.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, October 08, 2010

0 Jalan raya Malaysia membunuh atau pengguna jalan raya Malaysia saling membunuh? Atau yakin masuk syurga kerana sudah beragama?

Malaysia pegang rekod kematian jalan raya

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

PENGUATKUASAAN undang-undang trafik dan saman nampaknya masih kurang berkesan dalam mendisiplinkan pemandu Malaysia. Angka kematian di jalan raya terus meningkat. Satu demi satu Ops Sikap dilaksanakan tetapi kadar kemalangan tidak pun menurun. Jadi sudah ada komentar yang mengkritik pelaksanaan Ops Sikap.

Malah, langkah mencegah kemalangan itu dianggap sebagai projek membuang masa dan membazir wang kerajaan semata-mata. Ungkapan kata-kata "kelajuan itu membunuh" ternyata tidak meresap ke dalam minda pemandu Malaysia.

Jika diteliti data kajian Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris, ketika 30 negara menunjukkan penurunan kadar kematian jalan raya dari tahun 2000 hingga 2009, hanya tiga negara merekodkan peningkatan. Paling menonjol di antara tiga negara itu ialah Malaysia yang menjadi tumpuan bersama Argentina dan Kemboja.

Daripada kajian melibatkan semua negara, Malaysia berada di kedudukan paling atas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk.

Berdasarkan 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk tahun lalu, kadar kematian akibat kemalangan di Malaysia adalah 6.3 kali lebih tinggi berbanding dengan United Kingdom (UK), Sweden dan Belanda. Ini bermakna bahawa 6.3 kematian di Malaysia bagi setiap satu nyawa penduduk UK pada tahun lalu.

Kemalangan jalan raya mengakibatkan ekonomi Malaysia kehilangan RM9 bilion tahun lalu dari segi kehilangan nyawa dan cedera. Tahun lalu berlaku 6,640 kemalangan jalan raya atau 18.2 kematian sehari, bermakna setiap 1 jam 20 minit seorang rakyat Malaysia terbunuh di jalan raya.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan, kelajuan di jalan awam telah terbukti secara saintifik sebagai faktor utama peningkatan ketara risiko maut dan cedera bukan sahaja kepada pemandu dan penumpang tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah. Kira-kira 60 hingga 70 peratus kemalangan berlaku akibat kelajuan.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), motosikal dan kereta masing-masing mencatatkan lebih 60 peratus dan 20 peratus kematian di jalan raya. Sementara kadar kemalangan maut paling tinggi melibatkan orang muda yang berumur di antara 16 hingga 25 tahun.

Kementerian Pengangkutani sedang mengkaji pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik yang melibatkan penggunaan kamera dalam usaha menambah baik dan meningkatkan penguatkuasaan di kawasan mudah berlaku kemalangan.

Pakar pengangkutan awam, Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor menyokong penggunaan kamera automatik. Kayanya, ini menambah satu lagi langkah, dalam senarai langkah yang telah dilaksanakan selama ini.

"Bagaimanapun, pada pendapat saya, ini tidak dapat mengubah dengan signifikan sikap pemandu kerana, pertama punca utama kemalangan di Malaysia ialah 'tidak mahir memandu'. Kedua, dasar kita terhadap saman berubah-ubah. Saman masih rendah dan tidak bersifat menghukum serta boleh pula mendapat diskaun. Malaysia belum faham konsep 'rakyat diutamakan'.

Dr. Abd. Rahim, Profesor Pengangkutan Awam dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati Ops Sikap hanya berkesan dalam mengurangkan kemalangan di musim perayaan (lihat rencana Utusan Malaysia, 20 September 2010). Malangnya, Ops Sikap melibatkan kos yang tinggi dan sumber manusia yang banyak. Sikap pemandu masih tidak berubah. Pemandu berdisiplin bukan kerana kesedaran, tetapi kerana mereka sedang diperhatikan oleh penguat kuasa undang-undang jalan raya.

"Semasa Ops Sikap, kita dapat kurangkan kematian kepada 14 sehari. Selepas Ops Sikap kematian naik semula kepada 18 sehari. Orang ramai tidak tahu pun angka-angka ini," kata Dr. Abd. Rahim.

Beliau melihat penggunaan kamera automatik kaedah yang berkesan untuk mengesan pemandu memandu melebihi had kelajuan. Bukti imej sah di mahkamah.

"Pihak berwajib perlu membangunkan suatu sistem pangkalan data yang besar, sentiasa di kemas kini, dan sistem penghantaran saman yang cekap dan boleh dipercayai. Bahagian penghantaran saman perlu kuat, kalau tidak data dan imej akan bertimbun-timbun, dan ada orang yang akan disaman dan ada pula yang terlepas atau lewat dihantar saman. Ini akan menjemput rungutan orang ramai tentang ketidakcekapan dan ketidakadilan.

"Kaedah ini tidak akan mengubah sikap. Pemandu masih tidak faham mengapa kemalangan berlaku, mengapa suami dan anak mereka mati di jalan raya.

"Kita masih belum memberi lampu isyarat yang betul kepada orang ramai. Mereka perlukan kemahiran memandu yang tinggi, dan kesedaran tentang punca kemalangan. Isunya ialah ramai yang belum sedar, dan langkah-langkah setakat ini belum berjaya menyedarkan sepenuhnya orang ramai," kata beliau.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berpendapat pelaksanaan sistem automatik salah satu kaedah paling berkesan dalam meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan menahan kemungkinan pesalah trafik.

Beliau menjelaskan kaedah ini selari dengan rancangan jangka panjang untuk 'visi sifar kemalangan maut'. Pelaksanaan sistem kamera automatik ini diharap membantu menyelamatkan nyawa rakyat.

Malaysia perlu belajar dan mengambil pendekatan terbaik daripada negara luar. Mungkin ia amat berguna untuk menyelamatkan nyawa rakyat, memerangi gejala rasuah dan menjadikan pemandu Malaysia berhemah di jalan raya.

Persoalannya, bagaimana Malaysia hendak mempercepatkan program ini. Janganlah kita terus memegang kecemerlangan sebagai negara paling tinggi kematian di jalan raya dalam kajian global.

0 comments: