.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, November 27, 2010

0 Semakin sukar memajukan ekonomi Sabah setelah hasil buminya makin habis

Rombak sistem ekonomi Sabah
KOTA KINABALU 26 Nov. - Sabah perlu merombak sistem ekonominya dengan lebih serius jika mahu menjadi sebuah negeri maju dan makmur setanding dengan negeri-negeri lain seperti Selangor dan Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, rombakan tersebut perlu menjurus kepada matlamat membolehkan rakyat Sabah memiliki lebih banyak peluang ekonomi melalui aktiviti berkualiti.

Katanya, selain itu, rombakan itu juga diharap dapat menyumbat atau menutup kebocoran-kebocoran dalam ekonomi dan meningkatkan taraf upah menerusi pengenalan lebih banyak aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah.

''Realitinya ialah Sabah tidak boleh maju dan makmur, andainya kerajaan negeri tidak mengambil langkah-langkah serius dan luas untuk merombak ekonomi.

''Selain itu, kerajaan juga perlu mengambil perhatian serius terhadap isu Sabah kehilangan tenaga pekerja seperti apa yang disebut oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2011 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia itu menambah, unjuran pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah sebanyak empat peratus setahun adalah sangat rendah, sekiranya Sabah ingin setanding dengan negeri-negeri lain yang mencapai prestasi lebih baik.

Katanya, Malaysia perlu berkembang enam peratus setiap tahun dari sekarang sehingga 2020, sekiranya ia ingin mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Menurutnya, oleh kerana per kapita KDNK Sabah hanyalah kira-kira 50 peratus daripada per kapita KDNK negara, maka untuk mencapai status berpendapatan tinggi, Sabah sebenarnya memerlukan kadar pertumbuhan sekurang-kurangnya 10 peratus atau lebih setahun.

''Saya mengalu-alukan objektif dan strategi Bajet 2011 untuk menjadikan Sabah sebuah negeri berprestasi dan berpendapatan tinggi, setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

''Walau bagaimanapun, strategi-strategi yang digubal oleh Kerajaan seperti yang dinyatakan dalam Bajet itu mungkin masih boleh diperhalusi jika kita benar-benar mahu maju dan setanding dengan negeri-negeri seperti Selangor dan Johor," ujarnya.

Rahim berkata, Sabah sebenarnya mengamalkan trend berbahaya dalam menghadapi belanjawan defisit, lebih-lebih lagi apabila hasil pendapatan eksport kayu balak serta minyak dan gas menghadapi trend menurun.

Beliau menambah, usaha kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan khususnya mengubah nasib penduduk miskin di luar bandar amat dituntut dan peruntukan RM162.12 juta bagi tujuan itu adalah dialu-alukan.

Bagaimanapun tegasnya, peruntukan RM162.12 juta itu adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan peruntukan Persekutuan untuk Sabah dan Sarawak sejumlah RM3.6 billion.

0 comments: