.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, November 02, 2010

0 Hargailah hasil permuafakatan masa lalu. Pertahankan ia menjadi perkara yang mulia dan dihormati

Nasihat Sultan Kedah

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my
2010/11/01
Sultan Abdul Halim minta rakyat setia, berkorban pertahan cita-cita kemerdekaan

SINTOK: Sehari selepas Majlis Raja-Raja Melayu menyuarakan kebimbangan berhubung trend politik semasa yang dilihat sedang meniup angin perkauman, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah semalam pula mengingatkan rakyat mengenai pentingnya cita-cita kemerdekaan negara dipertahankan. Baginda menegaskan setiap rakyat harus memiliki sifat setia dan sayangkan negara, selain menjaga dan mempertahankan maruah bangsa serta negara. “Kita harus bersedia berkorban mempertahankan cita-cita kemerdekaan negara dan suka beta mengingatkan bahawa kemajuan yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada permuafakatan masa dulu.

“Oleh itu, pendidikan hendaklah memberi tumpuan kepada pembinaan semangat satu bangsa, satu negara,” titah baginda sempena Majlis Konvokesyen Ke-23 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.

Kelmarin, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah dalam kenyataannya, berkata Raja-Raja Melayu menitahkan seluruh rakyat memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang berasaskan kontrak sosial, iaitu semangat permuafakatan dan persefahaman antara kaum serta persetujuan Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, Raja-Raja Melayu menitahkan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama terus bersatu serta setia kepada negara demi memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara.
Dalam hubungan ini, Sultan Kedah menyeru rakyat memelihara perkongsian nilai budaya sepunya daripada pelbagai kumpulan etnik dan ia mestilah diperkukuhkan.
Baginda bertitah, matlamat dan dasar yang dihasratkan dalam teras membina negara bangsa adalah untuk memastikan rakyat memiliki jati diri yang kukuh, patriotik dan berpegang teguh kepada ajaran agama.

Sehubungan itu, baginda mahu pihak universiti mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai aktiviti bersesuaian demi memupuk perpaduan di kalangan pelajar.

“Semoga pengalaman yang ditimba boleh menjadi amalan dan seterusnya menjadi teladan kepada masyarakat sekeliling kampus kini dan pada masa hadapan.

“Beta percaya graduan sudah ditanamkan dengan sikap toleransi semasa berada di universiti. Hal ini penting untuk mengelakkan berlakunya sebarang pertelingkahan atau perselisihan faham yang boleh memecahbelahkan rakyat.

“Beta percaya graduan juga sudah ditanamkan dengan nilai hidup bersama ‘ibarat aur dengan tebing’ serta mengikis sikap ‘bagai enau dalam belukar’,” titah baginda.

Seramai 4,190 graduan menerima ijazah pada majlis konvokesyen berkenaan. Mereka terdiri daripada seorang graduan Ijazah Kehormat, 52 graduan Ijazah Doktor Falsafah, tujuh graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan, 657 graduan Ijazah Sarjana, 2,906 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 567 graduan Diploma Lepas Ijazah (Diploma Pendidikan)

Sultan Kedah yang juga merangkap Canselor UUM bertitah, dalam apa jua keadaan, graduan atau generasi muda adalah tonggak kelangsungan sesebuah negara, agama dan bangsa.

“Dalam genggaman generasi muda, segala rentak dan hala tuju negara dan agama ditentukan. Sebagai institusi pengajian tinggi yang memartabatkan ilmu, UUM harus mampu memupuk perpaduan dalam menjayakan agenda negara bangsa.

“Pembinaan negara bangsa adalah agenda berterusan untuk menangani pelbagai cabaran dan cabaran terkini adalah globalisasi. Globalisasi membolehkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan saja maklumat, modal serta manusia, tetapi yang paling kita khuatir adalah sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara,” titah baginda.

0 comments: