.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, December 05, 2010

0 Facebook vs The Social Network

Mesti Tonton: Rahsia laman sosial
Oleh Farihad Shalla Mahmud

2010/12/04

The Social Network dedah asal-usul Facebook



Judul: The Social Network
Pelakon: Jesse Eisenberg, Justin Timberlake, Rooney Mara, Bryan Barter, Dustin Fitzsimons, Joseph Mazello dan Andrew Garfield
Pengarah: David Fincher
Penulis: Aaron Sorkin
Genre: Biografi / Drama
Durasi: 120 minit
Tayangan: Mulai 2 Disember 2010


SELEPAS MySpace dan Friendster, laman sosial Facebook dan Twitter kini menjadi fenomena baru dalam dunia siber. Rata-rata masyarakat hari ini lebih gemar menggunakan laman sembang untuk berinteraksi, sehingga ada yang menjadi ketagih.

Tidak dinafikan, bilangan mereka yang mempunyai akaun Facebook kini mencecah sehingga beratus-ratus juta orang. Namun tahukah mereka bagaimana Facebook bermula dan apakah cerita di sebalik kewujudannya? Dibikin berdasarkan sebuah buku tulisan Ben Mezric berjudul The Accidental Billionaires, filem arahan David Fincher ini membongkar siapa sebenarnya Mark Zuckerberg, insan yang bertanggungjawab mencipta Facebook. Siapa sangka, laman sembang ini sebenarnya wujud akibat perasaan marah Zuckerberg setelah ditinggal teman wanitanya. Kecewa dan marah atas tindakan bekas kekasih, Zuckerberg dengan bantuan teman sekuliah berjaya menggodam sistem komputer di universitinya, Harvard, dan beberapa universiti lain untuk mencipta sebuah laman sosial baru, yang akhirnya membawa padah kepada diri sendiri.

Menggunakan teknik imbas kembali, sepanjang filem ini Zuckerberg digambarkan sebagai seorang yang bijak dan bergelar jutawan pada usia sangat muda. Tetapi pada masa yang sama dia mempunyai pelbagai sifat buruk. Antaranya penggodam, pencuri, pengkhianat, tidak berhati perut dan suka mengambil kesempatan.

Pendek kata, Zuckerberg digambarkan cukup negatif dalam filem ini sehinggakan si empunya diri terpaksa tampil membuat penjelasan kebanyakan paparan mengenainya dalam filem itu tidak benar. Barangkali, ada benarnya apa yang dikatakan Zuckerberg itu kerana buku yang dijadikan sumber filem itu pun ditulis berdasarkan panduan diberikan Eduardo Saverin (watak dilakonkan Justin Timberlake) dan beberapa pihak yang berada di dalam lingkungan lelaki itu, bukan daripada mulutnya sendiri.

Bukan mudah untuk membawakan watak yang ada kaitan dengan mereka yang masih hidup. Emosi, perwatakan fizikal harus sama dengan individu yang hendak diceritakan. Pemilihan Jesse Eisenberg untuk membawakan watak Zuckerberg memang tepat sekali. Sifat serius dan sekali sekala diselitkan unsur lawak sama ada menerusi perbuatan dan juga dialog membuatkan watak itu nampak bernyawa.
Begitupun pada masa yang sama, watak berkenaan turut mengundang simpati penonton apabila dia terpaksa berdepan dengan situasi di mana dia terpaksa memilih antara kawan dan juga masa depan.

Kemunculan Justin dalam filem ini juga harus diberikan pujian. Meskipun bukan memegang watak utama, namun sebagai antagonis, dia berjaya membuatkan penonton benci dengan kejahatan yang dilakukannya.

Bagi mereka yang memang tidak boleh berenggang dengan Facebook, mereka pasti rasa teruja kerana filem ini bagaikan sebuah dokumentari yang menjelaskan asal usul setiap elemen yang tersedia dalam laman sosial itu. Bagaimana Zuckerberg mendapat idea untuk meletakkan status dalam Facebook, semuanya dipaparkan dalam filem yang berdurasi selama dua jam itu.

Seperkara lagi yang membuatkan filem ini harus ditonton ialah gambarnya yang begitu cantik di layar perak. Semua itu tidak akan menjadi tanpa gerak kerja kamera yang baik serta penataan cahaya yang tepat. Tahniah buat buat Fincher dan rakan-rakan.

0 comments: