.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, November 24, 2010

0 Penerbit memerlukan pengarah dan penulis skrip yang baik untuk survival. Kata penerbit, setiap babak adalah wang hangus!

Terbit drama berkualiti

Oleh Ramlah Zainal
SEPANJANG aktif bersama Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof berjuang membantu ahli dengan mendapatkan slot menerbitkan program untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Bagaimanapun kini, bekas Presiden Seniman itu aktif menggerakkan syarikat produksinya, Warna Motion Pictures & Marketing Sdn Bhd (Warna) menghasilkan karya berkualiti untuk memartabatkan lagi industri seni tanah air.


Mustapha yang juga Pengarah Urusan Warna menegaskan, sebagai penerbit dia akan pastikan semua projek drama terbitan syarikatnya mendapat skrip yang bagus, selaras dengan seruan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim meminta penerbit drama tempatan mementingkan kualiti drama dihasilkan.

"Saya bersyukur kerana Warna diberi peluang menerbitkan drama untuk RTM yang dikenali kerana membuat bayaran paling tinggi dari semua stesen lain di negara ini.




"Namun, saya akui tidak mudah untuk mencari pengarah dan penulis skrip yang bagus ketika ini tapi ia memang tanggungjawab kita kepada negara.


"Sebagai penerbit, saya mementingkan karya berkualiti untuk memberi kepuasan kepada penonton.

"Penerbit juga perlu menghasilkan drama berkonsep 1Malaysia seperti seruan kerajaan. Kita tidak hanya fokus pada penerbitan drama Melayu sebaliknya boleh menghasilkan drama Cina, India dan sebagainya," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri Pak Kaduk, baru-baru ini.

Kata Mustapha, Warna sudah terbabit dalam penerbitan selama 28 tahun dan banyak menerbitkan projek dokumentari, iklan dan video korporat. Kini Warna ada tujuh projek baru yang sudah siap. Antaranya drama bersiri 13 episod, Pak Kaduk yang akan bersiaran di TV2.

Senator Tan Sri Dr Jins Shamsudin turut menjadi penerbit drama ini dan ia dilancarkan dalam satu majlis yang dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) RTM, Datuk Norhayati Ismail.

Kata Mustapha, Pak Kaduk adalah drama berkualiti terbaru terbitan syarikatnya dan idea menghasilkan cerita ini tercetus menerusi pemerhatian di sekeliling.

"Cerita ini diberikan judul Pak Kaduk sebagai simbolik kisah Pak Kaduk yang menjadi bualan masyarakat sejak dulu. Mungkin ramai yang tidak tahu ada ramai`pak kaduk' dalam masyarakat kita hari ini. Adakah kita mahu kisah pak kaduk yang tergadai kampungnya itu berulang dalam dunia korporat kita sekarang," katanya.

Mustapha juga mengakui drama bersiri Pak Kaduk adalah drama paling mencabar yang diterbitkan syarikatnya setakat ini. Penggambaran mengambil masa 40 hari di sekitar Langkawi, Kedah.

"Pada peringkat awal, memang kami merancang untuk menjayakan penggambaran drama ini di Kuala Lumpur tetapi terpaksa buat di Langkawi kerana kesukaran mendapat kebenaran buat penggambaran di hotel sekitar Kuala Lumpur termasuk bertaraf lima bintang.

"Kita merancang buat penggambaran di hotel kerana ingin menggambarkan 'Pak Kaduk' dalam imej korporat," katanya.

Tambahnya lagi, pihak produksi terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi bila menjayakan penggambaran di Pulau Langkawi bermula pada 29 Oktober dan berakhir pada 10 November lalu.

"Kesukaran untuk mendapat lokasi hotel ini memang masalah yang sering berlaku dalam produksi kita. Kita juga memerlukan bantuan kerajaan untuk membantu dalam perkara ini. Pada masa sama, kami berhadapan ujian kerana terpaksa meredah hujan dan banjir di Kedah untuk menjayakan penggambaran seperti dijadualkan," katanya.

Drama arahan Saian Samion ini dibintangi barisan pelakon seperti Datuk Mustapha Maarof (Datuk Kamil), Adrea Abdullah (Norhayati), Al Fahar (Norman), Bob Singah (Taha), Pesha (Badrun), Datuk Aziz Singah (Amri), Aimi Jarr (Wak Seman), Rosnah Johari (Datin Kalsom), Fazlina Datuk Ahmad Daud (Hanim) dan Haanii Shivraj (Kamala Devi).

0 comments: