.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, November 06, 2010

0 Pengalaman jurugambar projek dokumentari National Geografik bersama tenaga kerja profesional

Kisah migrasi definisi tinggi

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID





KATA orang, persekitaran dan cara seseorang diasuh menentukan peribadi dan pilihan hidupnya. Mungkin pendapat itulah yang paling tepat untuk menjelaskan kehidupan Bob Poole.

Dilatih oleh kedua-dua orang datuknya untuk mengenal belukar dan tasik, memburu dan memancing serta pernah dihadiahkan dengan selaras senapang patah, semua itu membentuk diri Poole menjadi sebahagian daripada alam sekitar dan mengenali etika yang wujud bersamanya.

“Kecintaan saya terhadap alam sekitar ditambah pula dengan pengalaman membesar di Afrika Timur ketika bapa saya berkhidmat sebagai Pengarah Peace Corp dan kemudiannya di Yayasan Hidupan Liar Afrika,” ujar maestro sinematografi itu.

Poole mengimbas, sekitar tahun 60-an hingga 70-an, dia dan keluarganya banyak kali menghabiskan waktu di kawasan belukar Afrika dan tinggal di tengah-tengah habitat hidupan liar yang melata di seluruh Kenya, Tanzania dan Uganda.

“Saya sudah terbiasa bermalam di tapak-tapak perkhemahan mahupun di dalam kenderaan pacuan empat roda. Tepat sekali kalau dikatakan, melalui didikan itulah penghargaan saya terhadap alam dan hidupan liar menebal.

“Ia akhirnya membentuk semangat kembara yang tinggi dalam hidup saya,” ujar lelaki itu dalam rangka promosi dan pengenalan dokumentari Great Migrations di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dokumentari mengenai fenomena penghijrahan haiwan yang dibikin atas platform jenama National Geographic itu bakal mengujakan penonton di seluruh dunia. Ia mendapat sentuhan profesional sekumpulan jurukamera terulung termasuk Poole sendiri.

Berkongsi cerita hidupnya, Poole menaruh minat terhadap konsep sinematografi selepas berkesempatan mengikuti pengembaraan krew filem National Geographic semasa zaman remajanya di Kenya.


BERMULA dengan mengikuti penggambaran dokumentari gajah bersama krew National Geographic sewaktu remajanya, Bob Poole kini mempunyai signatur sendiri dalam merakam tabiat haiwan darat terbesar itu.



Bermula daripada memori di tanah Afrika tersebut, pemegang ijazah bidang sains yang gila sukan ekstrem itu gigih mendalami skil fotografi dan perfileman. Dia amat yakin, hidupnya bertapak dalam bidang kerjaya itu.

Kerjaya dan cabaran

Segalanya terbukti sepanjang 16 tahun lalu. Bekerja untuk National Geographic, Poole telah menjelajah ke seluruh pelosok dunia sebagai pengarah fotografi bagi dokumentasi sains, alam sekitar dan kembara.

Dia juga gigih meraih ilmu daripada ‘sifu’ dunia sinematografi seperti Wolfgang Bayer dan Norris Brock.

“Saya berbangga menjadi antara tenaga utama dalam Great Migrations. Ini adalah projek terbesar dalam sejarah 120 tahun National Geographic. Demi menterjemah kualiti, ia menuntut tahap profesionalisme yang tinggi,” ujar Poole.

Dalam kemunculan istimewa Poole di ibu negara itu, dia mendedahkan cabaran dan pengalamannya pmerakam aktiviti migrasi sekumpulan gajah di Mali, Afrika.

“Kami memang tidak boleh mendekati habitat gajah dengan kenderaan kerana kepekaan pancaindera haiwan itu.

“Maka, kami terpaksa berjalan kaki dan mencari sudut paling dekat untuk memulakan rakaman. Ia berbahaya kerana kami boleh diserang oleh gajah induk yang menjaga kawanannya,” katanya.

Sedang leka merakam, sambung Poole, mereka diterjah kuasa alam yang sangat dahsyat iaitu ribut pasir.

“Ia seumpama mahu ‘menelan’ kami. Memandangkan tiada tempat untuk berlindung, kami nekad meneruskan sahaja penggambaran itu,” ujar Poole yang akhirnya terbenam dalam pasir bersama krew dan perkakasan penggambarannya selepas itu.

Mengingati detik menakutkan itu, Poole menyifatkan ribut pasir itu seumpama rempuhan kereta api laju. Debu pasir merah itu juga telah menghalang ketelusan cahaya matahari selama empat jam.

Transmiter kecil

Dalam satu lagi episod yang memaparkan penghijrahan rama-rama Monarch, Poole melahirkan rasa kagum terhadap makhluk kecil tersebut. Terbang dalam kumpulan yang berjuta-juta bilangannya, Poole memberitahu, perjalanan yang dilakukan serangga itu sangat jauh.

“Rama-rama yang kita sangka lemah itu terbang dari Mexico merentasi Amerika Syarikat untuk ke Kanada dan kemudian pulang semula ke tempat asalnya mengikut musim. Itu terjadi pada setiap tahun.




DETIK terakhir sebelum Bob Poole 'ditelan' ribut pasir di Mali, Afrika.



“Untuk memudahkan kami menjejakinya, sejenis alat transmiter kecil telah dicipta untuk dilekatkan ke abdomen rama-rama itu. Kami menjejak pergerakannya melalui isyarat koordinat sistem kedudukan global (GPS) dari satelit,” jelasnya yang menggunakan peralatan kamera dengan upaya rakaman 1,500 frem sesaat bagi mendapatkan visual gerak perlahan paling jelas.

Mendengarkan cerita Poole, sudah terbayang akan cabaran dalam menyiapkan keseluruhan dokumentari tersebut yang merentasi darat, laut dan ruang udara.

Namun, bagi Poole dan kumpulan jurukamera yang terlibat dalam projek itu, mereka mempraktikkan pelbagai teknik penggambaran demi memudahkan tugas.

“Sebagai contoh, selain disokong kamera berdefinisi tinggi untuk kuasa capaian visual bermutu, kami juga menaiki belon udara panas untuk rakaman udara yang stabil dan selamat,” jelas Poole.

“Memang segalanya bergerak dengan pantas. Bukan sekadar merujuk kepada pergerakan subjek di depan kamera, malah mengenai kerja-kerja penyuntingan selepas hasil rakaman diperolehi,” ujarnya.

Poole menjelaskan, setiap kali selesai sesi rakaman di sesebuah lokasi, salinan digitalnya segera dihantar ke studio produksi untuk diproses. Sementara itu, krew penggambaran meneruskan kembara ke lokasi penggambaran berikutnya.

Proses suntingan

‘Saya sendiri menghabiskan tempoh dua setengah tahun di pelbagai lokasi. Tentu sekali, adakalanya saya terfikir tentang keselesaan di rumah dan juga keluarganya,” ujar suami kepada Gina itu.

Semua kerja penggambaran dan penyuntingan, menurut Poole, dilakukan secara hampir serentak. Ia melibatkan ramai tenaga kerja profesional yang mahu memastikan projek produksi tersebut berjaya disudahkan dalam rangka waktu yang ditetapkan.

“Baki rakaman visual sepanjang penggambaran ini dibuat tidak pernah ‘dibazirkan’. Walaupun kami dilengkapi peralatan digital berteknologi tinggi yang membolehkan proses suntingan atau pelupusan dibuat dengan mudah, masih ada lebihan visual rakaman yang disimpan.

“Perancangan yang berkesan ketika membuat penggambaran membuatkan setiap saat rakaman yang diperolehi itu sangat berharga. Jika ia tidak digunakan untuk dokumentari ini, ia tetap disimpan di arkib untuk kegunaan akan datang,” ujar Poole.



BOB POOLE (tengah) bersama krew yang diambil khas dari kalangan orang tempatan.



Bagaikan dilanda gelombang khabar paling mengujakan, banyak saluran interaktif global kini sedang berbicara mengenai dokumentari itu. Forum-forum Internet dan juga rantaian e-mel para pengikut setia program alam sekitar pun sedang ‘panas’ membincangkannya.

Dari pakar sinematografi ke komuniti perfileman, hinggalah ke aktivis pencinta alam, pensyarah universiti dan pelajar sekolah, mereka masing-masing tidak sabar menunggu buah tangan Bob Poole.

“Projek ini saya anggap sebagai kemuncak kerjaya saya. Mungkin saya akan terlibat dengan projek dokumentari lain selepas ini, namun saya masih belum dapat membayangkan hasil yang lebih besar atau lebih hebat daripada Great Migrations,” ujarnya puas.

0 comments: