.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Monday, November 15, 2010

0 Idea hebat Najib dibukukan harus mendapat tempat dihati rakyat dan cendekiawan

Pintu awal menerobos idea-idea hebat Najib
SEPERTI awal prakata buku ini yang menyebut bahawa ia bakal memberikan pengalaman baharu kepada khalayak pembaca, begitulah yang dapat dirasakan sebaik sahaja selesai melunasi buku ini.

Begitu pun perasaan 'baharu' itu sebenarnya hadir lebih awal iaitu ketika menatap bentuk fizikal buku ini. Pertamanya ia hadir dalam bentuk kompak atau bersaiz buku poket.

Bukan tidak pernah ada buku yang bersaiz sedemikian di pasaran. Tetapi bagi sebuah buku yang intipatinya membincangkan mengenai perjalanan pentadbiran sesebuah negara, ia kebiasaannya hadir dalam bentuk yang lebih serius dan tebal pula.

Namun ada baiknya buku yang memuatkan gagasan dan idea besar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini hadir dalam bentuk sebegini dan hanya setebal 118 muka surat sahaja. Ia memudahkan kesemua khalayak pembaca dari kanak-kanak, generasi muda sehinggalah orang dewasa untuk membacanya sama ada secara berkualiti atau dalam masa senggang mereka.

Lebih tepat, buku ini hadir dengan tarikan mesra pembaca dan begitulah seharusnya sifat sebuah buku waima yang menjadikan isu-isu berat sebagai subjek utama.

Kelainan lain pada buku yang dilancarkan oleh Najib semasa Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 baru-baru ini juga kerana ia didatangkan dalam pakej empat bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil.

Ia perlu dihasilkan dalam pakej sebegitu kerana usaha penerbitannya di pantau sepenuhnya oleh Najib yang merupakan pelopor kepada semangat dan gagasan 1Malaysia. Buku ini merupakan kesinambungan kepada buku beliau yang berjudul Menakhoda Zaman yang ditulis tahun lalu dan diterbitkan oleh penerbit yang sama.

Jika Menakhoda Zaman ditulis berdasarkan inti pati ucapan beliau selama lima tahun sebagai Timbalan Presiden UMNO (2004-2009), buku ini pula dihasilkan berpandukan isu penting daripada siri ucapan beliau sepanjang setahun menerajui kepimpinan negara bermula pada 3 April 2009.

Tetapi siri ucapan itu diolah semula dalam bentuk soalan dan jawapan ringkas yang menurut Najib, berupaya membawa pembaca lebih hampir kepada beliau menerusi pengalaman pembacaan.

Bentuk itu juga bagi Najib, lebih berkesan kerana tidak semua ucapan beliau walaupun penting dalam menentukan hala tuju negara difahami oleh rakyat jelata dalam konteksnya yang sebenar.

''Kesannya, wujud pelbagai tafsiran sehingga diputarbelitkan faktanya oleh golongan tertentu untuk tujuan memburukkan lagi keadaan," tulis Najib.

Terdapat 58 buah soalan dan jawapan yang termuat di dalam buku ini dan dibahagikan kepada 11 sub topik agenda serta wawasan utama pentadbiran Najib. Sub topik itu ialah Kerajaan Berdaya Maju, Transformasi Khidmat Awam, Memacu Ekonomi Mapan, Kemerdekaan Dan Perpaduan Nasional, Malaysia Dan ASEAN, Kesan Teknologi Internet.

Sub topik lain termasuk Malaysia Ke Arah Status Negara Maju, Penjawat Awam Berintegriti, Kreativiti dan Inovasi Dalam Meningkatkan Ekonomi Negara, Gagasan 1Malaysia serta Malaysia dan Isu Antarabangsa.

Begitu pun dalam kebanyakan soalan dan jawapan yang termuat di dalam buku ini, ada beberapa yang perlu difahami dan dihayati dalam erti kata yang sebenar oleh pembaca. Ini kerana ia sangat dekat dengan apa yang berlaku dalam persekitaran kita hari ini dan bagaimana kita sewajarnya bertindak dan memberikan reaksi kepada perkara tersebut.

Antara yang boleh dikongsikan di sini ialah nasihat Najib kepada segelintir rakyat yang cuba melanggar kontrak sosial yang menjadi resipi kesejahteraan dan kejayaan negara selama ini.

Kata Najib: ''Saya suka ingin menegaskan bahawa kerajaan kita yang ada hari ini sangat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara daripada ancaman dalaman mahupun luaran menggunakan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang sedia ada. Ingatlah, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita. Di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta bahagian dan di sini jugalah, Insya-Allah dengan takdir Tuhan kita kelak akan disemadikan," tulis beliau.

Beliau menulis lagi: ''Oleh itu, saya menyeru semua warga Malaysia untuk sama-sama berganding bahu dengan satu tekad mahu menjadikan Malaysia sebuah negara terbaik. Halangannya pada saya hanyalah keengganan kita untuk menyumbang bakat, tenaga dan kesediaan untuk bekerja keras. Sedarlah kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak dan yang bersambung menjadi putus. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat," akhiri jawapan beliau.

Contoh soalan dan jawapan yang dipetik itu adalah gambaran sebenar bagaimana buku ini disajikan kepada pembaca. Kerana itu buku ini meskipun kecil dari segi saiznya, tetapi besar dari sudut idea dan matlamatnya.

Ia boleh diibaratkan sebagai pintu awal yang akan membawa pembaca menerobos idea-idea hebat Najib dalam mengemudi negara serta bagaimana beliau melihat cabaran serta permasalahan semasa.

Justeru, buku ini juga wajar dilihat oleh khalayak pembaca dari perspektif sama yang dilihat oleh Najib. Malah beliau turut menegaskan perkara itu dalam tulisan beliau menerusi ruangan Pendahuluan di dalam buku ini.

Katanya: ''Buku ini diharap akan dapat memperjelaskan dasar, pendirian dan pandangan saya mengenai beberapa isu penting demi memastikan supaya misi, wawasan serta idea kerajaan pimpinan saya dapat lebih difahami dengan kewajaran yang sepatutnya. Harapan saya juga, semoga buku ini dapat melenyapkan segala prasangka antara kita satu sama lain, antara kita masyarakat berbilang bangsa dan agama, juga antara kita rakyat Malaysia dan kepimpinan negara,".

0 comments: