.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, October 31, 2010

0 Realiti bisnes tv di Malaysia

CAK: Penerbit bayar 'ciput'

MEMANG tak logik apabila CAK mendengar kisah sedih seorang teman yang bekerja sebagai pembantu produksi untuk sebuah syarikat penerbitan ini. Ikut pada profil si pemilik syarikat yang juga penerbit drama popular ini, memang bergaya orangnya. Namun di sebalik gaya itu, tahi hidungnya masin!

CAK memang suka sebuah drama bersiri terbitan syarikatnya yang ditayangkan baru-baru ini. Kalau petang saja, CAK duduk tercongok depan TV menunggu drama penuh emosi itu. Namun siapa sangka, di sebalik pembikinannya, semua kru dan pelakon, termasuk seorang jurusolek, terpaksa mengikat perut sebab si penerbit tadi cukup berkira.


Patutlah sebelum ini teman CAK yang memang senior dalam arena solekan mengadu dia terpaksa menolak satu ‘job’ besar untuk drama bersiri kerana bayaran diberi tidak masuk akal. Tanpa berselindung, bayaran yang ingin diberi kepada teman CAK tadi sangat menyedihkan. Malah, ia satu perbuatan yang mengaibkan.


Dua puluh episod, luar bandar dan siap ada mekap kesan khas lagi, tapi si penerbit cuma mampu bayar RM5,000.




Melihat hasil drama itu, CAK kagum dengan komitmen setiap pelakonnya dalam membawa watak masing-masing. Walaupun ada yang terpaksa berlapar kerana memikirkan bayaran kecil, produksi itu berjalan lancar. Memang kasihan sangat dengan semua pelakon dan kru terbabit.

0 Resepi kejayaan Kelantan memenangi Piala Malaysia

Kami memang layak menang - Sathianathan

KUALA LUMPUR - Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, pasukannya sememangnya layak bergelar juara Piala Malaysia, kerana memberikan prestasi terbaik sepanjang musim.

Menurutnya, rekod hanya tewas dua kali dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sepanjang musim ini, akhirnya diiktiraf dengan kejayaan memenangi Piala Malaysia, apabila mengalahkan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Mengulas aksi sengit dan mendebarkan semalam, Sathia berkata, pasukannya bermula agak gugup sehingga pasukan Negeri Sembilan berjaya mengambil peluang.

Katanya, pasukan lawan bersemangat kerana menyangka skuad Kelantan kali ini adalah barisan yang sama ketika perlawanan akhir musim lalu.

''Sebab itulah pada babak kedua saya membuat pertukaran beberapa pemain, juga menukar corak permainan, sehingga akhirnya memberi tekanan kepada Negeri Sembilan.

''Akhirnya kita berjaya bangkit sehingga memperoleh dua gol.

''Kemenangan ini membuktikan Kelantan bukanlah pasukan yang hanya mampu bertahan atau beraksi baik selama 20 minit saya, kita tetap beraksi baik di sepanjang 90 minit perlawanan,'' katanya.

Tambah bekas pengendali pasukan kebangsaan ini, kejayaan menjulang Piala Malaysia cukup manis kerana ini adalah pertama kali beliau berjaya melakukannya.

''Ya ini merupakan kenangan paling manis dalam karier saya sebagai jurulatih.

''Namun, kejayaan ini adalah hasil daripada misi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

''Beliau adalah individu yang membawa bola sepak Kelantan ke puncak.

''Tidak lupa juga para penyokong Kelantan yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dan akhirnya mereka memang layak untuk bergembira di atas kemenangan ini.

''Saya akui di awal perlawanan, ketika kami ketinggalan, saya tertekan tetapi dengan sokongan padu para penyokong yang membanjiri stadium, kami bangkit.

''Saya juga rasa amat bertuah kerana memiliki para pemain yang amat berdedikasi, berlatih bersungguh-sungguh.

''Kini tiba masanya mereka menuai hasil yang mereka usahakan selama ini,'' katanya.



Artikel berkaitan:

Sejarah tercipta

Oleh Harris Rajahdin dan Syed Riduan Ahmad
bhsukan@bharian.com.my
2010/10/31




The Red Warriors tamat badi 40 tahun

PEMAIN Kelantan me­­lutut dan berdoa tan­­da syukur sejurus wisel penamat apabila mencipta bangga muncul juara baru Piala Malaysia menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, ma­­lam tadi. Dua gol menerusi tandukan padu Hairuddin Omar pada minit ke-57 dan Mohd Badhri Mohd Radzi, m-65 berjaya mengikis jari­­ngan awal lawan menerusi sepakan penalti oleh Shahurain Abu Samah (m-13) - sekali gus menamatkan badi 40 tahun yang diiri­­ngi dentuman mercun me­­ngiringi kejayaan manis The Red Warriors. Kejayaan ini memboleh­­kan Kelantan meletakkan diri dalam kumpulan unik yang kini bertambah kepada 14 pasukan yang pernah menjulang piala keagungan bola sepak tanah air itu termasuk sebelum ini yang dikenali Piala HMS Malaya dan Piala Malaya.

Namun, skrip itu tidak kelihatan begitu pada awal saingan babak pertama apabila Shahurain yang dinaikkan kepada posisi serangan berikutan ke­­tandusan penye­­rang akibat kecederaan yang menimpa Zaquan Adha Abd Radzak me­­ngulangi jaringan awal ke atas lawan sama, apabila mudah menyempurnakan penalti mengatasi Khairul Fahmi Che Mat selepas penjaga gol itu menjatuhkan S Kunalan dalam ko­­­­tak penalti.

Shahurain yang mele­­dakkan gol cantik dalam laluan kejayaan 3-1 musim lalu berjaya mengelirukan penjaga gol itu yang semakin meningkat naik dalam skuad kebangsaan pada percubaan kedua selepas pengadil, Sub­­khiddin Mohd Salleh me­­ngarahkannya diambil semula.

Pada masa kecederaan babak pertama, gerakan pantas Mohd Badri Mohd Radzi dengan Indra Putra Mahayuddin hampir menjelmakan gol penyamaan, tetapi tendangan lencong kapten Kelantan itu berjaya ditumbuk penjaga gol, Sani Anuar Kamsani.
Hairuddin menceriakan pasukan apabila berjaya mengelakkan diri daripada kawalan pertahanan untuk menghalakan han­­taran lintang Norshahrul dengan jaringan penya­­maan menerusi tandukan untuk menghidupkan api perjuangan the Red Warriors dan hampir 60,000 penyokong mereka.

Momentum beralih arah kepada Kelantan yang mengambil alih tam­­puk penguasaan de­­ngan Mohd Badri men­­cetuskan dentuman mer­­cun oleh penyokong hasil gol kemenangan buat mencipta sejarah baru mereka.

Monday, October 25, 2010

0 Hala tuju bisnes UMNO, tingkatkan ilmu diri dan kuasai teknik pemasaran

7 amanat Najib


2010/10/24

Pesanan Presiden UMNO untuk pertahan kuasa orang Melayu

1- Utamakan maruah dan kepentingan parti daripada kepentingan diri

2- Pentingkan pasukan bukan kumpulan sendiri

3- Tawan pemikiran, hati dan jiwa rakyat

4- Mahir teknologi maklumat dengan menguasai media baru

5- Tumpu empat juta pengundi baru menjelang pilihan raya akan datang

6- UMNO mesti menuju sifar masalah

7- Dahulukan rakyat dalam sebarang tindakan


KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, menggariskan tujuh elemen bertema ‘Mendahulukan Rakyat’ sebagai asas pengisian dalam Model Transformasi UMNO untuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 serta memastikan kuasa orang Melayu terus dipertahankan.

Pertama, kata Perdana Menteri, ahli dan pemimpin UMNO pada semua peringkat mesti menentukan maruah dan kepentingan parti lebih besar daripada kepentingan diri dengan memberi contoh Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, yang menerima pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Galas.

Dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO Ke-61, semalam, Najib berkata, elemen kedua ialah mengamalkan sikap mementingkan pasukan dan bukan kumpulan sendiri seperti enggan membantu parti apabila tidak dicalon pada pilihan raya.

Elemen lain ialah:


Ahli dan pemimpin UMNO perlu memenangi pemikiran, hati dan jiwa rakyat supaya parti dilihat inklusif.


Mahir teknologi dengan menguasai media baru,
terutama laman sosial seperti Facebook dan Twitter.


Memberi tumpuan kepada empat juta pengundi baru menjelang pilihan raya umum akan datang.


UMNO mesti menuju sifar masalah, termasuk mengelakkan pertelagahan pada peringkat bahagian; dan


Amalan mendahulukan rakyat dalam sebarang tindakan.

Najib berkata, tujuh elemen itu yang sebahagiannya diambil daripada pandangan perwakilan ketika perbahasan, berupaya menjadikan UMNO parti yang inklusif dan mendahulukan kepentingan rakyat.

“UMNO perlu kuat kerana orang Melayu dan negara tidak boleh mengharapkan pihak lain,” katanya sambil menegaskan kemenangan UMNO juga berpaksikan kepada empat tonggak utama, iaitu penerimaan rakyat terhadap pimpinan nasional dan hala tujunya, kepemimpinan peringkat negeri diterima ahli, sama ada parti diterima oleh rakyat dan meletakkan calon yang mampu menang dalam pilihan raya.

Perdana Menteri turut mengingatkan orang Melayu jangan terkeliru dengan dakyah pembangkang kononnya orang lain juga boleh mempertahankan Perlembagaan, walaupun UMNO dan Melayu kehilangan kuasa politik.

“Saya tak nampak Raja-Raja Melayu akan pinda Perlembagaan ini. Namun ada pihak, kumpulan yang pakar pusing (mengelirukan rakyat) berkata, jika Perlembagaan (hak istimewa orang Melayu) sudah terkunci dan tersimpul mati, tak perlu UMNO berkuasa sebab orang lain boleh pertahankannya,” katanya.

0 Magika filem terbaik 2010, ambil pelajaran ini untuk masuk bertanding tahun hadapan

Magika Filem Terbaik FFM23

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my




Tiga beradik dari kiri Edry, Norman dan Yusry yang memenangi kategori Filem Terbaik menerusi filem Magika pada Festival Filem Malaysia Ke-23 di Shah Alam, malam tadi.




SHAH ALAM 24 Okt. - Filem Magika yang sarat dengan elemen cerita-cerita rakyat menepati ramalan peminat filem tempatan apabila diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini malam ini.

Mohd. Shamsul Yusof pula muncul Pengarah Terbaik menerusi filem arahannya, Evolusi KL Drift 2.

Magika arahan pertama Edry Abdul Halim menggondol hadiah berupa trofi dan wang tunai RM50,000, manakala Shamsul menerima trofi serta wang tunai RM20,000.

Hadiah bagi anugerah utama itu disampaikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sambil diiringi Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim.

Pada majlis itu, kategori Filem Pendek Terbaik dimenangi oleh Project Genex, Filem Animasi Terbaik (Buas), Filem Dokumentari Terbaik (Suatu Ketika Laskar Senoi), Skor Muzik Asal Terbaik (Edry Abdul Halim-Magika), Penyunting Terbaik (Mohd. Shamsul Yusof/Hisham Jupri-Evolusi KL Drift 2), Cerita Asal Terbaik (Ahadiat Akashah-Lagenda Budak Setan), Lakon Layar Terbaik (Jumaatun Azmi-Haq) dan Sinematografi Terbaik (Raja Mukhriz Raja Ahmad-Niyang Rapik).

Pemenang kategori Pelakon Wanita Terbaik diungguli Lisa Surihani menerusi filem Lagenda Budak Setan, manakala Pelakon Lelaki Terbaik milik Bront Palarae menerusi filem Belukar.

Turut disampaikan ialah empat Anugerah Khas FFM23 iaitu Penggiat Belakang Tabir yang dimenangi oleh Johari Ibrahim, Pelakon Veteran Wanita (Datuk Sarimah Ahmad), Pelakon Veteran Lelaki (Tamam Idris) dan Filem Box-Office (Adnan Sempit) yang mencatat kutipan tiket RM7.6 juta.

Sementara itu, FFM23 yang dianjurkan oleh Finas dengan kerjasama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) turut menyediakan empat Anugerah Khas Juri yang dimenangi oleh filem Cinta Ais Kacang, Woohoo, Estet dan Mualaf.

Juri FFM23 bagi kategori Filem Cereka diketuai oleh Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin dengan dibantu oleh Panchacharam P. Nalliah, Dr. Naim Ahmad, Kamarudin Abu dan Akmal Abdullah.

Saturday, October 23, 2010

0 Kaya semakin kaya, miskin semakin miskin di India

17 bilionair baru India


MUKESH AMBANI mengekalkan gelaran sebagai individu terkaya di India ketika perkembangan pesat ekonomi melahirkan 17 bilionair baru pada 2010.

Tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 69 orang, berdasarkan senarai individu terkaya yang disiarkan majalah Forbes baru-baru ini.

Ambani, pengerusi syarikat persendirian terbesar India, Reliance Industries, mempertahankan kedudukannya sebagai individu terkaya di India untuk tiga tahun berturut-turut dengan kekayaan bernilai AS$27 bilion (RM83.2 bilion), petik majalah Forbes India.

Bilionair itu diekori rapat pengasas syarikat keluli terkemuka yang berpusat di London, Lakshmi Mittal dengan kekayaan bernilai AS$26.1 bilion (RM80.4 bilion).

"Jumlah bilionair yang direkodkan belum lagi menunjukkan petanda jelas betapa seriusnya peningkatan itu di India dan China pada dekad mendatang," kata Indrajit Gupta, editor Forbes India.

Menurutnya, usahawan dari India menunjukkan kemampuan mereka memanfaatkan peluang mencipta kekayaan yang tidak pernah berlaku di kalangan masyarakat lain di dunia.

Jurang ekonomi

Peningkatan jumlah bilionair itu terjadi ketika kumpulan antikemiskinan memberi amaran mengenai pelebaran jurang yang berterusan antara golongan kaya dan miskin di negara berpopulasi 1.2 bilion penduduk itu.

Sebahagian daripada 836 juta penduduk India hidup dengan pendapatan kurang daripada 20 rupee (RM1.30) sehari. Dalam satu laporan kerajaan, statistik di India mengenai tahap kesihatan, kematian bayi, nutrisi dan pendapatan adalah lebih buruk daripada mereka yang menetap di sub-Sahara Afrika.

Ketempangan pertumbuhan ekonomi, kes rasuah yang berleluasa dan kelemahan pentadbiran awam, dilihat sebagai pencetus pemberontakan Maoist di daerah miskin negara itu.

Taikun teknologi informasi, Azim Premji yang mengawal syarikat pembekal Wipro, merampas kedudukan tangga ketiga senarai itu dengan kekayaan bernilai AS$17.6 bilion (RM54.24 bilion), menggantikan adik lelaki Ambani, Anil, yang mengetuai telekomunikasi, kewangan dan perniagaan utiliti Reliance.

Anil Ambani, yang baru berdamai dengan abangnya itu selepas perbalahan ekoran pembahagian aset keluarga, jatuh di tempat keenam dengan AS$3.3 bilion (RM10.6 bilion). Kejatuhan saham syarikat telah menyebabkan kekayaannya itu susut sebanyak 24 peratus.

Jumlah kekayaan 40 bilionair terkaya di India ketika ini bernilai AS$243 bilion (RM748 bilion), naik daripada AS$229 bilion (RM705 bilion) tahun lalu. Namun, catatan itu masih belum menghampiri rekod AS$351 bilion (RM1,081 trilion) yang dicatatkan pada pada tahun 2007.

Namun begitu, jumlah kekayaan mereka adalah lebih dua kali ganda daripada kekayaan 40 orang individu terkaya di China tahun lalu, iaitu sebanyak AS$106 bilion (RM326 bilion).

Golongan kaya di India mengalami kerugian besar pada 2008. Ketika itu gabungan kekayaan bersih 40 individu tersebut turun 60 peratus dan hanya 27 individu bergelar bilionair akibat terkena tempias krisis kewangan global.

Kerugian besar membabitkan nilai kekayaan di India pada 2008 pantas menjadi kenangan. Pencapaian itu disokong lonjakan pasaran saham dan pertumbuhan ekonomi hampir sembilan peratus.

Pasangan adik-beradik Shahi dan Ravi Ruia, peneraju Kumpulan Essar yang memegang kepentingan dalam industri besi, penyulingan minyak dan tenaga, berada di tempat keempat dengan kekayaan bernilai AS$15 bilion (RM46.2 bilion), manakala Savitri Jindal, pengerusi Jindal Steel and Power, kekal di tempat kelima dengan kekayaan AS$14.4 bilion (RM44.4 bilion).

Gelombang kedua

Senarai tahun ini juga merupakan isyarat gelombang kedua bagi kapitalis India mengumpul laba besar selepas permulaan yang tidak menentu awal dekad lalu.

Ketika gelombang pertama bilionair dikaitkan dengan perniagaan teknologi maklumat, keluli dan tenaga, gelombang kedua pula dijangka membabitkan syarikat-syarikat gergasi dalam bidang farmasi dan hartanah.

Pencapaian peratusan tertinggi pula diraih Raja Media, Kalanithi Maran, pemilik syarikat Sun TV Network, yang mempunyai lebih daripada satu pertiga saham di syarikat penerbangan tambang rendah domestik SpiceJet. Kekayaan bersihnya naik 74 peratus iaitu AS$4 bilion (RM12.4 bilion).

Bagaimanapun, terdapat juga beberapa individu yang terjejas. Raja Hartanah, Kushal Pal Singh, pemilik DLF yang sarat dengan hutang, kehilangan hampir satu pertiga daripada kekayaannya. - AFP

0 Melabur dalam pembangunan modal insan, selesaikan masalah bersama

Fikir untuk atasi masalah bersama

Oleh Mohamad Abdullah

2010/10/23
Rakyat perlu manfaat peluang pendidikan bagi ubah sikap, tingkah laku di jalan raya

PEMBENTANGAN Bajet 2011 oleh Perdana Menteri berteras kepada empat strategi, antaranya termasuk membangunkan modal insan dan mensejahterakan hidup rakyat seharusnya disambut rakyat dalam merealisasikan hasrat murni berkenaan. Apatah lagi dengan peruntukan besar kepada bidang pendidikan seharusnya berupaya mendidik kita memberikan nilai tinggi kepada proses pendidikan yang dilalui. Pendidikan harus berupaya membuka minda dan pemikiran kita untuk mewujudkan masyarakat yang sejahtera, prihatin dan memainkan peranan bersama dalam menangani isu bersama. Kejadian kemalangan jalan raya ngeri yang berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan pada 10 Oktober 2010 yang dianggap sesetengah orang sebagai tarikh keramat, tentu akan tetap terpahat kukuh dalam ingatan kita. Kemalangan ngeri seperti ini bukanlah baru kepada masyarakat negara ini, malah sudah terlalu kerap terjadi, sehingga kita menerimanya sebagai takdir dan dengan mudah melupakannya.

Namun, ia tidak semudah itu kepada mereka yang melalui pengalaman pahit seperti ini. Anak kehilangan ibu bapa. Ibu bapa menangisi pemergian anak dan ahli keluarga. Malah, lebih sebak apabila dihantui bayangan itu apabila gambar dan video dipapar dalam laman sosial seperti Facebook.

Apa pun niat kita memaparkan gambar yang sesetengahnya mengerikan, tentunya amat pedih dirasai keluarga mangsa dan mereka yang melaluinya. Gambar seperti itu, bukanlah sesuatu yang manis dan seronok untuk dikongsi, walau pun sesetengahnya mungkin dianggap untuk dijadikan iktibar.

Malangnya, kita tidak pernah serik dengan apa yang dilalui. Kita marah dan merintih. Lebih buruk lagi menuding jari setiap kali melalui peristiwa seperti ini. Belum habis cerita mengenai satu kemalangan, timbul pula peristiwa lain.
Sama juga dengan apabila berlaku kejadian tidak diingini seperti jenayah, merompak, membunuh, merogol termasuk anak kecil, malah kejadian ngeri lain, kita marah, kesal dan gegak gempita seketika. Kemudian kita terus kehidupan seperti biasa dan terus juga menuding jari kepada orang lain, termasuk pihak berkuasa.

Ini memberi gambaran, selain daripada pihak berkuasa, orang lain seolah-olah tidak berupaya mengubah apa-apa. Walau pun ramai rakyat hari ini yang keluar daripada institusi pengajian tinggi, kita tidak berdaya memikirkan cara terbaik mengatasinya bersama.

Pemikiran yang ada, tidak dapat kita gabungkan bersama berbincang mengenai usaha yang harus digembleng untuk mengatasi masalah seperti ini. Barangkali kerana sebahagian besar dari masalah ini timbul berpunca daripada sikap kita sendiri, maka sukar sekali mengatasinya kerana amat payah mengubah diri berbanding menuding jari.

Gesaan dan tuduhan yang sering dilemparkan biasanya dituju kepada pihak berkuasa terutama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jika ia berkaitan dengan kemalangan jalan raya dan jenayah yang terjadi di sana sini. Anggota polis, misalnya sering dianggap tidak cekap melakukan tanggungjawab mereka.

Lalu pelbagai tuduhan melulu dibuat sehingga kita lupa berterima kasih atas pengorbanan anggota jabatan berkenaan mengorbankan masa dan tenaga, malah ketika orang lain menyambut pelbagai perayaan, mereka terpaksa meninggalkan keluarga untuk menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya ketika orang lain bersuka ria.

Baru-baru ini, di laman sosial Facebook, diletakkan rakaman video bagaimana seorang perempuan membuat provokasi kepada polis ketika menyamannya. Ternyata penyebaran video seperti ini mendedahkan betapa sesetengah pihak sengaja mendorong pihak berkuasa membuat tindakan kononnya atas nama hak dan kebebasan individu sangat menjengkelkan.

Amat malang ketika kita berbangga dengan kemerdekaan selama 53 tahun. Kita menganggap diri matang dan berpelajaran, sedangkan pada masa sama kita menyalahgunakan hak dan kebebasan yang ada.

Lihat saja kenyataan pihak polis baru-baru ini yang menyatakan kegagalan bantuan tiba ke tempat kejadian dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan berpunca daripada pemandu yang menggunakan laluan kecemasan sehingga ambulans sukar sampai dengan mengambil masa yang panjang untuk membantu mangsa.

Ini bukan perkara baru. Penggunaan laluan kecemasan, menyelit di mana saja yang boleh pada setiap ruang yang ada terutama motosikal dan kenderaan kecil, memberi lampu tinggi ketika memandu dengan laju agar kereta di laluan ketepi walau pun dalam keadaan yang sukar, bercakap telefon bimbit ketika memandu, memandu dengan merbahaya, malah ada juga yang mengambil gambar dengan menghulurkan kamera digital di luar tingkap kenderaan tatkala berlaku kemalangan atau kesesakan sehingga mengganggu lalu lintas lain. Semua ini antara episod yang berpunca daripada diri sendiri, seolah-olah kita saja yang mengejar masa dan berada di dalam kenderaan dalam jangka masa yang lama agaknya bagai berada dalam neraka.

Sudah sampai masa semua pihak bersama-sama menggembleng tenaga dan fikiran untuk menyelesai-kan masalah bersama. Semua orang perlu menggunakan pendidikan untuk mengubah keadaan yang terjadi. Biarlah dana dikeluarkan untuk mendidik rakyat berbaloi dengan keupayaan berfikir dan menjadikan proses pendidikan sebagai sebahagian kehidupan holistik dalam mengubah sikap dan tingkah laku kita termasuk dalam mengatasi masalah sosial.

Penulis ialah Timbalan Pendaftar di Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia

Thursday, October 21, 2010

0 Filem Zaiton Ceritaku arahan Fauziah Nawi direjek oleh penerbit. Hasil kerja yang sangat mengecewakan

Jawablah! Filem Zaiton akan dibuat semula
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2010/10/20



Burhanuddin Radzi dan Ainon Ariff.HASRAT untuk mengadakan temubual menerusi telefon mengenai kontroversi yang melanda filem Zaiton Ceritaku ditolak Pengarah Urusan Bruang Filem Sdn Bhd, Burhanuddin Radzi. Sebaliknya penerbit siri animasi Upin & Ipin ini lebih selesa jika wartawan bertentang mata dengannya. Bukan bersikap sombong, tetapi ada sebab tertentu mengapa dia bertindak sedemikian.

Selepas mengatur temu janji sejak minggu lalu, pagi kelmarin Hip menemui lelaki ini dan isterinya, Ainon Ariff, yang juga penerbit bersama filem berkenaan, bagi mendapatkan penjelasan apakah sebenarnya yang berlaku ke atas filem arahan Fauziah Nawi itu. Sebelum meneruskan cerita, dia terlebih dulu meminta penulis melihat sendiri hasil kerja dilakukan Fauziah. Dia mahu wartawan sendiri menjadi saksi mengapa dia tidak berpuas hati dengan hasil kerja aktivis teater berkenaan. Sambil ditemani penyunting merangkap penolong pengarah filem terbabit, Nazrul Jamil, satu demi satu babak dipertontonkan dan dijelaskan apakah kesalahan setiap babak ditunjukkan. Tegas Burhanudin dan Ainon, sebagai penerbit mereka amat kecewa dengan buah tangan Fauziah dan tidak mustahil baginya untuk tidak menayangkan filem ini, walaupun pengarah itu berjanji untuk menyudahkan hasil kerjanya. Hip: Ramai yang tertanya-tanya, mengapa memilih Fauziah jika penerbit tidak mempercayai hasil kerjanya?

Ainon: Saya memilih Fauziah sebagai pengarah kerana percaya dengan bakat yang dia ada. Melihat hasil kerjanya sebelum ini, terutama dari segi pengarahan teater dan drama juga lakonannya, membuatkan saya tertarik untuk memberikannya peluang. Malangnya peluang yang kami berikan itu ternyata sia-sia. Sebagai penerbit, sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk filem ini. Namun dia tidak pernah mahu mendengar kata-kata kami. Setiap kali kami memberikan idea atau apa yang kami mahukan, semua itu dibalas dengan kata-kata kesat.

Tidak mahu mengeruhkan keadaan, kami biarkan saja dia meneruskan kerjanya walaupun dalam hati saya mengatakan filem ini akan hancur kalau begitulah cara dia bekerja. Sebelum ini, saya sendiri memang sudah terkilan apabila membaca kenyataannya di akhbar yang seolah-olah tidak yakin dengan filem berkenaan. Kalau pengarah sendiri tidak yakin dengan filemnya, bagaimana kita mahu yakinkan penonton di luar sana. Sebelum dia memulakan pengarahan pun, dia sudah berani mengeluarkan kenyataan seperti itu.

Hip: Apa reaksi anda berdua sebaik saja melihat hasil kerja Fauziah?
Burhanudin: Saya tengok sampai habis cerita itu dan kesimpulannya, saya jadi menyampah menontonnya. Dia tidak mengikuti apa yang ada dalam skrip. Lapan bulan kami buat kajian mengenai Zaiton - jalankan temu bual dengan Zaiton dan adiknya, Shahril. Kita sediakan banyak bahan untuk dia buat penyelidikan, tetapi nampaknya semua yang kita buat sia-sia. Kami terbuka dengan perbincangan dan jika dia tidak suka dengan apa yang kami cadangkan, kita boleh bertolak ansur. Malangnya dia degil.

Saya boleh katakan yang dia ini pemalas. Kami sudah sediakan bahan, cuma tinggal untuk dia olah saja skrip itu. Tetapi dia tidak ikut seperti yang dikehendaki kami. Ini adalah sebuah filem autobiografi dan kita membikin filem seorang legenda yang masih hidup. Jadi semua perkara kena tepat termasuk gaya Zaiton menyanyi dan sebagainya. Apa yang saya lihat, sangat bertentangan dengan sifat Zaiton sendiri. Mungkin ramai yang akan anggap kami tak tahu apa-apa fasal filem. Perkara ini mudah sebenarnya. Dalam hal ini saya meletakkan diri saya sebagai penonton, jika saya sendiri tak suka tengok filem ini, bagaimana pula dengan penonton lain? Pastinya mereka juga mempunyai perasaan sama.

Hip: Khabarnya Fauziah juga lepas tangan untuk sesi suntingan?

Burhanudin: emang benar, dia hanya datang untuk 10 minit yang pertama sewaktu filem ini mula-mula menjalani proses suntingan. Selepas itu, bayangnya langsung tidak kelihatan. Sebagai pengarah, sudah tentu dia kena jaga kerjanya sehingga selesai. Tapi kami tak kisah, kami biarkan saja. Hanya selepas perkara ini heboh, baru dia datang ke pejabat dan berjanji akan menyelesaikan kerjanya. Secara jujur, saya tahu usaha itu takkan merubah apa-apa. Masalahnya sekarang, filem itu kekurangan syot. Pengarah perlu kreatif untuk mengambil pelbagai syot bagi memudahkan kerja-kerja penyuntingan. Malangnya ia tidak berlaku dalam filem ini.

Dia bukan saja lepas tangan sewaktu sesi suntingan tetapi juga sewaktu berada di lokasi. Pernah suatu hari, saya datang ke lokasi penggambaran. Sampai di sana, saya cukup terkejut apabila mendapati, anak lelakinya yang menjalankan kerja pengarahan, bukannya dia. Dari situ saya sudah dapat mengagak filem ini tidak akan menjadi. Memandangkan dia berkeras juga untuk menyiapkannya, saya beri dia peluang. Saya beri tempoh sehingga 21 Oktober ini untuk dia selesaikan semuanya. Apa yang berlaku selepas itu, sama ada saya nak tayang atau tidak, terpulang pada hasilnya. Tapi ingin saya tegaskan di sini, filem itu akan dibikin semula. Bila saya akan buat, akan saya umumkan kemudian nanti.

Hip: Tak bimbang pasal kerugian jika filem ini tidak ditayangkan?

Ainon: Biar rugi asalkan kita tak tayang cerita yang tidak berkualiti. Apabila kami memilih untuk terjun dalam perniagaan ini, apa yang kami mahukan adalah untuk menghasilkan filem Melayu yang berkualiti. Takkanlah kita nak tengok filem Melayu yang masih pada takuk lama. Lagipun kami mempunyai cita-cita untuk memasarkan filem terbitan kami di luar negara iaitu Indonesia. Memandangkan kami ada rakan perniagaan di sana, jadi ia memudahkan lagi urusan. Tetapi, kalau beginilah hasilnya, nampaknya terpaksalah kami melupakan hasrat itu. Tak mahu pula filem ini mengesahkan lagi pandangan skeptikal mereka terhadap filem Melayu.

Hip: Apakah selepas ini nama Fauziah Nawi akan terpadam dalam senarai Bruang Filem Sdn Bhd?

Burhanudin: Terus terang, kami memang kecewa dengan semua kenyataannya di media. Kami hanya mahu memberikan yang terbaik tetapi dia tidak mahu menerima idea kami. Malah, kami pula dihambur dengan kata-kata kesat. Selepas ini, kalau saya dengar lagi dia memberikan kenyataan di media yang menyalahkan kami, saya akan tayang filem ini kepada umum. Saya akan jadikan filem itu seperti dokumentari mengenai sebuah filem yang gagal. Biar orang tahu mengapa saya tidak berpuas hati dengan hasil kerjanya.

0 Lagi novel Syarifah Abu Saleem diangkat menjadi drama

Elak bahasa slanga

Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my
2010/10/20

Bright Network perkasa budaya tempatan dalam drama terbitannya

DEMI memastikan drama terbitan Bright Network Sdn Bhd tidak menggunakan bahasa slanga atau terkeluar daripada norma budaya masyarakat tempatan, Raja Alawiyah Raja Idris sanggup meminta sesuatu babak yang kurang menepati ciri ditentukan dirakamkan semula. Sekali pun terpaksa berbelanja lebih, penerbit syarikat produksi itu cukup berpuashati kerana sudah nawaitu sejak dulu segala produknya diharap mampu mencerminkan nilai kehidupan positif supaya memberikan teladan baik kepada khalayak. “Mungkin bagi sesetengah produser, ayat slanga seperti lu atau gua, sesuatu yang biasa. Meskipun ia sekadar gurauan yang diselitkan di dalam babak, saya tidak akan membenarkan perkataan seumpama itu ditonjolkan dalam drama terbitan Bright Network.

“Bagi saya, telefilem, drama atau produk yang dihasilkan umpama wadah ilmu untuk dikongsi dengan penonton kerana segala yang dipaparkan ialah cermin terhadap masyarakat. Bukan bermakna semuanya perlu positif, namun sekurang-kurangnya kita kongsi sesuatu yang baik untuk diikuti generasi muda,” katanya.

Beliau yang ditemui pada majlis rumah terbuka Bright Network di kediamannya di Hulu Klang berkata, dirinya cukup teliti dengan pengisian sesebuah drama atau telefilem, malah menjadi kebiasaannya untuk mengingatkan pengarah mengenai ‘pantang larang’ yang harus diikuti sebelum memulakan penggambaran.

“Saya tidak kisah jika ada yang melabelkan saya produser ketinggalan zaman, tidak mengikuti perkembangan semasa atau kolot. Bagi saya, tiada manfaatnya jika kita selaku pembikin drama atau filem masih menggula-gulakan penonton dengan benda yang tidak sepatutnya.
“Inilah tanggungjawab terhadap masyarakat yang saya salurkan menerusi drama, malah jika dilihat Bright Network lebih dikenali dengan produk berunsur keislaman dan kekeluargaan walaupun banyak syarikat lain cenderung kepada cerita komersil,” katanya lagi.

Terkini, syarikat produksi itu baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri 26 episod berjudul Biar Rindu Berlalu yang diangkat daripada novel paling laris karya Sharifah Abu Salem, yang dijangka menemui penonton awal tahun depan di TV2.

Raja Alawiyah berkata, populariti novel cinta yang sudah lima kali diulang cetak itu menggamit keinginannya untuk mengalihkan karya berkenaan ke layar kaca bagi berkongsi debaran dengan pembaca serta penonton, untuk menghayati perjuangan hidup seorang ibu tunggal bernama Samirah.

"Pergolakan perasaan wanita yang mewarisi harta arwah suaminya yang masih berkisar mengenai isu kekeluargaan dengan dipenuhi plot mendebarkan pastinya mengundang perhatian peminat drama,” katanya yang pernah bekerjasama dengan Sharifah dalam produksi sebelum ini.

Kisah yang mendapat sentuhan Feroz Abd Kader selaku pengarah itu membariskan Nanu Baharudin sebagai Samirah, selain Esma Daniel dan Mahmud Ali Bashah.

0 Magika menang 5 dari 24 kategori yang dipertandingkan

Magika gondol lima anugerah FFM-23



EDRY (kiri) bersama Norman KRU menunjukkan trofi masing-masing pada malam Festival Filem ke-23 di Petaling Jaya malam tadi.



PETALING JAYA - Filem Magika arahan Edry Abdul Halim menggondol lima anugerah daripada tujuh pencalonan pada pelancaran Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM-23) yang diadakan di Center Atrium @ Curve Damansara, Mutiara Damansara di sini semalam.

Magika yang diterbitkan KRU Studios mencatat kejayaan dengan pengumuman Edry sebagai Pengarah Harapan manakala Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik milik Fimie Don.

Anugerah lain adalah Anugerah Penata Kostum/Busana (Hasnan Yaacob), Anugerah Penataan Seni Terbaik (Anuar Paharudin/Johan Lucas) dan Anugerah Lagu Tema Asal Terbaik (Penyembuh Cinta) ciptaan Edry.

Dua lagi kategori yang mencalonkan Magika adalah Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik dan Anugerah Penataan Terbaik.

KRU Studios mencatat kejayaan membanggakan apabila turut menerima Anugerah Filem Komedi Terbaik menerusi filem komedi, My Spy.

Pada waktu sama, pelakon Shaheizy Sam membawa pulang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui filem Evolusi KL Drift dan Norliana Samsudin (Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik) untuk filem Adnan Sempit.

Trofi disampaikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

FFM 23 secara keseluruhan menyenaraikan 24 kategori pada malam kemuncaknya di Pusat Konvensyen Shah Alam pada Ahad ini.

0 Sikap pemarah, mengongkong dan sukar diajak ke mana-mana alasan gadis melarikan diri

Reka cerita elak kahwin

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
berita@kosmo.com.my



ROZALIYA ditenangkan oleh Mat Lazim sewaktu dibawa pulang ke IPD Kuantan dari Kuala Lumpur malam tadi.




KUANTAN – Misteri kehilangan bakal pengantin yang dijangka berkahwin 12 November ini, Rozaliya Mat Lazim, 20, akhirnya terungkai apabila dia ditemui bekerja di sebuah kedai serbaneka di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur petang semalam.

Gadis itu bekerja di situ sejak dua hari lalu dan menyewa rumah bersama beberapa rakan berhampiran kawasan Bukit Bintang.

Sebaik sahaja polis Kuantan menerima maklumat awam mengenai kehadirannya di kedai itu, mereka menghantar beberapa orang anggota untuk menahan gadis itu dan membawanya pulang ke Kuantan malam tadi.

Rozaliya memberitahu Kosmo!: “Saya tidak mungkin bersama dia lagi (tunangnya, Mohd. Helmi Mohd. Noor). Saya ingin bina hidup baru, apa yang sudah berlaku biarlah berlalu.’’

Gadis yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu kini mahu menenangkan fikiran dan tidak berhasrat memikirkan mengenai majlis perkahwinannya yang telah sedia diatur pada 12 November ini.

“Kalau diberi peluang jumpa tunang pun saya tidak mahu.

Hati saya sudah tertutup,’’ katanya.

Rozaliya mengakui perhubungannya dengan Mohd. Helmi begitu singkat dan terburu-buru.

“Saya hanya kenal dia kira-kira empat bulan dan terus bertunang sebelum merancang untuk berkahwin,’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan malam tadi memberitahu, ketika ditemui, Rozaliya tidak lari sebaliknya bersetuju untuk dibawa pulang.

“Kes ini tiada unsur jenayah dan kepada kami, siasatan telah selesai,’’ ujarnya.

Ditanya kaitan dua khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima oleh Mohd. Helmi pada hari kehilangan Rozaliya yang berbunyi: ‘Ada dua lelaki sedang mengekori’ dan ‘abang datang cepat, saya takut’: beliau menjelaskan, ia mungkin rekaan gadis itu.

Katanya, Rozaliya sendiri mengaku menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur seorang diri pada hari kejadian.

Isnin lalu, akhbar melaporkan kehilangan Rozaliya semasa keluar membeli barang keperluan perkahwinan di Kuantan pada 13 Oktober.

Sementara itu, bapa mangsa, Mat Lazim Mat Ismail, 52, lega melihat anaknya selamat dan akan berbincang dengan keluarga bagi menentukan sama ada perkahwinan yang dirancang pada 12 November ini akan diteruskan.

Menurut Mat Lazim, Rozaliya mengenali Mohd. Helmi selama empat bulan sebelum mengikat tali pertunangan selama setahun.

“Bagaimanapun, selepas Rozaliya mengenali hati budi Helmi, dia sudah berubah sikap,’’ jelasnya.

Mat Lazim mendakwa, sikap Helmi yang pemarah, mengongkong dan sukar diajak ke mana-mana tidak disenangi oleh anaknya itu.

Wednesday, October 20, 2010

0 Murtad kerana ikut agama suami di Indonesia

3 artis Indonesia didakwa murtad



RIANTI berkahwin di gereja di New York.

SEJAK beberapa bulan lalu, masyarakat Indonesia dikejutkan de�ngan tindakan beberapa selebriti negara itu menukar agama.

Seorang daripada mereka ialah Pinkan Mambo.

Penyanyi lagu popular, Kekasih Yang Tak Dianggap ini untuk kali keduanya dilapor telah menukar agama dan disahkan ibunya sendiri, Deetje yang nyata kecewa.




Walaupun belum pernah melihat Pinkan pergi ke gereja, Deetje berkata, anaknya sudah mula belajar agama lain sejak April lalu.



Menurutnya, Pinkan yang nama penuhnya Pinkan Ratnasari Mambo banyak berubah sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, keputusan Pinkan menukar agama tidak menyebabkan Deetje merasa kehilangan anak.

“Anak merupakan titipan Allah dan kita tidak boleh mencintai anak 100 peratus kecuali pada Yang Maha Pencipta,” kata Deetje.

Artis cantik yang juga pernah menjadi VJ MTV Rianti Rhiannon Cartwright juga dikatakan telah meninggalkan Islam dan berkahwin dengan kekasihnya, Cas.

Perkahwinan mereka berlangsung di Gereja Old St Patrick, New York, Amerika Syarikat.

Rianti yang lebih dikenali dengan watak Aisha dalam filem agama, Ayat-Ayat Cinta, dikatakan sudah murtad sebelum berkahwin lagi, berdasarkan risalah yang dikeluarkan sebuah gereja di Jakarta Selatan.

Namun, ketika diminta mengesahkan perkemba�ngan itu, pengurusnya, Adi,
enggan berbuat demikian sebaliknya berkata, dia tidak tahu menahu me�ngenainya.

“Saya hanya berkomunikasi dengan dia mengenai kerja. Yang lain saya tidak tahu,” katanya.

Dia mencadangkan supaya pengesahan itu didapatkan daripada paderi di gereja yang mendedahkan perkahwinan Rianti dengan pe�nyanyi yang nama lengkap�nya Alfoncius Dapot Parulian Nainggolan.

Bagaimanapun, pihak gereja juga enggan menge�sahkannya.

Selebriti terbaru Indonesia yang didakwa meninggalkan Islam ialah Happy Salmah.
Happy dikatakan memeluk agama Hindu kerana mahu berkahwin dengan kekasihnya, Tjokorda Bagus yang keturunan raja.

Model dan juga pelakon filem yang dilahirkan di Sukabumi, Jawa Barat itu menjalani upacara pindah agama Hindu, dalam upacara yang dinamakan Sudhi Wadani di Villa Ibah, Ubud, pada 29 September lalu.

Sudhi Wadani adalah upa�cara dalam Hindu sebagai pengesahan ucapan atau janji seseorang yang secara tulus ikhlas dan hati suci menyatakan menganut agama Hindu.

Upacara yang mengambil masa sehari itu adalah antara syarat yang harus dijalani bila seseorang ingin berkahwin mengikut adat Hindu.

Mereka melangsungkan perkahwinan beberapa hari kemudian di Puri Saren Kauh, Ubud dengan mengikut adat istiadat Hindu dan diikuti dengan majlis di Sukabumi Sabtu lalu.

Mengenai dia menukar agamanya, Happy me�negaskan, dia tidak akan berbicara secara terbuka.

“Saya tidak akan bercakap mengenainya,” kata Happy.

Segala hal yang berhubu�ngan dengan keyakinannya, dia berharap menjadi rahsia hubungan perkawinan yang baru mereka jalin.

Isu masyarakat Islam Indonesia, baik lelaki mahupun wanita berkahwin dengan pasangan mereka yang beragama lain adalah perkara biasa sejak era Sukarno dan Suharto kerana sebahagian orang yang mendakwa ulama di negara itu berkata ia dibolehkan.

Namun, apa yang dilakukan oleh Pinkan, Rianti dan Happy ialah mereka memeluk agama lain untuk mengikut agama suami ma�sing-masing.

0 Rakyat Malaysia paling banyak berhutang dan tertinggi di Asia

Hutang isi rumah tertinggi di Asia



KUALA LUMPUR - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bimbang dengan peningkatan paras hutang isi rumah yang berjumlah 77 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas.

Menurut laporan tahunan 2009 Bank Negara Malaysia (BNM), hutang isi rumah dilaporkan meningkat kepada 76.6 peratus bagi tahun ini iaitu yang tertinggi di Asia daripada 63.9 peratus KDNK pada 2008.

"Nisbah Pinjaman-kepada-nilai (LTV) perlu dikurangkan untuk menangani kenaikan ini," kata Felo Penyelidik Kanannya, Dr. Foong Kee-Kuan.

"Di masa depan, sepatutnya terdapat lebih banyak pinjaman perniagaan berbanding pinjaman isi rumah. Lebih banyak pinjaman perniagaan akan menyumbang kepada pertumbuhan kita," katanya semasa taklimat media mengenai laporan Prospek Ekonomi Malaysia yang dikeluarkan di sini semalam.

Memetik laporan Petunjuk Perbankan dan Monetari bank pusat itu, MIER menjelaskan, pinjaman isi rumah pada April, Mei, Jun, Julai dan Ogos tahun ini masing-masing berada pada 10 peratus, 11.7 peratus, 12.5 peratus, 11.9 peratus dan 11.8 peratus.

0 Kunci kejayaan UMNO ialah kebijaksanaan mengurus hubungan kaum dan mengekalkan kestabilan politik

'Bendung perasaan curiga antara kaum, hentikan debat perkauman'
KUALA LUMPUR 19 Okt. - Perasaan curiga antara kaum mesti dibendung segera dan debat perkauman mesti dihentikan sekarang.

Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan, jangan ada mana-mana kumpulan yang mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

''Hormatilah dan terimalah keluhuran Perlembagaan yang telah meletakkan asas-asas bagi negara kita.

''Saya yakin dan percaya, bahawa rasa curiga antara kaum akan dapat diatasi sekiranya semua kaum mendapat jaminan bahawa hak-hak mereka yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan dipertahan dan dihormati dalam apa jua keadaan sekalipun,'' katanya.

Beliau membuat gesaan dan penegasan itu ketika merasmikan serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri menarik perhatian bahawa debat perkauman dalam masyarakat juga semakin merumitkan keadaan.

Sehubungan itu beliau mengingatkan perdebatan tentang isu perkauman tanpa batasan boleh menimbulkan provokasi yang membakar sentimen perkauman.

''Kita tentu sekali tidak mahu percikan api kemarahan akhirnya menjadi letusan yang memusnahkan segala nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang telah kita bina.

''Sanggupkah kita menggadaikan segala nikmat yang kita kecapi semata-mata kerana amarah perkauman? Hakikatnya, tiada siapa yang beruntung sekiranya perbalahan bermaharajalela. Kalah jadi abu, menang jadi arang,'' katanya.

Oleh itu Muhyiddin dalam ucapannya memberi jaminan kepada orang Melayu dan bumiputera, bahawa UMNO sebagai parti teras Melayu, akan terus mempertahankan hak-hak keistimewaan mereka, kedudukan agama Islam, kemuliaan institusi raja-raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan memastikan orang Melayu dan bumiputera mendapat pembelaan sosial dan ekonomi yang seadil-adilnya.

''Kepada kaum-kaum lain, UMNO sebagai parti teras kenegaraan tetap menghormati hak kaum-kaum lain seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

''Sebagai sebuah parti politik Melayu yang inklusif, dan berdasarkan rekod perjuangan UMNO selama ini, UMNO akan terus memastikan bahawa, di bawah teraju UMNO, tidak ada satu kaum pun yang akan ketinggalan dalam menikmati rahmat pembangunan dan kemajuan negara,'' katanya.

Kepada UMNO, Muhyiddin berkata, cabaran yang dihadapi oleh parti itu seterusnya ialah bagaimana untuk mengekalkan kejayaan dan memperkukuhkan perpaduan.

Beliau berkata, kunci kepada kejayaan UMNO selama ini ialah kebijaksanaannya dalam mengurus hubungan kaum dan mengekalkan kestabilan politik.

''Namun hakikatnya, kita tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum.

''Walaupun secara umumnya hubungan kaum di Malaysia berada di tahap yang baik, namun masih kedengaran suara-suara yang mempersoalkan hak-hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain,'' katanya.

Kata Muhyiddin, jika perkara itu tidak diurus dengan baik, keadaan ini akan menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bahawa kedudukan dan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan semakin terhakis.

Mengenai gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata, ia adalah satu gagasan perpaduan yang memberi jaminan hak kepada semua warga negara berlandaskan prinsip-prinsip Perlembagaan dan Rukunegara.

0 Gempa bumi susulan di Christchurch New Zealand

Gempa susulan 4.7 magnitud landa Christchurch


2010/10/19
WELLINGTON: Satu gempa susulan menggegarkan Bandaraya Christchurch, awal pagi tadi, menyebabkan bekalan elektrik terputus dan pihak berkuasa terpaksa menutup sementara lapangan terbang di bandar raya berkenaan.
Gempa susulan 4.7 magnitud itu melanda jam 11.32 pagi waktu tempatan (2232 GMT- Isnin) berpusat di 12 kilometer di barat laut Christchurch, lapor Agensi Penyelidikan dan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Ia adalah gegaran terkuat dalam lebih 2,000 gegaran susulan selepas bandar raya terbesar New Zealand itu dilanda gempa 7.0 magnitud pada 4 September lalu. - AFP

0 Trend pembaca berita di Malaysia

Berita Harian Online laman berita nombor satu


2010/10/19
KUALA LUMPUR: Berita Harian Online menjadi laman berita tempatan nombor satu, mengatasi laman web akhbar arus perdana dan portal berita lain menerusi laporan kajian terbaru agensi penyelidikan media, Nielsen, mengenai corak pilihan pembaca akhbar online utama.

Nielsen Media Index bagi tempoh kajian dari Julai tahun lalu hingga Jun lalu menunjukkan Berita Harian Online menjadi pilihan 33 peratus daripada 1.4 juta pembaca, diikuti satu lagi penerbitan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, MyMetro (Harian Metro) dengan 29 peratus dan NST Online di tempat keenam dengan 11 peratus. Mengikut laporan itu, pesaing luar terdekat ialah The Star di tempat ketiga dengan 29 peratus; Utusan (19 peratus); dan Malaysiakini (18 peratus). Indeks itu juga menunjukkan dua laman web akhbar berbahasa Cina iaitu Sin Chew di tempat ketujuh dengan 11 peratus dan China Press kelapan dengan 8 peratus.

Bagi segmen corak pilihan akhbar, Berita Harian/Berita Minggu di tempat kedua dengan 1.49 juta pembaca. Tempat pertama adalah Harian Metro/Metro Ahad dengan 3.61 juta pembaca.

Kajian itu juga menunjukkan peratusan mereka yang membaca akhbar bercetak masih jauh mendahului versi online iaitu 72 peratus. Jumlah mereka yang hanya membaca versi online ialah 1 peratus manakala 9 peratus membaca kedua-duanya.

Sementara itu, Berita Harian Online terus mendahului pesaing lain dari segi penyertaan laman sosial dengan 232,776 peserta Facebook sejak dilancarkan hampir setahun lalu.

Tuesday, October 19, 2010

0 Kekerapan gegaran di sekitar Tawau dan Lahad Datu menghairankan Jabatan Meteorologi

Tawau berdepan gempa bumi kuat

Oleh HISHAM IDRIS
hisham.idris@kosmo.com.my





KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi tidak menolak kemungkinan gempa bumi bersaiz sederhana menghampiri 6 pada skala Richter mungkin berlaku di Tawau, Sabah pada masa depan.

Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami, Jabatan Meteorologi, Dr. Mohd. Rohaidi Che Abas berkata, kemungkinan itu diambil kira daripada kekerapan gempa bumi yang berlaku di kawasan-kawasan sekitar Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu di Sabah.

"Ini kerana sejak minggu lepas hingga semalam tiga gegaran lemah telah dicatatkan di kawasan terlibat yang berukuran 2.6 hingga 3.8 pada skala Ricther.

"Meskipun kawasan terlibat merupakan kawasan berisiko dilanda gempa namun kekerapan yang berlaku menghairankan kami," ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.

Justeru, menurut Mohd. Rohaidi, pihaknya akan memantau 24 jam sehari untuk melihat perkembangan semasa kemungkinan berlaku lagi gempa bumi di Tawau.

Menurut rekod, gempa paling kuat pernah dicatatkan di Sabah ialah di Lahad Datu pada tahun 1976 iaitu berukuran 5.8 pada skala Richter

0 Kaum pendatang digesa belajar budaya Jerman atau usaha wujudkan masyarakat majmuk gagal!

Jerman gagal wujud masyarakat majmuk

BERLIN 18 Okt. - Canselor Jerman, Angela Merkel mengakui usaha negara ini untuk mewujudkan sebuah masyarakat berbilang budaya telah gagal sama sekali.

Beliau menggesa kaum pendatang supaya mempelajari bahasa Jerman dan menerima nilai-nilai agama Kristian.

Merkel buat kali pertama menyuarakan pandangannya dalam perbahasan hangat yang dicetuskan oleh seorang anggota lembaga pengarah bank pusat baru-baru ini, yang mendakwa Jerman menjadi 'bertambah bodoh' disebabkan kemasukan pendatang Islam yang berpendidikan rendah dan tidak produktif.

"Multikulti (istilah Jerman bermaksud pelbagai budaya) iaitu konsep bahawa kita sekarang bahagia hidup di samping satu sama lain, sebenarnya tidak berjaya.

"Pendekatan itu telah gagal sama sekali," kata Merkel pada mesyuarat anggota muda parti Kesatuan Demokrat Kristian (CDU) pimpinan beliau di Potsdam, dekat Berlin, kelmarin.

Katanya, pendatang perlu berintegrasi dengan masyarakat majoriti dan menerima budaya serta nilai-nilai Jerman.

"Kita berasa terikat dengan nilai-nilai Kristian. Mereka yang tidak menerimanya tidak mempunyai tempat di negara ini," kata Canselor itu.

Tidak memadai untuk Jerman 'memberi subsidi kepada pendatang', sebaliknya negara ini berhak untuk membuat tuntutan ke atas mereka seperti menguasai bahasa Goethe (Jerman) dan meninggalkan amalan seperti kahwin paksa, ujar beliau.

Merkel berkata demikian seminggu selepas mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan apabila kedua-dua pemimpin berikrar untuk meningkatkan usaha bagi memperbaiki rekod integrasi 2.5 juta anggota masyarakat Turki di Jerman.

Presiden Turki, Abdullah Gul dalam wawancara hujung minggu turut menggesa masyarakat Turki yang tinggal di Jerman supaya menguasai bahasa Jerman. - AFP

Sunday, October 17, 2010

0 Kalau boleh kita hendak melahirkan masyarakat yang menguasai tiga bahasa

Kuasai bahasa Melayu, Inggeris

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, matlamat mewujudkan masyarakat yang boleh menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa adalah antara fokus baru yang akan diterapkan dalam sistem pendidikan negara.

Perdana Menteri berkata, bahasa kebangsaan adalah salah satu yang wajib dikuasai oleh pelajar dan mereka harus dapat bertutur dan menulis dalam bahasa itu dengan baik.

"Bahasa kebangsaan ini merupakan jati diri kita yang harus terus diperjuangkan dan saya juga mahu pelajar fasih dan mahir dalam bahasa Inggeris.

"Kalau boleh kita juga hendak melahirkan masyarakat yang menguasai tiga bahasa. Ini kerana menguasai pelbagai bahasa akan menambahkan daya saing kita dalam dunia yang semakin global ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri yang dihadiri 14,000 guru dari seluruh negara di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang pertama kali diadakan itu ialah timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang serta Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Tenaga kerja guru yang berjumlah 400,000 orang di seluruh negara adalah bilangan terbesar daripada keseluruhan 1.2 juta kakitangan kerajaan.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan turut mempunyai tiga fokus lain yang akan diterapkan dalam sistem pendidikan negara, termasuk membangunkan generasi muda yang mampu berfikir secara kreatif dan inovatif serta mempunyai bersifat ingin tahu yang tinggi.

"Fokus lain adalah bagi mengukuhkan bidang sains, matematik dan teknologi serta memberikan penekanan kepada pendidikan Islam dan moral bagi melahirkan generasi muda berakhlak mulia," ujarnya.

Sementara itu, Najib memberitahu, kehadiran beliau ke perhimpunan itu walaupun hanya selepas sehari membentangkan Bajet 2011 kerana menyedari guru berperanan besar dalam memastikan Malaysia mencapai sasaran menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi pada 2020.

"Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, saya telah cuba menyediakan bahan-bahan yang akan saya sampaikan pada perhimpunan kita pada malam tadi.

"Tetapi barangkali seperti mana kata Tan Sri Muhyiddin, setelah berminggu-minggu bekerja siang dan malam menyediakan belanjawan negara, malam tadi saya dalam keletihan, tak dapat hendak fikir apa yang patut saya sampaikan.

''Jadi pagi-pagi tadi saya terpaksa mencari masa untuk mendapatkan idea dan ilham mengenai apa yang saya patut sampaikan pada pagi ini," ujarnya.

0 8.8.8, 9.9.9, 10.10.10, keajaiban dalam 2500 kelahiran

Tarikh lahir ajaib




BARBARA dan Chad Soper bersama anak bongsu mereka Cearra, Cameron dan Chloe.


DETROIT - Dalam sebuah keluarga yang besar, agak sukar untuk seseorang ibu mengingati hari lahir setiap anggota keluarganya, lapor sebuah akhbar semalam

Namun, bagi Barbara Soper, 36 dan suaminya Chad Soper , 33, di negeri Michigan, Amerika Syarikat (AS), tugas itu mudah berbanding kebanyakan keluarga lain.

Masakan tidak, anak bongsu mereka, Cearra lahir pada 10/10/10 manakala tarikh lahir abangnya, Cameron jatuh pada 09/09/09 diikuti oleh kakaknya, Chloe yang dilahirkan pada 08/08/08.

"Chloe adalah nombor bertuah lapan, Cameron nombor bertuah sembilan dan Cearra pula nombor bertuah sepuluh," kata Barbara mengenai tarikh lahir mereka.

Menurutnya, dia dan suaminya tidak merancang kelahiran anak-anak mereka manakala seorang profesor di Universiti California, Philip Stark berkata, kebarangkalian perkara itu berlaku adalah 1 dalam 2,500 kelahiran. - Agensi

0 Idea kreatif serampang dua mata untuk membangunkan Kota Kinabalu

Cadang Bandaraya Kota Kinabalu dibahagi dua zon
KOTA KINABALU 16 Okt. - Kerajaan negeri dicadangkan supaya membahagikan Bandaraya Kota Kinabalu kepada dua zon agar pengurusan dan perkhidmatannya lebih praktikal selain dapat mengukuhkan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris berkata, pihaknya mencadangkan supaya Bandaraya Kota Kinabalu dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon Utara dan Selatan.

Katanya, Zon Utara akan melibatkan kawasan sekitar Kampung Likas sehingga ke Jalan Tuaran termasuk Telipok dan menghala ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu serta berakhir ke Teluk Gentisan, Sepanggar Kota Kinabalu.

Menurutnya, Zon Selatan pula akan merangkumi kawasan sekitar Luyang, Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA), Damai, Kolombong, Jalan Lintas ke Jalan Tuaran, serta berakhir di Jalan Likas.

"Selain memberi kelebihan kepada DBKK untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, rasional kepada pembahagian ini adalah untuk mengukuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.

Jumat yang juga Pengerusi Penyelaras BN Parlimen Sepanggar berkata, Zon Selatan secara majoritinya didiami kaum Cina, manakala Zon Utara terdiri daripada orang Melayu atau masyarakat bumiputera Islam dan bumiputera bukan Islam (Kadazandusun).

Menurutnya, masalah orang Melayu serta bumiputera Islam dan bukan Islam tidak sama dengan masalah masyarakat Cina yang tinggal dalam Skim Perumahan Mewah dan sederhana.

Sementara golongan bumiputera lebih ramai mendiami perkampungan tradisi, setinggan serta tinggal di kawasan perumahan rumah murah atau berada dalam Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

0 Hebat di gelanggang hebat beramal. Bagaimana kaum cina dididik sehingga sangat ringan tulang menderma?

Contohi Chong Wei

Oleh Aizawati Ahmad, ZAZALI JAMIAN dan ASLIZA MUSA
sukan@utusan.com.my




Rosmah Mansor (tengah) mengabadikan kenangan bersama sebahagian daripada pihak yang bermurah hati memberi sumbangan kepada Yakeb dalam program majlis perhimpunan Atlet 1Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.



KUALA LUMPUR - Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei bukan sahaja menjadi 'kesayangan' rakyat Malaysia kerana mengharumkan nama negara di pentas badminton antarabangsa, malah kerana sifatnya yang sangat pemurah.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui, pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu seorang yang amat prihatin dan mengambil berat terhadap insan yang kurang bernasib baik.

Sejak Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) ditubuhkan dua tahun lalu, Chong Wei adalah atlet yang paling banyak menyumbang. Lebih RM300,000 daripada ganjaran hadiah kemenangan yang diberi oleh penaja telah disalurkan kepada Yakeb untuk membela nasib atlet yang masih mewakili negara atau telah bersara.

Chong Wei sebelum ini juga pernah menderma kepada mangsa gemba bumi di wilayah Sinchuan, China sejurus memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2008.

Chong Wei ketika ditemui berkata, 50 peratus wang ganjaran kemenangan yang diberikan oleh penajanya, syarikat IRIS Corporation Berhad telah disalurkan kepada Yakeb setiap kali dia memenangi kejohanan yang disertainya.

''Adalah tanggungjawab saya untuk membantu atlet yang memerlukan sokongan dan bantuan.

''Sekarang saya yang membantu, siapa tahu apabila saya bersara satu hari kelak, mungkin saya pula memerlukan bantuan,'' katanya ketika ditemui pada majlis sambutan perayaan atlet 1Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung Yakeb turut hadir pada majlis tersebut.

Turut mengikuti sikap pemurah Chong Wei ialah rakan sepasukannya iaitu beregu No. 1 dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Yakeb, Datuk Paduka Dr. Mumtaz Jaffar menyeru atlet negara agar mencontohi sikap Chong Wei dan beregu negara yang sanggup berkongsi hadiah ganjaran kemenangan dengan insan yang memerlukan.

''Sikap Chong Wei ini wajar dicontohi.

"Dia membuktikan bahawa dia bukan sahaja seorang pemain yang hebat di gelanggang, malah turut mempunyai hati yang murni dengan melakukan amal kebajikan,'' kata Mumtaz.

0 Aplikasi percambahan minda dalam KIK/KMK untuk menyelesaikan masalah stadium kosong

Idea baru FAM
Oleh Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my
2010/10/16 DALAM usaha untuk memastikan setiap inci tempat duduk di semua stadium dapat diisi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil dengan idea baru - menukar hari pertandingan dan membenarkan skuad tuan rumah memilih sendiri waktu paling sesuai untuk perlawanan Liga Super dan Perdana dilangsungkan.

Harinya sudah dianjak berbanding musim-musim sebelumnya dan waktu perlawanan ialah sama ada petang atau malam - itulah keputusan yang diambil FAM menerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) yang bermesyuarat lebih tiga jam di ibu pejabat badan induk kebangsaan itu semalam.

Skuad Liga Super akan beraksi pada hari Isnin dan Jumaat manakala Liga Perdana pula Rabu dan Ahad. Kalau di sebelah petang, waktunya ialah 4.15 (Sabah dan Sarawak) dan 5 petang (Semenanjung) dan jika tuan rumah memilih sebelah malam, waktunya ialah 8 malam (Sabah dan Sarawak) serta 8.45 malam (Semenanjung).


Keputusan itu dibuat selepas JKPT sedar kemampuan beberapa persatuan bola sepak (FA) negeri begitu terhad dan penggunaan lampu limpah akan menelan kos yang tinggi selain tidak lagi mahu bertembung dengan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).


“Kalau FA negeri merasakan bahawa mengadakan perlawanan di sebelah petang memungkinkan mereka untuk menarik lebih ramai penonton, kami akan benarkan mereka mengadakan perlawanan di sebelah petang dan begitulah sebaliknya. Tiada sebarang unsur paksaan. Mereka berhak memilih sendiri waktu masing-masing.


“Bagaimanapun, semua pasukan Liga Super dan Perdana perlu memaklumkan kepada kami waktu yang menjadi pilihan mereka. Selepas membuat pilihan, waktu itu tidak lagi boleh ditukar,” kata Pengerusi JKPT, Datuk Hamidin Mohd Amin.


Beliau yang juga salah seorang Naib Presiden FAM itu berharap eksperimen terbaru yang diilhamkan ketika sesi percambahan minda baru-baru ini mampu mengubah senario bola sepak negara.


Bagi memastikan Liga-M musim depan dapat berjalan dengan lancar, Hamidin turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemantau yang akan menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh terhadap semua venue pertandingan.


Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan diketuai Timbalannya, Datuk Affendi Hamzah dan sesi pemeriksaan itu akan mula dilakukan mulai bulan depan.

0 Jika anda orang terkaya di dunia / Malaysia, bagaimana rumah idaman anda?

Rumah baru Ambani 27 tingkat


2010/10/16
MUMBAI: Lelaki terkaya di India, Mukesh Ambani sudah berpindah ke kediaman barunya setinggi 27 tingkat di Mumbai yang berharga £630 juta (RM3,150 juta).


BANGUNAN Antilia berdiri megah di bandaraya Mumbai. Ambani, isteri dan tiga anaknya berpindah ke bangunan yang bernama Antilia, diambil sempena nama pulau khayalan. Ia mengandungi kelab kesihatan dilengkapi gimnasium, sekurang-kurangnya satu studio menari, dewan, beberapa bilik tetamu dan beberapa ruang istirahat serta panggung wayang 50 tempat duduk. Malah, terdapat taman tergantung dengan binaan siling untuk ditanam pokok kecil.

Bumbung bangunan dilengkapi tiga landasan pendaratan helikopter dan terdapat parkir bawah tanah yang memuatkan 160 kereta bagi kemudahan tetamu Ambani menghadiri parti rumah barunya.


Dari tingkat atas bangunan setinggi 173 meter itu dapat dilihat pemandangan indah bandaraya Mumbai dan Laut Arab.


Taikun berusia 53 tahun itu bukan saja lelaki paling kaya di India tetapi juga yang keempat terkaya di dunia. Secara keseluruhannya, dilaporkan terdapat 37,000 meter persegi ruang yang lebih luas daripada Istana Versailles.


Ia memerlukan 600 kakitangan untuk urusan penyelenggaraan.


Menurut majalah Forbes, Ambani memiliki industri minyak, peruncitan dan bioteknologi yang dianggarkan bernilai £18 bilion (RM90 bilion). Dahulu beliau membantu menguruskan perniagaan sebelum berselisih faham dengan adiknya. Kaca, keluli dan jubin yang digunakan untuk membina bangunan itu dikatakan diperolehi daripada sumber tempatan. Ambani tidak terpengaruh dengan seruan Perdana Menteri India, Manmohan Singh supaya pemimpin perniagaan menjadi model kesederhanaan’. - Agensi

0 Menderma organ? Kaum majoriti takut menderma atau tidak tahu prosedur atau kekangan agama?

Mencari penderma kaum Melayu

Oleh ZAMRI RAMBLI
zamri.rambli@kosmo.com.my






"HELLO Encik Jamal, you nak buah pinggang tak, ada orang nak derma." Demikian bunyi suara seorang lelaki di hujung corong telefon yang mendakwa doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Panggilan telefon itu menyebabkan Jamal Jamlus, 45, terfikir lelaki itu seolah-olah membuat tawaran jualan barangan murah, tetapi pada masa yang sama hatinya berdebar dan fikiran berkecamuk.

Menurut Jamal, oleh kerana sudah terbiasa menjalani rawatan dialisis, dia merasakan mungkin lebih baik hidupnya terus begitu. Dia juga tertanya-tanya adakah dia dapat hidup seperti biasa selepas mendapat organ baru.

"Sejak didiagnosis menghidap penyakit buah pinggang pada tahun 1997, bayangkan selama 10 tahun saya menjalani dialisis tiga kali seminggu.

"Bahkan, selama tempoh itu jugalah saya menunggu penderma buah pinggang sehingga hampir pernah berputus asa," ujar Jamal yang bekerja sebagai Koordinator Projek di Berjaya Roasters, Kuala Lumpur itu ketika ditemui baru-baru ini.

Namun, ketika perasaannya berbelah bahagi, Jamal menguatkan semangat bergegas ke Pusat Sumber Pemindahan Organ Kebangsaan HKL pada malam dia menerima panggilan telefon itu.

Keesokan hari, seawal pukul 6 pagi, Jamal sudah menjalani pemeriksaan kesihatan. Dia masuk ke bilik bedah tiga jam kemudian.

Pembedahan transplan perlu dilakukan seberapa segera untuk mengelakkan buah pinggang penderma kadaverik (penderma meninggal dunia) itu rosak.

Melihat air kencing

"Selepas tujuh jam menjalani pembedahan, saya tidak tahu sama ada saya sudah dapat buah pinggang baru atau tidak, sebab saya tidak rasa apa-apa perbezaan. Ketika itu cuma saya terasa sakit kerana kesan luka pembedahan.

"Sehinggalah apabila tiba-tiba saya terasa hendak terkencing. Selama 10 tahun, saya tidak pernah melihat air kencing saya sehinggalah pada hari itu. Ketika itulah saya percaya di dalam badan saya sudah ada buah pinggang baru," ujar Jamal yang tidak pernah mengenali penderma kadaverik itu kecuali sedikit latar belakangnya.

Berkongsi kisah selepas empat tahun hidup dengan buah pinggang baru, akui Jamal, banyak perubahan yang berlaku dalam hidupnya.

Dahulu, pusat dialisis menjadi rumah keduanya. Hari ini dia tidak perlu lagi menjadi pengunjung setia pusat tersebut. Sebelum ini, atas ihsan syarikat, dia menerima gaji mengikut jam dia bekerja kerana kerap sakit, sebaliknya pada masa kini dia boleh bekerja sepenuh masa.

Dahulu, dia sukar berjalan jauh kerana kesukaran menjalani rawatan dialisis, hari ini Jamal sudah pergi bercuti di dalam dan luar negara.

"Hidup saya lebih bebas dan tidak perlu terikat atau tergesa-gesa untuk menjalani dialisis. Cuma saya perlu mengambil sejenis ubat immunosuppressant sebanyak 14 biji sehari supaya tubuh saya boleh menerima organ baru ini," ujarnya yang kini menetap di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.

Bakal memasuki tahun kelima menerima jantung baru pada bulan Disember ini, Muhammad Fikri Nor Azmi, 20, sememangnya satu nama yang cukup dikenali dalam catatan sejarah transplan negara.

Pesakit jantung pertama di Asia yang menerima jantung mekanikal itu sebelum ini hanya memikirkan kematian kerana penyakit yang dihidapnya membolehkan dia bertahan kurang daripada 15 tahun. Fikri menghidap radang jantung atau miokarditis ketika umurnya 7 tahun. Lima tahun kemudian, keadaan jantungnya menjadi lebih teruk apabila jantungnya mengalami bengkak yang teruk dan gagal mengepam darah atau lebih dikenali dilated cardimyopathy.

"Setiap hari saya terfikir adakah hari ini aku akan dapat jantung baru? Tetapi apabila lebih setahun setengah menunggu dan keadaan saya semakin kritikal saya tidak menaruh harapan," luah Muhammad Fikri yang hanya ke sekolah sebanyak lima hari pada tahun 2005.




JAMAL mendapat peluang kedua untuk hidup apabila seorang penderma berketurunan Cina mendermakan ginjalnya.



Dalam tempoh kritikal itu, doktor memaklumkan bahawa Muhammad Fikri atau lebih mesra dengan panggilan Fikri bakal mendapat jantung baru.

Boleh berdikari

"Ketika dimaklum dan disahkan oleh doktor mengenai pembedahan transplan yang akan dilakukan hanya satu yang terlintas di fikiran saya, Apakah yang berlaku kepada saya selepas ini?' tutur Fikri mengimbau kenangan lama menghabiskan lebih banyak masa di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur berbanding di rumah sendiri.

Lima tahun berlalu dan persoalan yang bermain di fikiran Fikri sudah pun terjawab. Jika dahulu Fikri tidak meletakkan harapan tinggi dalam akademik, tetapi baru-baru ini dia baru sahaja menamatkan pengajian A-Level di Kolej Brickfields Asia. Dia dalam perancangan melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi.

Menurut Fikri, sebelum mendapat jantung baru, dia tidak boleh keluar bersendirian kerana mudah penat dan risiko pengsan. Selepas mendapat jantung baru, hari ini dia lebih berdikari dan menaiki komuter atau LRT seorang diri.

Ketika usianya 15 tahun dia dibayangi kemungkinan berdepan dengan kematian jika jantungnya berhenti berdegup.

"Selepas pembedahan, saya dapat memaksimumkan fungsi tubuh. Antaranya, saya boleh ke sekolah, berjalan seorang diri tanpa ditemani sesiapa dan bersukan seperti bermain bola keranjang tanpa masalah biarpun selama sejam setengah di gelanggang.

"Malah, jika dulu saya hanya mendengar mengenai kemeriahan membeli-belah di Jalan Masjid India, hari ini saya berpeluang menjejakkan kaki ke sana. Di situ orang sangat ramai, saya rasa lebih penat dan letih membeli-belah berbanding bermain bola keranjang," seloroh Fikri dalam pertemuan bersama Kosmo! di The Loaf, Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tiada penderma Melayu

Baik Jamal atau Fikri mereka berkongsi satu persamaan. Kedua-duanya menerima organ daripada penderma bukan Melayu. Jamal menerima ginjal daripada seorang belia Cina, manakala Fikri pula daripada seorang belia India.

Walaupun menjadi kelompok masyarakat majoriti, bahkan antara kaum yang paling ramai dalam senarai pesakit menunggu menerima organ, tetapi kebanyakan penderma kadaverik di Malaysia bukanlah terdiri daripada golongan Melayu.

Bayangkan tahun ini sahaja, sehingga September lalu tidak ada seorang pun penderma kadaverik (penderma yang meninggal dunia) berketurunan Melayu tampil untuk menderma. Ternyata ia satu senario yang sangat menyedihkan sehingga akhirnya menjadikan orang Melayu sendiri bagikan 'menagih' organ daripada orang bukan Islam di negara ini.

Di sebalik jawapan stereotaip seperti takut menderma, kekangan agama dan tidak tahu prosedur pendermaan organ antara sebab ramai yang enggan mendaftar sebagai penderma organ. Tetapi apabila pesakit tersebut adalah salah seorang daripada keluarga anda, perasaan takut itu akan hilang.




FATIMAH Osman (kanan) sentiasa di sisi anaknya, Fikri semasa anak keduanya itu masih dirawat di IJN lima tahun lalu.



Kemudian anda berusaha mendalami ilmu pendermaan organ dan akhirnya anda tidak kisah jika ahli keluarga anda menerima organ daripada sesiapa pun walaupun pernah memandang skeptikal untuk menderma organ kepada pesakit berbeza kaum.

Menyentuh mengenai isu agama, Pegawai Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Abu Bakar Yang menjelaskan, fatwa mengenai hukum menderma organ dibuat sejak tahun 1970.

Bagaimanapun, kegagalan orang Melayu menyahut seruan membantu insan lain katanya, disebabkan beberapa faktor. Antaranya termasuk kurang pendedahan, suka memendam hasrat dan kekangan waris.

Tidak menyeksa si mati

"Ramai yang kurang terdedah dengan pendermaan organ sehingga akhirnya wujud pelbagai persepsi. Ditambah pula dengan sikap orang Melayu yang tidak suka meluahkan hasratnya walaupun untuk kebaikan. Apabila mereka meninggal dunia, keinginan menderma organ tidak dapat ditunaikan.

"Apabila hasrat itu tidak dibincang dengan keluarga, mereka tidak membenarkan organ si mati didermakan kepada orang lain," kongsi Abu Bakar yang mewakili IKIM dalam Jawatankuasa Kempen Kesedaran Menderma Organ.

Apakah hukum menderma organ kepada orang bukan Islam? Terang Abu Bakar, tidak ada istilah organ Islam atau organ bukan Islam. Agama bukan terletak kepada organ tetapi pegangan akidah.

"Analoginya begini, jika seseorang itu menjual pisau, niatnya hanya untuk berniaga. Tetapi apabila pisau itu digunakan untuk melakukan jenayah, tanggungjawab itu bukan dijatuhkan kepadanya. Begitulah juga dengan menderma organ, tanggungjawab kita selesai apabila kita menderma organ dengan niat ikhlas tanpa melanggar syarat seperti tidak ada unsur jual beli," katanya.

Tambah Abu Bakar yang bertugas di Pusat Kajian Teknologi dan Alam Sekitar IKIM, kepercayaan bahawa menderma organ si mati sebagai menyeksa mereka adalah tidak tepat.

"Kita dibangunkan nanti di Padang Mahsyar bukanlah berdasarkan kesempurnaan tubuh badan tetapi yang dihitung adalah amalan kita di dunia," katanya ketika dihubungi.

0 Rajin mencari maklumat, sains, matematik dan teknologi, menguasai bahasa kebangsaan dan penekanan nilai dalam pendidikan

4 perkara untuk laksanakan sistem pendidikan negara
16/10/2010 4:43pm


KUALA LUMPUR 16 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan empat perkara yang perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan sistem pendidikan negara, termasuk membangunkan intelek di kalangan generasi baru yang boleh berfikir secara kreatif dan inovatif.

Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu memupuk generasi baru yang sangat tinggi daya ingin tahu kerana ini membuka ruang buat mereka untuk mencari maklumat.

"Kalau seseorang itu punyai daya ingin tahu tinggi, dia akan rajin baca buku, akan rajin cari sumber maklumat. Dia akan merupakan seorang individu yang akan sentiasa mahu meningkatkan pengetahuan sepanjang hayatnya,” katanya pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Semasa menggariskan perkara kedua, beliau berkata, untuk mencapai status negara maju pada 2020, pengajaran dan pembelajaran sains, matematik dan teknologi perlu diperkukuhkan kerana ini merupakan bidang yang rakyat Malaysia mesti memiliki kekuatan.

Menyentuh perkara ketiga, Najib berkata, beliau ingin melihat masyarakat menjurus ke arah masyarakat bilingual yang dapat bertutur dan menguasai bahasa kebangsaan dengan baik kerana ia jati diri yang harus diperjuangkan selain menguasai kefasihan Bahasa Inggeris.

Najib berkata, perkara keempat melibatkan penekanan kepada nilai dalam pendidikan untuk mendidik anak bangsa supaya tidak mudah menyongsang daripada segi perilaku dan tindakan yang boleh merosakkan kepentingan masyarakat. – Bernama

Saturday, October 16, 2010

0 Teks ucapan penuh Menteri Kewangan / PM sempena pembentangan bajet 2011 pada 15 Oktober 2010

Sedutan ucapan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, semalam


2010/10/16
Perubahan ke arah negara maju berpendapatan tinggi: Bajet liputi segala aspek kesejahteraan rakyat

SAYA mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk 'Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2011 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu' dibaca bagi kali kedua. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, firmannya: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yakni kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari kenikmatan duniawi dan berbuat baiklah kepada orang lain seperti Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi”. - (Surah Al-Qasas, ayat 77)
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan segala kepujian dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala yang telah mengizinkan saya, membentangkan Bajet Negara bagi 2011. Sesungguhnya, ini bukan bajet yang lazim. Bajet ini amat bermakna sebagai helaian pembuka tirai kepada pusingan akhir ke arah Wawasan 2020 yang bakal menjelang kira-kira 3,365 hari atau 9 tahun 2 bulan dan 17 hari lagi.

Justeru, pada petang Jumaat yang mulia ini, penghulu segala hari, saya akan meletak bata-bata pengmuktamad serta memahat paku-paku pelengkap sekali gus menaikkan layar Bahtera Malaysia menuju ufuk negara maju. Hakikatnya, sejak 18 bulan lalu kerajaan telah mempersiapsiagakan ceracak yang kukuh sebagai asas lonjakan seterusnya kepada perjalanan Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Sesungguhnya, bajet ini digubal dengan penuh keazaman untuk mendokong perubahan besar kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat. Proses transformasi ini dilaksanakan secara holistik meliputi aspek ekonomi, sosial dan politik.
Bajet 2011 mendakap semangat dan realiti pentadbiran terkini yang mengangkat Konsep 1Malaysia sebagai falsafah induk yang memandu hala tuju negara. Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan Pelan Transformasi Ekonomi yakni ETP pula menjadi Peta Panduan. Enam NKRA, Model Baru Ekonomi dengan lapan terasnya pula membentuk Kerangka Kerja kepada arah tuju tersebut. Seterusnya, perinciannya sedang dan akan diterjemah melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan Rancangan Malaysia Kesebelas.

Sememangnya, seperti yang saya sering utarakan, era kerajaan tahu segalanya sudahpun berakhir. Lantaran, dalam menggubal bajet ini, kerajaan telah merundingi dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terdiri daripada sektor awam, sektor swasta, focus group, sumbangan media massa, cadangan blog 1Malaysia serta sesi makmal.

Dengan demikian, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Inilah kekuatan 1Malaysia, inilah berkat gabungan percambahan idea dan gandingan usaha gigih yang telah dicurahkan. Hati kuman sama dicicah, hati gajah sama dilapah.

Insya-Allah saya yakin kita akan dapat menangani pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapi. Bahkan, lebih daripada itu, bersama-sama kita pasti mampu keluar dari perangkap ekonomi berpendapatan sederhana serta melonjak ke tahap pembangunan yang jauh lebih tinggi.

Alhamdulillah, negara kita berjaya pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia berikutan daripada langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan dan pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM67 bilion. Kejayaan langkah ini, terbukti dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang pada 9.5 peratus bagi tempoh separuh pertama 2010, berbanding -5 peratus bagi tempoh sama tahun lalu. Prestasi ekonomi dunia, turut dijangka kembali pulih pada kadar 4.8 peratus berbanding -0.6 peratus pada 2009. Begitu juga dengan perdagangan antarabangsa, berkembang 11.4 peratus berbanding -11 peratus pada 2009.

Sementara di peringkat domestik, penunjuk utama turut mempamerkan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh. Indeks Komposit Bursa Malaysia pula melonjak kepada 1,496 mata pada 14 Oktober 2010, antara tertinggi sejak Februari 2008. Hasil eksport juga memberangsangkan bagi tempoh lapan bulan pertama 2010, ia meningkat sebanyak 22 peratus dan import 28 peratus, khususnya, import barangan modal meningkat sebanyak 18 peratus.

Swasta perlu jadi penjana utama pertumbuhan

Kedudukan ringgit pula, semakin kukuh dengan kadar pertukaran bagi sedolar Amerika mencecah 3.0833 pada 14 Oktober 2010. Peningkatan 11 peratus sejak 31 Disember 2009, menjadikan ringgit antara mata wang yang paling teguh di rantau ini. Rizab antarabangsa negara kekal padu, berjumlah RM310.8 bilion atau AS$100.7 bilion pada 30 September 2010. Ia mampu membiayai 8.5 bulan import tertangguh dan 4.3 kali lebih tinggi daripada hutang luar jangka pendek negara.

Dengan perkembangan positif ini, kerajaan telah menyemak semula kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi 2010 kepada 7 peratus, berbanding 6 peratus sebelum ini. Ia, jauh lebih tinggi berbanding -1.7 peratus pada 2009. Prestasi memberangsangkan ini, akan diupaya oleh peningkatan pengeluaran sektor pembuatan yang berkembang pada 10.8 peratus, perkhidmatan 6.5 peratus dan pembinaan 4.9 peratus, manakala perbelanjaan pelaburan dan penggunaan swasta, masing-masing 15.2 peratus dan 6.7 peratus serta eksport 11.6 peratus.

Bagi 2011, pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia dijangka sederhana sebanyak 4.2 peratus dan 7 peratus. Selaras dengan itu, pertumbuhan ekonomi negara dijangka meningkat pada kadar 5 hingga 6 peratus. Walau bagaimanapun, kerajaan akan berusaha sedaya mungkin, untuk mencapai pertumbuhan 6 peratus. Pertumbuhan ini akan didorong oleh pelaburan swasta sebanyak 10.2 peratus, penggunaan swasta 6.3 peratus dan eksport 6.7 peratus. Sektor pembuatan pula kekal menerajui pertumbuhan, berkembang 6.7 peratus dan perkhidmatan 5.3 peratus.

Pendapatan perkapita bertambah 6.1 peratus kepada RM28,000. Pendapatan perkapita mengikut kuasa beli pariti meningkat kepada AS$16,000 . Unjuran ini mengambil kira paras inflasi yang sederhana pada 2 hingga 3 peratus dan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.5 peratus.

Tuan Yang di-Pertua,

Menyongsong strategi Bajet 2011 demi mencapai status negara maju yang diaspirasikan, kita tidak boleh lagi terpenjara dengan kelaziman. Kita mesti menerjang keluar dari belenggu pemikiran dan cara kerja yang biasa. Pucuk pangkalnya, kejayaan menuntut kepada perubahan dan pembaharuan. Ia tidak boleh lagi berdikit-dikit tetapi menghambat lonjakan mega. Ternyata, apa yang dihadapkan kepada kita sangat jelas. Perubahan bukan lagi satu opsyen. Ia satu imperatif. Berubah atau kita akan ketinggalan.

Hatta, tawarikh menyaksikan, kita sudah melakukan perubahan dan pembaharuan, kita berjaya mentransformasikan Malaysia daripada negara pertanian hingga menjadi antara negara pengeksport terbesar di dunia. Dari itu, cabaran generasi kepemimpinan hari ini adalah untuk membuat lonjakan seterusnya. Ia bukanlah satu kemustahilan. Dengan perancangan yang rapi seperti ini dan strategi yang jelas, mudah-mudahan kita akan berjaya.

Dalam pada itu, pola perdagangan luar semakin mencabar, manakala saingan menarik modal antarabangsa kian sengit. Tambahan lagi, persekitaran ekonomi global kini, pantas bertukar. Dalam keadaan ini, sektor swasta perlu menyahut cabaran untuk menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik, kreatif dan inovatif. Mereka perlu lebih berani mengambil risiko, dan berani, merebut peluang yang ada. Yang pentingnya, Kerajaan akan menyediakan ekosistem yang terbaik bagi memastikan perkara ini boleh diterjemahkan.

Justeru, bajet ini akan memberi tumpuan kepada usaha mentransformasi Malaysia, menjadi negara maju berpendapatan tinggi, berpembangunan inklusif dengan pertumbuhan mapan diterajui sektor swasta serta mendahulukan kesejahteraan rakyat. Bertemakan “Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi”, Bajet 2011, ini akan menumpu kepada empat strategi utama berikut:

Pertama: Mendaya Kembali Pelaburan Swasta;

Kedua: Membangunkan Modal Insan;

Ketiga: Mensejahterakan Hidup Rakyat; dan

Keempat: Memantapkan Penyampaian Perkhidmatan Awam

Strategi pertama adalah mendaya kembali pelaburan swasta. Hari ini, kita dapati Kerajaan memainkan peranan yang signifikan dalam menjana ekonomi negara. Corak pertumbuhan ini berlaku ekoran krisis kewangan 1997/1998. Sudah tiba masanya sektor swasta kembali bertindak sebagai enjin pertumbuhan seperti mana prakegawatan. Sehubungan itu, kerajaan telah membuat pengumuman dan percaturan supaya RMKe-10 yang bermula pada 2011 mengetengahkan lagi peranan sektor swasta. Pada 2011, kerajaan menganggarkan jumlah nilai semasa pelaburan swasta akan berkembang 12.5 peratus kepada sebanyak RM86 bilion. Di samping itu, pelaksanaan 12 National Key Economic Area (NKEA) dijangka menjana pelaburan bernilai lebih RM1.3 trilion atau AS$444 bilion dan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan sepanjang tempoh pelaksanaannya. Daripada jumlah ini, 92 peratus akan dibiayai oleh sektor swasta dan bakinya oleh kerajaan.

Dalam konteks ini, kerajaan akan mempergiatkan lagi inisiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta atau PPP bertujuan meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam kegiatan ekonomi. Pelaksanaan projek PPP dengan peruntukan kerajaan disediakan sebagai tipping point untuk membangunkan infrastruktur sokongan bagi membolehkan projek yang diterajui sektor swasta menjadi lebih berdaya maju. Sehubungan itu, beberapa projek PPP telah dikenal pasti dalam RMKe-10 akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan dengan kos pelaburan swasta RM12.5 bilion. Kerajaan pula akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada Dana Mudahcara. Antara projek PPP yang terbabit adalah:

Pertama: Pembinaan Lebuhraya seperti Lebuhraya Bertingkat Ampang-Cheras-Pandan, Lebuhraya Guthrie-Damansara, Lebuhraya Damansara-Petaling Jaya, Lebuhraya Pantai Barat Banting-Taiping, Lebuhraya Sungai Dua-Juru dan Lebuhraya Paroi-Senawang-KLIA;

Kedua: Pembinaan Loji Janakuasa Kitar Padu Gas 300 mega watt di Kimanis, Sabah bagi menambah kapasiti bekalan elektrik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat; dan

Ketiga: Projek pembangunan kesihatan seperti Hospital Pengajian Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia di Kuantan, Pahang, Hospital Wanita dan Kanak-kanak serta Kompleks Institut Penyelidikan Kesihatan Bersepadu, di Kuala Lumpur.

Sebuah lagi projek PPP yang dikenal pasti ialah Academic Medical Centre. Projek ini adalah usaha sama antara Academic Medical Centre Sdn. Bhd. dengan Johns Hopkins Medicine International dan Royal College of Surgeons Ireland. Projek ini membabitkan pelaburan swasta sebanyak RM2 bilion.

Tuan Yang di-Pertua,

Mutakhir ini, kita telah mula menyaksikan kembalinya peranan sektor swasta dalam ekonomi melalui beberapa projek strategik berimpak tinggi. Contohnya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan kerjasama Mubadala Development Company (Mubadala), syarikat pelaburan Kerajaan Abu Dhabi telah bersetuju membangunkan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) bermula tahun hadapan dengan nilai anggaran sebanyak RM26 bilion. KLIFD akan menempatkan secara bersepadu, bank utama antarabangsa dan firma perkhidmatan kewangan profesional termasuklah pakar syariah. Apa yang mustahak adalah, pembangunan strategik sebegini akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam terulung di dunia. Kerajaan bersedia untuk menimbangkan pakej insentif yang menarik sebagai galakan untuk mereka yang melabur di KLIFD kelak.

Seterusnya, transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL (Lembah Klang) akan dilaksanakan mulai tahun hadapan. Projek ini dengan anggaran kos pelaburan swasta kira-kira RM40 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 akan menambah kadar kepenggunaan pengangkutan awam sekurang-kurangnya 40 peratus. Projek MRT dijangka menyediakan pengangkutan awam yang efisien dan selesa serta pengguna dapat menuju ke destinasi dengan pantas. Sistem MRT ini juga akan memperhebatkan jaringan hubungan di Lembah Klang dan diintegrasikan dengan mod pengangkutan yang lain seperti bas dan teksi.

Sebuah lagi projek utama yang akan dilaksanakan adalah pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh seluas 2,680 ekar. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan pembangunan bercampur membabitkan kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana. Keseluruhan pembangunan ini, dianggarkan bernilai RM10 bilion, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.

Di sudut yang lain, kita berasa sungguh berbangga, bahawa, ke mana saja kita pergi, semua orang mengetahui mengenai Menara Berkembar Petronas yang menjadi ikon negara. Ia adalah satu monumen kepada semangat Malaysia Boleh. Hakikatnya, kekuatan negara adalah adunan dan bauran sejarah kelmarin dan harapan hari esok. Jadi, sebagai satu lagi mercu tanda kebanggaan negara menjelang 2020, Permodalan Nasional Berhad akan mula membangunkan projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka. Ia akan mengekalkan Stadium Merdeka, Stadium Negara dan pembinaan sebuah menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia. Keseluruhan projek ini bernilai RM5 bilion, di mana, menaranya dijangka akan siap pada 2015.

Bagi menyokong dasar liberalisasi kewangan negara, Kerajaan akan terus berusaha mencergaskan lagi pasaran modal domestik dengan mengambil langkah berani, terutama mempelbagaikan produk pelaburan, meliberalisasi syarat pegangan ekuiti dan had pelaburan, menyediakan insentif yang lebih menarik serta meningkatkan kerjasama dengan bursa asing. Oleh itu, langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan mengurangkan pegangan saham dalam syarikat utama di Bursa Malaysia untuk meningkatkan kecairan dan halaju dagangan pasaran;

Kedua: GLIC akan dibenar meningkatkan pelaburan di luar negara bagi menerokai peluang pulangan pelaburan yang lebih baik. Sebagai contoh, KWSP yang mempunyai pelaburan antarabangsa sebanyak 7 peratus, akan ditingkatkan sehingga 20 peratus daripada jumlah aset diuruskan;

Ketiga: Penyenaraian anak syarikat Petronas dan MISC, iaitu Petronas Chemical Sendirian Berhad dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad akan menawarkan pegangan awam yang lebih tinggi pada tahun ini;

Keempat: Bursa Malaysia akan melancarkan sukuk dan bon konvensional untuk memenuhi permintaan pelabur runcit terhadap pelaburan pendapatan tetap untuk meningkatkan kerancakan pasaran bon;

Kelima: Suruhanjaya Sekuriti akan menawarkan tiga lesen syarikat broker saham baru kepada syarikat tempatan, asing atau usaha sama yang layak, untuk meningkatkan penyertaan pasaran runcit;

Keenam: Suruhanjaya Sekuriti akan menambahkan bilangan Proprietary Day Traders yang beroperasi di pasaran; dan

Ketujuh: Suruhanjaya Sekuriti juga akan mempermudahkan proses dan prosedur penyenaraian syarikat dan produk, terutamanya Dana Dagangan Bursa.

RM850 juta percepat pembangunan koridor, wilayah

Dalam nafas yang sama, pasaran modal Islam akan terus diunggulkan. Untuk tujuan ini, Bursa Malaysia akan membangunkan international board bagi membolehkan penyenaraian saham asing, termasuk produk patuh syariah.

Makanya, bagi terus menggalakkan inovasi dalam produk sekuriti Islam, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sekuriti Islam yang menggunakan prinsip Murabahah dan Bai Bi-thaman Ajil berasaskan tawarruq diberi potongan cukai. Ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran sukuk utama dan mempromosi transaksi dalam Bursa Suq al-Sila, satu platform perniagaan komoditi patuh Syariah, yang pertama seumpamanya di dunia. Kerajaan juga mencadangkan sumbangan takaful bagi kredit eksport diberi potongan cukai dua kali.

Tuan Yang di-Pertua,

Dalam menggalakkan lagi inovasi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, modal teroka memainkan peranan penting terutama dalam sektor berteknologi tinggi seperti ICT, bioteknologi dan industri kreatif. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan Latihan Peningkatan Keusahawanan kepada 500 bakal teknopreneur dan menarik lebih ramai ‘angel investors’, kedua-duanya akan dikendalikan oleh Cradle Fund, sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan. Manakala, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) pula akan diberi Dana Permulaan Perniagaan berjumlah 100 juta ringgit untuk memberi pembiayaan mudah dengan bayaran balik setelah syarikat menjana pendapatan. MTDC juga akan menganjurkan International Venture Capital Symposium pada tahun hadapan untuk memadan pemodal teroka asing dan tempatan bagi merancakkan lagi industri berteknologi tinggi.

Melangkah ke hadapan, sebagai penyertaan yang lebih bermakna dan mapan oleh golongan Bumiputera pula, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan memberi peluang kepada pemilikan Bumiputera dalam sektor hartanah komersial utama di bandar utama dalam negara. Bumiputera dapat melanggan dalam tabung pemilikan hartanah komersial kelas utama di Lembah Klang melalui skim pemilikan berkelompok. Untuk ini, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera pada tahun ini dengan saiz bernilai RM1 bilion dan patuh syariah.

Untuk merancakkan lagi aktiviti pasaran modal, saya ingin mengumumkan kerajaan akan melancarkan Dana Pencen Swasta pada 2011. Dana ini akan memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri. Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada KWSP diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada Dana Pencen Swasta termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri. Majikan juga akan diberi potongan cukai ke atas caruman yang dibuat bagi pihak pekerjanya. Ini akan memberikan pilihan kepada rakyat bagi melabur untuk hari tua mereka.

Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) adalah penyumbang terbesar hasil eksport negara iaitu sebanyak 41 peratus atau RM228 bilion pada 2009. Namun begitu, industri E&E kita lebih tertumpu kepada aktiviti pemasangan. Kita sepatutnya menggunakan kelebihan pengalaman untuk mewujudkan syarikat E&E tempatan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Oleh itu, sebanyak RM857 juta akan disediakan bagi syarikat tempatan yang melabur dalam aktiviti E&E bernilai tambah tinggi, terutama di Pulau Pinang dan Kulim High-Tech Park di Kedah.

Selain itu, industri minyak, gas dan tenaga adalah antara penyumbang utama kepada pendapatan ekonomi negara. Pada 2009, industri ini menyumbang 10.2 peratus kepada KDNK dengan pendapatan eksport bernilai RM56 bilion. Oleh kerana industri ini mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi terutama aktiviti hiliran, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM146 juta untuk sektor ini. Penubuhan Pusat Perkhidmatan dan Peralatan Minyak utama rantau Asia di Johor pula, membabitkan pelaburan swasta sebanyak RM6 bilion dalam tempoh 10 tahun. Bagi mengatasi kekangan bekalan gas pula, Petronas akan melaksanakan projek ‘regasification’ dengan kos pelaburan RM3 bilion di Melaka yang dijangka mula beroperasi pada 2012.

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan komited untuk memajukan teknologi hijau bagi menjamin kelestarian pembangunan negara. Sehubungan itu, kerajaan terus menyediakan beberapa insentif:

Pertama: Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan bagi aktiviti penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2015;

Kedua: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2012;

Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan daripada perdagangan sijil Certified Emission Reductions (CERs) dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2012; dan

Keempat: Pengecualian duti import sepenuhnya dan duti eksais 50 peratus telah diberi kepada pemegang francais kereta hibrid sehingga 31 Disember 2010. Bagi terus menggalakkan pemilikan kereta hibrid, pengecualian duti import dan duti eksais ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2011 dan sebagai galakan tambahan, duti eksais diberi pengecualian sepenuhnya. Galakan ini juga diperluaskan kepada kereta elektrik serta motosikal hibrid dan elektrik.

Malaysia juga komited, mengurangkan pengeluaran karbon intensiti bagi memulihara alam sekitar. Atas maksud ini, Kerajaan akan melaksanakan antara lain, Program Adunan Biobahan Api dengan Diesel Petroleum (Program B5) secara mandatori bermula di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada Jun 2011. Kerajaan juga akan melaksanakan mekanisme Feed in Tariff, (FiT) di bawah Akta Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) bagi membenarkan tenaga elektrik daripada sumber RE oleh pemaju bebas dan individu dijual kepada syarikat utiliti bekalan elektrik.

Dalam menyuburkan sektor pertanian, kerajaan memperuntukkan RM3.8 bilion bagi 2011 supaya menjadi lebih produktif dan menjana pulangan lumayan. Antara tindakan yang akan diambil adalah:

Pertama: Membangunkan Zon Akuakultur Bersepadu dengan skala besar, di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak yang menepati piawaian serta menghasilkan produk berkualiti dengan peruntukan RM252 juta;

Kedua: Sejumlah RM235 juta disediakan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Muda yakni MADA, Kedah dan kawasan lain dengan menaik taraf sistem pengairan dan penggunaan benih padi bermutu tinggi.

Ketiga: Menggalakkan petani menceburi bidang pertanian bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit, akuakultur, rumpai laut, ikan hiasan, herba dan rempah ratus dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM135 juta bagi penyediaan prasarana asas;

Keempat: Memperuntukkan RM80 juta bagi menjalin kerjasama di antara petani buah-buahan dan sayur-sayuran secara kecil-kecilan dengan syarikat peneraju;

Kelima: Menambah baik Kolej Pertanian di Kubang Pasu, Kedah dengan membina makmal diagnostik yang membabitkan peruntukan RM70 juta;

Keenam: Membina Pusat Penyelidikan Antarabangsa Tanaman Masa Hadapan di Semenyih, Selangor dengan peruntukan sebanyak RM15.7 juta, dan
Ketujuh: Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat yang menjalankan aktiviti pengeluaran bahan makanan selama lima tahun lagi, sehingga 2015.

Merujuk pula industri pelancongan yang menjana hasil RM53 bilion pada 2009, ia berpotensi untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta meningkatkan lagi pendapatan negara. Berdasarkan Laporan United Nations World Tourism Organisation, pada 2009, Malaysia menduduki tangga ke-9 dari segi bilangan ketibaan pelancong. Usaha akan dipergiatkan lagi untuk menarik lebih ramai pelancong dengan menyediakan pakej dan produk pelancongan yang inovatif. Untuk ini, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif seperti berikut:

Pertama: Memperuntukkan sebanyak RM85 juta untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bagi membolehkan pembinaan hotel dan resort peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong;

Kedua: Membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang dengan peruntukan sebanyak RM50 juta;
Ketiga: Menyusun semula Jabatan Penerbangan Awam menjadi Lembaga Penerbangan Awam; dan

Keempat Nexus Karambunai, sebuah resort terkemuka di Sabah sudah komited untuk membangunkan resort bersepadu eco-nature yang pertama seumpamanya di dunia, bagi memanfaatkan kelebihan keindahan alam semula jadi, dan keunikan tersendiri di Karambunai, Sabah berjumlah RM3 bilion akan bermula tahun hadapan. Bagi menyokong industri pelancongan di Malaysia, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta.

Seterusnya, bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli belah (shopping haven) di rantau Asia dengan menawarkan barangan berjenama pada harga yang kompetitif. Kerajaan mencadangkan supaya duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan, pada kadar 5 peratus sehingga 30 peratus dimansuhkan. Barangan ini merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, bola golf, barang kemas tiruan, bedak talkum, syampu, langsir, alas meja, selimut, cadar, kemeja, baju tidur, pakaian dan pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu.

Tuan Yang di-Pertua,

Pada masa kini, hasil eksport minyak sawit mentah berjumlah RM37 bilion, manakala produk berasaskan minyak sawit mencecah RM13 bilion pada 2009. Industri ini sebenarnya boleh diperkembangkan lagi di peringkat hiliran untuk menjana pendapatan lebih besar kepada pengusaha estet dan pekebun kecil. Dalam usaha memangkin industri minyak sawit dan produk berkaitan, beberapa langkah akan dilaksanakan:

Pertama: Meningkatkan produktiviti dengan menggalakkan penanaman semula pokok sawit lama dengan klon baru bermutu tinggi dengan dana sebanyak RM297 juta; dan

Kedua: Sejumlah RM127 juta diagihkan bagi menyokong syarikat oleo derivatives tempatan serta sejumlah RM23 juta lagi untuk mengembangkan industri hiliran minyak sawit, termasuk pengeluaran vitamin.

Pembangunan Koridor Multimedia akan memasuki fasa ketiga, bermula tahun hadapan. Tumpuan diberikan kepada penjanaan ekonomi digital yang inovatif bagi mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi. Dalam meningkatkan potensi industri teknologi maklumat ICT, program MY Creative Content akan dilaksana bagi menggalakkan pembangunan penciptaan kandungan tempatan, hosting kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan. Program ini membabitkan peruntukan sebanyak RM119 juta.

Kerajaan, akan juga melanjutkan tempoh galakan elaun pelaburan kepada penyedia kemudahan sambungan terakhir perkhidmatan jalur lebar, dan juga melanjutkan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan jalur lebar selama dua tahun sehingga 2012.

Pada masa ini, telefon bimbit biasa dikenakan cukai jualan 10 peratus manakala telefon bimbit yang mempunyai pelbagai aplikasi seperti internet dan personal digital assistant (PDA) dikecualikan cukai jualan. Bagi tujuan penyelarasan, kerajaan mencadangkan, cukai jualan, dikecualikan, ke atas semua jenis telefon bimbit.

Kerajaan akan terus menggalakkan sektor perkhidmatan perniagaan sejajar dengan peningkatan permintaan untuk membaik pulih dan menyelenggara kapal terbang serta helikopter. Kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang akan dibangunkan sebagai pusat penyelenggaraan dan membaik pulih kapal terbang serta mengadakan latihan khusus untuk melahirkan pakar dalam bidang tersebut. Kerajaan, akan menyediakan sejumlah RM91 juta untuk pembangunan modal insan dalam industri perkhidmatan penyelenggaraan, baik pulih dan rombak rawat atau MRO, program latihan kejuruteraan aerospace dan aeronautical serta promosi perkhidmatan penyumberan luar perniagaan.

Pembangunan koridor dan wilayah akan dipercepatkan dengan memberi tumpuan kepada sebilangan kluster yang mempunyai kelebihan dari segi pengkhususan dan geografi. Usaha membangunkan kawasan koridor akan berfokus kepada projek usaha sama antara pelabur luar dan tempatan serta industri yang mempunyai kelebihan daya saing dan berimpak tinggi dengan bajet RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan.

Di Iskandar Malaysia, sejumlah RM339 juta disediakan oleh kerajaan, antaranya membina lebuh raya, memajukan kawasan perumahan serta menyedia dan memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam. Manakala, pelaburan komited oleh pihak swasta di wilayah ini sehingga Jun 2010, berjumlah RM62 bilion, melepasi sasaran RM47 bilion. Jumlah yang telah dilaburkan sehingga Jun 2010 ialah RM25 bilion. Projek yang dijangka siap dalam tahun 2011 adalah Newcastle University Medicine Malaysia, Chelsea Factory Outlet serta Legoland dan Marlborough College pada 2012.

Bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara pula, diperuntukkan RM133 juta, antaranya untuk membangun Pusat Pemprosesan Hasil Pertanian, Infrastruktur Pelancongan dan Pusat Inkubator Bioteknologi. Di Wilayah Ekonomi Pantai Timur, peruntukan RM178 juta disediakan antaranya bagi melaksanakan projek Taman Industri, Loji Rawatan Air, pembangunan kawasan pelancongan serta kawasan bekas Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka.

Bagi wilayah SCORE, sejumlah RM93 juta disediakan untuk projek kemudahan telekomunikasi, bekalan air, lapangan terbang, jalan raya serta taman industri makanan halal. Manakala, bagi Koridor Pembangunan Sabah, diperuntukkan RM110 juta, antaranya untuk projek kelompok industri kelapa sawit, agro-industrial presint dan pusat penternakan bersepadu.

Selanjutnya, untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) akan dijadikan landasan peningkatan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi dengan bajet sebanyak RM411 juta.

Kerajaan juga telah menubuhkan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai pusat sehenti untuk merangka dasar dan strategi bagi menyediakan ekosistem kondusif. Satu Akta akan digubal untuk membolehkan UNIK mengkomersialkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan. Beberapa program dan aktiviti akan dirangka untuk meningkatkan inovasi, penciptaan produk baru dan pengkomersialan. Bagi 2011, UNIK diperuntukkan sebanyak RM71 juta.

Tuan Yang di-Pertua,

Tentu ramai yang tahu, ketika krisis ekonomi melanda, ada usahawan dan individu menghadapi masalah kewangan dan ada di antara mereka diisytiharkan bankrap. Mereka telah disenarai hitam dan tidak dapat berniaga atau membuat pinjaman. Untuk memberi peluang kedua, Akta Insolvensi baru akan menyatukan Akta Kebankrapan 1967 dan Bahagian 10 Akta Syarikat 1965, termasuk memperkenalkan peruntukan berkenaan mekanisme penyelamat bagi syarikat dan individu bermasalah kewangan yang membabitkan perubahan had minimum kebankrapan pada masa ini berjumlah RM30,000. Industri kreatif mempunyai potensi besar untuk dimajukan lagi bagi menjana pendapatan negara. Industri ini meliputi animasi, pengiklanan, perfileman, seni reka fesyen, kraf dan warisan budaya. Untuk memanfaatkan potensi industri ini, Kerajaan akan membangunkan dasar industri kreatif secara bersepadu. Sejumlah RM200 juta disediakan untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.

Sementelahan itu, kedudukan kewangan yang kukuh adalah penting bagi menjamin kesejahteraan masa hadapan negara. Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan mencadangkan agar kadar cukai perkhidmatan dinaikkan hanya satu peratus kepada enam peratus. Kerajaan percaya langkah kenaikan yang kecil ini tidak membebankan kerana rakyat mempunyai pilihan untuk mendapat perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai perkhidmatan. Malah, nilai jualan tahunan (threshold) bagi perkhidmatan sedia ada masih lagi dikekalkan. Seiring dengan hala tuju ini, Kerajaan juga mencadangkan cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran TV berbayar.

Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan negara dengan memantapkan kutipan hasil dan memastikan perbelanjaan secara berhemat. Ini termasuklah menekankan nilai untuk wang (value-for-money) dan pengurusan nilai (value management) secara menyeluruh. Sebagai contoh, langkah yang diambil termasuklah tender terbuka, tender terhad dan peraduan reka bentuk yang terbaik untuk hospital Kerajaan. Bagi memantapkan kutipan hasil, Kerajaan akan memperkukuhkan lagi sistem kutipan cukai dengan meningkatkan penguatkuasaan dan pengauditan serta memperluaskan liputan ke atas semua pihak yang sepatutnya membayar cukai.

Strategi kedua adalah membangunkan modal insan. Aset negara yang paling penting bagi sesebuah negara adalah modal insannya. Telah terbukti bahawa negara yang tidak mempunyai sumber asli tetapi bijak mengurus modal insan akan mencapai kejayaan lebih baik dari negara yang semata-mata bergantung kepada sumber aslinya. Malaysia tidak mampu terperangkap dengan ketagihan sumber asli yang bersifat boleh pupus. Syukur, kita telah berjaya mengurus sumber asli kita dengan baik tetapi kita juga berkewajipan merancang pembangunan modal insan secara lestari, jika tidak, kita tidak akan mampu mengoptimumkan potensi nasional.

Modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif dan inovatif adalah prasyarat bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Oleh itu, aspek pendidikan dan latihan akan disusun semula dan diperkukuhkan. Untuk tujuan ini, belanja mengurus diperuntukkan sebanyak RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 bilion disediakan untuk Kementerian Pengajian Tinggi dan RM627 juta untuk Kementerian Sumber Manusia.

Sejak sekian lama, pendidikan anak-anak Malaysia adalah sesuatu yang dekat di hati saya. Justeru, kerajaan tidak akan berdikit dalam soal pendidikan anak-anak kita dan kita tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Mereka mesti disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing menghadapi zaman yang penuh mencabar.

Menyedari hakikat inilah, bagi menambah bilangan tenaga kerja yang berbakat dan berkualiti di pasaran tempatan, kerajaan akan berusaha untuk menarik, memotivasi dan mengekalkan modal insan yang berkemahiran dari dalam dan luar negara. Justeru, kerajaan akan menubuhkan Talent Corporation di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal 2011. Talent Corp ini akan menggubal National Talent Blueprint dan membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.

Sistem pendidikan negara akan dirombak dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing. Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 bilion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru. Di samping itu, sejumlah RM213 juta lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada pengetua atau guru besar dan guru cemerlang.

Tuan Yang Di-pertua,

Anak-anak itu fitrah, ibarat kain yang putih. Kerana itulah, pembangunan modal insan mesti bermula dari peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat dipupuk dengan nilai murni dan disemai dengan ilmu pengetahuan. Bagi mencapai hasrat ini, kerajaan akan meningkatkan kadar enrolmen prasekolah dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan Ijazah.

Kerajaan juga memperuntukkan RM111 juta untuk program PERMATA, antaranya bagi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap serta meneruskan program PERMATA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

Setiap anak Malaysia juga tidak kira apapun latar kaum, adalah aset nasional dan warisan masa depan negara. Bidang pendidikan haruslah bersifat lampau politik. Menjunjung maksud ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM250 juta untuk sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan Kerajaan seluruh negara.

Program Latihan 1Malaysia perkasakan modal insan

Sebagai mengiktiraf pendidikan Islam pula, kerajaan bersetuju untuk membiayai bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak RM95 juta.

Selanjutnya, bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan telah menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian.

Sejumlah RM213 juta pula diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Sehubungan ini, kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.

Memperkasa institusi pengajian tinggi bertaraf dunia adalah agenda utama Kerajaan kerana sumbangannya yang signifikan kepada kemajuan sosioekonomi negara. Langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Menambah peratusan staf akademik berkelulusan PhD kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan sebanyak RM20 juta, dan

Kedua: Menambah baik peluang kenaikan pangkat pensyarah di IPTA di mana pensyarah boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat ke peringkat tertinggi Gred Turus III,II dan I serta dianugerahkan sebagai Profesor Ulung tanpa memegang jawatan pentadbiran.

Berkaitan itu, kerajaan menyediakan RM60 juta bagi mempergiatkan lagi Program Industrial Skill Enhancement Programme di Pusat Latihan Kemahiran Negeri. Program ini akan meningkatkan kemahiran graduan kejuruteraan dan pekerja teknikal selaras dengan keperluan pasaran. Di samping itu, sejumlah RM220 juta turut disediakan bagi memastikan siswazah jurusan lain dapat mengembang kompetensi dan kebolehpasaran mereka. Antaranya, melalui Program Pentauliahan Profesional, Pembangunan Sukan, Pembangunan Keusahawanan dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran Siswazah. Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Multimedia Development Corporation untuk melatih graduan dalam bidang ICT supaya dapat meningkatkan kebolehpasaran dan memenuhi keperluan industri ICT.

Golongan bukan siswazah seperti lepasan sekolah, belia dan pekerja, juga, diberi perhatian oleh kerajaan, memandangkan tenaga mereka diperlukan, terutama oleh industri dalam bidang teknikal. Untuk itu, sejumlah RM474 juta diagihkan bagi meningkatkan produktiviti dan kemahiran di bawah pelbagai institusi latihan.

Seperkara yang penting, negara memerlukan modal insan yang sentiasa menambah ilmu pengetahuan melalui peningkatan kemahiran dan mempelajari kemahiran baru (upskilling and reskilling). Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan Program Latihan 1Malaysia (1Malaysia Training Programme) yang akan dilaksanakan mulai Januari 2011 dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.

Tuan Yang Di-pertua,

Program latihan ini mempunyai tiga komponen. Pertama, sebanyak RM200 juta untuk menjalankan latihan sambilan di sebelah malam dan di hujung minggu, di pusat latihan terpilih, di seluruh negara. Ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara, Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian dengan kemudahan sedia ada. Antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam adalah kursus Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan kelas muzik. Manakala, di hujung minggu kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk bakeri, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan.

Kedua, Program Latihan 1Malaysia juga meliputi peruntukan RM200 juta dari Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka. Ketiga, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan RM100 juta untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal.

Selaras dengan peningkatan produktiviti, golongan pekerja seharusnya mendapat upah dan ganjaran yang lebih tinggi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Sukacita saya mengumumkan, penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah. Majlis ini yang akan diwakili oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi Kerajaan, akademia, NGO dan individu. Sekretariat bagi majlis ini adalah Kementerian Sumber Manusia.

Kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh Majlis Konsultasi Gaji Negara. Contohnya, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada RM710 sebulan pada 1 Julai 2010 berbanding RM610. Dengan kenaikan ini, upah keseluruhan posmen meningkat daripada RM1,035 sebulan kepada RM1,285, termasuk elaun tetap. Bagi pengawal keselamatan pula, kerajaan akan menguat kuasa gaji pokok minimum kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan berbanding RM300 hingga RM400 pada masa ini. Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan, termasuk elaun adalah melebihi RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuat kuasa mulai Januari 2011.

Selain itu, kerajaan akan meneruskan langkah pengurangan bilangan pekerja asing dengan menaikkan levi secara berperingkat mengikut sektor. Pada masa yang sama, majikan akan diwajibkan untuk memperoleh insurans kesihatan bagi pengambilan pekerja asing mereka.

Tuan Yang Di-pertua,

Wanita yang membentuk separuh penduduk Malaysia adalah nadi keluarga dan pembangunan negara. Oleh sebab itu, kerajaan mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh wanita apabila negara bergerak menuju kemajuan. Bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan, kerajaan memperuntukkan RM30 juta, antaranya memperkenalkan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan dan Tokoh Aktivis Wanita bersempena Hari Wanita mulai 2011.

Demi menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita sebagai pekerja separuh masa, kerajaan telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober 2010. Lantas, saya menyeru pihak swasta dapat mengambil pekerja separuh masa wanita, terutama mereka yang telah berumah tangga. Kerajaan juga akan melaksanakan program perintis Small Office Home Office untuk wanita kurang upaya selama 3 bulan bagi melatih wanita OKU dalam pelbagai bidang kemahiran.

Laginya, bagi membantu golongan wanita yang tidak berkemampuan, mendapat perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal yang berkualiti bagi anak-anak mereka, Kerajaan akan menyedia dan menjenamakan semula 40 buah TASKA 1Malaysia, dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sememangnya pun, kerajaan sungguh mengambil berat dengan kerjaya dan kebajikan penjawat awam wanita. Mereka juga perlu memberi tumpuan kepada penjagaan keluarga, terutama anak yang baru dilahirkan. Bagi menambah baik kemudahan cuti bersalin kepada penjawat awam wanita, kerajaan memberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari berbanding 60 hari pada masa ini. Kemudahan itu adalah tertakluk kepada kelayakan keseluruhan bilangan cuti bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.

Dari semasa ke semasa, kerajaan telah merintis jalan dan membuka peluang kepada wanita berkelayakan memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam. Pada akhir 2009, wanita yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam telah mencapai tahap 30.5 peratus. Justeru, saya ingin menyeru pihak swasta memberi peluang kepada lebih ramai wanita menjawat jawatan di peringkat pembuat keputusan, khususnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Kerajaan akan terus menggalakkan pembangunan dan penyelidikan sukan, memperbanyakkan penganjuran sukan antarabangsa, menyediakan kemudahan dan kepakaran untuk melahirkan atlit yang berdaya saing dan membangunkan sukan berprestasi tinggi. Untuk pembangunan dan mengurus aktiviti sukan, sebanyak RM365 juta disediakan kepada Kementerian Belia dan Sukan. Selain itu, bagi memajukan sukan bola sepak, kerajaan akan menubuhkan Akademi Bola Sepak, di Pahang, dengan peruntukan RM20 juta, bagi melahirkan pemain bola sepak yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Bercakap mengenai sukan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada semua atlit negara yang telah menyertai Sukan Komanwel Ke-19 di New Delhi. Saya mengucapkan tahniah kepada pemenang pingat yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa yang telah melepasi sasaran 10 emas dengan menggondol 12 pingat emas. Untuk makluman semua, pencapaian pingat di temasya kali ini menyaksikan rekod rangkulan emas terbaik negara dalam penyertaan Sukan Komanwel.

Tuan Yang Di-pertua,

Strategi ketiga adalah mensejahterakan hidup rakyat. Sudah lumrahnya, tugas dan tanggungjawab utama Kerajaan adalah untuk memartabatkan kehidupan rakyat. Status negara maju tidak akan bermakna jika kualiti hidup rakyatnya merosot. Pokoknya, dalam usaha kita menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita perlu memantapkan pembangunan sosioekonomi secara inklusif. Ini penting bagi menghasilkan kemajuan yang lebih seimbang dan memastikan kualiti hidup yang lebih baik.

Ternyata, kerajaan menjiwai keluh kesah dan kesukaran hidup yang dihadapi oleh golongan kurang bernasib baik. Tumpuan akan terus diberikan untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara. Bagi 2011, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjalankan pelbagai program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan. Antara program dan insentif yang disediakan:

Pertama: Program bantuan kebajikan warga emas dengan peruntukan RM166 juta untuk mengatasi masalah golongan ini yang dijangka meningkat melebihi 15 peratus daripada jumlah penduduk negara menjelang 2030;

Kedua: Program bantuan kanak-kanak dengan peruntukan RM121 juta disediakan bagi membolehkan mereka menerima perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal yang berkualiti. Program ini akan memanfaatkan seramai 97,000 kanak-kanak;

Ketiga: Program bantuan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM218 juta akan dimanfaatkan oleh 80,000 OKU;

Keempat: Pengecualian duti eksais dinaikkan daripada 50 peratus kepada 100 peratus ke atas sebuah kenderaan nasional yang dibeli oleh OKU; dan

Kelima: Membina sebuah pusat intervensi bagi menangani golongan tuna wisma dan gelandangan dengan menyediakan peluang pekerjaan, kemudahan perumahan dan kaunseling.

Tuan Yang Di-pertua,

Sementara itu, sejak 2008, kerajaan telah memberikan rebat bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan yang telah membawa manfaat kepada lebih 1 juta pengguna di seluruh negara. Sehubungan itu, kerajaan berkeputusan meneruskan usaha murni ini dengan peruntukan RM150 juta untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Para pendeta bermadah, kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah berkorban raga. Pada masa ini, pelepasan cukai ke atas perbelanjaan perubatan ibu bapa terhad kepada perubatan di klinik dan hospital, termasuk rawatan di nursing home serta rawatan pergigian.

Pelbagai skim bantu rakyat miliki rumah diperkenal

Bagi terus membantu meringankan kos membiayai perbelanjaan penjagaan ibu bapa, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sehingga RM5,000 yang sedia ada diperluaskan bagi meliputi perbelanjaan lain seperti bayaran menghantar ibu bapa ke rumah jagaan harian, bayaran menggaji pembantu, khusus menjaga ibu bapa dan perbelanjaan keperluan harian mereka yang lain seperti lampin pakai buang.

Kerajaan sangat memahami keperluan setiap rakyat untuk memiliki rumah yang selesa, terutama bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah. Untuk itu, sejumlah RM568 juta disediakan bagi membina 300 unit kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat dan 8,000 unit di bawah Projek Bantuan Sewa Rumah. Selain itu, bagi membantu golongan pekerja estet memiliki rumah, kerajaan akan menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah dengan peruntukan RM50 juta yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional. Skim ini terbuka kepada pekerja tetap estet, warga negara Malaysia, untuk mendapatkan pinjaman perumahan maksimum sebanyak RM60,000 bagi membeli rumah kos rendah pada kadar faedah maksimum empat peratus dengan tempoh pinjaman sehingga 40 tahun, menjangkau generasi kedua.

Sesungguhnya lagi, kerajaan maklum akan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah. Bukan mudah untuk mereka bertatih dalam realiti kehidupan. Untuk membantu golongan ini, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas, yang akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000. Skim ini adalah untuk pembeli rumah pertama yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan. Dalam kata lain, pembeli rumah mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan, seperti amalan lazim.

Pada masa yang sama, hanya, pembeli rumah pertama juga akan diberi pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas surat cara pindah milik sebuah rumah yang berharga tidak melebihi RM350,000. Kerajaan juga mencadangkan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus diberi ke atas surat cara perjanjian pinjaman bagi membiayai pembelian rumah pertama tersebut.

Usaha untuk membawa pembangunan ke kawasan luar bandar sudah lama bermula di negara ini. Apabila darurat hampir tamat, kerajaan pada ketika itu telah menubuhkan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar untuk menerajui usaha membawa nikmat pembangunan ke kawasan luar bandar. Kerajaan sekarang komited meneruskan usaha ini sekalipun hampir 60 peratus penduduk Malaysia kini tinggal di kawasan bandar. Apa yang pasti, dalam usaha mentransformasi negara menjadi maju, Kerajaan tidak akan sekali-kali meminggirkan rakyat luar bandar. Projek dan program pembangunan bagi mempertingkatkan taraf hidup penduduk luar bandar akan diberi keutamaan. Sejumlah RM6.9 bilion disediakan untuk pelaksanaan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar. Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama: Membina dan menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion dan di Semenanjung RM696 juta;

Kedua: Menyedia bekalan air dan elektrik luar bandar di Sabah dengan peruntukan RM1.5 bilion, Sarawak RM1.2 bilion dan Semenanjung RM556 juta;

Ketiga: Melaksanakan program bantuan rumah untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM300 juta. Program ini membabitkan pembinaan dan baik pulih 12,000 unit rumah di seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak; dan

Keempat: Menyediakan Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara bagi memudahkan penduduk kawasan terpencil di Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk mendaftar kerakyatan.

Bagi meningkatkan pengeluaran makanan, kerajaan memperuntukkan RM974 juta sebagai pemberian subsidi harga padi, baja dan benih padi serta RM230 juta untuk insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi. Kerajaan juga menyediakan sejumlah RM170 juta bagi insentif hasil tangkapan ikan nelayan serta pemilik dan pekerja bot untuk meningkatkan hasil tangkapan.

Kini, masalah harga barangan lebih tinggi yang dihadapi oleh penduduk di kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak serta kawasan tertentu di Semenanjung akibat kos pengangkutan, menjadi perhatian Kerajaan. Bagi menyeragamkan harga barangan pada kadar yang hampir sama dengan kawasan lain, kerajaan telah memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu seperti beras, minyak masak, gula, tepung, gas, petrol dan diesel, pada 2010 dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Bagi 2011 pula, peruntukan sebanyak RM200 juta disediakan bagi meneruskan program ini.

Kita sedia maklum interaksi Kerajaan dan rakyat kerap dibangkitkan mengenai harga barangan runcit. Dalam konteks ini, kerajaan akan mewujudkan portal interaktif ‘1Malaysia Pengguna Bijak’ bagi memudahkan rakyat mengikuti perkembangan harga terkini barangan, meliputi hampir 7,000 premis perniagaan seluruh negara. Melalui portal ini, pengguna mempunyai pilihan untuk mendapatkan sesuatu barangan pada harga yang kompetitif. Pengguna juga boleh menggunakan khidmat pesanan ringkas untuk mengetahui harga terkini barangan.

Selain daripada itu, untuk mengukuhkan lagi sektor pemborongan dan peruncitan, satu Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), Bengkel Automotif serta projek Pasar Komuniti akan diperkenalkan untuk menaik taraf kemudahan supaya menjadi lebih menarik dan moden dengan peruntukan sebanyak RM73 juta.

Tuan Yang Di-pertua,

Tanggapan bahawa kerajaan hanya berminat menumpukan kepada projek berskala besar tanpa mengendahkan kontraktor kecil adalah menyimpang dan tidak benar sama sekali. Hakikatnya, kerajaan akan terus melaksanakan Projek Penyelenggaraan Aset Awam, atau lebih dikenali sebagai PIA / PIAS, dengan peruntukan RM500 juta. Antara aktiviti yang terbabit ialah membaik pulih dan menaik taraf kemudahan awam, longkang, perparitan, titi, jambatan kecil dan pendawaian semula serta pembinaan jalan pertanian dan kampung. Saya yakin pelaksanaan projek seperti ini akan sedikit sebanyak membantu golongan kontraktor kelas F di seluruh negara.

Sejak dulu, kini dan selamanya, jasa golongan pemimpin masyarakat tidak pernah dilupa. Tidak kira di kota atau di desa, sungguh tinggi baktinya. Lalu, untuk menghargai peranan pemimpin di peringkat kampung, kerajaan akan menaikkan elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini.

Bagi memastikan elaun ini dinikmati oleh semua ketua kampung, elaun ini turut diberi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan. Kerajaan juga akan menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa dari RM30 kepada RM50.

Di samping itu, elaun bulanan imam juga akan dinaikkan dari RM450 kepada RM750 sebulan. Manakala, imbuhan bulanan guru KAFA dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM500 pada masa ini berkuat kuasa Januari 2011.

Seperti yang kita sedia maklum, kemajmukan Malaysia diasaskan daripada pelbagai suku kaum dan bangsa. Kita tidak pernah mendiskriminasi kelompok minoriti kerana mereka adalah warga negara dan rakyat Malaysia. Semua usaha pembangunan dibuat secara inklusif untuk turut meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan Pribumi. Sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program, termasuk menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah dan persempadanan penempatan Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli. Selaras dengan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan disusun semula dan diperkukuhkan dengan memberi nafas baru sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat. Untuk meringankan beban pengguna lebuh raya, sukacita saya mengumumkan kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh 5 tahun akan datang bermula serta-merta.

Selanjutnya, kerajaan komited untuk memastikan akses kepada kesihatan berkualiti dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat. Bagi mencapai matlamat ini, sejumlah RM15.2 bilion diperuntukkan bagi membina hospital baru, menambah bilangan doktor dan jururawat serta mendapatkan bekalan ubat dan peralatan perubatan. Sejak tahun lalu, sejumlah 51 buah Klinik 1Malaysia sudah beroperasi dan Kerajaan akan menambah lagi sebanyak 25 buah Klinik 1Malaysia.

Keselamatan awam pula adalah aspek penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat untuk negara. Dalam tempoh 9 bulan pertama 2010, indeks jenayah jalanan menurun 38 peratus, manakala indeks jenayah keseluruhan menurun 16 peratus. Sehubungan itu, kerajaan akan meneruskan usaha ini dengan peruntukan sebanyak RM350 juta untuk melaksana pelbagai program, termasuk program membanteras jenayah pecah rumah, kecurian motosikal dan kereta serta menjalankan program bandar selamat dan program Skim Rondaan Sukarela, terutama di kawasan berisiko tinggi. Di samping itu, Kerajaan akan menambah 25 mahkamah khas untuk mempercepatkan perbicaraan.

Tuan Yang Di-pertua,

Kerajaan menghargai peranan yang dimainkan masyarakat sivil di dalam menyediakan perkhidmatan yang selama ini hanya dimainkan oleh pihak kerajaan. Kita melihat perkara ini sebagai satu perkara yang positif dan sesuatu yang melengkapi, ianya perlu terus digalakkan. Kerajaan mengiktiraf sumbangan berharga NGO dalam mengatasi gejala sosial, membantu golongan kurang bernasib baik dan menyediakan kemudahan perlindungan serta menjalankan program latihan dan penjanaan pendapatan.

Sebagai tanda pengiktirafan, kerajaan akan memperuntukkan RM70 juta kepada program dan aktiviti yang membabitkan NGO terpilih bagi membantu Kerajaan dalam memantapkan institusi keluarga dan menangani gejala sosial seperti pembuangan bayi, mat rempit dan gengsterisme. NGO tersebut akan melaksanakan program bersepadu bersama agensi kerajaan, terutama di kawasan berisiko tinggi berlakunya jenayah supaya ia dapat dicegah lebih awal di peringkat akar umbi.

Dalam aspek alam sekitar pula, suasana keliling yang mapan akan terus dipelihara. Sejumlah RM1.9 bilion disediakan untuk membiayai projek pemuliharaan alam sekitar, antaranya melaksanakan program Sungai Nadi Kehidupan dan menghijaukan Kuala Lumpur.

Sistem penyampaian kerajaan lebih cekap, berkesan

Selain itu, kerajaan juga akan menjalankan usaha untuk memulihara sumber marin dan persisiran antaranya di Pantai Siring, Melaka; Pantai Sabak di Kelantan, Teluk Lipat di Terengganu dan Rompin di Pahang.

Tanggungjawab Sosial Korporat yang semakin menjadi trend kebelakangan ini, begitu kritikal dalam melaksanakan projek kemasyarakatan. Dalam hubungan ini pada 2011, Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan menjadikan 10 buah sekolah sebagai Sekolah Amanah (Trust School) yang dikendali secara lebih profesional untuk memastikan pelajar memperoleh pendidikan berkualiti. Untuk tujuan ini, selain daripada peruntukan lazim kerajaan, Sekolah Amanah ini juga akan menerima sumbangan daripada Khazanah Nasional.

Untuk membantu kanak-kanak, terutama daripada golongan berpendapatan rendah mencapai prestasi yang cemerlang di sekolah pula, 1MDB akan menyediakan multi-vitamin untuk pelajar sekolah rendah. Program ini diharap akan dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar sekolah.

Berikutan salah satu cadangan daripada makmal Pemuda yang diadakan beberapa bulan yang lalu, 1MDB akan turut menyumbang kepada pembangunan belia negara dengan penubuhan Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta bagi memupuk semangat 1Malaysia. Dalam bidang kesihatan pula, 1MDB akan melaksanakan Klinik Bergerak 1Malaysia dengan empat buah bas Klinik Bergerak dengan kerjasama Kementerian Kesihatan disediakan.

Tuan Yang Di-pertua,

Strategi keempat adalah memantapkan penyampaian perkhidmatan awam. Dalam mengemudi Malaysia menjadi negara maju, Kerajaan yang kini mempunyai 1.2 juta penjawat awam perlu mengoptimumkan sistem penyampaian Kerajaan di mana penambahbaikan sentiasa wajar diambil untuk mempertingkatkan produktiviti negara.

Jelasnya, fungsi kerajaan adalah pemudahcara bukan penghadang. Berurusan dengan mana-mana agensi kerajaan seharusnya bersifat menyenangkan bukan menyusahkan. Untuk itu, Kerajaan akan terus mempermudahkan lagi sektor swasta berurusan dengan agensi Kerajaan. Ke arah ini, inisiatif MyCoID Gateway yang menggunakan nombor rujukan tunggal Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi menjalankan urusan telah pun dilaksanakan. Inisiatif MyCoID ini akan diperluaskan ke agensi-agensi dan kementerian lain.

Kerajaan juga akan memperkenalkan sistem pemarkahan untuk memudahkan permohonan taraf penduduk tetap (PR). Permohonan PR kini boleh dilakukan selepas lima tahun bermastautin berbanding 10 tahun sebelum ini. Dengan sistem itu, permohonan taraf penduduk tetap akan lebih telus, pantas dan objektif berdasarkan kriteria yang jelas.

Bagi mempercepatkan proses pendaftaran hartanah pula, Akta Setem 1949 telah dipinda untuk membolehkan penilaian hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dilakukan selepas duti setem dibayar di Lembaga Hasil Dalam Negeri. Penambahbaikan ini akan dapat mengurangkan masa pendaftaran hartanah daripada 30 hari kepada satu hari saja.

Penjawat awam selaku pelaksana dasar adalah komponen yang amat penting di dalam usaha negara merealisasikan wawasan kebangsaan. Tanpa ejen pelaksana yang cekap, berkesan dan dinamik wawasan negara, akan hanya tinggal sekadar matlamat murni. Sehubungan dengan itu, dalam usaha berterusan menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambil kira maklum balas penjawat awam, Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecekapan atau PTK dan diganti dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik oleh penjawat awam menjelang Jun 2011.

Di atas segalanya, kerajaan sentiasa menghargai sumbangan penjawat awam yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan inisiatif Kerajaan, termasuk Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi. Dengan harapan dan pesanan supaya penjawat awam terus berusaha, Kerajaan akan:
Pertama: Meringankan beban penjawat awam untuk menampung perbelanjaan persiapan sekolah dengan memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500. Bantuan kewangan ini akan diberi kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah, termasuk pegawai kontrak dan pesara Kerajaan. Pembayaran akan dibuat pada Disember ini;
Kedua: Menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000 berbanding RM1,000 pada masa ini selaras dengan kenaikan kos pengurusan jenazah. Bantuan ini juga akan dipanjangkan kepada pesara kerajaan; dan
Ketiga: Menyambung perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang tamat perkhidmatan pada 31 Disember 2010 untuk tempoh setahun lagi. Kementerian dan agensi tidak dibenarkan untuk menambah bilangan Pegawai Khidmat Singkat baru.

Tambahan daripada itu, bagi memudahkan penjawat awam memiliki rumah serta memperbaiki lagi syarat-syarat untuk membuat pinjaman perumahan, Kerajaan akan:
Pertama: Membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik;

Kedua: Menggandakan kadar pinjaman kepada RM20,000 berbanding RM10,000 untuk kerja tambahan rumah kos rendah bagi Kumpulan Sokongan Dua; dan
Ketiga: Menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa kini. Kesemua langkah penambahbaikan pinjaman perumahan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2011.

Tuan Yang Di-pertua,

Kerajaan komited untuk mempercepatkan proses transformasi dengan melaksanakan projek dan program di bawah RMKe-10, NKRA dan NKEA dilaksanakan dengan jayanya. Untuk melaksanakan strategi dan langkah yang telah dibentang, saya mencadangkan sejumlah RM212 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010. Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM49.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.

Di bawah peruntukan mengurus, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, RM86.4 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah RM1.4 bilion disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM955 juta bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion, berbanding RM162.1 bilion pada 2010. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK, berbanding 5.6 peratus pada 2010.

Tuan Yang Di-pertua,

Apa yang telah dirangka dan akan dilaksanakan ini adalah visi bagi memenuhi aspirasi dan impian rakyat. Kita mahu membina sebuah Malaysia di mana setiap seorang mampu mencipta kebahagiaan. Kita mahu membina sebuah Malaysia di mana yang mengehadkan kejayaan hanyalah sejauh mana kesanggupan seseorang itu berusaha dan bekerja keras. Kesimpulannya, bajet ini telah mengambil kira keperluan semua rakyat Malaysia. Pembentangannya dimungkinkan oleh pengurusan kewangan negara yang cekap dan berhemat selama ini.

Wawasan saya dan rakan-rakan dalam Kabinet adalah untuk meneruskan tradisi murni membawa kemakmuran ke seluruh pelosok dan ceruk negara. Wawasan ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Ia bukanlah pula satu impian yang kosong. Fakta dan sejarah telah membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional berupaya melakukannya selama puluhan tahun. Kita telah berjaya mentransfomasikan ekonomi Malaysia dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Kita telah berjaya meningkatkan perkapita daripada AS$260 di awal merdeka kepada kira-kira AS$8,000 hari ini.

Kita telah berjaya mengurangkan kemiskinan dari 60 peratus kepada 3.8 peratus sehingga berada di ambang menghapuskan kemiskinan tegar dan berjaya mencipta kelas menengah yang dinamik.

Hakikatnya, pengurusan kewangan yang berhemat jugalah yang telah menyaksikan kita berupaya keluar dari krisis kewangan 1997/1998 dengan jayanya bersandarkan langkah tegas di luar kelaziman ketika itu. Hasilnya, kritikan menjadi pujian, sifat berwasangka berubah menjadi kekaguman. Begitu juga di kala tsunami ekonomi melanda pada 2008, kerajaan tidak langsung berlengah-lengah mengambil langkah pemulihan melalui pakej rangsangan dan mini bajet. Sekali lagi, rakyat diselamatkan daripada terjebak dalam situasi yang membebankan dengan merasai kesan sangat minimum. Pendek kata, walau apapun cabaran yang mendatang, kita tidak akan sekali-kali berundur daripada misi mulia ini, atas keyakinan bahawa kebenaran berpihak kepada kita dengan rekod prestasi yang cemerlang.

Kita bukannya saudagar mimpi yang memperdagang dongengan. Kita adalah parti pembina harapan yang berpijak di bumi nyata. Apa yang kita capai bukanlah secara tidak sengaja, ibarat bulan jatuh ke riba, tetapi ia hasil dari perencanaan yang jelas, ketegasan pelaksanaan, perancangan yang rapi serta pengorbanan yang tinggi. Percayalah, bahawa Kerajaan tidak akan mengambil jalan mudah dengan menggadaikan kepentingan negara jangka panjang demi untuk populariti jangka pendek. Yakinlah, bahawa kita tidak mahu mewariskan negara yang bermasalah kepada generasi akan datang.

Lantaran itu, rakyat perlu insaf bahawa masa depan mereka dan anak-anak adalah terlalu bernilai dan mahal harganya untuk diserahkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Sesungguhnya bajet kali ini adalah bajet ke-53 pasca merdeka yang telah dibentangkan oleh kerajaan daripada parti yang sama. Melalui 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang dan satu Misi Nasional, Bajet 2011 menjadi bingkisan penting serta langkah pertama dalam menempatkan Malaysia di ambang status negara maju berpendapatan tinggi.

Ingatlah bahawa, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kejayaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan kita akan bersemadi. Kepada-Mu ya Allah, dipanjatkan doa dan dipohon kekuatan, mudah-mudahan segala usaha hamba-hamba-Mu ini beroleh keberkatan.

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.