.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, November 12, 2010

0 Kenaikan nilai mata wang negara tidak beri manfaat kepada rakyat. Rakyat tidak cukup wang untuk belanja, yang dapat manfaat adalah pelabur asing

Tambat semula ringgit

Oleh NORLAILI ABDUL RAHMAN
bisnes@utusan.com.my

LABUAN 11 Nov. - Mata wang tempatan ringgit mungkin perlu ditambat semula bagi membolehkan negara mendapat faedah daripada pengukuhan nilainya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kuasa beli rakyat masih rendah biarpun nilai mata wang negara semakin meningkat, sekali gus mendorong kepada penurunan nilai import .

"Kita tidak perlu menghentikan tambatan ringgit kerana kebanyakan negara di dunia sekarang menentukan nilai mata wang mereka mengikut undang-undang.

"Kuasa beli rakyat sepatutnya meningkat apabila mata wang semakin mengukuh kerana mereka sudah mampu membeli barangan dengan harga lebih murah berbanding ketika ringgit berada dalam keadaan lemah nilainya.

"Oleh kerana kita tiada kuasa untuk menentukan nilai ringgit dan memilih untuk memberhentikan tambatan ringgit, kita kena terimalah bahawa kita tidak merasai apa-apa manfaat daripada pengukuhannya," katanya

Dr. Mahathir berkata demikian di dalam sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan di Siri Ceramah Islam Antarabangsa Labuan di sini hari ini.

Beliau menambah, Malaysia sebenarnya mengambil langkah kebelakang apabila membenarkan nilai ringgit ditentukan oleh pasaran terbuka.

"Di dalam perang mata wang hari ini, kita hentikan (menambat ringgit) sedangkan orang lain melaksanakan tindakan yang kita pernah buat dahulu," ujarnya.

Dr. Mahathir, pada September tahun 1998, telah melaksanakan sistem tambatan ringgit, sebagai salah satu reaksi untuk menangani kemelut mata wang Asia Timur 1997-1998 yang melanda Malaysia dan negara-negara rantau ini.

Bagaimanapun, pada 21 Julai 2005, kerajaan memutuskan memansuhkan tambatan ringgit dan nilainya kemudian ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding sekumpulan mata wang asing terpilih.

Ditanya mengenai prestasi cemerlang Bursa Malaysia kebelakangan ini, Dr. Mahathir berkata, beliau sebenarnya bimbang dengan aliran berkenaan kerana pengukuhan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) adalah disebabkan oleh peningkatan aliran dana oleh pelabur asing.

Jelas beliau, terdapat kemungkinan bahawa para pelabur asing tersebut melabur di Malaysia bagi mengaut keuntungan sementara.

"Tidak perlu ghairah dengan situasi ini kerana mereka (pelabur asing) hanya datang dengan satu tujuan iaitu menaikkan harga saham dan jual balik pada harga yang tinggi."

"Apabila pasaran jatuh, orang tempatan yang akan terima padahnya, apa yang tinggal kepada kita hanyalah saham-saham yang tidak bernilai" ujar beliau lagi.

Tambah beliau, situasi ini pernah berlaku semasa krisis kewangan Asia pada 1997/1998 apabila indeks utama yang ketika itu berada di paras 1,300 jatuh menjunam kepada 262 akibat pengaliran keluar pelaburan asing.

Beliau juga mencadangkan badan kawal selia supaya mengawal aliran masuk dana asing di negara ini bagi memastikan pasaran modal kekal stabil dan terkawal.

"Badan kawal selia harus meneliti setiap pelabur sama ada mereka adalah pelabur sejati yang mengharapkan dividen ataupun hanya mahu mengaut keuntungan segera," katanya.

0 comments: