis buat? Apa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) buat? Apa Jabatan Kerja Raya (JKR) buat? Dan apa syarikat bas yang mengejar laba itu buat? Akhir sekali apa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat?

Kita tidak boleh salahkan syarikat bas semata-mata, kerana walaupun ia jahat sejahat-jahatnya, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang patut mengambil tindakan dan bertanggungjawab. LPKP juga harus memaklumkan kepada JPJ dan Polis Trafik dan pihak JPJ dan Polis Trafik harus mengambil tindakan. Jika dulu kita cukup hairan mengapa warganegara China terlalu ramai berada di negara ini dan ramai juga yang menjadi GRO, pelayan lelaki serta pelacur-semalam jawapannya terserlah.

Musang berbulu ayamnya ialah orang dalam Imigresen sendiri. Beliau ialah Timbalan Ketua Pengarah (TKP) yang tanpa rasa bersalah, malu dan segan meluluskan lanjutan pas lawatan warganegara China itu, setelah diberi sogokan wang ringgit.

Jika dalam perang, orang macam itu bukan dihukum enam tahun, tapi hukumannya ialah hukuman mati ditembak kerana treason atau menderhaka kerana menjual kedaulatan negaranya. Begitu juga di dalam LPKP, JPJ, Polis dan lain-lain. Kerana terlalu kerap kemalangan bas berlaku, kini punca yang lain harus dicari. Apakah LPKP, JPJ, Polis juga bersifat musang berbulu ayam seperti bekas TKP Imigresen itu? SPRM jengok-jengoklah ke dalam permasalahan ini. Lakukanlah siasatan forensik dalam LPKP, JPJ, Polis dan lain-lain. Mengapa mereka benarkan bas-bas ini dipandu oleh pemandu yang sering kali mempunyai masalah.

Baru-baru ini Utusan Malaysia, untuk sekian kalinya, membuat tinjauan mengenai teksi di ibu kota. Kesimpulan daripada tinjauan itu ialah pemandu teksi kita adalah antara yang berperangai paling buruk di dunia. Tapi apa tindakannya. Tak nampak?

Oleh itu, marilah kita, once and for all, terbuka dalam hal ini. Keadaannya kini sudah menjadi barah. Jika di negara maju, berita yang kita dengar keesokkan harinya ialah pihak-pihak di LPKP itu akan meletak jawatan!

Pesta bola di Jakarta dan Kuala Lumpur

DIKHABARKAN oleh seorang sahabat yang baru pulang dari Jakarta, pesta sedang berlangsung di sana. Setiap toko atau kedai sudah memasang bendera. Bukan bendera untuk hari kebangsaan, tapi merayakan hari besar perlawanan akhir Indonesia menentang Malaysia dalam Piala Suzuki AFF 2010, mulai Ahad ini. Mereka cukup teruja. Semua orang bercakap mengenainya. Malah sudah tentu dua juta rakyat Indonesia - sah atau PATI - yang berada di negara ini juga akan menanti-nanti perlawanan akhir pertama antara kedua-dua negara itu.

Malaysia akan menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Ahad ini. Dianggarkan stadium itu akan penuh. Kedua-dua penyokong merah (Indonesia) dan kuning (Malaysia) akan memenuhi stadium itu.

Sesungguhnya di kotaraya Jakarta sekarang, di saat ini, suasananya sungguh meriah sekali. Bapak Presiden SBY serta seteru politiknya, Mergawati bersama-sama akan menyokong pasukan mereka.

Bagi orang Indonesia inilah masanya mereka mahu mengganyang Malaysia dalam erti kata sebenar -- di atas padang.

Malaysia pula wajib mempertahankan maruah kita atas semangat Harimau Muda!

Terima kasih diucapkan kepada RTM yang akan menyiarkan secara langsung final pusingan pertama Malaysia menentang Indonesia, Ahad ini, 8 malam. Kita berharap perlawanan kedua di Jakarta pun dapat disiarkan secara live (bukan siaran tertunda).

0 comments: