.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, November 06, 2010

0 Hasil kerja yang berkualiti dari Kenchana Devi. Kedua-duanya saya suka. Selamat Hari Deepavali

Rentak Kenchana

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2010/11/04



Daripada lakonan kini bergelar produser, berlakon dengan anak

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, nama Kenchana Devi bukan lagi asing kepada peminat dunia seni hiburan tempatan. Biarpun pada hakikatnya pembabitan wanita keturunan India ini dalam seni hiburan hampir menjangkau dua dekad, hanya sejak beberapa tahun lalu popularitinya di kalangan masyarakat penonton Melayu makin memuncak. Semuanya gara-gara siri komedi Puteri arahan Aziz M Osman yang ditayangkan TV3 sekitar 2005. Dalam siri popular yang bersiaran selama sembilan musim terbabit, dia beraksi di samping pelakon popular lain seperti Nora Danish, Intan Ladyana dan Beego. Drama Seputih Qaseh Ramadan yang disiarkan empat tahun lalu mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri hiburan. Padahal, Kenchana mula berlakon sejak 1996 lagi. Drama pertama lakonannya ialah Robin Thamby terbitan Nizarman (M) Sdn. Bhd., sebelum muncul dalam drama seperti Kelas Malam, Atas Nama Cinta dan Mat Despatch. Sehingga kini, ratusan judul sudah dibintanginya, membuatkan wanita yang dilahirkan pada 1974 ini antara artis paling sibuk di Malaysia.

Sejak tiga tahun lalu juga, namanya tidak pernah ketinggalan dicalonkan sama dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dalam kategori Artis Komedi Wanita. Walaupun belum pernah menjulang trofi rebutan ramai itu, namun pencalonannya ke peringkat akhir sudah membuktikan populariti yang dikecapi Kenchana bukan calang-calang.

Selepas sekian lama mencipta nama dalam lakonan, pelakon Spa Q ini mengorak langkah lebih panjang apabila meningkatkan statusnya kepada seorang penerbit. Menerusi syarikatnya, Kanchana Shakti Production Sdn Bhd, wanita yang juga ibu kepada tiga anak ini menguji kemampuan diri sebagai produser menerusi telefilem Cahaya Deepavali yang akan disiarkan TV3, jam 9 pagi ini.

Manakala program kedua terbitannya, telemuzikal Jodoh Deepavali pula akan menemui penonton di saluran sama pada jam 6 petang.
Katanya, pengalaman yang dipungut sepanjang membabitkan diri dalam seni membolehkannya memberanikan diri untuk bergelar penerbit. Namun begitu, kerisauan tentunya datang melanda jiwa, jika produk yang dihasilkan gagal menepati cita rasa khalayak. Saat ini, hanya harapan yang mampu diluahkan Kenchana, moga dua program terbitannya mendapat sambutan.

Bukan sekadar menerbit, anak bongsu daripada empat adik-beradik ini turut berlakon dalam kedua-dua penerbitan berkenaan.

Jika Cahaya Deepavali arahan C Kumaresan menggandingkan dirinya dengan dua anaknya, Mishaalin dan Tashveti Devi, selain Sheela Pravena, Abiraman, Louisa Chong, Audrey Lee dan Kumaresan sendiri, Jodoh Deepavali yang diarahkan Chellian pula menyaksikan Kenchana beraksi di sisi Shashi Tharan, Sathiya, Ropie, A Logithavani, Tingkaran dan ramai lagi pelakon lain.

Katanya, Cahaya Deepavali mengetengahkan kisah benar seorang budak perempuan bernama Devi, yang berusaha keras untuk mencapai impian dengan bantuan ibu dan adik-beradiknya yang lain.

"Idea, skrip dan konsep telefilem muzikal ini datang daripada saya sendiri, yang tertarik dengan kisah kesungguhan seorang anak kecil untuk menggapai impiannya, dengan sokongan keluarga. Ia sebuah kisah keluarga yang cukup indah, yang tidak harus dilepaskan penonton. Apatah lagi apabila ia dihiasi dengan lima lagu menghiburkan," katanya.

Telefilem itu menggunakan 60 peratus dialog berbahasa Melayu, manakala selebihnya bahasa Tamil.

Manakala Jodoh Deepavali yang menemukan dirinya dengan pelakon filem Estet itu berkisar mengenai gelagat dua pengacara yang tidak serasi sehingga menimbulkan banyak masalah kepada pihak penerbitan setiap kali mereka berada di depan kamera.

"Masing-masing tebal dengan sikap ego dan tidak mahu bertolak ansur, sehingga memeningkan kepala pengarah (Sathiya). Keadaan bertambah hangat apabila dua pengacara itu berperang mulut setiap kali pengarah menyebut “cut!”," kata Kenchana.

Menyentuh soal sambutan perayaan Deepavali, ujar wanita yang mempunyai kemahiran menari tarian klasik India ini, tentunya saat bersama keluarga tercinta paling dihargai pada hari yang penuh cahaya terbabit.

Selain Mishaalin dan Tashveti Devi, Kenchana juga mempunyai seorang lagi cahaya mata, G Patkieswaran, hasil perkongsian hidup bersama suami, P.Gunasegaran yang dikahwini kira-kira 18 tahun lalu. Ketiga-tiga anaknya itu turut mengikut jejak langkah si ibu apabila berjinak-jinak dalam lakonan, sama ada drama mahupun iklan komersial.

Mereka sekeluarga menyambut perayaan berkenaan di ibu kota saja, secara bersederhana.

Filem lakonan Kenchana:
2011 : Adik Manja Returns
2009 : Setem
2009 : Jomlah C.I.U.M
2009 : Skrip 7707
2008 : Dunia Baru The Movie
2007 : Kayangan
2000 : Soal Hati

0 comments: