.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, October 03, 2010

0 Cerita kekayaan dan bisnes golongan bijak pandai dan berharta warisan

Muda, kaya dan berpengaruh

Oleh HAFIZAHRIL HAMID



PENGASAS facebook, Mark Zuckerberg juga merupakan orang muda paling kaya di dunia.

--------------------------------------------------------------------------------



MENJADI kaya pada usia muda adalah sesuatu yang menjadi impian hampir semua orang walaupun mungkin episod itu telah lama berlalu.

Sememangnya kekayaan menjadi kayu pengukur utama kebanyakan kita dalam menilai kejayaan seseorang.

Dalam erti kata lain harta, kereta yang dipandu, saiz rumah yang diduduki menjadi pengukur status dan kejayaan di mata orang lain.

Namun waima apapun menjadi kaya dan bergelar bilionair pada usia muda adalah saat hidup paling bermakna dan boleh kita kategorikan umpama bulan jatuh ke riba.

Sudahlah muda, kaya, menjadi tumpuan dan dikenali ramai. Bukankah itu antara impian yang pernah diangankan kebanyakan kita ketika masih muda remaja.

Namun hakikat hidup yang sebenar meletakkan kita berada pada kehidupan sekarang dan apabila usia semakin lanjut kita sudah semakin mampu menerima kenyataan bahawa hanya beberapa orang yang terpilih sahaja yang diberikan peluang sedemikian.

Memang kalau diikutkan senarai, ramai di antara orang muda ini disenarai terkaya namun ia bukan hasil dari titik peluh mereka sendiri.

Dilahirkan dalam dulang emas dan dengan kekayaan yang begitu banyak mereka hanya perlu membuat pelaburan bijak untuk terus kekal kaya.

Antara mereka adalah putera raja dari Jerman berusia 26 tahun Prince Albert von Thurn und Taxis yang memiliki kekayaan bernilai AS$2.1 bilion (RM6.7 bilion).

Beliau telah dimasukkan dalam senarai orang terkaya sejak berusia lapan tahun namun hanya benar-benar mewarisi kekayaan ketika berusia 18 tahun.

Selain itu pewaris diraja Abu Dhabi turut membuat penampilan dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$4.9 bilion (RM15.6 bilion). Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahayan, 39, membuat kejutan utama apabila membeli kelab bolasepak Manchester City dua tahun lepas sebelum membeli pemain-pemain terbaik dunia pada peruntukan lebih AS$ 1 bilion.

Dalam majalah Forbes baru-baru ini ada menyenaraikan 400 orang terkaya di Amerika Syarikat (AS). Seperti biasa bekas manusia terkaya dunia Bill Gates yang juga pemilik Microsoft mendahului senarai dengan himpunan kekayaan AS$54 bilion (RM172.8 bilion).

Tempat kedua juga seperti biasa menjadi milik Warren Buffett melalui Berkshire Hathaway Inc. dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$45 bilion (RM144 bilion).

Berdasarkan senarai terbaru orang terkaya di AS, lapan dari mereka adalah orang muda yang berusia di bawah 40 tahun.

Menarik untuk diperkatakan lima dari mereka yang muda dan kaya di AS terlibat dalam perniagaan berkaitan dengan Internet.

Pastinya yang paling menarik perhatian ialah pengasas bersama dan pemilik facebook, Mark Zuckerberg. Beliau juga merupakan bilionair termuda dalam senarai bersama dengan Dustin Moskovitz.

Kedua-dua mereka baru berusia 26 tahun namun jumlah kekayaan Zuckerburg adalah AS$6.9 bilion (RM22 bilion) dan Moskowitz bernilai AS$1.4 bilion (RM4.4 bilion).

Seorang lagi pengasas bersama facebook Eduardo Saverinz turut tersenarai antara bilionair termuda dengan harta berjumlah AS$1.15 bilion (RM3.6 bilion).

Mungkin ada yang bertanya kenapa jumlah kekayaan mereka tidak sama. Ini berlaku akibat dari pegangan saham yang berbeza antara mereka bertiga iaitu Zuckerberg memegang saham dalam facebook bernilai 24 peratus, Moskowitz dengan pegangan enam peratus dan dan Saverinz pula bernilai lima peratus.

Seorang lagi pengasas bersama facebook adalah Chris Hughes. Namun keempat-empat bekas kawan baik ini tidak lagi bersama di dalam syarikat facebook kecuali Zuckerburg. Kisah mengenai kejayaan facebook ini merupakan satu mimpi yang menjadi realiti indah kepada empat sekawan ini.

Facebook mula diperkenalkan dari bilik asrama Zuckerberg ketika menuntut di Universiti Harvard pada empat Februari 2004.

Pada asalnya facebook adalah untuk kegunaan sesama pelajar di universiti berkenaan. Namun kemudian beliau bersama Moskovitz mula menyebar penggunaan facebook ke universiti dan kolej-kolej lain seperti Stanford, Dartmouth, Columbia, New York University, Cornell, Brown dan Yale

Mengambil keputusan tidak menamatkan pengajiannya, Zuckerberg kemudian berpindah ke Palo Alto di California bersama Moskovitz dan beberapa rakan yang lain untuk menyewa sebuah rumah kecil untuk dijadikan pejabat.

Beliau kemudiannya berjumpa dengan Peter Thiel yang membuat pelaburan yang besar dalam syarikat berkenaan.

Pada Julai lepas Zuckerberg membuat pengumuman bahawa pengguna facebook kini telah mencecah 500 juta orang satu kejayaan besar yang turut membantu beliau disenaraikan sebagai bilionair termuda di dunia.

Lumayan

Selain itu bilionair dari Silikon Valley lain yang membuat keuntungan lumayan melalui Internet adalah pengasas dan pemilik Google iaitu Sergey Brin dan Lawrence Page.

Syarikat ini yang bermula sejak tahun 2006 sebagai kajian projek oleh Brin dan Page ketika melanjutkan pengajian di peringkat Phd di Universiti Stanford.

Namun kini ia merupakan sebuah syarikat yang sangat menguntungkan dengan aset dan tunai keseluruhan mencecah AS$80 bilion (RM256 bilion) dan jumlah pekerja sebanyak 21,805 orang.

Sergey Brin dan Larry Page kini mempunyai kekayaan bernilai AS$15 bilion (RM48 bilion) setiap seorang pada usia hanya 37 tahun.

Bagi kategori wanita muda paling kaya pula senarainya tidaklah seramai lelaki namun menunjukkan peningkatan kepada lapan berbanding dua pada 2008.

Namun kebanyakan mereka ini mewarisi kekayaan dari keluarga dan bukannya melalui hasil titik peluh sendiri.

Contoh terbaik adalah anak kepada bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafik Hariri. Hind Hariri yang kini berusia 26 tahun mempunyai harta yang diwarisi bernilai AS$1.2 bilion (RM3.8 bilion). Pada tahun lepas beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan ahli perniagaan Anas Karout.

Selain itu tiga adik beradik bilionair media dari Turki, Aydin Dogan dan isterinya Sema Isil Dogan tersenarai antara wanita muda paling kaya di dunia.

Ketiga-tiga mereka Vuslat Dogan Sabanci, 39, Hanzade Dogan Boyner, 38, dan Begumhan Dogan Faralyali, 33, walaupun dilahirkan dalam dulang emas namun mereka berjaya membuktikan kejayaan adalah hasil dari pendidikan dan kebolehan serta dibantu dengan kekayaan keluarga.

Namun bagi wanita muda yang berjaya menjadi bilionair dengan usaha sendiri, sememangnya pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan menjadi rencah kejayaan mereka sekarang.

Salah seorang ialah Chu Lam Yiu dari Hong Kong yang mencipta kekayaan melalui perniagaan bahan-bahan pewangi dan perisa untuk bahan pencuci, minuman, produk tenusu, kosmetik dan juga rokok.

Beliau yang berusia 39 tahun masih mengetuai perniagaan yang ditubuhkan sejak 12 tahun lepas dan kini mempunyai kekayaan bernilai AS$2.1 bilion (RM6.7 bilion).

Seorang lagi contoh wanita muda yang menjadi kaya hasil dari usaha sendiri adalah Taysha Smith-Valez yang menjadi kaya hasil dari pelbagai cabang perniagaan dalam bidang kecantikan.

Valez yang baru berusia 28 tahun juga mempunyai gedung membeli belah sendiri yang dikenali sebagai H.Couture Beauty.

Selain itu beliau juga memiliki beberapa konglomerat iaitu TSV-HBGgroup Inc, TrimyTAY - Telecom Inc.(IBC), dan TAY-SHA S. Valez de Ames Ltd.

Beliau pernah menerbitkan sebuah buku bertajuk Young Black Millionairess: How to Start a Million Dollar Business, yang diterbitkan pada 2005 selain sebuah majalah paling mahal di dunia iaitu Trillionairess Weekly yang berharga AS$129 senaskah.

Majalah berkenaan yang dikeluarkan dua minggu sekali hanya fokus kepada percutian mewah dan disasarkan kepada orang kaya dan ternama.

Namun tidak banyak maklumat yang diketahui tentang Valez malah jumlah kekayaan juga tidak diketahui kerana beliau lebih senang tidak terlalu menonjol kepada umum.

0 comments: