.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, August 15, 2010

0 Isu David Teo dan Ahmad Idham di FINAS

Kak Pora: Elok menteri lantik lebih ramai produser jadi Ahli FINAS


2010/08/08
TAK sangka Kak Pora, isu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memang sudah jadi bualan ramai. Liputannya juga meluas bukan saja dalam ruangan hiburan akhbar dan berita TV tetapi hinggakan sudah jadi bahan sembang dalam internet dan Facebook. Malah, akhbar bahasa Inggeris yang jarang beri perhatian kepada filem tempatan juga makin ligat beri perhatian pada isu yang berlaku terhadap FINAS.

Isu apa lagi, tentulah mengenai siapa bakal Ketua Pengarah baru FINAS. Dah dekat tarikh 16 Ogos, Ketua Pengarah FINAS sekarang, Mahyudin Mustakim tamat kontrak, makin suspen juga orang industri filem nak tunggu siapa bakal pengganti beliau. Bagi Kak Pora, kalau payah-payah sangat nak pilih, sambungkan saja kontrak Mahyudin tu sehingga hujung tahun ini. Isu lagi panas tentulah mengenai kedudukan produser filem yang bermulut laser, David teo serta seorang lagi penerbit muda yang juga pengarah filem, Ahmad Idham. Kak Pora sangka, isu ini dah nak sejuk tetapi apabila pengarah filem, Datin Paduka Shuhaimi baba buat lagi sidang media untuk ‘bantai’ David dan Idham, nampaknya ia makin menjadi lebih panas. Naib baik, David dan Idham tak balas dan cuma diam saja. Tetapi, bos Kak Pora dan rakan setugas beritahu, memang di kalangan orang filem isu ini tengah menggelegak tu... Sekali fikir, kenapalah orang filem kita terutama golongan tauke filem suka sangat nak bergaduh dalam media massa. Yang Kak Pora tak boleh terima ialah apabila ahli dalam Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) sendiri bergaduh sesama mereka. Ahli tuduh AJK, AJK tuduh ahli, Presiden PFM juga tuduh ahli dan macam-macam lagilah. Lantaklah kau orang, itu persatuan kau orang. Jangan sampai PFM jadi pecah belah cukuplah. Kawan Kak Pora ada terima SMS daripada seorang penerbit filem yang juga ahli PFM, Mohd Noor Kadir yang merungut dengan melabelkan ‘PFM’ itu seperti bermaksud “Pembunuh Filem Makers”. Ke situ pula jadinya, kelakar pun ada bunyinya.

Tak apalah. Cuma, kali ini Kak Pora rasa FINAS sekarang dah macam jadi mangsa sasaran pula. Apabila PFM yang diketuai presidennya, Ahmad Puad Onah mempertikai keputusan Menteri Penerangan Komunikasi Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang sambung kontrak David dan Idham sebagai Ahli Lembaga Pengarah FINAS, ramai pihak dah pandang serong pada agensi kerajaan itu. Hinggakan, Kak Pora dengar cakap-cakap, persatuan lain pun tumpang sekaki terutama persatuan yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM).

Selasa lalu, dengarnya ada pertemuan Pengerusi FINAS, Datuk Mohammed Mohd Daud dengan wakil persatuan filem tetapi tidak ada satu pun wakil persatuan dalam GAFIM yang datang termasuk PFM. Dalam erti kata lain, pertemuan itu macam kena boikot pula oleh GAFIM. yang ada tercongok di majlis itu cuma Ahli Lembaga FINAS termasuk David dan Idham serta Mohammed saja, selain ada wartawan dan jurugambar serta pegawai FINAS. Sampai hati GAFIM boikot pertemuan itu. Kesudahannya, Mohammed terpaksa buat sidang media juga.

Kak Pora rasa, isu ini sudah di peringkat menteri. Sepatutnya Dr Rais yang panggil wakil persatuan untuk berbincang dan bersemuka. Ini tidak, cuma diserahkan pada Mohammed. Tahu-tahu sajalah, ramai juga Kak POra dengar mereka kurang selesa berurusan dengan Mohammed terutama ada beberapa isu sebelum ini termasuk isu Hari SENIMAN. Kepada yang tidak tahu, Mohammed ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) di kementerian Dr Rais. Elok jugalah selepas itu, mungkin berikutan insiden Selasa lalu, khabarnya menteri akan berjumpa pemimpin persatuan artis terutama PFM dan persatuan dalam GAFIM pada Isnin ini. Diharapkan apda pertemuan itu nanti, isu panas ini akan sejuk sikitlah, maklumlah dah nak dekat Ramadan ni, tak elok nak bertegang leher.

Dr Rais sepatutnya memberi maklum balas lebih awal selepas PFM buat sidang media hari tu. apabila lambat beri kenyataan dan buat tidak peduli saja, isu semakin panas dan meleret, jadi kecoh dan kesudahannya ramai dah beri persepsi negatif pada FINAS dan imej D?r Rais sendiri. Kak Pora kasihan pada beberapa pegawai FINAS yang merungut pada kawan Kak Pora mereka rasa tidak selesa sekarang bila jadi isu macam ini.

Kak Pora nampak isu macam ini tak perlulah nak dijadikan polemik yang tak berkesudahan, nanti memalukan golongan penerbit filem sendiri. Sesama mereka pula yang bergaduh dan suasana macam ini kelak tak sihat untuk industri filem kita. Sudahlah industri filem kita masih tidak sehebat mana, tetapi riuh rendah orang filem kita mengalahkan kita macam dalam industri Hollywood atau Bollywood!

Kak Pora fikir balik dan kaji, benar jugalah, memang sesuai kalau ada individu yang memang terbukti kejayaan mereka sebagai produser dan pengarah seperti David dan Idham berada dalam Ahli Lembaga Pengarah FINAS. tak salah pun mereka ada di sana, malah boleh bantu FINAS dari segi idea dan pengetahuan.
Cuma apabila ada orang lain tidak senang dan buat tuduhan tanpa ada bukti sahih, benda macam ini mula kecoh dan berlaku tuduh-menuduh.

Kak Pora nak cadangkan pada Dr Rais supaya lantiklah lebih ramai produser filem jadi Ahli Lembaga. Gunalah kuasa mutlaknya sebagai menteri yang boleh mengatasi Akta Finas demi meningkatkan industri filem kita. Lantik saja Ahmad Puad dan Shuhaimi, malah Norman Abdul Halim dan Datuk Yusof Haslam pun boleh sebagai Ahli Lembaga FINAS. Mansor Puteh pun jangan dilupakan, dia ni pun penting juga.

Kalau dah cukup kuota dalam badan lembaga itu, apa salahnya buat satu panel atau jawatan kuasa khas untuk mengumpul tokoh dan individu yang ada pengalaman dalam penerbitan dan pengarahan supaya sama-sama berkongsi idea dan menjalankan tugas sama seperti Ahli Lembaga FINAS. Mereka dalam Lembaga FINAS dan ahli jawatan kuasa atau panel khas ini boleh duduk semeja untuk bincangkan atau membuat kelulusan mengenai sesuatu perkara termasuklah hal pinjaman filem cereka, kelulusan geran, dana kreatif, wajib tayang dan hal berkaitan. Kak Pora bimbang sebab nanti kalau menteri lantik pula orang lain dalam Lembaga FINAS, ada pula yang protes dan sampai bila isu macam ini tak akan habis.

Kak Pora dah malas nak tulis panjang-panjang hal macam ini. Kita tunggu saja esok apa kata Dr Rais selepas dia bertemu dengan pemimpin PFM dan ahli GAFIM. Jangan sampai ada yang baling buku atau gelas cukuplah...

KAK PORA: Kenapa Persatuan KARYAWAN tak mahu buat-buat lagi mesyuarat agung seperti diarahkan mahkamah? Nak tunggu apa lagi? Tempoh 60 hari yang diberi dah nak habis...

0 comments: