.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, August 05, 2010

0 Kisah disebalik cerita seolah-olah seperti cerita TITANIC

Bangkai pesawat Skyvan ditemui selepas 17 tahun


2010/08/05



Akhbar Indonesia dakwa bangkai kapal terbang, rangka manusia dikesan di Aceh

KUALA LUMPUR: Polis Aceh mendakwa menemui bangkai sebuah pesawat dipercayai jenis SC-7 Skyvan milik Pan Malaysia Air Transport (PMAT) Sdn Bhd yang hilang ketika dalam perjalanan dari Medan ke Banda Aceh, 17 tahun lalu. Akhbar Waspada kelmarin menyiarkan di muka depannya berita mengenai penemuan bangkai pesawat itu dan rangka manusia di dalamnya yang dikesan di kawasan pergunungan Aceh Besar di Utara Sumatera. Usaha Berita Harian sehingga lewat malam tadi untuk mendapat pengesahan sama ada bangkai pesawat itu adalah milik PMAT tidak membawa kejayaan, berikutan pasukan mencari diketuai Polis Indonesia yang memasuki kawasan pergunungan berkenaan dikatakan belum keluar dari kawasan lokasi penemuan bangkai itu.

Ketua Polis Daerah Aceh Besar, Agus Susanto memberitahu akhbar itu pasukannya sudah berlepas ke kawasan Gunung Leuser bagi mencari bahan bukti untuk mengesahkan penemuan berkenaan.

“Kita harus mengharungi perjalanan sekurang-kurangnya dua hari untuk sampai ke lokasi bangkai pesawat itu dikesan,” katanya.

Difahamkan, pasukan itu dijangka keluar lewat petang ini.
Pesawat jenis SC-7 Skyvan Malaysia itu hilang pada 30 Januari 1993 selepas terputus hubungan dengan pusat kawalan Lapangan Terbang Medan kira-kira 30 minit selepas berlepas dari Medan menuju ke Banda Aceh.

Dalam kejadian itu, 16 dilaporkan hilang iaitu 11 penumpang dan lima krew.
Lima krew itu termasuk tiga rakyat Malaysia, iaitu Pengarah Urusan PMAT, Piaruddin Fathodin, 48, yang juga juruterbangnya; pembantu juruterbang, Achuthan Ramadas, 27 dan juruteknik, Augustine Joseph serta dua lagi juruterbang rakyat Myanmar.

Sepuluh penumpang pesawat itu adalah rakyat Singapura manakala seorang lagi rakyat India. Rakyat Singapura itu dikenali sebagai Mansur Usman, Kaharudin Salamat, Zuraini Syakdan, Saharudin Jaldi, Samsul Bahri, Janri Isa, Lee Mon Thong, Palamisami, Abu Nasir dan Lim Pun Wan, manakala warga India dikenali sebagai Prem Kumar.

Ketika kejadian itu, pesawat berkenaan disewa syarikat Esso Singapura dan dipercayai dalam perjalanan ke Kepulauan Nicobar untuk memeriksa sebuah kapal tangki Denmark, Maersk Navigator yang terbabit dalam pelanggaran dengan sebuah kapal lain di Selat Melaka pada 21 Januari 1993.

Waspada turut memetik Ketua Divisyen Operasi Angkasa Pura Blangbintang Aceh Besar, Mustari mengesahkan pesawat ringan milik Malaysia terhempas di kawasan itu pada 1990-an dan belum ditemui sehingga kini.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia, Norlin Othman yang dihubungi Berita Harian, semalam, berkata pihak berkuasa republik itu belum dapat mengesahkan sama ada pesawat terbabit milik syarikat Malaysia.

“Pasukan polis republik itu sedang berusaha untuk sampai ke lokasi bangkai pesawat ditemui bagi mengesahkan spesifikasinya daripada segi jenis atau sama ada ia pesawat Malaysia.

“Berdasarkan maklumat awal diterima, dua pesawat Malaysia yang disyaki terhempas di kawasan berkenaan, termasuk SC-7 Skyvan milik PMAT,” katanya.

Norlin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan sebaik pihak berkuasa republik itu mengesahkan bangkai pesawat milik syarikat Malaysia.

‘Saya tak berhenti berharap suami pulang’

KUALA LUMPUR: “Saya berharap pesawat yang ditemui polis Aceh itu daripada jenis SC-7 Skyvan yang hilang ketika dalam perjalanan dari Medan ke Banda Aceh, 17 tahun lalu,” kata Noorhidayati Cheah Abdullah.

Wanita kelahiran Kelantan itu kehilangan suaminya, Piaruddin Fathodin dalam tragedi itu bersama empat lagi anak kapal, selain 11 penumpang warga Singapura dan India.

Dalam kejadian 30 Januari 1993 itu, pesawat yang dikendalikan Piaruddin yang juga juruterbang pesawat itu merangkap Pengarah Urusan Pan Malaysia Air Transport (PMAT) Sdn Bhd itu disyaki hilang apabila terputus hubungan dengan Lapangan Terbang Medan ketika dalam perjalanan ke Banda Aceh.

“Berita terkini mengenai penemuan pesawat SC-7 Skyvan itu suatu rahmat menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini, lebih-lebih lagi kejadian 17 tahun lalu itu juga berlaku sebulan sebelum umat Islam menunaikan ibadat puasa.

“Malah perasaan terkejut, sedih dan tertekan yang dialami 30 Januari 1993 lalu turut dirasai sebaik menerima berita penemuan bangkai pesawat yang hilang itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berusia 35 tahun ketika peristiwa itu menimpa diri dan keluarganya, Noorhidayati berkata, dalam beberapa bulan selepas pesawat itu hilang, nalurinya kuat menyatakan suaminya masih hidup dan turut mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

“Saya tidak pernah berhenti mengharapkan kepulangannya kerana sebelum berlepas suami berjanji akan pulang, malah saya tidak dapat menerima kenyataan beliau sudah pergi meninggalkan kami sekeluarga.

“Siapa tahu, mungkin juga beliau sesat dalam hutan, mungkin juga beliau salah seorang yang bernasib baik dan terselamat serta dijaga penduduk di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, saya sudah jangka berita penemuan pesawat itu pasti diterima suatu hari nanti, cuma entah bila dan hari ini (semalam) apa yang saya jangkakan benar-benar berlaku,” katanya yang menggalas tugas Pengarah Eksekutif syarikat yang pernah diterajui suaminya itu.

0 comments: