.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, November 17, 2010

0 Apabila belanja kahwin dituntut balik. Tentu besar kekecewaan perkahwinan mereka?

Kes Roslin-Faizah: Keputusan merayu luar masa 29 Disember


KUALA LUMPUR 16 Nov. - Bekas isteri pemain badminton negara, Roslin Hashim akan mengetahui pada 29 Disember ini keputusan permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memfailkan rayuan di luar masa berhubung kes tuntutan ganti rugi perkahwinan berjumlah RM53,460.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak di Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini.

Hakim Ibrahim bersidang bersama Hakim-Hakim Syarie, Datuk Mohd. Yusof Che Teh dan Datuk Hussin Harun.

Terdahulu ketika membantah permohonan tersebut, peguam syarie, Roslizam Rahim yang mewakili Roslin selaku responden mendakwa, pemohon, Faizah Mohamad telah secara cuai atau sengaja gagal memfailkan rayuan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Ini kerana pemohon merupakan pihak yang menerima keputusan dalam kes bantahan awal dan menurut Arahan Amalan No. 13 Tahun 2001, penerima keputusan mempunyai hak untuk merayu dan tidak digalakkan membuat semakan kehakiman.

Peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin yang mewakili Faizah pula menghujahkan bahawa pihaknya mengikut prosedur yang sepatutnya dan ia perkara biasa dilakukan oleh mana-mana pihak.

"Jadi saya membantah hujah responden yang mengatakan pemohon telah sengaja cuai atau gagal dalam memfailkan rayuan tersebut mengikut tempoh masa yang ditetapkan," katanya.

Faizah memfailkan kebenaran untuk merayu di luar masa berikutan tempoh 14 hari yang dibenarkan untuk memfailkan rayuan telah berakhir.

Permohonan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan semakan kehakiman itu pada 19 April lalu dengan alasan Faizah sepatutnya memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah pada 25 Januari lalu yang menolak bantahan awal Faizah dan bukannya semakan kehakiman.

Isu ganti rugi perkahwinan tersebut mendapat perhatian apabila Roslin atau nama penuhnya, Muhammad Roslin Hashim, 35, menuntut semua perbelanjaan yang dikeluarkan semasa merisik, bertunang dan berkahwin.

Antara yang dituntut ialah cincin risik bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).

Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080); bayaran jurunikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500); barang hantaran (RM11,465); baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).

Turut dituntut ialah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).

Pasangan itu terdahulunya menjadi tumpuan awam apabila perkahwinan mereka hanya bertahan selama 12 hari dan ketika perbicaraan mengesahkan perceraian itu, Roslin telah bersumpah bahawa tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh tersebut.

Pasangan itu bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 1 Februari tahun lalu dan lapan hari kemudian majlis bertandang di rumah Roslin di Kampung Sirih, Kota Bharu dengan wang hantaran RM15,000.

Pada 12 Mei tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya memutuskan pasangan tersebut sah bercerai dan talak tersebut jatuh dalam kategori bain sughro (talak yang tidak boleh rujuk kembali kepada perkahwinan asal).

Bekas jaguh badminton itu kemudian berkahwin semula dengan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Nurhayati Othman, 39, pada 9 Julai lalu tetapi bercerai talak satu selepas perkahwinan itu mencecah usia 28 hari.

Pada 1 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, memutuskan lafaz cerai yang diucapkan oleh Roslin kira-kira pukul 8.32 malam, 7 Ogos lalu di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang dekat sini adalah lafaz yang sorih (jelas) dan sah.

0 comments: