.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, November 28, 2010

0 Sutradara SUTUN mahu buat bengkel penulisan skrip cara SHAHRULEZAN - Versi nashkah tebal

Kisah sutradara Shahrulezad

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my
2010/10/23


PERSIS impak yang ditinggalkannya dalam pelbagai genre drama, begitulah istimewanya figura ini, Shahrulezad Mohameddin. Satu persatu hasil kreativitinya mengocak minda penonton drama Melayu. Rasai sensasi bakat dalam diri penulis skrip, pengarah dan penerbit popular ini...

KREATIVITI sutradara ini bukan saja menyerlah dalam drama garapannya. Lihat saja penampilan Shahrulezad Mohameddin kala pertemuan diatur bersama XY - Ikon Lelaki ketika anak seni ini sedang sibuk bekerja di lokasi drama terbarunya, Pakej Umrah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mengenakan persalinan merah - hitam dilengkapi topi beret hitam, Shahrulezad cukup bergaya sebagai seorang pengarah drama. Melihat penampilannya saja mampu menterjemah pesona serta garapan kreativiti pengarah, penulis skrip dan penerbit ini. “Bagi saya, sebagai pengarah, kita tidak harus statik pada satu-satu benda sebaliknya perlu memainkan banyak elemen yang mampu membawa penonton terbuai dengan apa yang cuba disampaikan. Sebab itu, jika ingin tahu, skrip drama saya boleh menjadi setebal 160 muka surat sedangkan pengarah lain mungkin sekitar 80 muka surat saja.

“Saya cukup mementingkan kesempurnaan sebab itu saya bertindak terjun dari dunia penulisan skrip kepada pengarahan dan penerbitan. Ini dilakukan semata-mata mahukan kesempurnaan dan kepuasan,” katanya yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Pengalaman kira-kira 15 tahun dalam dunia penerbitan drama nampaknya tidak mengubah personaliti ini. Selain drama Sutun yang mengangkat populariti Shahrulezad, kreativiti sutradara ini tidak terhenti setakat itu saja. Beliau terus menghasilkan telefilem seperti Abang Mat Panggil Balik; Intan Sayang Manja; Mencari Abdullah; Ratu Cinta; Antara Garisan; Ngompol; Sutun 2 dan Raya Yang Hilang.

Shahrulezad turut bermain dengan kreativiti sendiri melalui drama bersiri Seputeh Qaseh Ramadan, Sindarela, Tari Tirana, Kerana Cintamu Saerah, Syurgamu Ramadan dan Rona Roni Makaroni.
“Apa yang saya nampak, kita sudah ketandusan golongan pelapis sebagai penulis skrip drama kerana golongan inilah yang akan mengisi kemeriahan drama tempatan pada masa depan.

“Saya bercadang menganjurkan bengkel penulisan skrip mengikut cara saya sendiri. Ini sebagai inisiatif dan perintis buat generasi muda yang ingin bergiat dalam bidang ini,” kata Shahrulezad yang menghasilkan skrip drama Enot 1, Enot Rayalah Pulak, Enot 3 VCDlah Pulak, Cinta Penggali Kubur dan Sayang Salina.

Masih jauh kembara Shahrulezad, jom kenali isi hati sutradara ini...

Bagaimana titik tolak anda bergelar pengarah drama?

Saya bermula dengan penulisan skrip drama. Sebagai penulis skrip, semestinya kita mahukan yang terbaik kerana setiap elemen yang dikarang sudah bermain di minda.

Sebab itu, saya merasakan perlu untuk turut terbabit dalam kerja belakang tabir kerana kepuasannya lebih.

Bagaimana pula anda berdepan dengan cabaran sepanjang terbabit dalam dunia pengarahan?

Cabarannya ialah untuk mendidik penonton yang sudah biasa dimomokkan pelbagai imej klise. Realitinya, penonton kita juga tidak gemar hiburan yang banyak berfikir, lantas cenderung memilih drama ringan tanpa perlu bersusah payah berfikir.

Malah, kalau soal karektor pula menjadi satu gambaran tidak adil di mana kalau perempuan bertudung harus dipotretkan seorang yang baik sedangkan ada juga perempuan bertudung yang berkeperibadian sebaliknya.

Apakah kepuasan yang anda peroleh dalam sesebuah penerbitan?

Kepuasan bagi saya apabila berjaya menjentik pemikiran penonton. Malah, puas juga bagi saya andai drama terbitan saya mampu menyentap perasaan penonton terutama berkaitan soal kekeluargaan di mana ia boleh membuatkan kita teringat kepada keluarga dan ingin segera pulang ke kampung.

Bagaimana agaknya senario tugas pengarahan di Malaysia?

Seperkara yang sering berlaku, kita sering menerima skrip yang ‘mentah’. Mentah itu bagi saya ialah skrip yang tidak mempunyai isi kuat untuk diangkat sebagai drama mahupun filem.

Skrip yang bagus seharusnya mempunyai elemen karektor yang kuat untuk membentuk setiap plot dengan berkesan. Saya akui cukup cerewet dalam soal ini.

Siapa antara idola anda dalam bidang ini?

Ramai insan seni yang cukup saya kagumi termasuk Kabir Bakhtiar, Mira Mustafa, Allahyarham Yasmin Ahmad dan Mamat Khalid yang bagi saya antara pengarah berbakat. Ini kerana masing-masing tampil dengan identiti tersendiri sekali gus menggambarkan kreativiti mereka dalam menghasilkan drama dan filem.

Umpama Yasmin, elemen kasih sayang yang diterap cukup mendalam maksudnya. Begitu jugalah kesan sinematografi garapan Kabir yang memang menakjubkan.

Boleh jelaskan diri anda dalam sisi berbeza?

Biarpun pengarah nampak garang, jauh sekali karektor itu dengan diri saya. Selain gila-gila, saya gemar window shopping selain mempunyai kegilaan dalam bidang hiasan dalaman.

Jika hendak tahu, saya mempunyai habit membeli rumah kemudian sempurnakan dekorasi dan menjualnya semula. Setakat ini, sudah dua kondominium saya jual hasil sentuhan saya (tersenyum).

Mungkin anda ada kisah suka duka sepanjang terbabit dalam penggambaran drama?

Apabila terbabit dalam bidang ini, menjadi mangsa tipu adalah antara senario yang tidak dapat dielak. Itu belum lagi skrip yang kita hantar untuk cadangan penerbitan ditolak hingga ada yang menyatakan saya tidak pandai buat skrip.
Bagi saya, rezeki ada di mana-mana. Saya selalu percaya kekuatan sesuatu skrip hingga ada yang mendapat diiktiraf seperti di Anugerah Skrin.

Apa impian masa depan anda?

Adalah menjadi impian saya untuk menganjurkan bengkel penulisan kreatif cara Shahrulezad. Ini perlu bagi melahirkan penulis skrip pelapis dan kreatif. Saya jangka, projek ini dimulakan awal tahun depan.

Bagi yang berminat, anda boleh membuat permohonan melalui e-mel ke budak_ijat@yahoo.com atau fan page facebook Shahrulezad Si Tukang Cerita.

Di sebalik drama Sutun

BUKAN saja kontroversi yang terpalit di sebalik pembikinan drama Sutun, Shahrulezad juga berdepan dengan pelbagai ragam di sebalik hasrat menghasilkan drama mengisahkan realiti kehidupan lelaki lembut, ketika Sutun ditayangkan lima tahun lalu.

Membuka rahsia di sebalik drama Sutun, sutradara kelahiran Johor Bahru ini mendedahkan sebuah stesen televisyen swasta pernah menolak mentah-mentah skrip drama itu yang dikhuatiri boleh mengundang persepsi negatif penonton.

Namun, Shahrulezad nekad menganggap tiada sebab untuk Sutun ditolak apatah lagi menidakkan kewujudan lelaki lembut dalam masyarakat hari ini.

“Melalui drama Sutun masyarakat berpeluang menyelami kehidupan lelaki lembut biarpun realitinya tidak ramai yang memahami apatah lagi menerima hakikat kewujudan golongan ini.

“Pada pandangan umum, lelaki lembut digambarkan cukup negatif walhal mesej yang disampaikan mengambil kira sisi berbeza golongan ini termasuk elemen kemanusiaan, kasih sayang dan kemasyarakatan,” katanya yang akhirnya berjaya meyakinkan stesen televisyen RTM untuk menyiarkan drama Sutun.

Sambil mengakui pada mulanya agak sukar meyakinkan RTM, Shahrulezad optimis mesej yang cuba dibawanya dapat mendidik masyarakat mengenali lebih dekat golongan lelaki lembut.

Beliau berkata, dirinya tidak terkejut apabila Sutun mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Selepas kejayaan Sutun termasuk beberapa siri selepas itu, barulah stesen televisyen swasta memberikan lampu hijau termasuk menyiarkan kembali drama Sutun bagi mengisi slot drama mereka.

“Bagi diri saya, diskriminasi dalam soal jantina dan tingkah laku tidak sepatutnya timbul. Ini kerana kita bukan Tuhan yang mengadili hambaNya,” katanya sambil mengakui Sutun banyak mengundang reaksi selain menjadi rujukan di institusi pengajian tinggi (IPT).

Shahrulezad berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan sebuah sekolah agama di Selatan Thailand turut berminat mendapatkan salinan video drama Sutun selepas ia ditayangkan kepada umum.

Profil

Nama : Shahrulezad Mohameddin
Umur : 38 tahun
Tarikh lahir : 2 Mei 1972
Tempat lahir : Johor Bahru, Johor
Tinggi : 175 sentimeter
Berat : 75 kilogram
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media (Penyiaran) UiTM Shah Alam
Profesion : Pengarah, penulis skrip dan penerbit drama

0 comments: