.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, August 07, 2010

0 Dari filem ke drama bersiri pula. Tahniah Lagenda Budak Setan. Maslina seperti ada perasaan cinta pertama masakan gementar

Gementar di sisi Farid Kamil

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2010/08/06



MASLINA tertekan dan gementar bergandingan dengan pelakon berpengalaman, Farid Kamil.Bakat baru, Maslina Nasir, dipilih jayakan watak Ayu dalam drama bersiri Lagenda Budak Setan

ASALNYA, dia hanyalah pelakon tambahan dalam beberapa drama. Namun, dek wajahnya yang dikatakan seiras dengan Jue Aziz, tuah nampaknya menyebelahi pelakon baru, Maslina Nasir, 20, apabila diterima sebagai pelakon utama drama bersiri Lagenda Budak Setan (LBS), tayangan Astro Prima, mulai 10 Ogos ini. Bermula sebagai pelakon tambahan dalam Kasut Tumit Tinggi, diikuti Mat & Ginseng, siri Gerak Khas dan Akademi Polis, bakat gadis manis dari Kota Bharu ini akhirnya dikesan pengarah Along Kamaruddin, yang memberikannya ruang untuk menunjukkan keupayaan dalam siri yang diangkat daripada novel tulisan Ahadiat Akashah. Dalam drama berkenaa, Maslina memegang watak Ayu, sebelum wanita malang itu melakukan pembedahan ke atas wajahnya dan menukar nama menjadi Emilia (Jue). Dia akan muncul daripada episod pertama sehingga episod 16, daripada 26 episod drama berkenaan.

Selain dia dan Jue, turut berlakon dalam drama terbabit ialah Farid Kamil, Melissa Maureen Rizal, Arifah Damanhuri, Nas T dan Ngasriah Ngasri.
Mengaku watak berkenaan cukup mencabar kemampuannya, namun kepayahan itu dihadapinya dengan tabah, apatah lagi mengenangkan peluang sedemikian tidak datang setiap hari.

"Saya pula sememangnya bercita-cita menjadi seorang pelakon. Jadi, sukar atau tidak, saya terima dengan hati terbuka. Selepas membaca novel LBS dan mendapat bimbingan Along, saya berasakan, kesukaran membawakan watak Ayu makin berkurangan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbabit di ibu kota, baru-baru ini.
Dedah wanita muda ini, Along seorang pengarah yang agak garang ketika di lokasi. Begitupun, dia tidak serik dan menjadikan cabaran itu sebagai penguat semangat dan pengalaman berguna untuk meningkatkan kebolehan lakonannya.

Sebagai pelakon baru, Maslina sedar, banyak kekurangan yang ada pada dirinya. Namun, dia tidak pernah menutup ruang untuk terus belajar daripada setiap pengalaman lakonan yang diterima.

Menyedari hakikat itu juga, dia bersedia untuk menerima kritikan yang mungkin datang, sebaik saja drama terbabit menemui penonton di televisyen.

"Saya amat menghormati pelakon Lisa Surihani yang menjayakan watak ini dalam versi filem. Selepas ini, mungkin ada peminat yang akan membandingkan lakonan kami berdua. Saya pula sedia menerima segala teguran, demi mempertingkatkan mutu lakonan pada masa akan datang," katanya.

Melakonkan watak utama dalam siri itu, baginya, satu tanggungjawab besar yang tidak boleh dia persiakan. Segala keringat, katanya, sudah dicurah agar persembahannya sebagai Ayu tidak sia-sia.

"Jadi, saya benar-benar berharap lakonan saya dalam drama bersiri LBS diterima baik oleh penonton. Sokongan mereka akan membolehkan saya terus mengembangkan lagi karier yang baru hendak bercambah," ujar anak kelima daripada enam adik-beradik ini.

Gadis peramah yang turut meminati bidang nyanyian ini berkata, selepas menjayakan beberapa drama televisyen, dia juga menyimpan hasrat untuk muncul di filem, sebagai pelakon idolanya, Erra Fazira.

Selain Erra, Maslina juga menggemari lakonan Wan Maimunah dan Eman Manan, yang dianggapnya sebagai pelakon sebenar.

Ditanya mengenai gandingannya dengan Farid yang kembali memainkan watak Kasyah si budak setan, Maslina mengaku, sepanjang penggambaran, dirinya berasa begitu tertekan dan gementar!

"Setiap kali tibanya babak membabitkan saya dan Farid, tubuh saya jadi gementar. Maklum saja, siapalah saya dibandingkan dengannya? Saya pula belum ada pengalaman bercinta, manakala watak yang saya lakonkan juga memang besar," katanya yang pernah menghadiri uji bakat Pilih Kasih musim pertama, tetapi gagal menarik perhatian panel penilai.

0 comments: