.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, October 08, 2010

0 British kata Malaysia tidak akan berjaya kerana kepelbagaian kaum didalamnya. Mahukah kita nafikan hakikat itu? Banyak hal belum selesai

Kumpulan fanatik berfikiran sempit, negatif

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

KEJAYAAN Malaysia dalam membentuk sebuah negara membangun yang pesat jika dibandingkan dengan negara membangun yang lain adalah hasil daripada ketekunan dan prihatin kerajaan dalam mengekalkan keamanan yang bercorak universal. Sikap yang sering membangkitkan emosi perkauman dan kemarahan masyarakat pelbagai kaum perlu ditangani secara tegas.

Sejarah pembentukan Malaysia sepatutnya difahami oleh semua golongan masyarakat supaya tidak wujud individu-individu yang terlalu fanatik kepada bangsa dan agama secara membuta tuli, menghina dan memperlekehkan agama dan budaya kaum lain.

Sikap terlalu angkuh dengan kedudukan dan kepercayaan agama jika sukar dikawal boleh menyebabkan seseorang itu mudah membangkitkan sentimen sehingga menyebabkan berlakunya kemarahan dan persengketaan sesama kaum.

Sikap toleransi umat Islam terhadap agama lain mempunyai kaitan dengan prinsip pemerintahan dan kepimpinan Islam yang berasaskan kepada undang-undang dan hubungan mereka dengan masyarakat bukan Islam yang berdasarkan kepada keadilan, saling hormat menghormati, kerjasama dan berkomunikasi.

Malaysia yang dipimpin oleh para pemimpin pelbagai kaum dan agama adalah bukti yang jelas menunjukkan masyarakat Islam mempunyai sikap keterbukaan terhadap bukan Islam selama mana kedudukan agama mereka tidak tergugat. Perkara seperti ini sepatutnya difahami oleh kesemua kaum dalam negara ini.

Jika keamanan dan kestabilan negara berasaskan kepada konsep saling hormat menghormati, memahami antara satu sama lain dan kerjasama dalam membangunkan negara maka usaha ke arah ini perlu dipergiatkan supaya setiap individu yang lahir dalam negara ini menikmati pembangunan dan kekayaan negara secara aman dan harmoni.

Sikap terlalu fanatik kepada kepercayaan sehingga menghina agama lain secara membuta tuli bukan merupakan ciri-ciri orang yang mempunyai keperibadian keagamaan. Setiap agama mempunyai tradisi, budaya dan cara beribadat yang berbeza. Justeru, masyarakat pelbagai kaum dalam negara ini perlu memahami perbezaan dalam budaya dan tradisi keagamaan supaya tidak ada individu-individu yang terlalu ghairah untuk mereformasikan budaya dan agama masyarakat lain ke dalam budaya dan tradisi agama mereka.

Sifat fanatik dan terlalu taksub kepada kepercayaan agama wujud dalam diri seseorang disebabkan individu tersebut tidak terdedah kepada corak kehidupan masyarakat lain. Setiap agama mengajar penganutnya supaya menghormati ajaran agama lain dan batas-batas tertentu berhubung dengan manusia. Jika tokoh-tokoh agama tidak prihatin terhadap ajaran moral yang diajar oleh agama mereka, maka secara tidak langsung mereka akan merendahkan kedudukan agama mereka kepada masyarakat lain.

Jika keamanan dan keharmonian merupakan asas ajaran agama, kenapa isu-isu sensitif sering dibangkitkan? Setiap orang beragama merasai diri mereka sahaja yang diterima oleh Tuhan. Ini merupakan fitrah kepada setiap penganut agama. Orang Islam memperakui bahawa Islam adalah agama yang diwahyukan oleh Allah tetapi mereka dicegah daripada menghina Tuhan yang disembah oleh masyarakat lain. Ini kerana setiap manusia amat sensitif terhadap isu-isu keagamaan dan ketuhanan.

Masyarakat yang digelar oleh al-Quran sebagai Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) sepatutnya lebih memahami konsep kasih sayang dan konsep hidup berjiran seperti diajar oleh Nabi Isa dan Musa. Al-Quran meletakkan Ahli Kitab yang beragama Kristian sebagai orang paling tawadduk dan berbudi pekerti tinggi dan paling hampir dengan Islam kerana mereka menghayati ajaran Nabi Isa seperti mana firman Allah dalam surah 3 (al-Ma'idah ): 52 yang bermaksud; "Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata, 'Sesungguhnya kami ini orang Nasrani/ Kristian' yang demikian itu disebabkan di antara mereka itu terdapat paderi-paderi atau rahib yang tidak menyombong diri."

Di dalam perpustakaan di Vatican, Rom, penulis melihat al-Quran dimuliakan dan diletakkan di tempat yang dihormati. Hubungan orang Kristian terutamanya Pope dan bishop begitu mesra dan akrab dengan orang Islam. Sepatutnya perhubungan persahabatan dan persefahaman antara umat Islam dan Kristian dalam negara ini menjadi semakin kukuh kerana dalam aspek teologi terdapat banyak perkongsian antara kedua agama.

Pendedahan dalam kehidupan pelbagai kaum amat penting bagi menjalinkan persefahaman di antara kaum dalam negara ini. Sikap prejudis terhadap kaum dapat di atasi jika setiap individu dalam negara tidak dihasut dan disemarakkan dengan api permusuhan serta saling menghormati antara satu sama lain.

Oleh itu sikap fanatik dan keterlanjuran segolongan kecil kaum usah dijadikan sebagai isu besar yang boleh menyemarakkan pertelingkahan dan permusuhan antara kaum demi memelihara keamanan dan kestabilan politik dalam negara ini. Hayatilah konsep hidup yang mengamalkan prinsip kasih dan sayang serta saling hormat-menghormati dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai simbol kepada kecemerlangan tamadun yang sedang dibina.

DR. SAODAH ABD. RAHMAN,

Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

0 comments: