.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, August 03, 2010

0 Cerita apabila di puncak jaya

Bijak bahagi masa belajar penting
Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my
2010/08/03
Nurrashidah hadiah anugerah UM kepada ibu bapa

KUALA LUMPUR: “Anugerah ini adalah untuk kedua ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dan motivasi,” demikian luahan pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah, Nur-rashidah Arifin, 25, yang dipilih pemenang Anugerah Pelajaran Diraja pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) ke-40, semalam. Beliau yang ditemani ibu bapanya, Arifin Sardomo, 53 dan Siti Khatijah Jenan, 48, mengakui terharu dipilih sebagai penerima, apatah lagi anugerah itu disampaikan sendiri Canselor UM, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. “Tiada rahsia bagi kejayaan ini. Asalkan dapat mendisiplinkan diri, bijak membahagikan masa dan tahu apa yang perlu diberi keutamaan, saya yakin boleh berjaya,” katanya selepas majlis itu, semalam.

Arifin, yang bertugas di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) cawangan Banting, berkata beliau tidak mengenakan sebarang paksaan kepada anak sulungnya itu untuk membahagikan masa dalam pengajiannya.

“Saya tidak memaksa dia terlalu menumpukan kepada pengajian. Bila dia mahu menonton televisyen, atau berehat bersama rakan-rakannya, tidak menjadi masalah. Dia pandai mengatur sendiri (jadual) ulang kaji, mengikut keselesaannya.

“Begitu juga dengan adik-adiknya tiga orang, mereka juga bebas mengatur sendiri jadual harian mereka. Saya cuma nasihatkan mereka, agar melakukan yang terbaik untuk diri mereka, demi kehidupan masa depan mereka,” katanya.
Seorang lagi pemenang, Benjamin Ong Jia Ming, 23, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekologi dan Biodiversiti) menyifatkan pemilihannya sebagai penerima anugerah itu adalah sesuatu yang amat mengejutkan.

Katanya, anugerah itu memberikan suntikan semangat kepadanya untuk sentiasa berusaha memberikan yang terbaik, terutama untuk ibu bapanya, Ong Eng Guan dan Chew Peck See.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof Madya Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), berkata tesis beliau bertajuk ‘Perhubungan Media: Polisi, Etika dan Amalan di Malaysia’ banyak mengupas isu hubungan dan peranan pegawai perhubungan awam (PRO) sektor awam dan swasta apabila berdepan dengan pengamal media.

“Bentuk hubungan sedia ada antara media dan PRO boleh diperbaiki. PRO yang bagus sudah pasti memiliki kemahiran (menulis) seperti seorang wartawan, serta boleh bersikap profesional,” katanya.

Beliau yang juga kolumnis sisipan Varsiti Berita Harian berkata, dua elemen penting bagi mewujudkan suasana lebih rapat dikenal pasti melalui kajiannya, iaitu cara PRO mengendalikan bahan bagi rujukan media dan hubungan peribadi antara PRO dan media sendiri.

0 comments: