.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, November 17, 2010

0 SEARCH: Meniti Harapan. Skrip filem ini sedang giat diusahakan. Filem kisah benar selalunya dapat sambutan menggalakkan. Siapa directornya kelak?

Kisah Search ke layar perak
Oleh Rozdan Mazalan

2010/11/16
Filem berjudul Search: Meniti Titian bakal mulakan penggambaran awal tahun depan

HANYA dengan satu keputusan nekad, lima minit sebelum bas bergerak menuju ke Kuala Lumpur, adalah menjadi titik terpenting di dalam lipatan sejarah buat kumpulan lagenda rock tanah air, Search.

Pemain dram, Yazid Ahmad hampir bertindak mengoyakkan tiket Amy kerana yakin Amy tidak akan menaiki bas pada malam itu untuk menuju ke ibu negara bagi memulakan penghidupan baru mereka sebagai pemuzik. Amy pula yang sememangnya pemuda pendiam sejak remaja seperti berada di dalam dilema. Dia seperti tidak mampu untuk membuat keputusan, sama ada ingin terus mengikuti sahabat lain ke Kuala Lumpur atau mendengar cakap kedua orang tuanya supaya terus tinggal di Johor Bahru. Sedangkan pada waktu Hillary Ng, Nasir Daud dan Din memang sudah lama menunggu mereka (Yazid dan Amy) di Kuala Lumpur. Lima minit sebelum bas bergerak, kelibat Amy dalam keadaan termengah-mengah berlari menaiki anak tangga bas membuatkan Yazid tersenyum bangga.

Bermulalah penghidupan baru lima anak muda di kota yang penuh dengan segala macam cabaran sebagai anak seni.

Segala detik terpenting, semangat untuk berubah, kejujuran dalam persahabatan dan kehidupan sebenar kumpulan lagenda Search bakal dilayarkan ke layar perak sebagai sebuah filem cereka tidak lama lagi.

Itulah antara babak dan cerita yang dipaparkan dalam filem yang mengangkat perjalanan hidup dan bermulanya kumpulan Search berjudul Search: Meniti Titian. Ketika ini perancangan untuk filem itu sudah dilakukan sejak setahun yang lalu dan kini proses menyiapkan skrip sedang berjalan rancak.
Filem yang diterbitkan Saspintar Sdn Bhd melalui perancangan yang teliti untuk menghasilkan kisah benar kumpulan yang cukup dikagumi di negara ini.
Penerbitnya, Marzunaidi Mat Noh berkata, perancangan dan kajian yang rapi akan dilalui bagi memastikan kualiti produk dapat dihasilkan.

“Idea ini timbul setahun yang lalu di dalam bulan puasa. Saya dan rakan sekerja, Suhaimi berjumpa Amy pada satu majlis berbuka puasa dan menyatakan hasrat itu untuk menerbitkan filem yang mengisahkan kisah benar Search.

“Idea saya memang diterima Amy, namun Amy menyoal saya semula, ‘siapa yang nak buat? Katanya kalau betul nak buat, kenalah serius dan melakukan persediaan yang rapi. Memang dia tidak mahu cakap kosong.

“Dari situ kami mula berbincang, merancang dan merangka sehinggalah hari ini. Bererti kini sudah setahun proses ini berjalan,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Kini proses menyiapkan skrip sedang rancak dijalankan dan dijangkakan akan melalui beberapa draf sebelum dipersetujui oleh setiap anggota Search sendiri.

“Kami kini sedang mendapatkan kisah hidup setiap anggota Search dengan meluangkan masa menemubual mereka dan mengkaji latar kehidupan silam mereka.

“Semua cerita di dalam filem ini adalah cerita benar. Beberapa peristiwa penting akan dikeluarkan di mana tanpa peristiwa itu maka tidak akan wujudlah Search hingga hari ini.

Sebaik draf pertama siap, ia akan melalui proses penyaringan pertama daripada setiap anggota Search sehinggalah ke draf ketiga atau seterusnya.

“Pada peringkat menyiapkan skrip ini, memang kami harus mendapatkan persetujuan daripada semua ahli Search, ini bagi mengelakkan daripada kesalahan fakta. Lebih lagi filem ini bukan sekadar filem cereka tetapi ia boleh dijadikan rujukan kepada peminat mengenai sejarah penubuhan kumpulan kesayangan mereka,” katanya.

Sebaik proses menghasilkan skrip siap sepenuhnya, proses uji bakat bagi mencari pelakon akan dimulakan di seluruh tanah air.

“Mengikut perancangan, hujung tahun ini kami akan mengadakan sesi uji bakat mengikut zon di seluruh tanah air. Kami sangat memerlukan pelakon yang memenuhi kriteria seperti boleh menyanyi dan bermain alat muzik, memiliki muka yang iras anggota Search, bercakap dan bergaul seperti mana mereka (anggota Search).

“Kami mengharapkan mereka yang ingin hadir pada sesi uji bakat itu membuat kajian terperinci mengenai karektor ahli Search. Kami juga akan maklumkan mengenai uji bakat ini pada bila dan tempat dalam masa terdekat atau mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut di dalam laman web www.searchthemovie.com.my.

Menurut Marzunaidi, selepas memperoleh senarai pendek, mereka akan dinilai sendiri oleh setiap ahli Search sebelum terpilih memulakan penggambaran. Pelakon yang terpilih akan duduk bersama ahli Search dalam satu hingga dua minggu untuk mengenal karektor asal.

Search sudah berusia 30 tahun

VOKALIS utama Search, Amy berkata, sempena 30 tahun usia pembabitan Search di dalam industri hiburan, projek filem ini seharusnya ada bagi dokumentasi impian yang ingin digapai generasi baru.

“Filem ini bukan sekadar menceritakan mengenai pembabitan awal Search di dalam industri seni tetapi semangat. Kerja kuat dan impian Search sehingga sampai ke tahap ini.

“Bagaimana kami bermula dengan mimpi dan akhirnya menjadi realiti. Kami mahu memberi galakan kepada generasi akan datang walaupun kami semuanya bukan dari latar belakang berpendidikan tinggi,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Bagi Nasir Daud, sempena ulang tahun ke-30 pembabitan Search dalam industri seni tahun depan, pelbagai perancangan membabitkan jenama Search dirancang dan bakal diterbitkan.

“Kini sudah sampai masanya untuk menunjukkan kemuncak karier Search di dalam industri terus disokong. Selain banyak syarikat penerbitan yang berminat untuk menerbitkan filem Search, kami juga merancang untuk menghasilkan buku berjudul ‘Search Untold Story’.

“Buka ini akan menceritakan kisah Search yang tidak pernah diketahui peminat. Sebagai contoh mengenai pembikinan lagu yang pernah mencetus fenomena dalam industri muzik kita iaitu Isabella dan apa cerita disebalik pembikinan lagu itu.

“Selain itu, kami juga akan mengeluarkan replika patung Search dalam beberapa versi untuk cenderamata kepada peminat kami. Cenderamata ini akan ditempah di luar negara dan ia bakal diperkenalkan buat pertama kali di negara kita secara eksklusif,” katanya.

0 comments: