.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, November 10, 2010

0 Andai bajet 1 juta ada kata Suhaimi Baba. Dokumentari P Ramlee, tahniah dengan apa yang ada. Thanks sponsor!

5 jam kepada 90 minit
Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my
2010/11/10

Shuhaimi akui projek terbitkan dokumentari P Ramlee hampir terbengkalai

"WALAU aku sudah mati, aku akan hidup 1,000 tahun lagi", itu antara kata-kata Tan Sri P Ramlee semasa hayatnya yang dipaparkan menerusi Dokumentari P Ramlee, Saluran HISTORY bersama garapan menyentuh sanubari khalayak penonton. Bagi rakan seperjuangan sejak di Studio Shaw Brother Jalan Ampas Singapura, Datuk Aziz Sattar, luahan terakhir itu nyata benar belaka kerana walau sudah lebih dua dekad kematiannya, semua karya seniman agung itu tetap segar hingga kini walau di sebalik kehidupan, tersimpan rapi cerita kesukarannya. Bukan hanya wawancara bersama ahli keluarga, sahabat dan bekas rakan sekerja, footage seniman agung yang belum pernah disiarkan di mana-mana penerbitan turut diselitkan pada program 90 minit itu, bermula era kegemilangan hingga detik kejatuhan yang membuka mata ramai kerana lebih banyak kisah duka berbanding suka.

Antara individu yang berkongsi kisah pengalaman bersama penghibur serba boleh itu seperti Mariani, S Samsudin, Ramli Kecik, Hashimah Yon, Kuswadinata, Datuk HM Shah, Datuk Ahmad Nawab, Datin Saadiah, Datuk Sarimah dan Datuk Ahmad Daud.

Jasa P Ramlee terhadap dunia perfileman Melayu dengan deretan trofi pengiktirafan belum cukup untuk mengingatkan masyarakat ketika itu terhadap sumbangannya sampai suatu tahap, dek kesusahan Allahyarham dikatakan pernah makan nasi berlaukkan telur goreng.

Pastinya individu di sebalik pembongkaran paparan eksklusif itu adalah pengarah merangkap penerbit Dokumentari P Ramlee, Datin Paduka Shuhaimi Baba yang memulakan tugas kajian dan pengumpulan bahan sejak 1998 demi seorang anak seni dikagumi ramai - P Ramlee.
Menyingkap permulaan projek berkenaan, Shuhaimi berkata, pada asalnya Pesona Pictures merancang menerbitkan filem P Ramlee dengan menghampiri insan terdekat terutama anak sulungnya, Nasir iaitu kira-kira 12 tahun lalu.

“Ketika itu, Nasir masih ada untuk berkongsi maklumat dan menjadi sumber rujukan utama pengumpulan bahan. Banyak kisah yang belum pernah didedahkan kepada umum kami perolehi hingga makin dalam digali, semakin banyak kisah menarik ditemui.

“Bermula dari situ saya bersama lima petugas kajian terus mengumpul bahan dengan jumlah keseluruhan rujukan, footage dan wawancara yang membawa hingga ke Singapura merangkumi 50 jam tayangan,” katanya.

Shuhaimi berkata demikian ketika ditemui selepas muncul dalam rancangan Soal Jawab: Mencari Bintang. Turut diundang dalam rancangan bual bicara kendalian Datuk Ahmad A Talib itu ialah pengkritik dan pemerhati filem, A Wahab Hamzah dan pengarah muda, Shamsul Yusof.

Menurut Shuhaimi, dengan rakaman panjang bersama bajet sekecil RM1 juta, agak merugikan kalau dibikin sebuah filem dan akhirnya beliau mengusulkan dokumentari bersiri kepada stesen TV tetapi tiada yang berani menerimanya disebabkan bakal membabitkan kos tinggi.

“Selepas bertahun cari bahan, ia terperap begitu saja. Saya memaklumkan kepada arwah Nasir bahawa saya tidak dapat menerbitkan filem ini (P Ramlee). Dia jelas kecewa dan meminta saya berjanji biar sesukar mana pun, cerita sebenar bapanya harus dikongsi bersama khalayak.

“Dengan sokongan FINAS dan AETN, tahun ini ia dapat dipaparkan. Namun daripada 50 jam, kami perlu melakukan kerja suntingan teliti selain mendapatkan beberapa individu lagi untuk ditemubual sebagaimana dikehendaki saluran antarabangsa itu,” katanya lagi.

Kerja pengolahan semula bahan dilaksanakan sebaik saja menerima tawaran AETN sekitar awal tahun ini dengan memilih shot tertentu mengikut piawaian ditetapkan AETN sekali gus meminggirkan banyak lagi individu penting lain dalam perjalanan kisah benar P Ramlee.

“Ramai bertanya mengapa tiada si polan, kenapa tidak menemubual pelakon A. Di mana aktres B dan pelbagai lagi sedangkan hakikatnya kami punya bahan yang banyak tetapi ia terpaksa dipotong,” katanya Shuhaimi yang juga penulis skrip.

Beliau mengaku Seniman Agung itu memiliki sisi istimewa selain dilahirkan bersama bakat seni semula jadi kerana semasa hayatnya, kediaman P Ramlee umpama syurga untuk semua apabila rakan yang susah, diminta tinggal bersama dengan segala-galanya ditanggung.

Perkara itu diakui oleh Mariani yang menyatakan adik iparnya itu tidak berkira apabila membabitkan soal bantuan malah pernah terjadi semua wang di dalam poket berjumlah RM200 diberikan kepada rakan yang datang meminta bantuan.

Pembantu peribadi hingga ke saat menghembuskan nafas terakhir, Ramli Kecik meluahkan rasa terkilan kerana orang yang mengaku rakan karib, menjauhkan diri pada saat P Ramlee hidup susah biarpun semua kesukaran itu tidak pernah diceritakan kepada sesiapa pun.

Apa pun antara yang menarik adalah detik percintaannya selepas bercerai dengan Junaidah. Daripada sumber sahih, Shuhaimi dikhabarkan P Ramlee menjalin cinta dengan Mariani sebelum mengahwini Norizan dan kemudian adik kekasihnya, Saloma.

“Ini dimaklumkan oleh Nasir dan kami mendapatkan kepastian daripada Mariani yang dipanggil P Ramlee sebagai Mary. Kata Mariani, memang demi adik yang mencintai kekasihnya diam-diam, dia mengundur diri tetapi berlaku peristiwa yang membuatkan mereka tidak bertegur sapa selama tujuh tahun.

“Kami juga mengambil footage wawancara bersama isteri keduanya, Norizan yang sanggup meninggalkan kehidupan istana untuk bersama lelaki pujaan namun rumah tangga mereka hanya empat tahun sebelum ia runtuh dan P Ramlee kemudian mengahwini Saloma sampai akhir hayat mereka,” katanya.

Senandung hayat terakhir juga tidak seindah warna-warni semua filem hebatnya apabila dalam dunia realiti mereka yang pernah dibantu baik sahabat mahu pun Shaw Brother ‘membuangnya’ jauh malah Ramli Kecik turut meluahkan kebimbangan tiada siapa datang menguruskan jenazah disebabkan tiada wang di tangan.

Itulah rentetan hidup peminat seni tegar yang tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal mengenai muzik mahu pun filem namun punya daya olahan genius serta sentuhan magis apabila mampu menghasilkan karya hebat, cuma tanpa sokongan hasil kerjanya selepas berpindah ke Kuala Lumpur tidak ‘menjadi’.

Walau kalungan pingat dan pengiktirafan hanya dianugerahkan selepas ketiadaannya, sekurang-kurangnya generasi masa kini mengingatinya sebagai wira filem Melayu yang tidak pernah luntur dengan semangat memartabatkan karya tempatan di mata dunia sekali pun dikhianati 'teman seperjuangan' dan dicemuh bangsa sendiri yang sebelum itu begitu memujanya.

0 comments: